Allah berfirman di dalam Surah An-Nisa ayat 3:
“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”
Syed Qutb menjelaskan di dalam Tafsir Fi Zilalil Quran yang ayat ini bukan galakan untuk berpoligami, namun untuk membataskan bilangan poligami yang sudah dipraktikkan.
Selain itu juga, poligami bukanlah untuk melepaskan hawa nafsu semata-mata, namun untuk berlaku adil ataupun untuk memenuhi hak-hak yang kaum perempuan. Poligami adalah solusi realistik bagi masalah-masalah yang berkenaan dengan perkahwinan.
Contohnya, masalah bilangan perempuan yang lebih ramai berbanding lelaki. Maka, solusinya poligami. Jikalau tak mahu, tak ada masalah. Ia hanya solusi alternatif saja. Bukan wajib, bukan suruh.
Selain itu, masalah sosial. Perempuan itu janda anak ramai. Perempuan itu anak yatim. Perempuan itu sangat miskin. Maka, jika ada lelaki yang ingin membantu, poligami boleh jadi salah satu caranya juga.
Lihatlah poligami sudut pandangan yang tepat. Bukan untuk melampiaskan hawa nafsu seksual. Bukan untuk suka-suka. Tetapi, untuk bertanggungjawab.
Untuk meramaikan umat Nabi Muhammad. Untuk meluaskan dakwah. Bila dah ramai anak, bolehlah ajar mereka pengajian Islam untuk mereka mewarisinya pula kepada generasi selepas mereka.
Hari ini, suami gagal untuk mengikut sunnah Nabi. Gagal buat kali kedua pula pada mendidik isteri seperti isteri-isteri Nabi. Sebab itu perdebatan poligami ini tidak habis sampai kiamat.
Yang lelaki seboleh-boleh nak mempertahankan keharusannya. Yang perempuan pula seboleh-boleh nak mempertikaikan kemampuan lelaki dalam berpoligami. Semua nak menang.
Tapi tak semua nak belajar Sunnah yang sebenar daripada pensyariatan poligami itu sendiri. Iyalah, mengkritik main lepas cakap tanpa ikatan ilmu itu lebih seronok dan puas berbanding nak kena sandarkan kepada hadith dan lain-lain.
Apa yang akan jadi akhirnya? Poligami akan nampak buruk. Poligami akan nampak menzalimi. Poligami akan nampak macam tak relevan. Siapa yang salah? Kita yang salah.
Kita yang memburukkan dia dengan perangai kita. Dengan hawa nafsu kita dengan berkata-kata. Bukan nak melindungi syariat! Malahan guna akal yang Allah bagi untuk mempertikai saja? Bukan nak mengkaji! Nak mempersoal saja lebih!
Rasulullah berkahwin dengan Siti Khadijah selama 28 tahun. Bermakna, Rasulullah bermonogami (seorang isteri) selama 28 tahun. Selebihnya, hanya 8 tahun Rasulullah berpoligami.
Itu pun, selepas kematian Siti Khadijah, Rasulullah bukan tergesa-gesa nak kahwin lain. Selepas 2 tahun baru Rasulullah berkahwin lain. Bahkan, Rasulullah memuji Siti Khadijah sehingga ke akhir hayat Baginda. Baginda tak pernah menganiaya Siti Khadijah sepanjang perkahwinan mereka. Baginda sentiasa berlaku adil kepadanya.
Poligami Rasulullah dilakukan dengan cara yang terhormat. Tujuannya untuk melindungi dan mengangkat martabat seorang perempuan. Rasulullah juga berpoligami yang mana kesannya telah menarik suku yang bermusuh kepada keharmonian.
Contohnya, Rasulullah berkahwin dengan Juwairiyah Binti Al-Harith, puteri bangsawan Al-Harith Bin Dirar, pemimpin Bani Mustaliq. Apa kesannya? Ramai Bani Mustaliq memasuki Islam yang dulunya memusuhi Islam.
Poligami Rasulullah memudahkah dakwah yang mana semua isteri-isteri Rasulullah meriwayatkan sebilangan besar hadith. Aisyah dan Ummu Salamah banyak mengendalikan majlis ilmu.
Rasulullah bergaul dengan isteri-isteri Baginda dengan baik. Sepertimana firman Allah di dalam Surah An-Nisa ayat 19:
“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
Al-Maraghi sebut yang wajib untuk bergaul dengan elok kepada mereka. Janganlah bakhil dalam hal-hal memberi nafkah. Janganlah juga menyakiti mereka dengan perkataan atau perbuatan hanya pun dengan menunjukkan wajah yang muram.
Jikalau nak berpoligami, pastikan yang kita benar-benar yakin boleh menjaga dan memenuhi segala haknya. Jangan dalam fasa keraguan pun masih nak berpoligami. Rasulullah bersabda di dalam hadith riwayat Tirmizi:
“Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada yang tidak meragukan kamu.”
Mufassirun sebut yang keadilan itu wajib. Pastikan kita benar-benar yakin dan mampu untuk berlaku adil barulah berpoligami. Jika tidak, ia akan memudaratkan para isteri saja.
Isteri-isteri Nabi pula tidak memusuhi sesama mereka. Bahkan, ketika Aisyah dituduh berzina dengan Sofwan Bin Mua’athal oleh Abdullah Bin Ubay Bin Salul, madu-madunya memberi sokongan padu kepadanya.
Meskipun Zainah Bin Al-Jahsy yang mana Zainab merupakan saingan Aisyah. Bukanlah saingan permusuhan. Namun saingan untuk berkhidmat kepada Rasulullah. Saingan sihat.
Jikalau madu-madu pun bergaduh, itu bukan akhlak para isteri Rasulullah. Jika suami dah tahu yang isteri-isterinya akan jadi macam ini, suami perlu bijak. Pertimbangkan kembali, perlu poligami atau tidak.
Rasulullah pernah melarang Fatimah untuk dimadukan. Bukan sebab poligami itu tiba-tiba menjadi haram. Namun, Rasulullah tidak mahu Fatimah bersedih hati.
Lihat. Perempuan yang bersedih hati pun Rasulullah ambil kira dalam melaksanakan syariat poligami ini. Bukan seperti kita sekarang, asalkan aku dapat poligami, hati isteri langsung tidak dihiraukan. Nauzubillah.
Kesimpulannya, Rasulullah berpoligami atas dasar pertolongan. Jauh sekali untuk hawa nafsu. Poligami Rasulullah memberi impak kebaikan yang sangat besar pada gerakan Islam pada waktu itu. Rasulullah sangat adil dalam berpoligami.
Moga-moga kita mengubah perspektif ketika ingin membicarakan tentang syariat Tuhan yang ini.
RUJUKAN:
_____. (2019, Mac 25). AL-KAFI #1174: GILIRAN BERMALAM ANTARA ISTERI-ISTERI. Retrieved from Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan : https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3236-al-kafi-1174-giliran-bermalam-antara-isteri-isteri
Awaludin, S. (2018, Jun 7). Adil dalam berpoligami. Retrieved from My Metro : https://www.hmetro.com.my/addin/2018/06/347064/adil-dalam-berpoligami
Emran. (2013, Mei 14). Poligami cara Nabi salallahualaihiwassalam. Retrieved from Pandangan Seorang Ustaz: http://ustaz.blogspot.com/2013/05/poligami-cara-nabi-salallahualaihiwassa.html
Kaprawi, N. (2018, November 3). SUNNAH NABI : MONOGAMI 28 TAHUN DENGAN ISTERI PERTAMA DAN PERNAH LARANG POLIGAMI. Retrieved from yatikprawi.com : http://yatikaprawi.com/sunnah-nabi-s-a-w-telah-monogami-selama-28-tahun-dan-pernah-larang-poligami/
Nazilah, F. R. (2019, Julai 26). Lima Fakta Poligami Rasulullah SAW yang Perlu Kamu Ketahui. Retrieved from Islami.co: https://islami.co/lima-fakta-poligami-rasulullah-saw-yang-perlu-kamu-ketahui/
Noordin, F. S. (2019, Mei 4). Poligami dalam islam. Retrieved from My Metro : https://www.hmetro.com.my/addin/2019/05/451848/poligami-dalam-islam
Supi, S. S. (2003, Jun 5). Poligami Cara Rasulullah Lindungi Martabat Wanita. Retrieved from Institut Kefahaman Islam Malaysia : http://www.ikim.gov.my/new-wp/index.php/2003/06/05/poligami-cara-rasulullah-lindungi-martabat-wanita/
Artikel dikirimkan oleh Sadiq Salihoddin untuk The Patriots.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih