KETIKA komuniti dunia sedang hangat membicarakan berkenaan penularan Koronavirus baharu, judul permainan simulasi wabak iaitu ‘Plague Inc’ telah mencatat peningkatan muat turun luar biasa terutama di China, Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK).
Berdasarkan platform sistem operasi Apple iaitu iOS, permainan berkenaan telah mencatatkan jumlah muat turun paling tinggi minggu ini dan mencatatkan jumlah muat turun sejak dilancarkan pada 2012 sebanyak 85 juta kali.
Judul permainan yang dibangunkan oleh syarikat berpangkalan di UK, Ndemic Creations memperlihatkan jumlah muat turun luar biasa sejak minggu lalu. Namun, pembangun permainan berkenaan enggan mendedahkan angka rasmi muat turun.
Permainan Plague Inc itu pernah diiktiraf sebagai judul paling berjaya menampilkan simulasi serangan wabak dan pemain mempunyai satu objektif iaitu menghapuskan keseluruhan kehidupan manusia untuk memenangi permainan terbabit.
Berdasarkan konsep permainan, Plague Inc mempunyai beberapa tahap kesukaran dan pemain boleh memilih termasuk membuka kunci mod permainan dan ia mempunyai tujuh jenis wabak yang mempunyai keupayaan masing-masing.
Untuk tahap pertama, pemain perlu memenangi permainan dengan menggunakan wabak daripada kategori bakteria sebelum kunci mod permainan dibuka untuk senario seterusnya iaitu Virus, Kulat, Parasit, Prion, Virus Nano dan Senjata Kimia.
Firma analytic AppAnnie mendedahkan bahawa judul berkenaan menjadi permainan berbayar paling tinggi mencatatkan jumlah muat turun sejak minggu lalu dan menduduki tempat keenam dalam kategori aplikasi berbayar keseluruhan.
Tetapi pada 24 Januari lepas, Ndemic melaporkan dalam satu ciapan mereka bahawa laman sesawang mereka tidak dapat berfungsi pada hari itu berikutan penyertaan permainan yang tinggi.
Ini berikutan peningkatan bilangan pengguna baru yang cuba memahami apa sebenarnya yang berlaku berkenaan koronavirus termasuk bagaimana ia beroperasi dan bagaimana ia tersebar.
Sejak itu, menurut pencipta permainan James Vaughan, laman sesawang dan pelayan permainan kembali pulih dan beroperasi seperti biasa. Vaughan pernah dijemput oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) untuk berucap di hadapan pakar-pakar organisasi itu selepas CDC melihat Plague Inc merupakan cara terbaik mengajar orang ramai tentang penyebaran penyakit.
Selepas berita penularan Koronavirus baru menjadi hangat, Ndemic mengeluarkan satu kenyataan pada minggu lepas yang berbunyi, “Situasi penularan koronavirus ialah satu situasi sebenar yang memberi kesan kepada ramai orang.
Kami sentiasa menyarankan para pemain untuk mendapatkan maklumat terus daripada pihak berkuasa tempatan dan global.” Ndemic turut menghubungkan permainan Plague Inc dengan satu halaman dari WHO berkenaan maklumat koronavirus.
Ndemic menambah Plague Inc memang direka agar kelihatan realistik dan berinformasi tanpa mensensasikan isu serius membabitkan dunia sebenar. Malah, Ndemic turut menekankan permainan tersebut bukan model saintifik yang tepat dan ia tidak seharusnya dijadikan sumber yang diharap berkenaan koronavirus.
RUJUKAN:
- Duffy, Clare. (2020). Video game company urges players to avoid Plague Inc. game for information on coronavirus. CNN Business. https://edition.cnn.com/2020/01/26/tech/plague-coronavirus-game-warning/index.html
- Hassan, Muhammad Saufi. (2020). Permainan simulasi virus ‘trending’. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/itmetro/2020/01/539113/permainan-simulasi-virus-trending
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih