Pasukan arkeologi yang sedang membuat kerja ekskavasi di sebuah tapak di Sudan telah menemui 35 buah piramid di mana piramid-piramid ini mempunyai hubungan antara kerajaan Kush dengan Tamadun Mesir Purba. Piramid-piramid ini dikatakan berusia 2,000 tahun dan mempunyai saiz yang berbeza dan lebih kecil berbanding piramid-piramid di Mesir. Piramid yang terbesar berukuran 22 kaki lebar sementara piramid yang paling kecil berukuran 30 inci lebar dan digunakan sebagai tempat pengebumian kanak-kanak.

Tapak arkeologi di Sedeinga, utara Sudan ini merupakan sebahagian daripada wilayah yang pernah diperintah kerajaan Kush yang berkongsi sempadan dengan Mesir Purba dan kemudiannya Empayar Rom. Satu perkara yang mengejutkan pasukan pengkaji ialah kepadatan bilangan piramid dalam sesebuah kawasan. Untuk satu kawasan yang berkeluasan 5,381 kaki persegi atau bersamaan dengan saiz gelanggang bola keranjang, mereka menemui 13 buah piramid.

Rajah 2: Kepadatan kawasan piramid di Sedeinga mengejut pasukan arkeologi. Sumber: https://www.dailymail.co.uk/sciencetech/article-2275036/35-pyramids-Sudan-necropolis-Links-ancient-Egypt-Africas-Kush-kingdom.html

Sayangnya tidak seperti piramid-piramid Mesir, piramid-piramid Kush ini berada dalam keadaan menyedihkan. Ini kerana kawasan yang pernah menempatkan piramid ini menjadi kawasan laluan perdagangan menggunakan unta dan peredaran masa yang lama. Ini mengakibatkan bahagian atas piramid tiada termasuk bahagian penutup batu yang meletakkan simbol burung atau bunga teratai pada orb suria yang selalunya diletakkan bahagian atas piramid.

Ekskavasi di kawasan piramid turut menemukan makam-makam di mana sesetengah makam menempatkan lebih daripada seorang mayat. Sayangnya, makam-makam di Sedeinga turut berhadapan isu sama yang dihadapi makam-makam Tamadun Mesir Purba: perompak makam. Makam-makam ini dikatakan sudah dirompak sejak ratusan tahun yang lalu. Bagaimanapun, pasukan arkelogi bernasib baik kerana berjaya menemui rangka-rangka manusia dan sedikit artifak. Mereka percaya pembinaan piramid di Sedeinga ini sudah dibuat sejak berabad-abad lamanya dan dipengaruhi oleh unsur seni bina Mesir Purba.

Vincent Francigny, seorang penyelidik bersekutu untuk Muzium Sejarah Semulajadi Amerika memberitahu portal LiveScience, “Kepadatan piramid-piramid ini amat besar. Berikutan ia dapat bertahan selama bertahun-tahun, mereka membina lebih banyak piramid dan selepas beberapa kurun, mereka mengisi setiap ruang yang ada di nekropolis. Ia sangat penuh dengan mayat dan kubur sehinggakan pada satu ketika, mereka perlu mengitar semula ruang pengebumian yang lama.”

Sesetengah piramid yang ditemui dikatakan dibina menggunakan penyokong bersilang yang menyambungkan ruang penjuru piramid dengan sebuah ruang dalaman. Menariknya, satu-satunya piramid yang ditemui di luar Sedeinga yang dikatakan dibina dengan cara itu. Francigny percaya bila pembinaan piramid di Sedeinga menjadi ikutan ramai, ia menggabungkan tradisi bangunan tempatan bernama tumulus dengan teknik pembinaan piramid. Ini mengakibatkan wujud bulatan pada setiap binaan piramid. Bulatan ini dibina daripada bahan batu-bata.

Antara artifak yang ditemui ialah gambaran dewa-dewi Mesir Purba termasuk Dewa Bes yang selalunya dikaitkan dengan kanak-kanak dan wanita mengandung. Selain itu, mereka turut menemui sebuah meja jamuan yang menampilkan imej Dewa Kematian Mesir Purba berkepala anjing, Anubis dan Dewi Isis. Satu inskripsi yang ditemui ditujukan kepada seseorang bernama Aba-la yang bermaksud nenek dalam tulisan Meroitik yang diambil daripada skrip-skrip Mesir Purba. Inskripsi itu berbunyi:

Wahai Isis! Wahai Osiris!

Inilah Aba-la.

Pastikan dia minum air yang banyak;

Pastikan dia mendapat roti yang banyak;

Pastikan dia dihidangkan makanan yang baik.

Rajah 3: Tangkal yang memaparkan imej Dewa Bes. Sumber: https://www.dailymail.co.uk/sciencetech/article-2275036/35-pyramids-Sudan-necropolis-Links-ancient-Egypt-Africas-Kush-kingdom.html

Jadi siapa sebenarnya kerajaan Kush? Kerajaan ini merupakan sebuah kerajaan Afrika lama yang menetap di tebing-tebing Sungai Nil Biru, Nil Putih dan Sungai Atbara di satu kawasan yang kini menjadi sebahagian daripada Sudan. Kush diperintah oleh wizurai-wizurai Mesir antara 2000 hingga 1000 SM sebelum kemudiannya menjadi sebuah negara merdeka. Orang-orang Kush yang mengembara ke Mesir mengambil adat dan cara berpakaian Mesir Purba serta turut dipengaruhi oleh aspek kesenian, seni bina dan agama tamadun berkenaan.

Pada abad kelapan SM, raja-raja Kush berkuasa di Mesir dan memerintah sebagai Firaun selepas kejayaan mereka menawan Mesir oleh Raja Kashta. Tetapi mereka kemudiannya dihalau keluar dari negara itu oleh Psamtik I pada tahun 656 SM. Ibu negara Kush iaitu Napata terletak di kawasan laluan perdagangan utama dengan Mesir. Pada awalnya, kerajaan Kush memperdagangkan kulit haiwan dan gading gajah sebelum kemudiannya memperdagangkan mineral besi dan emas.

RUJUKAN

Miller, Daniel. (2013). Mini-pyramids of the kingdom of Kush: Archaeologists discover 35 burial chambers in Sudan desert with fascinating links to Ancient Egypt . Daily Mail. https://www.dailymail.co.uk/sciencetech/article-2275036/35-pyramids-Sudan-necropolis-Links-ancient-Egypt-Africas-Kush-kingdom.html

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.