Lama masa dahulu, kota Phra Nakhon Si Ayutthaya terkenal sebagai sebuah pusat ekonomi dan perdagangan antarabangsa. Hanya beberapa kurun sesudah penubuhannya, kota ini berkembang pesat sehingga mampu menampung sehingga sejuta orang warga, dengan binaan-binaannya yang megah, termasuklah ratusan kuil yang mengagumkan seni binanya.

Walau bagaimanapun, kota Phra Nakhon Si Ayutthaya pada akhirnya tunduk jua kepada sepasukan tentera dari Burma. Kesemua warga kota keluar melarikan diri tanpa kembali lagi. Pada hari ini, runtuhan kota tersebut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di bawah nama Taman Bersejarah Ayutthaya dan ia boleh dikunjungi oleh masyarakat tempatan mahupun luar negara.

Tinggalan-tinggalan yang masih tersisa di tapak bersejarah ini cukup untuk memberikan gambaran tentang kegemilangan ibu kota yang dahulunya didiami oleh 35 orang raja Siam, masing-masing memerintah sebagai sebuah adikuasa.

Pemandangan matahari terbenam di kuil Wat Phra Si Sanphet

Kota Phra Nakhon Si Ayutthaya ditubuhkan oleh Raja U Thong pada tahun 1350 sebagai ibu kota Kerajaan Siam. Kota ini terletak di sebuah pulau yang dikelilingi oleh tiga batang sungai. Pada suatu ketika, kota ini dianggap sebagai salah sebuah kota urban terbesar di dunia, dengan anggaran populasinya mencecah 300 000 orang menjelang tahun 1600 dan 1 000 000 orang pada tahun 1700.

Lokasi pulau ini dipilih atas tujuan strategik, di mana ia berupaya melindungi kota dari badai banjir dan gempuran musuh. Kota ini kadangkala dipanggil sebagai ‘Venice Timur’.

Berikutan lokasinya yang terletak di antara China dan India, serta faktor geografinya yang melindungi Phra Nakhon SI Ayutthaya dari kuasa-kuasa Arab dan Eropah, ibu kota Siam ini berupaya membangun sebagai sebuah pusat ekonomi dan perdagangan antarabangsa – menghubungkan Timur dan Barat.

Peta-peta yang dihasilkan pada waktu itu menunjukkan bahawa kota Phra Nakhon Si Ayutthaya direka secara sistematik, dilengkapi dengan parit, rangkaian jalan dan terusan yang mengelilingi segala bangunan yang ada. Kota ini juga mempunyai sistem pengurusan air secara hidraulik yang diperkirakan agak terkehadapan untuk zaman itu.

Perincian ini diambil daripada peta dunia Fra Mauro pada 1450an yang menunjukkan kota Ayutthaya di tengah-tengah. Di sini, Ayutthaya dinamakan sebagai ‘Scierno’, derivasi daripada sebutan Parsi iaitu ‘Shar-I-Nau’ yang bermaksud ‘Kota Baru’. Di sebelah kanan Scierno, dapat dilihat dua buah Burma, iaitu Pochang (kini Bagan) dan Ava (kini Inwa)

Jurubina yang berpangkalan di kota itu juga terkenal sebagai bijakpandai pertukangan, khususnya apabila kemahiran mereka diabadikan pada kuil-kuil dan biara-biara yang sebahagiannya wujud sehingga kini. Setiap bangunan diukir dengan terperinci, lengkap dengan mural dan kraf.

Sepanjang berdirinya kota Phra Nakhon Si Ayutthaya, seramai 35 orang raja bertakhta dengan megah. Pun begitu, segala ciri pertahanan yang dimiliki oleh ibu kota Siam tidak mampu menahan serangan yang membadainya.  

Pada tahun 1767, pasukan tent3ra Burma menggemp*r Phra Nakhon Si Ayutthaya dengan amat dahsyat sehingga kota agung itu dibumihanguskan. Warga yang terselamat pula meninggalkan kota tanpa pernah menoleh lagi. Semenjak tersungkur ke bumi dek s3rangan tersebut, Pra Nakhon Si Ayutthaya tidak lagi berupaya untuk berdiri semula.

Pada hari ini, Taman Bersejarah Ayutthaya diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Tapak ini meliputi pelbagai macam tarikan pelancong, di mana sebahagian besar daripadanya merupakan runtuhan kuil.

Cuma malangnya, tahun 2018 menyaksikan nasib malang berkali-kali menimpa tapak berkenaan. Misalnya pada bulan Februari, tiga buah bangunan kayu Thai yang berusia lebih seratus tahun mengalami kerosakan dek dibadai keb4karan akibat lintar pintas.

Mujur, kemalangan ini tidak menc3derakan sesiapa memandangkan pada masa kejadian, kebanyakan sami yang menjaga kuil tersebut sedang keluar membuat kutipan). Beberapa hari kemudian, Bangkok Post melaporkan bahawa lima orang pelancong didenda sebanyak 10 000 baht (lebih 300 USD) dan/atau hukuman penjara selama sebulan kerana memuat naik gambar di dalam Facebook yang menunjukkan mereka duduk dan memanjat Wat Mahathat.

Selain Wat Mahathat, antara tarikan pelancong yang terdapat di Taman Bersejarah Ayutthaya adalah Wat Naphramane, Wat Lokayasutharam, Wat Phanan Choeng, Wat Mongkhol Bophit, Wat Phra Sisanphet, Wat Chai Watthanaram, dan Wat Rat Burana. Taman Bersejarah Ayutthaya meraih kemasyhuran yang tersendiri menerusi menara-menaranya yang tinggi (prang) dan biara-biara Buddha yang besar.

Antara kuil Buddha yang terdapat di Taman Bersejarah Ayutthaya adalah Wat Chaiwatthanaram. Pembinaan kuil ini dilakukan oleh Raja Prasat Thong. Nama Wat Chaiwatthanaram membawa maksud ‘Kuil Pemerintahan Panjang dan Era Gemilang’. Prang utama di kuil ini memiliki ketinggian yang mencecah 35 meter, manakala empat buah prang yang lebih kecil masing-masing dibina di atas sebuah platform berbentuk segi empat tepat.

Wat Chaiwatthanaram merupakan kuil diraja, tempat di mana upacara-upacara keagamaan dan mayat kerabat diraja dibakar. Kuil ini dibina dengan penuh simbol Buddhisme. Prang utama kuil ini mewakili Gunung Meru, sementara prang-prang yang lebih kecil mewakili empat buah benua di empat penjuru dunia.

Wat Chaiwatthanaram, kuil Buddha yang terdapat di Taman Bersejarah Ayutthaya

Wat Kudi Dao juga merupakan salah sebuah kuil yang terdapat di Taman Bersejarah Ayutthata. Kuil ini dibina atas perintah Raja Narai dan ia dibaiki oleh Raja Thai Sa pada tahun 1711. Kuil ini juga didiami oleh seorang sami kanan bagi Putera Mahkota Boromakot, iaitu Phra Then Muni. Kompleks Wat Kudi Dao merangkumi beberapa buah bangunan, seperti Ubosot (dewan pentahbisan), Viharm (dewan patung), Chedi yang berbentuk seperti loceng, dan sebuah bangunan bernama Tumnak Kummalaen. Wat Judi Dao berjaya dibaik-pulih ke bentuk asalnya, persis seperti keadaannya yang sediakala.

Kuil Wat Kudi Dao, Thailand

Satu lagi kuil di Taman Bersejarah Ayutthaya yang dikira sesuai untuk dinotakan di sini adalah Wat Phanan Choeng. Kuil ini dibina pada tahun 1326, yakni 26 tahun sebelum kota Phra Nakhon Si Ayutthaya ditubuhkan secara rasmi. Dalam bangunan terbesar di kompleks kuil ini terdapat sebuah patung Buddha dari tahun 1334M yang setinggi 19 meter.

Patung yang dipanggil sebagai Luang Pho Tong atau Sam Pao Kong ini dianggap sebagai pelindung warga di tepi laut. Kononnya sebelum kota Phra Nakhon Si Ayutthaya dihancurkan, air mata bercucuran dari mata jatuh ke pusat patung tersebut.

Wat Phanan Choeng, dari 1324M, menempatkan sebuah patung Buddha

Ayutthaya juga masyhur dengan patung kepala Buddha yang terlilit dalam akar pokok Banyan di Wat Mahathat. Ia kemudiannya menjadi salah satu imej paling ikonik di Thailand. Kuil tersebut dimusnahkan semasa Burma menyerang, dan banyak patung Buddha di Ayutthaya dirosakkan dan kepalanya dipenggal. Walau bagaimanapun, tiada siapa yang mengetahui bagaimana patung kepala Buddha itu boleh dililit oleh akar pokok.

Sebilangan pihak mengandaikan bahawa pokok berkenaan tumbuh membesar berhampiran patung itu sepanjang tempoh kuil tersebut ditinggalkan. Pendapat lain pula mengatakan bahawa terdapat seorang pencuri artifak yang memindahkan patung kepala itu dari kuil utama lalu menyembunyikannya dalam belukar, namun tidak berpeluang untuk mengambilnya semula.

Patung kepala Buddha yang dililit akar pokok di kompleks kuil Wat Mahathat

Pengiktirafan Taman Bersejarah Ayutthaya sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia memerikan kepentingan sejarah di sebalik puing-puing runtuhannya. Pada masa dahulu, khususnya sepanjang tempoh 1350 hingga 1767, keampuhan kota Phra Nakhon Si Ayutthaya membuatkan penghuninya meyakini bahawa ia tidak akan mampu ditembusi. Justeru ketika Burma menyerang kota tersebut, sejarahwan mengandaikan bahawa mereka membawa pasukan t3ntera yang gergasi lagi gagah sehingga berupaya menghancurkan kota agung itu.

Mujur, kebanyakan kuil yang terdapat di tapak berkenaan dapat dibaik pulih seperti sediakala sekaligus mencerminkan kemegahannya di masa lampau. Taman Bersejarah Ayutthaya juga dibuka untuk kunjungan awam yang mahu mengenang sejarah silam Siam.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.