Semua orang sudah naik muak untuk ambil tahu pasal pandemik. Topik yang sama berlegar lebih dua tahun sememangnya membosankan.
Walau bagaimanapun, pandemik yang diulaskan dalam artikel ini bukan sama sekali COVID-19.
Sebaliknya, pandemik kali ini adalah Penyakit Panama yang sedang bermaharajalela tanpa disedari ramai.
Setakat ini tiada siapa yang dijangkiti Penyakit Panama. Macam mana boleh diisytihar pandemik kalau tiada siapa kena?
Sebab itu kena tengok balik definisi pandemik itu sendiri – penularan penyakit yang merentasi benua. Maksudnya, sasaran penyakit tidak semestinya manusia.
Sains sudah mengenali banyak penyakit yang boleh merebak dalam kalangan haiwan sahaja. Penyakit Panama pula sedang menular dalam kalangan pisang.
Dan jujurnya, Penyakit Panama sangat meluas. Macam COVID-19 ada varian-varian seperti Alpha, Delta, Gamma, Omicron, Megatron, Cybertron dan sebagainya.
Penyakit Panama pula berpecah empat: Tropical Race 1, Tropical Race 2, Tropical Race 3 dan sekarang ini Tropical Race 4.
Keempat-empat TR sudah merebak seantero dunia, tidak terhad pada satu ekosistem semata-mata.
Sasaran Pisang
Semua Tropical Race adalah jenis kulat (fungus) yang membadai kebun pisang di seluruh dunia.
Namun ada satu punca masalah yang jelas. Umat Melayu berpantun tentang pisang emas, membuktikan kewujudan pisang emas buat satu tempoh sangat lama.
Pisang Raja pula katanya sangat masyhur di bumi Indonesia… manakala Pisang Susu Merah amat diminati di Amerika Tengah.
Dalam banyak pisang, hanya satu jenis sahaja yang laris di pasaran global. Semua orang mengenali rupa bentuk Pisang Cavendish yang mudah diperolehi di pasar raya.
Pisang jenis ini dinamakan sempena William Cavendish yang pernah menguasai bumi Devonshire.
Walaupun berdarjat bangsawan, Duke William suka berkebun. Minat baginda memangkinkan penubuhan Royal Botanic Gardens (Lankester Botanical Garden, 2010).
Pisang Cavendish mula menjadi dominan selepas jatuhnya Pisang Gros Michel, iaitu sekitar 1950-an.
Dulu kala Pisang Gros Michel mudah dieksport kerana kulitnya tebal. Jadi lambat busuk.
Tetapi pisang ini mudah dijangkiti Penyakit Panama, yang menyebabkan dunia beralih kepada Pisang Cavendish.
Hari ini pasaran pisang dimonopoli jenis Cavendish. Macam Malaysia boleh gagah lagi terjual pisang jenis lain. Tetapi dalam negara luar, rata-ratanya jual Pisang Cavendish sahaja.
Kira senang cakap, jenis ini paling dominan sekarang. Dan sekarang, varian Penyakit Panama makin mengganas terhadap Pisang Cavendish
GMO: Berkat Atau Bala
Sebut saja pasal GMO, mesti orang tarik muka takut lari kerana fikir bukan-bukan.
Intipati GMO buat masa ini diuar-uar mengikut elemen fearmongering iaitu untuk menakut-nakutkan orang (sampai ke kancah konspirasi pun ada).
GMO bukan apa-apa agenda. Dari segi saintifik, organisme hanya diubah suai secara genetik sahaja.
“Ubah suai” maksudnya tukar sikit-sikit untuk mencapai sesuatu sasaran seperti: 1) lebih berzat, 2) kalis penyakit dan 3) tidak perlu bergantung pada racun serangga terlalu banyak (Medline, n.d.).
Tetapi banyak pihak menentang makanan GM kerana masih belum faham (belum cukup data). Salah satu zon yang melarang pengimportan makanan GM adalah Kesatuan Eropah.
Ada makanan GM dibenarkan import tetapi dipantau sehabis-habisnya. Dalam isu Pisang Cavendish yang diubah suai, memang tidak boleh masuk langsung.
Maka saintis perlu mencari jalan lain kerana jika tidak berbuat apa-apa, Pisang Cavendish boleh pupus macam Pisang Gros Michel.
Pertama sekali, Pisang Cavendish sangat berisiko disebabkan kaedah penanamannya. Cuba tengok – pisang ini mana ada biji.
Ia disemai secara klon atau pucuk (dipanggil “sucker”). Maksudnya, pokok Pisang Cavendish ditanam hari ini adalah “pokok yang sama” dengan pokok ditanam 100 tahun yang lalu meskipun berlainan negara (Narishkin, et al., 2021).
Disebabkan inilah Pisang Cavendish amat terdedah pada ancaman Penyakit Panama. Kerana spesisnya tiada “imuniti” yang diwarisi.
RUJUKAN:
Lankester Botanical Garden. (2010). Biographies. Lankesteriana. 10 (2/3): 183-206.
Medline. (n.d.). Genetically engineered foods.
Narishkin, A., et al. (2021, Julai 30). Why the world’s favorite banana may go extinct, and how scientists are trying to save it. Business Insider.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih