Khamis, 22 Oktober 202622 Okt 2026
Kronikel Dunia

Sebab Berhutang, Jemaah Balik Haji Terus Jadi Buruh Di Kukup, Johor?

Kalau hari ini kita dengar orang cerita balik dari haji hidup makin tenang, rezeki makin murah, zaman dulu tak semua bernasib baik begitu.

Ada jemaah haji dari Jawa yang balik dari Tanah Suci, tapi bukan balik jadi tetamu istimewa keluarga sebaliknya terus jadi buruh ladang selama lima tahun.

Lokasinya? Kukup, Johor.

Ini kisah yang berlaku kepada ramai jemaah haji Hindia Belanda pada penghujung abad ke-19.

Dan pusat di sebalik semua ini? Syarikat Alsagoff & Co yang berpangkalan di Singapura. Syarikat ini bukan sahaja dikenali sebagai ejen pelayaran haji yang terkemuka, mereka juga mempunyai hubungan akrab dengan Sultan Johor, bahkan diberi kuasa memiliki Kukup oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1878.

Maka dari situ terbitlah “Constantinople Estate”, satu ladang besar yang dibina dengan keuntungan hasil perniagaan, termasuk perkapalan dan... jemaah haji.

Adakah ia benar-benar sindiket atas nama haji?

Segalanya bermula dengan niat yang baik untuk membantu jemaah haji yang tidak mampu pulang ke kampung selepas menunaikan ibadah haji. Ramai jemaah ketika itu tidak cukup duit untuk beli tiket kapal balik dari Jeddah ke Tanah Melayu atau Hindia Belanda. Jadi Alsagoff tampil “membantu” dengan memberi pinjaman.

Tiket kapal laut bukan murah. Jadi, ramai terpaksa mengambil “contract-ticket” iaitu sistem yang membolehkan seseorang menangguhkan bayaran balik tambang haji dengan syarat mereka akan bekerja untuk melunaskannya bila balik nanti.

Masalahnya? Kontrak ni berat sebelah, ditulis dalam bahasa Inggeris dan jemaah ramai yang buta huruf. Lebih tragis, bila balik ke Singapura, mereka terus dibawa ke Kukup dan dikerah bekerja sebagai buruh ladang tanpa tahu berapa lama.

Purata hutang? Sekitar $50 per kepala. Nampak macam kecil, tapi bila dibayar semula secara ansuran sebanyak $2 sebulan daripada gaji $4.50 yang mereka terima, boleh ambil masa sampai 5 ke 10 tahun!

Dan ingat, ini bukan kerja ringan. Mereka disuruh menoreh getah, bersihkan ladang gambir, getah dan kopi dan buat kerja-kerja berat yang biasanya diberikan kepada buruh tetap.

Tapi status mereka? Bukan buruh tetap, bukan pekerja kontrak biasa, mereka hanyalah bekas jemaah haji yang terjerat dalam pinjaman kejam.

Gaji bulanan mereka dipotong besar-besaran untuk bayar balik hutang $50 termasuk kos makanan, tempat tinggal dan pelbagai yuran tersembunyi sehinggakan ada yang bekerja lima hingga sepuluh tahun.

Bahkan jika sudah lunas hutang, ada yang masih tidak dibenarkan balik, kononnya “belum cukup jasa”. Ada juga jemaah yang diberi dua pilihan sama ada dapatkan bantuan keluarga untuk bayar hutang mereka atau kekal bekerja di Kukup sampai bila-bila.

Tapi tak ramai yang ada pilihan itu. Ramai yang kampung pun jauh, keluarga miskin dan tidak tahu nasib mereka di perantauan. Maka tinggallah mereka dalam kitaran hutang dan buruh paksa yang berlarutan bertahun-tahun.

Alsagoff pandai main strategi. Mereka bekerjasama dengan syekh haji dan ejen-ejen haji lain untuk mengenalpasti jemaah yang berpotensi “tak cukup duit”.

Siapa yang tak mampu akan “dibantu” dengan pinjaman yang akhirnya menyeret mereka jadi buruh di ladang. Satu sistem yang licik seolah-olah pelayaran haji itu sendiri sebahagian dari proses perekrutan buruh ladang.

Sultan Abu Bakar memberi Alsagoff kepercayaan besar bukan sahaja memberi tanah, malah membenarkan dia mewakili hubungan dengan pihak Uthmaniyyah.

Tapi dalam masa yang sama, firma ini menjadikan tanah yang asalnya tempat persembunyian lanun itu satu ladang eksploitasi manusia.

J.M. Gullick, sejarawan British terkenal menyebut, “Alsagoff telah memperkenalkan semula konsep hamba piutang di Kukup.”

Jangan ingat orang tak tahu tentang kegiatan ni. Laporan rasmi daripada Konsulat Belanda di Singapura dan Jeddah menyebut perkara ini berkali-kali sejak tahun 1885.

Mereka hantar surat ke Batavia (Jakarta sekarang) dan ke The Hague di Belanda supaya kerajaan ambil tindakan terhadap Firma Alsagoff & Co.

Malah, ada surat rasmi bertarikh 14 Julai 1895 yang menyebut 124 jemaah haji Hindia Belanda telah dipaksa tandatangan kontrak kerja dengan Sayid Omar bin Muhammad Alsagoff di Jeddah untuk pulang ke Singapura.

Antara kapal yang digunakan untuk membawa jemaah ini ialah kapal Ocampo yang berangkat dari Jeddah ke Singapura membawa 124 jemaah yang kononnya baru pulang dari haji tetapi kemudian terus dibawa ke ladang sebagai buruh.

Lebih menyedihkan, bila sampai di Singapura, jemaah ini tidak terus dihantar ke Kukup tetapi ditahan dulu. Mereka perlu tunggu beberapa minggu sehingga semua hutang disahkan, syekh dibayar dan kapal disediakan. Ada yang terpaksa menunggu di gudang pelabuhan dalam keadaan yang sangat tidak selesa.

Namun, sistem ini tak bertahan lama. Sekitar tahun 1896 dan ke atas, jumlah buruh dari Jawa yang ingin bekerja ke luar negara meningkat.

Kos membawa mereka lebih murah berbanding menipu jemaah haji. Maka perlahan-lahan, Firma Alsagoff beralih arah dan meninggalkan kaedah perekrutan melalui “jemaah haji”.

Tambahan pula, tekanan dari Konsulat Belanda, tekanan media dan peningkatan kesedaran awam menyebabkan nama Alsagoff tercalar.

Tapi pada waktu itu, kerosakan sudah pun berlaku. Puluhan, malah ratusan jemaah haji telah jadi mangsa sistem kejam ini yang berpunca daripada kelemahan, kemiskinan dan hasrat suci menunaikan ibadah ke Tanah Suci.

Kukup hari ini sudah berubah. Nama Alsagoff pula bukan nama kecil dalam sejarah Johor dan Singapura. Mereka ada peranan dalam perdagangan, pendidikan, hubungan politik dan pembangunan masyarakat pada zamannya. Jadi kisah ini bukan untuk menghukum seluruh keturunan Alsagoff atau mengatakan semuanya “jahat”.

Tetapi sejarah tetap sejarah. Dalam kes Firma Alsagoff & Co pada penghujung abad ke-19, memang wujud sistem hutang dan kontrak kerja yang sangat berat sebelah terhadap sebahagian jemaah haji miskin dari Jawa. Yang patut dikritik bukan darah keturunan, tetapi sistem yang membenarkan orang miskin pergi haji dengan hutang, kemudian membayar hutang itu dengan tenaga dan kebebasan hidup mereka sendiri.

Mungkin daripada sejarah pahit seperti inilah kita lebih faham kenapa kemudian muncul keperluan kepada sistem tabungan haji yang lebih tersusun. Di Malaysia, idea besar ini digerakkan oleh Prof Diraja Ungku Aziz yang mencadangkan satu badan khas untuk membantu umat Islam menyimpan wang dan mengurus perjalanan haji dengan lebih selamat sebelum lahirnya Tabung Haji pada tahun 1963.

Akhirnya, kisah Kukup bukan kisah untuk membalas dendam kepada satu nama keluarga. Ia peringatan bahawa ibadah suci pun boleh dimanipulasi apabila kemiskinan bertemu dengan hutang, kuasa dan sistem yang tidak adil. Sejarah begini perlu diceritakan supaya orang kecil tidak lagi menjadi mangsa atas nama agama, perjalanan suci dan janji bantuan.

Rujukan:

Aiza Maslan @ Baharudin & Mahani Musa, “Isu Tabungan Orang Melayu Dalam Sejarah Pengerjaan Haji Era Kapal Laut,” Jebat: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies, 50 (2), 2023.

Biro Perjalanan Haji di Indonesia Masa Kolonial: Agen Herklots dan Firma Alsegoff & Co, Jakarta: Arsip Nasional Republik Indonesia, 2001.

Saadiah Said. Kegiatan Keluarga Alsagoff dalam Ekonomi Negeri Johor 1878–1906. Jebat: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies, no. 7–8. Penerbit UKM. 1977.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet