Secara ringkas, animasi komedi bersiri ini mengisahkan tentang dua beradik tiri, Phineas Flynn dan Ferb Fletcher yang cuba mengisi masa lapang mereka sepanjang cuti musim panas dengan melakukan pelbagai projek mega yang luar biasa. Projek-projek mega yang dilakukan oleh Phineas dan Ferb sememangnya secara realiti tidak dapat dilakukan oleh kanak-kanak dan disiapkan dalam satu hari, namun itu yang menjadikan cerita ini menarik.

Kakak Phineas, Candace Flynn selalu cuba untuk mengkantoikan aktiviti adiknya kepada emak mereka namun tidak pernah berjaya kerana setiap kali emak Candace datang untuk melihat apa yang dilakukan oleh Phineas dan Ferb, projek mereka telahpun hilang secara tiba-tiba membuatkan Candace tergamam.

Puncanya, pada masa yang sama, Perry the Platypus peliharaan Phineas dan Ferb yang merupakan ejen rahsia (Agent P) sedang menghalang rancangan jahat Dr. Heinz Doofenshmirtz. Apabila Agent P cuba menggagalkan projek jahat Dr. Doofenshmirtz, secara tak sengaja ia turut menghilangkan projek Phineas dan Ferb membuatkan emak Phineas menyangka yang mereka hanya melakukan aktiviti biasa kanak-kanak pada musim panas.

Walau bagaimanapun, di sebalik watak ceria Phineas dan Ferb, terdapat sisi gelap yang menjadi inspirasi kepada jalan cerita tersebut. Cerita Phineas and Ferb dikatakan berdasarkan kisah benar mengenai seorang kanak-kanak perempuan (Candace) yang mempunyai masalah kesihatan mental dan tinggal bersama ibunya setelah ibu bapanya bercerai. ‘Candace’ dikatakan mempunyai seorang adik lelaki kandung (Phineas) yang mengalami kecacatan fizikal dan seorang adik lelaki tiri (Ferb) yang mempunyai masalah pertuturan. ‘Candace’ sememangnya sangat sayang akan adik-adiknya.

Namun suatu hari, ‘Phineas’ telah dibuli di sekolah disebabkan bentuk kepalanya yang tidak normal sehingga menyebabkan dia terbvnuh. ‘Candace’ tidak dapat menerima kematian adiknya dan terus beranggapan bahawa ‘Phineas’ masih hidup. ‘Candace’ berimaginasi yang ‘Phineas’ dan ‘Ferb’ sering melakukan aktiviti seronok luar biasa dan dia menulis bayangannya di dalam diarinya. ‘Candace’ juga menceritakan halusinasinya kepada ibunya sehingga mengakibatkan kesihatan mentalnya semakin teruk.

Oleh sebab keadaan mental ‘Candace’ yang merosot, ibunya telah mendapatkan khidmat daripada seorang doktor psikatri (Dr. Doofenshmirtz) untuk merawat ‘Candace’. Namun ‘Candace’ tidak pulih malahan suatu hari dia telah membvnuh diri.

Disebabkan kesempitan wang di samping terpaksa mambiayai khidmat ‘Dr. Doofenshmirtz’ yang mahal, ibu ‘Candace’ telah terjumpa diari ‘Candace’ yang mempunyai kisah khayalannya tentang ‘Phineas’ dan ‘Ferb’ dan menjual cerita tersebut kepada Disney. Maka lahirlah kisah Phineas and Ferb di kaca TV. Betul ke?

Sebenarnya, TIDAK! Kisah yang tersebar di internet tersebut langsung tiada asasnya. Cerita di atas hanyalah salah satu versi umum daripada banyak lagi versi lain.

Phineas and Ferb sebenarnya merupakan rekaan daripada Dan Povenmire dan Jeff “Swampy” Marsh yang berkenalan sewaktu bekerja bersama semasa penghasilan cerita The Simpsons. Idea ini bermula semasa Povenmire sedang makan di sebuah restoran bersama isterinya dan dia sedang melukis kartun secara rawak pada waktu itu. Secara tidak sengaja dia telah melakar watak Phineas lantas segera menghubungi Marsh dan memberitahu fikirannya.

Pada tahun 1990, Povenmire dan Marsh telah memulakan kerja bagi menghasilkan jalan cerita Phineas and Ferb dan cuba menawarkan cerita tersebut kepada pelbagai syarikat animasi tetapi tiada sambutan langsung. Namun pada tahun 2000, nasib mereka bertuah apabila Disney telah menghubungi Povenmire bagi mendapatkan cerita tersebut disebabkan pada waktu itu persaingan Disney yang kuat dengan syarikat animasi lain.

Maka pada tahun 2007, kisah Phineas and Ferb secara rasminya berada di saluran Disney di kaca TV untuk tontonan ramai. Ketika ditanya kepada Povenmire apa yang menjadi inspirasi kepada plot Phineas and Ferb, dia menjawab ia berdasarkan pengalamannya dan Marsh sewaktu kecil pada cuti sekolah musim panas. Povenmire turut berkata yang emaknya selalu berpesan sewaktu kecil supaya sentiasa melakukan perkara yang kreatif daripada asyik menonton TV ketika musim panas.

Setelah mengetahui kisah sebenar di sebalik penghasilan Phineas and Ferb, sememangnya jelas bahawa kisah gelap tersebut adalah palsu. Mustahil untuk ‘ibu Candace’ menjual kisah diari ‘Candace’ kepada Disney sedangkan Povenmire dan Marsh telah mengambil masa lebih kurang 16 tahun untuk menghasilkan karya Phineas and Ferb dan menyiarkan ia di kaca TV.

Kesimpulannya, jika kita mendengar cerita atau mendapat berita tentang perkara yang kita tidak tahu tetapi menakjubkan, selidiklah dahulu kebenarannya. Jangan cepat sangat percaya sebelum kita tahu kesahihan dan sumbernya. Kalau tak, mahunya satu Malaysia terciduk kena kencing. 😉

Artikel dikirimkan oleh Ajmal Mustafa untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.