Ada satu benda pelik dalam kenyataan Trump kali ni.
Dia tengah sembang pasal deal dengan Iran tapi tiba-tiba dia selitkan Abraham Accords.
Kalau kita baca sekali lalu, mungkin nampak macam Trump cuma nak bawa keamanan. Dia mahu negara-negara Islam duduk semeja, tanda tangan satu kerjasama besar, lepas tu Timur Tengah jadi aman, kaya dan stabil.
Tapi bila kita baca lagi sekali, ayat dia sebenarnya tak berbunyi macam pelawaan diplomatik yang biasa. Ia lebih kepada arahan kuasa besar yang mahu negara lain masuk ke dalam susunan politik yang dia reka.
Trump tulis begini.
"Therefore, I am mandatorily requesting that all Countries immediately sign the Abraham Accords, and that, if Iran signs its Agreement with me, as President of the United States of America, it would be an Honor to have them also be part of this unparalleled World Coalition."
Maksudnya lebih kurang begini.
"Oleh itu, saya secara wajib meminta semua negara segera menandatangani Abraham Accords, dan jika Iran menandatangani perjanjiannya dengan saya, sebagai Presiden Amerika Syarikat, adalah satu penghormatan untuk mereka juga menjadi sebahagian daripada Gabungan Dunia yang tiada tandingan ini."
Ayat paling penting di sini ialah “mandatorily requesting”.
Dalam bahasa orang biasa, ia macam permintaan wajib. Pelik juga bunyinya. Kalau permintaan, kenapa wajib? Kalau wajib, itu sudah jadi arahan.
Bahasa macam inilah yang selalu digunakan kuasa besar bila mereka mahu sesuatu kelihatan sukarela, walaupun tekanan di belakang tabir sebenarnya sangat kuat.
Inilah gaya Trump. Dia suka tulis ayat macam orang tengah jual projek hartanah. Semua benda mesti jadi “historic”, “unparalleled”, “greatest”, “world coalition”. Tapi di sebalik gaya salesman tu, ada satu percaturan besar yang sedang cuba dibina.
Kita kena faham dulu apa itu Abraham Accords.
Abraham Accords ialah rangka perjanjian normalisasi hubungan antara negara Arab atau Muslim dengan Isbiol yang dimeterai pada zaman Trump pada tahun 2020.
Yang mula-mula masuk ialah UAE dan Bahrain. Selepas itu Morocco turut menyertai proses normalisasi, manakala Sudan pula bersetuju masuk dalam kerangka tersebut, cuma proses penuhnya terganggu oleh krisis politik dalaman Sudan.
Dari sudut rasmi, perjanjian ini dijual sebagai jambatan keamanan. Negara Arab boleh berdagang dengan Isbiol, buka kedutaan, bina hubungan teknologi, keselamatan, pelaburan dan penerbangan. Amerika pula jadi orang tengah yang kononnya menyusun semula Timur Tengah supaya lebih aman.
Bunyi dia cantik. Kan?
Masalahnya, isu P langsung tidak selesai. Tanah terus dirampas. Penduduk terus dihalau. G terus dibedil. Masjid, hospital, khemah pelarian dan rumah orang awam turut musnah dalam serangan yang berpanjangan.
Pada masa yang sama, Isbiol diberi hadiah paling mahal dalam diplomasi rantau itu iaitu penerimaan rasmi daripada negara-negara yang sebelum ini menolak untuk mengiktiraf mereka.
Sebab itu Abraham Accords sebenarnya lebih kepada cerita bagaimana isu P cuba ditolak ke tepi supaya negara-negara Islam boleh bergerak masuk ke dalam sistem keselamatan dan ekonomi yang disusun Amerika bersama Isbiol.
Trump, Setanjahat, para pemimpin Teluk tahu je benda ni. Sedih dan kecewa tak?
Jadi bila Trump tiba-tiba kaitkan Abraham Accords dengan "deal" Iran maksudnya dia sedang cuba buat dua kerja dalam satu masa.
Pertama, dia mahu jual apa-apa "deal" dengan Iran sebagai kemenangan besar kepada penyokong dia di Amerika. Kalau dia nampak terlalu lembut dengan Iran, geng pro-Isbiol dalam politik Amerika akan serang dia. Jadi Trump perlu buktikan yang deal Iran itu masih menguntungkan Isbiol.
Kedua, dia mahu negara-negara Islam masuk ke dalam satu "architecture" keselamatan baharu yang menjadikan Isbiol sebagai pemain sah di tengah-tengah dunia Islam. Isbiol tidak lagi dilihat sebagai negara penjajah yang ditolak ramai tapi rakan strategik yang perlu diterima atas nama ekonomi, keselamatan dan kestabilan rantau.
Dalam konteks laporan semasa, permintaan Trump itu nampaknya disasarkan kepada negara-negara yang mahu dia libatkan dalam kerangka perjanjian dengan Iran, termasuk Saudi, Qatar, Pakistan, Turki, Mesir dan Jordan.
Korang bayangkan kalau Saudi, Qatar, Pakistan, Turki, Mesir dan Jordan semua masuk Abraham Accords secara serentak.
Saudi ialah penjaga Mekah dan Madinah. Kalau Saudi normalisasi, kesan psikologinya sangat besar kepada dunia Islam. Ramai negara lain akan rasa, kalau Saudi pun boleh buat, apa lagi alasan kita nak tahan?
Sebab itu Saudi selama ini bergerak dengan sangat berhati-hati. Riyadh tahu normalisasi dengan Isbiol ini akan dibaca sebagai isyarat besar kepada seluruh dunia Islam. Tambah pula, tekanan rakyat Arab terhadap isu P dan G masih kuat walaupun sebahagian pemerintah cuba mengurus isu itu dengan bahasa "kepentingan negara".
Qatar pula selama ini main peranan sebagai orang tengah. Doha ada hubungan dengan Amerika, ada pangkalan tentera Amerika, ada hubungan praktikal dengan Iran dan ada saluran rundingan dengan beberapa pihak yang sukar dicapai negara lain. Kalau Qatar masuk kem Abraham Accords, salah satu pintu rundingan paling penting dalam dunia Arab akan berubah watak.
Pakistan pula cerita lain. Negara ni ada senjata nuklear. Dalam dunia pasca Perang Dunia Kedua, senjata nuklear memberi status psikologi yang sangat besar. Kalau Pakistan masuk kerangka normalisasi dengan Isbiol, itu akan jadi tamparan besar kepada blok negara Islam yang masih melihat Isbiol sebagai ancaman utama.
Setakat ini, Pakistan dilaporkan menolak cadangan Trump. Itu keputusan yang masuk akal dari sudut politik dalaman Pakistan. Sentimen rakyat Pakistan terhadap isu P sangat kuat dan mana-mana pemimpin yang terlalu laju membuka pintu kepada Isbiol boleh berdepan kemarahan besar di rumah sendiri.
Turki pun tak kurang penting. Turki memang sudah lama ada hubungan diplomatik dengan Isbiol sejak 1949, walaupun hubungan itu naik turun ikut pemimpin, krisis dan tekanan awam. Kalau Turki masuk Abraham Accords dalam bentuk baharu, itu akan beri isyarat bahawa negara yang mewarisi ruang geopolitik bekas Uthmaniyyah pun bersedia hidup dalam orde serantau yang disusun Washington dan Tololviv.
Mesir dan Jordan pula sebenarnya sudah ada perjanjian damai lama dengan Isbiol. Mesir sejak 1979, Jordan sejak 1994. Jadi bila Trump mahu diorang masuk Abraham Accords, itu tidak boleh dibaca sebagai hubungan baharu sepenuhnya. Ia lebih kepada usaha mengikat semula hubungan lama ke dalam jenama politik Trump.
Inilah benda yang orang ramai kena nampak.
Abraham Accords sebenarnya adalah pasal penyusunan semula Timur Tengah selepas Amerika gagal mengawal rantau itu melalui perang terbuka.
Dulu Amerika masuk Afghanistan. Habis duit, habis maruah, akhirnya keluar dalam keadaan memalukan.
Dulu Amerika masuk Iraq. Saddam jatuh tapi Iran pula yang untung secara strategik sebab penghalang terbesar Iran di timur Arab hilang.
Dulu Amerika cuba bentuk Timur Tengah ikut cita rasa dia melalui perang dan perubahan rejim. Hasilnya rantau makin bersepah, kumpulan bersenjata makin banyak dan anti-Amerika makin kuat.
Jadi pendekatan baharu lebih licik.
Kalau susah sangat nak jajah dengan kereta kebal maka ubah strategi dengan bina rangkaian perjanjian.
Kalau susah nak paksa rakyat suka Isbiol maka pujuk pemerintah dulu.
Kalau isu P terlalu menyusahkan, alihkan fokus kepada Iran. Nampak tak?
Sebab itu Iran menjadi kunci dalam percaturan ini. Selagi Iran kekal sebagai musuh utama Isbiol, negara-negara Arab Teluk boleh diberi alasan keselamatan untuk rapat dengan Isbiol. Naratifnya mudah. Musuh sebenar kita Iran, jadi kita perlu bekerjasama dengan Isbiol.
Masalahnya, kalau Iran pula masuk deal dengan Amerika, alasan lama itu akan jadi lemah. Walaupun faktor ekonomi, teknologi, pertahanan dan akses kepada Amerika tetap memainkan peranan, ancaman Iran selama ini menjadi alasan keselamatan paling mudah untuk menjual normalisasi kepada geng pemerintah di rantau teluk.
Di sinilah Trump cuba buat silap mata.
Dia mahu deal Iran dan Abraham Accords berjalan sekali. Maknanya, Iran dilembutkan melalui perjanjian, negara-negara Islam lain diikat melalui normalisasi dan Isbiol mendapat pengiktirafan lebih luas tanpa perlu menyelesaikan akar masalah P.
Kalau ini berjaya, Isbiol dapat tiga keuntungan besar.
Pertama, dia keluar daripada kepungan politik serantau. Selama ini, walaupun dia rasa tenteranya kuat, Isbiol tetap hidup dengan kegelisahan geopolitik kerana secara geografi ia berada di tengah-tengah dunia Arab dan Islam, walaupun hubungan politik negara-negara sekelilingnya tidak semuanya sama.
Kedua, isu P akan semakin terasing. Dahulu, isu P menjadi syarat moral sebelum hubungan dengan Isbiol dibuka. Dalam Abraham Accords, syarat itu makin longgar. Lama-lama, penderitaan rakyat P cuma jadi nota kecil dalam dokumen diplomasi.
Ketiga, Isbiol boleh masuk lebih dalam ke ekonomi, teknologi, keselamatan siber, pertahanan, pelabuhan, tenaga dan laluan perdagangan dunia Islam. Ini yang paling besar.
Kuasa zaman sekarang tidak semestinya datang melalui bendera yang dipacak atas tanah orang. Kadang-kadang ia datang melalui kabel data, kontrak keselamatan, sistem pertahanan udara, pelaburan teknologi dan perkongsian perisikan.
Jadi ada kaitan dengan Greater Isbiol?
Kalau maksud Greater Isbiol ialah projek rasmi untuk "menelan" wilayah dari Sungai Nil sampai Sungai Furat, bukti formal untuk kata Abraham Accords ialah pelan rasmi ke arah itu masih tidak cukup kuat. Dalam geopolitik, kita tak boleh main tuduh ikut poster, slogan ekstrem atau petikan yang tidak jelas semata-mata.
Tapi kalau maksud Greater Isbiol ialah peluasan ruang kuasa Isbiol secara strategik, ekonomi, keselamatan dan diplomatik, Abraham Accords memang sangat berkait.
Sebab kuasa tidak selalu bergerak dengan peta wilayah. Kadang-kadang kuasa bergerak melalui jaringan. Bila Isbiol boleh berdagang dengan Teluk, bekerjasama dengan India, buka hubungan dengan Afrika, masuk Asia Tengah dan pada masa yang sama menekan Iran, Turki serta Pakistan, itu sudah membentuk satu jenis “Greater Isbiol” versi moden.
Ia mungkin bukan Greater Isbiol dalam bentuk tanah yang dirampas sekaligus.
Ia lebih kepada Greater Isbiol sebagai sistem pengaruh.
Dalam sistem itu, negara P makin kecil. G makin terkurung. Negara Arab makin sibuk kira pelaburan. Negara Islam lain pula dipaksa memilih antara prinsip dan kepentingan keselamatan.
Ini yang bahaya.
Trump cuba jadikan Abraham Accords sebagai pintu masuk kepada orde baharu Timur Tengah. Dia mahu semua orang percaya bahawa keamanan boleh dicapai dengan syarat negara Islam menerima Isbiol sebagai realiti tetap sementara isu P ditangguhkan sampai entah bila.
Bagi Trump, ini “World Coalition”.
Untuk Isbiol, ini peluang untuk keluar daripada isolasi serantau.
Untuk Amerika, ini cara untuk kekal mengawal Timur Tengah tanpa perlu hantar ratusan ribu askar lagi.
Di mata negara-negara Arab tertentu, ini jalan untuk dapat perlindungan Amerika, teknologi, pelaburan dan akses kepada jaringan kuasa Barat.
Untuk rakyat P, ini boleh jadi mimpi ngeri diplomatik.
Sebab apabila semua orang sudah bersalam dengan penjajah, mangsa akan dipaksa menerima keadaan sebagai “realiti baharu”.
Itulah sebabnya kenyataan Trump ini penting. Dia sebenarnya tidak menulis status kosong. Kenyataan ini boleh dibaca sebagai cara Trump menguji sejauh mana negara-negara Islam sanggup masuk ke dalam susunan politik yang dia tawarkan.
Dia mahu lihat siapa yang berani kata tidak, siapa yang diam, siapa yang tawar-menawar dan siapa yang sanggup menjual isu P dengan harga keselamatan sendiri.
Kita pun kena matang dalam membaca benda ni.
Tidak semua negara yang diam itu semestinya setuju. Ada negara sedang kira risiko, takut kemarahan rakyat dan mahu jaminan dari Amerika. Ada negara mahu tunggu siapa menang dalam konflik Iran.
Tapi ada satu perkara yang jelas.
Trump mahu menjadikan deal dengan Iran ini sebagai batu loncatan untuk memperluas Abraham Accords. Kalau dia berjaya, peta politik Timur Tengah akan berubah besar.
Isbiol tidak perlu menang semua perang untuk jadi dominan. Cukup kalau musuh-musuhnya letih, jiran-jirannya tunduk dan isu P ditukar menjadi fail kemanusiaan yang tidak lagi menentukan dasar luar negara Arab.
Sebab itu kita jangan baca Abraham Accords sebagai majlis tandatangan biasa.
Ia ialah projek membina hegemoni.
Dan dalam dunia yang keras ini, hegemoni datang dengan senyuman, karpet merah, kamera media, bahasa keamanan dan janji ekonomi yang manis-manis belaka.
Di situlah penjarah paling bahaya.
Dia tidak mengaku mahu merompak.
Dia datang membawa dokumen perjanjian, lalu menyuruh mangsa berterima kasih kerana diberi peluang untuk menandatangani kekalahan sendiri.




No comments yet