Semua sedia maklum pencapaian Khalifah Umar bin Abdul Aziz selepas mengambil alih pemerintahan dari Sulaiman bin Abdul Malik. Walaupun tempoh pemerintahannya hanya bertahan selama 30 bulan, tempoh tersebut merupakan tempoh paling makmur dalam sejarah pemerintahan kerajaan Bani Umayyah.

Selain didorong oleh keperibadian baginda yang warak, era tersebut turut dipengaruhi oleh beberapa polisi yang dimansuhkan dan digantikan dengan polisi yang bukan saja mesra rakyat tetapi juga mesra ekonomi.

Mewujudkan suasana pertumbuhan ekonomi yang sihat

Sebelum mengambil alih sebagai khalifah, Umar menyedari sikap khalifah-khalifah sebelumnya termasuk Sulaiman yang membebankan rakyat ketika itu. Dengan sistem ekonomi yang disifatkan tidak munasabah dan tidak memihak kepada rakyat, bukan sekali dua baginda membangkitkan perkara ini kepada pengetahuan Sulaiman tetapi tidak dilayan.

Atas sebab itu, selepas menaiki takhta menggantikan khalifah sebelumnya, salah satu matlamat Umar ialah mewujudkan suasana ekonomi yang bukan saja sihat tetapi juga adil kepada rakyat.

Antara perubahan polisi yang diperkenalkan baginda ialah melarang gabenor-gabenor dan pegawai-pegawai kerajaan memonopoli aset-aset dan kekayaan negara. Selain itu, Umar turut mengeluarkan arahan tegas melarang mereka merampas harta orang awam secara zalim. Harta-harta yang dirampas sebelum perlaksanaan undang-undang baru itu dikembalikan semula kepada pemiliknya yang asal.

Sekiranya ada yang memerlukan siasatan lanjut, hasil siasatan akan diumumkan kepada orang awam bagi memudahkan pemilik-pemilik yang terkesan dapat menuntut semula harta mereka. Namun sekiranya itu tidak berhasil dan tiada siapa yang menuntutnya, maka harta tersebut akan diambil alih oleh kerajaan dan dimanfaatkan untuk kepentingan awam.

Selain mengadakan perubahan polisi, Umar turut melaksanakan pembangunan kemudahan awam seperti jambatan, jalan raya, perigi-perigi dan sistem saliran. Namun dalam kesibukan perlaksanaan projek sebegini, ia dilaksanakan tanpa mengambil satu sen pun dari masyarakat di sesebuah kawasan.

Malah sebagai tanda ketegasan baginda dalam soal ini, satu arahan dikeluarkan di mana gabenor-gabenor dan pegawai-pegawai kerajaan tidak mengambil kesempatan dengan mengutip cukai daripada penduduk atas alasan membiayai projek pembangunan.

Usaha begini secara tidak langsung menggalakkan orang ramai melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan perdagangan. Kesannya, ia menambah dana baitulmal atau perbendaharaan negara terutama dari hasil zakat dan usyur/cukai perniagaan. Ini juga mengakibatkan lebih ramai orang zimmi memeluk Islam.

Tindakan Umar mewujudkan suasana ekonomi yang sihat bukan saja menambahbaik pertumbuhan ekonomi negara tetapi juga terhasil dari pengetahuan yang ditimba bersama ramai ulama termasuk pengasas mazhab Maliki dan guru Imam as-Syafie, Imam Malik bin Anas rahimahullah. Ini membolehkan baginda menyusun semula pengurusan kewangan negara menjadi lebih baik semasa era pemerintahan baginda.

Pengukuhan dana baitulmal

Semasa era pemerintahan baginda, antara dana yang masuk ke baitulmal ketika itu ialah zakat, usyur, jizyah, kharaj/cukai tanah, satu perlima hasil rampasan perang dan fa’i. Pertambahan jumlah zakat yang memasuki baitulmal berlaku berikutan pertambahan pendapatan dari sektor perniagaan, perdagangan dan pertanian.

Ia juga turut ditambah oleh pertambahan golongan zimmi yang memeluk Islam di mana dari situ, ia menambah bilangan orang Islam yang berzakat. Semasa era pemerintahan Umar ini menyaksikan satu fatwa berkenaan pengembangan undang-undang zakat bagi perdagangan ikan dan madu turut menyumbang kepada pertambahan dana zakat.

Tidak seperti era khalifah-khalifah lain, baitulmal dipenuhi dengan wang zakat sehinggakan pada ketika itu, tiada siapa yang layak menerima zakat. Yahya bin Said, salah seorang gabenor yang berkhidmat semasa era baginda berkata:

“Aku dihantar Umar bin Abdul Aziz untuk mengutip zakat di Afrika. Selepas aku mengumpulnya, aku merancang untuk mengagihkannya kepada golongan fakir miskin. Tetapi aku tidak menjumpai satu orang pun. Ini kerana pada era Umar, baginda telah menjadikan semua orang kaya. Akhirnya, aku putuskan untuk menggunakan dana zakat untuk membeli dan membebaskan hamba-hamba.”

Bagi yang sedia maklum, jizyah merupakan satu cukai yang hanya dikenakan bagi golongan zimmi (golongan kafir yang tidak memusuhi Islam dan duduk di negara Islam) yang berdasarkan undang-undang syariah.

Namun semasa era pemerintahan kerajaan Umayyah, ia turut dikenakan kepada golongan mawali (golongan bukan Arab yang memeluk Islam). Umar menyifatkan polisi tersebut satu kezaliman kepada mereka dan mengarahkan ia dimansuhkan serta-merta. Kesannya, ramai memeluk Islam dan memuji keadilan yang diperkenalkan baginda.

Namun, tidak ramai yang gembira dengan keputusan polisi baginda kerana itu akan mengurangkan bilangan pembayar-pembayar jizyah. Tetapi Umar tetap bertegas dengan berkata dalam suratnya, “Sesungguhnya Allah mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w itu sebagai pembawa agama rahmat seluruh alam, bukannya sebagai pengutip cukai!”

Jika ada orang zimmi yang mengalami kemiskinan, jizyah tidak dikenakan kepada mereka. Bahkan, baginda menurut jejak langkah moyangnya merangkap khalifah kedua Khulafa’ Ar-Rashidin, Umar bin al-Khattab r.a yang menyalurkan dana baitulmal untuk membantu mereka. Tindakan ini bukan saja mengukuhkan hubungan kerajaan dengan rakyat malah menambah rasa percaya antara kedua-dua pihak.

Malah, polisi ini juga berjaya mematikan fitnah baitulmal yang mengalami kekurangan duit bila gabenor-gabenor wilayah diarah tidak mengutip jizyah dari golongan mawali. Sebaliknya, penambahan bilangan golongan mawali ini juga membawa kepada pertambahan jumlah zakat. Ini berlaku berikutan golongan ini sememangnya kaya kerana bergiat aktif dalam bidang perdagangan dan perniagaan.

Dalam soal kharaj pula, wujud pertambahan dari dana berkenaan berikutan larangan penjualan tanah yang dikenakan semasa pemerintahan baginda. Larangan tersebut menurut Umar selari dengan tuntutan syarak. Dan bagi memastikan tanah-tanah ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya, pelbagai projek membabitkan sistem pengairan dan jalan-jalan bagi memudahkan proses membawa hasil tanaman digerakkan.

Pemansuhan beberapa cukai perniagaan juga mendorong ramai orang zimmi dan mawali berkeinginan mengembangkan perniagaan mereka. Ini membawa kepada pertambahan dana usyur dan seterusnya pertambahan dana baitulmal semasa era baginda. Namun, dana dalam bentuk fa’i dan hasil rampasan perang tidak banyak semasa pemerintahan Umar.

Ini kerana tumpuan baginda pada ketika itu ialah memperbaiki taraf hidup rakyat dan ekonomi negara. Dan disebabkan oleh tempoh pemerintahannya yang pendek, ia juga tidak mengizinkan baginda melancarkan operasi ketenteraan. Sebaliknya, masa tersebut diperuntukkan untuk memantapkan hubungan luar melalui perutusan surat antara baginda dengan raja-raja dan gabenor-gabenor yang mahu memeluk Islam.

Pakej rangsangan ekonomi

Pakej rangsangan ekonomi ini bukan saja berlaku pada zaman moden hari ini tetapi juga dalam mana-mana kerajaan dalam lipatan sejarah termasuk kerajaan Bani Umayyah. Bezanya, pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan Umar lebih kepada pemansuhan dasar-dasar yang tidak mesra perniagaan dan tidak mesra ekonomi serta pembangunan kemudahan yang boleh merangsang aktiviti komersial di wilayah-wilayah kerajaan berkenaan.

Selain memansuhkan cukai-cukai yang dianggap tidak munasabah, baginda juga menggalakkan gabenor-gabenor wilayahnya membangunkan kemudahan-kemudahan seperti rumah tumpangan, perigi-perigi dan jalan-jalan yang baik.

Bagi yang menginap di rumah tumpangan, mereka boleh menetap selama sehari semalam tetapi boleh dipanjangkan kepada sehari sekiranya tidak sihat untuk meneruskan perjalanan. Pedagang-pedagang yang kehilangan barang dagangan atau ditimpa musibah bencana alam/jenayah turut dibantu di mana kerugian mereka dijamin baitulmal.

Gabenor-gabenor dan pegawai-pegawai kerajaan turut diarahkan menolak mana-mana pemberian yang diberi oleh pedagang. Alasan di sebalik polisi ini ialah selain mengelakkan berlakunya masalah rasuah, ia juga sebagai ingatan kepada pedagang untuk lebih fokus kepada barang dagangan mereka. Jika mereka mengalami masalah muflis, hutang mereka akan diselesaikan oleh baitulmal.

Ini merupakan salah satu dari galakan Umar kepada golongan ini agar tidak mudah berputus asa lebih-lebih lagi kepada yang masih hijau dalam dunia perniagaan. Piawaian berat dan ukuran sama turut dikuatkuasakan semasa era pemerintahan baginda. Umar juga turut bertegas menolak pembabitan anggota kerabat Bani Umayyah dalam bidang perniagaan bagi mengelak unsur monopoli dan menggalakkan lagi aktiviti persaingan sihat dalam dunia perniagaan.

Polisi baru pertanian

Dalam sektor pertanian pula, Umar mengeluarkan dekri melarang sebarang jual beli tanah yang terikat dengan sewaan melainkan sekiranya ia diperoleh semasa peperangan. Namun, sekiranya perjanjian tersebut sudah ada sebelum polisi ini dilaksanakan, penyewa boleh saja berzakat sebagai ganti kepada sewaan berkenaan.

Selain itu, baginda juga menghapuskan cukai-cukai yang dianggap membebankan golongan tani. Berdasarkan analisis Umar, kebanyakan tanah yang diusahakan terbiar begitu saja kerana beban cukai yang ditanggung golongan tani. Kerana bimbang dikenakan denda atau hukuman lebih berat, mereka lebih suka menjualnya daripada menanggung beban cukai.

Umar juga bertanggungjawab menggerakkan dasar mengusahakan tanah terbiar dengan menggalakkan orang ramai membuka tanah baru untuk tujuan pertanian atau pembangunan. Selain memansuhkan cukai-cukai, baginda juga mewujudkan pinjaman kepada golongan tani yang mahu memajukan kebun mereka dan hanya mengenakan cukai kepada tanah yang menghasilkan pendapatan.

Umar juga melarang tanah wakaf dimiliki oleh sesiapa saja dan seharusnya dimanfaatkan untuk kegunaan orang Islam. Jika ada tanah terbiar tanpa diketahui siapa pemiliknya, ia akan diambil alih oleh gabenor wilayah untuk tujuan pertanian atau pembangunan dan hasilnya akan disalurkan kepada baitulmal.

Dana awam baitulmal

Umar amat menjaga soal dana awam baitulmal dan berusaha memastikan dana tersebut sampai kepada golongan sepatutnya. Terdapat banyak kisah menarik berkenaan perkara ini. Misalnya, seorang wanita yang juga hamba kepada Dhi Ashbah mengadu dinding rumahnya terlalu rendah sehingga boleh diceroboh penjenayah dan harta miliknya dicuri. Selepas mendengar aduan tersebut, Umar mengirim surat kepada gabenornya di Mesir, Ayub bin Syurabhil untuk meninggikan dinding rumah wanita berkenaan.

Jika ada orang awam yang mengalami masalah hutang, dana tersebut akan digunakan untuk menyelesaikan hutang termasuk bagi orang yang telah tiada melainkan hutang tersebut datang dari sumber haram dan maksiat. Ada juga yang disalurkan untuk menyelesaikan denda yang dikenakan ke atas orang ramai yang melakukan kesalahan jenayah.

Semasa era pemerintahan baginda, dana awam baitulmal amat banyak sehingga memeningkan kepala gabenor-gabenor wilayah ketika itu. Salah seorang daripada mereka di Kufah mengirimkan surat kepada Umar untuk mencadangkan penyelesaian kepada perkara tersebut.

Sebaik mendengar keluhan gabenor berkenaan, baginda mencadangkan dana tersebut digunakan untuk membayar hutang mana-mana tentera yang mengalami masalah hutang atau kekurangan wang untuk melangsungkan perkahwinan mereka. Sebaik diterima di Kufah, ia dibacakan kepada khalayak ramai di Masjid Kufah bagi membolehkan penduduk yang terkesan mendapatkan bantuan. Semua ini datang daripada dana awam baitulmal.

Selain masalah hutang, Umar turut mengambil berat nasib rakyatnya dari kalangan orang kelainan upaya (OKU). Bagi mereka yang mengalami masalah lumpuh atau masalah kesihatan yang teruk, mereka diberi seorang hamba untuk membantu menguruskan kehidupan mereka.

Dan bagi orang buta pula, mereka diberi hamba bagi membantu mereka bergerak ke mana-mana. Bagi golongan hamba dan tawanan perang pula, mereka tetap dilayan dengan baik dan baginda berusaha membebaskan mereka dari belenggu perhambaan dan penawanan.

Perlindungan ini turut dikenakan ke atas mana-mana individu yang dituduh di bawah kod jenayah syariah seperti hudud dan qisas. Malah, dalam suratnya kepada gabenor-gabenor dan pegawai-pegawai kerajaan, Umar mahukan mereka (hamba, tawanan perang dan penjenayah) tidak dibebankan sehingga ke tahap tidak boleh berdiri semasa bersolat.

Pada musim panas dan musim sejuk, tawanan dan penjenayah diberi pakaian dan makanan sewajarnya mengikut musim tersebut. Dan untuk mengelak masalah pecah amanah dan salah guna kuasa, gaji gabenor dan pegawai kerajaan ditambah dan apa-apa keistimewaan yang diterima semasa era khalifah-khalifah terdahulu dimansuhkan.

Teliti

Umar amat berhati-hati dalam soal pengurusan baitulmal sehinggakan dalam soal pelita, baginda mempunyai beberapa lampu di mana sebahagian diperuntukkan untuk urusan rasmi kerajaan sementara bakinya digunakan untuk urusan peribadi dan keluarga. Antara sebab bila ditanya puteranya ialah baginda tidak mahu dianggap menyalahguna kepentingan awam untuk kepentingan peribadinya pada hari akhirat kelak.

Malah dalam koresponden suratnya dengan Gabenor Madinah Abu Bakr bin Muhammad bin  Amru bin Hazm, baginda menasihati gabenornya itu agar tidak menggunakan lilin untuk urusan perjalanan rasmi sekiranya hendak ke mana-mana pada waktu malam untuk urusan peribadi.

Dalam satu surat yang lain pula, Umar menasihati seorang gabenor agar tidak membazirkan penggunaan kertas. Ini bertujuan mengelak pembaziran dana baitulmal dan perbelanjaan yang bersifat berlebihan.

RUJUKAN:

Mohd Nor, Radiah. (2015). Open Journal of Social Sciences. Success Factors for Baitulmal Management during the Reign of Caliph Umar ibn Abdul Aziz. http://dx.doi.org/10.4236/jss.2015.35013


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.