24 Mei 2026, Mohamed Salah dan Andy Robertson bermain perlawanan terakhir mereka bersama Liverpool di Anfield. Bukan seorang, tapi dua watak besar dalam era moden Liverpool pergi serentak. Dua pemain yang datang pada musim panas 2017 ketika Liverpool masih cuba mencari jalan untuk kembali menjadi kelab elit Eropah akhirnya meninggalkan kelab itu pada hari yang sama selepas sembilan tahun penuh sejarah.
Perlawanan terakhir itu sendiri bukanlah perlawanan yang terlalu indah dari segi keputusan. Liverpool sekadar seri 1-1 dengan Brentford pada aksi terakhir Premier League musim 2025/26. Curtis Jones menjaringkan gol pembukaan Liverpool hasil bantuan Salah sebelum Kevin Schade menyamakan kedudukan untuk Brentford. Tetapi pada hari itu, keputusan bukan lagi cerita utama. Cerita sebenarnya ialah tentang dua legenda yang sedang berjalan keluar dari satu rumah yang mereka bantu bina semula.
Salah dan Robertson ialah lambang kepada kebangkitan semula Liverpool. Mereka datang ketika Liverpool di bawah Jurgen Klopp sedang membina sesuatu yang besar. Waktu itu, Liverpool ada tenaga, ada idea, ada semangat, tetapi masih belum lengkap sebagai pasukan yang benar-benar menakutkan Eropah.
Kemudian datang Salah dari AS Roma. Ramai masih ingat kisah lamanya di Chelsea, ketika beliau dianggap tidak cukup kuat untuk Premier League. Ada yang ragu-ragu dan anggap Liverpool cuma membeli pemain yang pernah gagal di England. Tetapi Salah datang untuk membuktikan dia bukan orang yang salah.
Dalam musim pertama sahaja, Salah meletup. Gol demi gol, larian demi larian, pertahanan lawan dibuat kelam-kabut. Dari Watford sampai Manchester United, dari Everton sampai Manchester City, nama Salah menjadi mimpi buruk kepada lawan Liverpool. Beliau jadi identiti baharu Liverpool. Bila bola sampai di kaki kiri Salah, satu stadium boleh rasa sesuatu akan berlaku.
Robertson pula lain ceritanya. Beliau datang dari Hull City dengan harga yang jauh lebih rendah berbanding nama-nama besar lain. Sebelum itu, beliau pernah melalui jalan yang sangat biasa untuk seorang pemain bola sepak. Bukan semua orang nampak beliau sebagai bakal pemain elit. Tetapi di Liverpool, Robertson berubah menjadi salah seorang bek kiri terbaik dunia. Tenaganya macam tidak habis. Dia naik, dia turun, dia tekan lawan, dia hantar bola, dia bertahan, dia bergaduh dengan lawan, kemudian ulang semula semua itu selama 90 minit.
Kalau Salah ialah raja di sebelah kanan, Robertson pula ialah enjin liar di sebelah kiri.
Bersama-sama, mereka menjadi sebahagian daripada pasukan Liverpool yang mengubah mimpi menjadi kenyataan. Champions League 2019. Premier League 2020 selepas penantian 30 tahun. FIFA Club World Cup. UEFA Super Cup. FA Cup. League Cup. Community Shield. Kemudian satu lagi kejuaraan liga pada era Arne Slot. Mereka menang hampir semua benda yang boleh dimenangi oleh sebuah kelab Inggeris.
Sebab itu bila Salah berkata, “We put this club back where it belongs,” ayat itu sebenarnya ringkasan kepada sembilan tahun perjuangan. Liverpool yang mereka tinggalkan bukan lagi Liverpool yang mereka jumpa pada 2017. Dulu, menang Premier League dan Champions League terasa seperti mimpi. Sekarang, seperti kata Robertson sendiri, ia sudah jadi harapan. Peminat Liverpool sekarang mengharapkan pasukan mereka bersaing untuk trofi setiap musim. Itu standard yang generasi ini bina.
Dan standard itu tidak datang dengan mudah.
Kita selalu ingat era Klopp dengan senyuman, gegenpressing, lagu Allez Allez Allez dan malam-malam Eropah yang gila. Tetapi di sebalik semua itu, ada pengorbanan fizikal dan mental yang besar. Salah bermain hampir setiap minggu dengan beban menjadi sumber gol utama. Robertson pula bermain dengan intensiti seperti orang yang setiap perlawanan ialah final. Itu sebab peminat Liverpool sayang mereka.
Salah memberi Liverpool gol yang terlalu banyak untuk dilupakan. Beliau meninggalkan kelab dengan 257 gol dalam 442 penampilan menjadikannya antara penjaring terbanyak dalam sejarah Liverpool, hanya di belakang nama-nama besar seperti Ian Rush dan Roger Hunt. Dalam perlawanan terakhirnya pun, Salah masih sempat mencipta bantuan gol Premier League ke-93 untuk Liverpool, melepasi rekod Steven Gerrard dalam saingan liga untuk kelab itu.
Itu gila sebenarnya.
Seorang pemain yang datang dengan label “bekas pemain gagal Chelsea”, kemudian keluar dari Liverpool sebagai salah seorang pemain terhebat dalam sejarah kelab. Beliau legenda Liverpool yang namanya layak disebut bersama tokoh-tokoh besar Anfield.
Robertson pula mungkin tidak ada angka gol seperti Salah. Tetapi dalam bola sepak, tidak semua jasa boleh dikira dengan jaringan. Ada pemain yang nilainya terletak pada cara dia mengubah wajah pasukan. Robertson mengubah standard posisi bek kiri di Liverpool. Bersama Trent Alexander-Arnold di sebelah kanan, beliau membantu menjadikan posisi bek sayap sebagai senjata utama pasukan. Dulu bek kiri biasanya hanya bertahan dan sesekali naik menyerang. Robertson menjadikan posisi itu seolah-olah laluan lebuh raya tanpa henti.
Dia bukan pemain paling glamor. Tetapi dia pemain yang peminat rasa dekat. Mungkin sebab cara dia bermain nampak jujur. Dia berlari, bertarung, menjerit, dia buat kerja kotor, kemudian dia tetap hantar bola berbahaya ke dalam kotak penalti.
Sebab itu apabila hari perpisahan tiba, Robertson sendiri mengaku beliau “emotionally drained”. Bukan mudah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada tempat yang sudah menjadi rumah selama sembilan tahun. Bukan mudah untuk meninggalkan staf, rakan sepasukan, penyokong, bilik persalinan, padang latihan dan satu kehidupan yang dibina sejak usia muda. Salah juga mengaku beliau menangis banyak, mungkin lebih banyak daripada sepanjang hidupnya. Di depan kamera, Salah selalu nampak kuat. Tetapi pada hari itu, seluruh Anfield melihat sisi manusia seorang raja bola sepak.
Selepas wisel penamat, mereka diberi guard of honour oleh rakan sepasukan dan staf. Sir Kenny Dalglish, Ian Rush dan pegawai kelab turut berada dalam majlis penghargaan. Penyokong memberi tepukan, nyanyian dan penghormatan terakhir. Banner di stadium mengucapkan terima kasih kepada dua legenda ini. Anfield pada hari itu menjadi tempat orang ramai mengenang satu era.
Tetapi inilah bola sepak. Sebesar mana pun seorang pemain, masa tetap bergerak. Generasi lama akan pergi. Generasi baharu perlu mengambil tempat. Liverpool kini berada dalam fasa yang tidak mudah. Trent Alexander-Arnold sudah pergi. Salah dan Robertson menyusul. Masa depan Alisson dan Virgil van Dijk juga sering menjadi persoalan. Pasukan yang dulu sangat dikenali dengan tulang belakang Klopp perlahan-lahan berubah wajah.
Dari malam Eropah yang menggila, perebutan liga dengan Manchester City, kemenangan Champions League, penantian 30 tahun Premier League, hinggalah kepada hari terakhir di Anfield melawan Brentford, mereka sudah memberi terlalu banyak kenangan.
Terima kasih, Mo Salah.
Terima kasih, Andy Robertson.
Anfield mungkin akan melihat ramai lagi bintang selepas ini. Tetapi era yang kamu berdua bina tidak akan mudah dicari ganti.




No comments yet