Pernahkah anda melihat seseorang yang terlalu ingin atau mengidam untuk memakan bahan-bahan bukan makanan seperti tanah, pasir, sabun atau kaca? Jika ya, anda mungkin sedang berhadapan dengan mereka yang menghadapi masalah pika. Pika (pica) merupakan sejenis kecelaruan yang dicirikan dengan perlakuan individu yang gemar memakan bahan ‘bukan makanan’ dalam kuantiti yang luar biasa. Istilah pika sebenarnya telah digunakan pada kurun ke-16, oleh seorang pakar bedah daripada Perancis yang bernama Ambrose Paré yang merujuk kepada Latin pica atau sejenis spesies burung murai yang terkenal dengan sifatnya yang gemar menelan pelbagai objek bagi mengenyangkan dirinya dan memenuhi rasa ingin tahu mereka.
Secara umumnya, pika merupakan masalah kecelaruan yang sering ditemui dalam kalangan individu yang mengalami masalah autisme dan kurang upaya (developmental disabilities). Walau bagaimanapun, pada masa kini, kes pika ini banyak dialami oleh wanita mengandung serta kanak-kanak. Pika ini telah dikelaskan oleh Persatuan Psikiatrik Amerika melalui DSM-IV sebagai salah satu daripada masalah kecelaruan makanan, sama seperti masalah anoreksia nervosa dan bulimia nervosa. Namun, masih wujud pelbagai persoalan mengenainya, sama ada ia benar-benar didorong oleh tabiat makan yang luarbiasa atau pun ia mmpunyai kaitan rapat dengan masalah mental seseorang?
Pada kebiasaannya, seseorang terutamanya kanak-kanak yang sedang dalam proses tumbesaran dan mempunyai rasa ingin tahu akan memasukkan apa sahaja objek yang ditemuinya ke dalam mulut bagi meneroka dan merasai objek tersebut. Perlakuan ini secara umumnya dianggap sebagai suatu perkembangan yang sihat dan bukanlah suatu perbuatan pika. Pika ini dicirikan dan dapat dikesan melalui beberapa siri perlakuan yang agak berbeza daripada perlakuan biasa, seperti:
- Bahan bukan makanan dimakan secara berulang-ulang dalam tempoh sebulan atau lebih walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk menghentikannya;
- Perlakuan yang dianggap sebagai kurang sesuai untuk peringkat perkembangan umur seseorang
- Bukan suatu perlakuan yang dikaitkan dengan budaya
- Perlakuan yang merupakan suatu simptom kepada masalah mental yang lain dan memerlukan nasihat pakar perubatan
SEJARAH PIKA
Berdasarkan sejarah, perlakuan pika terawal telah mula dicatatkan pada zaman Aristotle dan Hippocrates. Antara perlakuan pika terawal yang ditemui adalah pengambilan air batu dan salji secara berlebihan. Seorang pakar perubatan Roman yang bernama Soranus telah menjelaskan bagaimana pika dicirikan dengan selera melampau ketika tempoh kehamilan di mana ia merujuk kepada keinginan luar biasa terhadap bahan-bahan yang dikategorikan sebagai ‘bukan makanan’. Selain itu, pada kurun ke-6 sebelum Masihi, Aetius, pakar perubatan diraja kepada Justinian I turut mendokumenkan bukti penemuan kelakuan pika yang dikaitkan dengan tempoh kehamilan. Setelah itu, pada kurun ke-18, sultan daripada Turki telah mengambil sejenis tanah liat istimewa yang datangnya daripada kepulauan Lemnos sebagai makanannya, dan masyarakat Eropah telah menganggap perbuatan tersebut sebagai suatu tindakan memakan bahan makanan yang menyihatkan badan mereka.
JENIS-JENIS PIKA
Terdapat beberapa jenis pika yang sering ditemui, terutamanya di kalangan mereka yang mengalami masalah kurang upaya (developmental disabilities), wanita mengandung dan kanak-kanak. Di sini disenaraikan beberapa jenis pika yang biasa ditemui di seluruh dunia, merentasi pelbagai budaya.
- Acuphagia – dikaitkan dengan memakan objek-objek tajam
- Amylophagia – dikaitkan dengan memakan bahan-bahan cucian seperti sabun dan detergen
- Cautopyreiophagia – dikaitkan dengan memakan mancis yang terbakar
- Coprophagia – dikaitkan dengan memakan najis manusia atau najis haiwan
- Foliophagia – dikaitkan dengan memakan daun, rumput
- Geomelophagia – dikaitkan dengan memakan ubi kentang mentah
- Geophagia – dikaitkan dengan memakan pasir, debu dan tanah liat
- Lignophagia – dikaitkan dengan memakan kayu, kulit kayu dan ranting
- Lithophagia – dikaitkan dengan memakan batu, guli
- Pagophagia – dikaitkan dengan memakan air batu, salji atau fros
- Xylophagia – dikaitkan dengan memakan kertas
- Tobaccophagia – dikaitkan dengan memakan puntung rokok
- Trichophagia – dikaitkan dengan memakan rambut
Daripada jenis-jenis pika ini, geophagia merupakan antara masalah pika yang seringkali ditemui dan wanita mengandung kebiasaannya mengalami masalah geophagia.
PIKA YANG BERKAITAN BUDAYA (CULTURAL PICA)
Masalah perlakuan pika yang dikaitkan dengan budaya dalam sesebuah masyarakat telah banyak terakam dalam sejarah dan ia kekal menjadi sebahagian daripada perlakuan biasa di dalam sesebuah komuniti di seluruh dunia. Pika yang sering dikaitkan dengan kebudayaan dalam sesebuah komuniti ini adalah geophagia (debu, pasir dan tanah liat) dan ia biasanya mempunyai hubungan dengan tempoh kehamilan dan penyusuan seseorang.
Sebahagian besar daripada masyarakat luar bandar di India telah menggalakkan pengambilan lumpur, tanah liat, abu, arang dan bata kepada wanita-wanita yang mengandung di kawasan tersebut sebagai mengatasi masalah mengidam yang sering mereka alami sepanjang waktu kehamilan. Selain itu, pika ini juga menjadi sebahagian daripada amalan kesuburan bagi sesetengah wanita, seperti para wanita di kawasan Afrika Timur yang memakan tanah sebelum, semasa dan selepas tempoh kehamilan dengan kepercayaan bahawa tanah itu mempunyai kuasa magis dalam menentukan masa depan bayi yang mereka kandung. Di samping itu, ada juga sesetengah masyarakat yang mengamalkan pika atas dasar nilai kesihatan seperti puak pemakan tanah di Peru dan Bolivia yang menjadikan tanah liat sebagai bahan pencicah kepada bahan makanan utama mereka, iaitu ubi kentang bagi tujuan menyingkirkan segala toksin yang mungkin terdedah kepada kesihatan mereka. Di sesetengah negara membangun amalan pika dengan mengambil tanah liat adalah bertujuan untuk ‘melindungi perut’ setelah memakan ikan atau makanan lain yang mungkin beracun bagi mereka.
FAKTOR-FAKTOR PENYEBAB PIKA
Secara umumnya, tiada faktor penyebab yang khusus yang membawa kepada perlakuan pika ini. Namun, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh para pakar pemakanan dan perubatan, mereka telah menyenaraikan beberapa faktor yang boleh membawa kepada perlakuan pika ini.
1. Faktor pemakanan
Adakalanya individu yang mengalami masalah anemia, meskipun tiada masalah mental atau masalah kurang upaya, mempunyai kecenderungan untuk memakan bahan-bahan seperti air batu, kanji dan buih getah. Kecenderungan ini masih menjadi tanda tanya di kalangan pakar, namun kebanyakan pakar mengaitkan keadaan diri pesakit anemia yang kekurangan zat besi dan ferum sebagai salah satu faktor yang membawa kepada berlakunya pika.
2. Faktor persekitaran
Faktor persekitaran merupakan satu lagi faktor yang boleh membawa kepada perlakuan pika. Faktor persekitaran ini mungkin disebabkan oleh kekurangan interaksi sosial, keadaan persekitaran di rumah atau kawasan kejiranan serta faktor sahabat atau orang yang terdekat. Sebagai contohnya, individu yang mengalami autisme, yang biasanya mendapat penjagaan di rumah, mungkin terdedah kepada persekitaran peralatan di dalam kawasan rumah tersebut yang terdiri daripada objek-objek tajam seperti skru, paku atau jarum.
3. Faktor kesihatan mental
Kesihatan mental merupakan antara faktor penyebab yang kukuh yang membawa kepada perlakuan pika ini. Satu kajian kes yang dibuat terhadap wanita yang mengalami masalah skizofrenia yang kronik, dan wanita tersebut perlu menjalani pembedahan akibat daripada tabiatnya yang gemar memakan duit syiling. Malah, ada juga kajian yang dibuat ke atas mereka yang mengalami masalah emosi yang serius, di mana mereka ini didapati gemar untuk mengambil benang dan rambut sebagai makanan mereka bagi melupakan masalah emosi yang dialami.
Secara kesimpulannya, amalan pika ini merupakan suatu perlakuan yang boleh merosakkan atau mencederakan diri sendiri (self-injurious behaviour). Meskipun faktor penyebab kepada pika ini masih lagi berada di antara faktor pemakanan dan faktor masalah mental, namun, sekiranya anda mengalami masalah yang serupa atau mengenali sesiapa yang mengalami masalah pika, anda harus bertindak untuk menanganinya dengan segera. Pika bukanlah seperti penyakit fizikal yang lain, namun, kesan yang diperoleh akibat daripada perlakuan pika ini mungkin boleh membawa kepada kematian.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih