Kalau kita bercakap pasal Petronas, benda pertama yang terlintas di fikiran mesti Formula 1 dengan Mercedes-AMG Petronas.
Tapi, pernah tak korang dengar pasal Petronas FP1? Ya, Malaysia pernah ada superbike sendiri yang berlumba dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dan sepatutnya boleh jadi pesaing kepada Ducati, Honda, dan Yamaha.
Tapi kenapa sekarang nama FP1 dah lenyap dari dunia permotoran? Kenapa projek ini gagal dan akhirnya jadi salah satu motosikal paling rare dalam sejarah?
[Bagaimana FP1 Bermula?]
Semua bermula dengan impian Petronas untuk menapak dalam dunia motosikal. Pada tahun 2001, Petronas dengan kerjasama Sauber Engineering mula membangunkan enjin 989cc tiga silinder yang asalnya direka untuk perlumbaan MotoGP.
Namun, atas sebab-sebab tertentu, projek ini beralih ke Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dan dari situ lahirnya Petronas FP1.
Mereka menubuhkan Foggy Petronas Racing yang diketuai oleh legenda WSBK, Carl Fogarty dan mula bersedia untuk masuk ke kejohanan pada tahun 2003.
Tetapi, sejak dari awal lagi, superbike ini sudah ada masalah besar…
[Peraturan Baru Yang Membunuh FP1]
Pada mulanya, FP1 dibina mengikut spesifikasi lama WSBK di mana superbike 3 silinder 900cc dibenarkan bersaing dengan 750cc 4 silinder dan 1000cc 2 silinder.
Tetapi, bila peraturan baru diperkenalkan pada tahun 2003, superbike 4 silinder kini boleh menggunakan enjin 1000cc!
Apa maksudnya? FP1 automatik jadi underpowered berbanding pesaing yang ada enjin lebih besar dan lebih kuat.
Kalau nak lawan, Petronas kena buat enjin baru dari awal, tapi itu memakan kos yang terlalu besar.
Satu-satunya cara untuk kekal relevan ialah dengan menaikkan RPM enjin supaya dapat lebih banyak kuasa, tetapi ia menyebabkan masalah ketahanan. FP1 jadi terlalu fragile untuk bersaing.
[Prestasi FP1 di Litar – Boleh Tahan atau Hancur?]
Walaupun FP1 bukan motosikal paling laju di litar, ia bukan sekadar bahan ketawa. Pasukan Foggy Petronas Racing bertahan dalam WSBK selama empat musim dari 2003 hingga 2006.
Antara pencapaian terbaik FP1 ialah apabila Troy Corser mendapat tempat ke-4 di grid pada perlumbaan pertama di Valencia pada tahun 2003.
Namun, dia gagal menamatkan perlumbaan pertama dan hanya mendapat tempat ke-7 dalam perlumbaan kedua.
Pada tahun 2004, Chris Walker berjaya naik podium pertama untuk FP1 di Valencia dengan tempat ke-3 dan Corser berjaya mendapat petak pertama di Misano.
Walaupun ada peningkatan kecil pada enjin pada tahun 2005 dan 2006, FP1 semakin jauh ketinggalan berbanding pasukan lain. Pada hujung musim 2006, projek FP1 ditutup sepenuhnya.
Secara keseluruhan, dalam tiga musim perlumbaan, FP1 hanya berjaya meraih dua petak pertama dan dua podium. Bukanlah pencapaian yang teruk, tapi jauh dari apa yang diharapkan.
[Kenapa FP1 Jadi Rare dan Dilupakan?]
Salah satu sebab kenapa Petronas FP1 jadi unicorn dalam dunia superbike ialah kerana hanya sedikit unit dihasilkan dan tiada satu pun dijual secara rasmi kepada orang ramai.
Untuk membolehkan FP1 berlumba dalam WSBK, Petronas perlu memenuhi syarat homologasi. Mereka perlu membina sekurang-kurangnya 150 unit motosikal jalan raya.
Dari jumlah itu, sebanyak 75 unit pertama dibuat di UK manakala 75 unit kedua sepatutnya dibuat di Malaysia oleh Modenas. Namun sebelum batch kedua dapat disiapkan, projek FP1 sudah dibatalkan.
Pada tahun 2012, sekitar 60 unit FP1 ditemui tersadai di Essex, UK dan akhirnya dihantar ke Malaysia di bawah jenama Momoto MM1.
Namun, ia tidak pernah dijual secara rasmi, dan akhirnya banyak unit FP1 terbiar di gudang atau hanya muncul sesekali dalam lelongan motosikal eksotik.
Saya pernah bergambar dengan sebiji FP1 yang dipamerkan di Hafizh Syahrin Concept Store di Petaling Jaya ketika saya masih berusia remaja belasan tahun.
[FP1 Hari Ini – Sekadar Kenangan?]
Sehingga hari ini, FP1 masih dikenang sebagai superbike Malaysia yang tidak kesampaian.
Dari segi reka bentuk dan teknologi, FP1 sebenarnya sangat maju untuk zamannya dengan chassis aluminium twin-spar, suspensi Ohlins, brek Brembo, dan enjin hasil kerja Eskil Suter, seorang jurutera terkenal dalam dunia MotoGP.
Namun, salah timing dan kurang pelaburan jangka panjang menyebabkan projek ini gagal. Petronas mungkin berani bermimpi besar, tapi tanpa strategi yang betul, FP1 hanya tinggal sejarah.
[Apa Pengajaran Dari Kisah FP1?]
Jangan terlalu awal atau terlalu lambat dalam perlumbaan teknologi. Kalau FP1 dikeluarkan lebih awal sebelum 2003, mungkin ia boleh menang kejuaraan. Tapi bila peraturan berubah, ia terus jadi lemah.
Pelaburan besar tidak menjamin kejayaan. Projek ini menelan belanja sekitar RM150 juta, tetapi hasilnya kurang memberangsangkan.
Sokongan dan kesinambungan sangat penting. Jika FP1 diteruskan dengan enjin baru 1000cc, mungkin ia masih wujud hari ini. Tapi bila Petronas tarik diri, semuanya terbengkalai.
Petronas FP1 ialah antara superbike paling misteri dalam sejarah. Walaupun ia gagal menjadi pesaing sebenar dalam WSBK, ia tetap menjadi ikon kejuruteraan Malaysia.
Sehingga hari ini, peminat superbike masih mencari unit FP1 untuk dijadikan koleksi kerana ia sangat rare dan penuh sejarah.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih