Pada tahun 1996, Malaysia menjadi saksi kepada satu konsert paling besar dalam sejarah hiburan negara. Ini konsert Michael Jackson, Raja Pop dunia, ketika namanya masih berada di tahap yang susah hendak ditandingi oleh mana-mana artis antarabangsa.
Asalnya, konsert HIStory World Tour itu dijadualkan berlangsung pada 27 Oktober 1996 di Stadium Shah Alam, Selangor. Iklan sudah keluar. Tiket sudah dijual. Peminat sudah mula berkira-kira mahu melihat sendiri manusia yang selama ini mereka hanya tengok dalam televisyen, kaset video dan majalah hiburan.
Tapi lebih kurang dua minggu sebelum konsert, kerajaan negeri Selangor buat keputusan mengejut. Permit persembahan ditarik balik. Konsert Michael Jackson di Stadium Shah Alam dibatalkan. Selangor mengharamkan konsert Michael Jackson.
Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib menjelaskan keputusan itu dibuat kerana konsert tersebut dikatakan mengandungi unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam dan nilai masyarakat tempatan. Majlis Perbandaran Shah Alam juga membatalkan permit dengan alasan kehadiran Michael Jackson boleh menjejaskan usaha memupuk nilai murni dalam masyarakat.
Stadium Shah Alam sebelum itu bukanlah asing dengan konsert antarabangsa. Setahun sebelumnya, Bon Jovi pernah buat persembahan di stadium sama. Tapi apabila nama Michael Jackson naik, suasananya jadi lain. Tiba-tiba isu moral, agama dan imej masyarakat menjadi sangat besar.
Muhammad Taib dilaporkan berkata hanya artis yang menjadi “role model” baik patut dibenarkan membuat persembahan di Stadium Shah Alam. Contoh yang disebut ialah Sheila Majid. Tapi sejarah hiburan Malaysia ini pun lucu juga. Sheila Majid sendiri pernah dibantah oleh mahasiswa pada tahun 1989. Jadi sebenarnya, isu bantahan konsert di Malaysia ini bukan benda baru. Dari dulu lagi, hiburan selalu menjadi medan tarik tali antara minat rakyat, imej politik dan siapa yang mahu dilihat sebagai penjaga moral masyarakat.
Masalahnya, konsert Michael Jackson bukan acara kecil. Penganjurnya, Jojo Entertainment sudah menjual tiket dengan harga antara RM65 hingga RM350. Pada tahun 1996, itu bukan harga murah. Tapi peminat tetap beli. Dijangkakan lebih 60,000 orang akan hadir kalau konsert itu diteruskan di Stadium Shah Alam.
Apabila Stadium Shah Alam tidak boleh digunakan, penganjur terpaksa mencari jalan lain. Akhirnya konsert dipindahkan ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Tetapi Stadium Merdeka lebih kecil. Kapasitinya sekitar 40,000 orang sahaja. Jadi untuk menampung permintaan yang terlalu tinggi, konsert itu ditambah satu malam lagi. Daripada satu malam, jadi dua malam. Michael Jackson akhirnya membuat persembahan di Malaysia pada 27 dan 29 Oktober 1996.
Sebelum tiba di Malaysia, Michael Jackson baru selesai membuat konsert di Singapura. Pada 26 Oktober 1996, beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz dengan jet peribadi sekitar jam 2.30 petang. Lebih kurang 1,000 peminat menunggu ketibaannya.
Ketibaannya disambut dengan tepak sirih, kompang, bunga manggar dan taburan bunga orkid. Video klip Michael Jackson turut dimainkan di skrin televisyen lapangan terbang. Beliau kemudian dibawa menaiki van bernombor plat BCN 2 milik Raja Muda Selangor menuju ke Hotel Concorde Kuala Lumpur diiringi motosikal polis trafik.
Di Hotel Concorde, sambutannya pun luar biasa. Michael dan rombongannya yang berjumlah kira-kira 150 orang menyewa beberapa tingkat hotel termasuk ruang khas untuk latihan tarian dan simpanan barangan. Peminat menunggu di luar hotel. Ada kanak-kanak dari Rumah Ozanam diberi peluang bertemu Michael dan mendapatkan tandatangannya.
Malam pertama konsert di Stadium Merdeka bermula sekitar jam 9 malam. Ribuan peminat sudah berkumpul sejak petang. Bila Michael naik pentas, Kuala Lumpur mula menjerit. Lagu-lagu seperti “Scream”, “Smooth Criminal”, “Billie Jean”, “Thriller”, “Earth Song” dan “Heal the World” bergema di stadium bersejarah itu.
Konsert itu saksi produksi gergasi. Tarian, cahaya, visual, efek pentas, semuanya berskala dunia. Bagi peminat Malaysia yang selama ini hanya melihat Michael melalui televisyen, malam itu seperti mimpi yang tiba-tiba jadi kenyataan.
Lebih menarik, konsert itu turut dihadiri VIP termasuk Raja Permaisuri Agong, kerabat diraja, menteri dan Datuk Bandar. Dalam persembahan penutup seperti “Earth Song” dan “Heal the World”, hampir 30 rakyat Malaysia termasuk kanak-kanak dan warga tua terlibat sebagai koir. Michael juga beberapa kali menyebut “Saya Cinta Kuala Lumpur” pada malam kedua.
Sepanjang berada di Kuala Lumpur, Michael sempat pergi ke 1 Utama. Dia masuk ke Toys “R” Us dan membeli mainan seperti patung Superman, Batman, pistol air dan buku kanak-kanak. Dia juga bertemu kanak-kanak terpilih di Hotel Concorde, menjamu mereka dengan pizza dan menghadiahkan mainan yang dibelinya sendiri. Salah seorang kanak-kanak bernama Mohamad Warith Zuhairi dari Subang Jaya mendapat patung Power Rangers dan tandatangan Michael pada lengannya.
Ada juga kisah mistik pasal konsert ni. Disebabkan Stadium Merdeka tidak berbumbung, pihak penganjur dikatakan mengupah seorang bomoh supaya hujan tidak turun. Lelaki tua bernama Maryono dilihat membawa beg dan lampu minyak tanah di stadium. Kebetulan, hujan memang tidak turun sepanjang konsert berlangsung. Kalau cerita ini berlaku hari ini, mesti sudah viral satu Malaysia.
Selepas dua malam konsert, isu yang pada awalnya dianggap berbahaya itu akhirnya tidak menjadi apa-apa. Tiada kekacauan besar. Tiada rusuhan. Tiada kejadian pelik yang merosakkan negara. Malah pada 31 Oktober 1996, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi komen yang agak sinis. Katanya, rakyat Malaysia berdisiplin semasa konsert Michael Jackson. “Tak ada apapun berlaku semasa konsert Michael Jackson… dia cakap pasal pentingnya memelihara alam sekitar, okaylah. Dia okay dan orang kita pun okay.”
Pada 30 Oktober 1996, Michael Jackson meninggalkan Malaysia untuk meneruskan jelajahnya ke Bombay, India. Sebelum berangkat, pekerja Hotel Concorde mengadakan majlis perpisahan kecil. Mereka melepaskan belon bertulis “We’ll Miss You” dan sepanduk “Heal The World! Jumpa Lagi!” Michael muncul dari tingkap suite hotelnya di tingkat 18, tersenyum, melambai dan mengangkat topi kepada orang ramai di bawah.




No comments yet