Pesawat
ini merupakan pesawat pejuang generasi 4.5 buatan firma Irkut Aircraft
Corporation, Rusia dan dioperasikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Ia
mula memasuki perkhidmatan angkatan tentera udara pada tahun 2007. Sejumlah 18
pesawat ditempah dengan penugasan utama sebagai pesawat tempur penguasaan ruang
udara dengan keupayaan serangan darat yang komprehensif.
Berbeza
dengan pesawat eksport buatan Rusia sebelum ini, Su-30MKM menggunakan sistem
elektronik buatan Eropah dan diintegrasi dengan persenjataan buatan Rusia serta
mengaplikasikan rukun pertempuran udara yang dibangunkan oleh anak tempatan.
Lantas menjadikan ia pesawat termoden dan paling berkemampuan di rantau sebelah
sini ketika ia mula memasuki perkhidmatan TUDM.
Bernaung
di bawah No.11 Skuadron, pesawat yang dipanggil Tedung Selar ini merupakan
penghuni tetap Pangkalan Udara Gong Kedak dan ditugaskan ketika waktu aman
sebagai pesawat pemintas.
Kelebihan
utama pesawat pejuang ini adalah terletak pada reka bentuk aerodinamik yang
dipertingkatkan hasil pembangunan dan kajian terperinci pesawat Su-27.
Penambahan
canard dan sistem kawalan tujahan vektor yang melengkapi dua enjin
turbofan Saturn AL31F memberikan daya manuverabiliti yang tidak dapat
ditandingi mana-mana pesawat buatan blok Barat dalam kelasnya. Hal ini
menjadikannya amat berbahaya dalam pertempuran jarak dekat, ditambah kawalan
penembakan senjata yang mengaplikasikan pembidikan terus dari helmet
juruterbang. Juruterbang tidak perlu menghalakan pesawat ke arah musuh,
sebaliknya hanya perlu berpaling dan menghalakan kepalanya yang dilengkapi
helmet untuk menembak peluru berpandu ke arah musuh.
Kemudian,
ditambah dengan daya tujahan dan sistem kawalan penerbangan fly by wire menjadikan
pesawat ini amat lincah dalam pertempuran. Untuk rekod, sehingga hari ini hanya
pesawat termoden angkatan udara AS yang mempunyai sistem kawalan tujahan vektor
pada pesawat pejuang F/A-22 Raptor mereka. Persenjataan udara ke udara
melibatkan sistem peluru berpandu jarak sederhana R-77 dengan panduan radar.
Sejumlah varian peluru berpandu R-27 dengan variasi sistem panduan yang terdiri
daripada panduan radar semi aktif dan panduan inframerah serta peluru berpandu
jarak jauh KS-100 dengan capaian jarak efektif ke atas sasaran sehingga 300-400
km.
Persenjataan
serangan darat untuk pesawat ini juga sangat impresif dengan keupayaan
menyerang sasaran dari jarak jauh dengan empat jenis sistem persenjataan peluru
berpandu udara ke darat jarak sederhana dan jarak jauh dengan panduan laser atau
panduan. Sistem peluru berpandu Kh-31, peluru berpandu anti kapal Kh-39 serta
varian-varian peluru berpandu udara ke darat Kh-29 dan Kh-59 adalah antara
pemukul utama bagi operasi serangan udara ke atas sasaran militer.
Hal
ini tidak mengambil kira sejumlah persenjataan berupa bom panduan laser
KAB-500L dan KAB-1500L serta bom dan roket tanpa panduan. Keseluruhan bebanan
persenjataan untuk pesawat Sukhoi ini mampu mencecah sehingga 8 000kg pada
satu-satu masa.
Keupayaan
peperangan elektronik melengkapkan pesawat multirole ini dengan
kelengkapan sistem penyerakan elektronik Knirti SAP-518 dan SAP-48 bagi tujuan
operasi pemusnahan bateri peluru berpandu anti pesawat yang melibatkan misi
SEAD/DEAD (Suppression of Enemy Air Defence/Destruction of Enemy Air Defence).
Pesawat Su-30MKM bertindak sebagai platform penyerakan elektronik (jammer
aircraft) yang terbang bersama kumpulan pakej penyerang yang terdiri
daripada pesawat pejuang yang sama atau pesawat lain dalam pegangan TUDM.
Selepas
perolehan pesawat pejuang ini, negara tetangga serantau mulai merangka semula
perolehan dan penggantian pesawat pejuang mereka, iaitu mereka memperlihatkan
cubaan untuk mengatasi jika tidak berada pada aras sama dengan kemampuan
pesawat TUDM terbaharu ini. Contohnya, Vietnam dan Indonesia membuat perolehan
dengan firma Komsomolsk on Amur Aircraft Production (KNaaPO) yang juga
merupakan cabang firma Sukhoi sejumlah pesawat Su-30MK/MK2.
Indonesia
menempah 11 buah pesawat dan telah beroperasi sejak tahun 2013 manakala Vietnam
menempah sehingga 36 buah pesawat Su-30MK2V dan mengoperasikannya sejak tahun
2013. Singapura pula menempah pesawat saingan Su-30, yakni F-15SG pada tahun
2007 dengan tempahan awal sebanyak 12 buah dengan tambahan 8 buah pesawat
sebagai option. Perkara ini berubah apabila Singapura menambah tempahan kepada
12 buah, menjadikan jumlah keseluruhan F-15SG kepada 24 buah. Walau
bagaimanapun, ia tidak termasuk jumlah sebenar pesawat yang ada dalam pegangan
republik tersebut yang dikatakan mempunyai sehingga 40 buah pesawat sebagai
tambahan.
Setelah
10 tahun berkhidmat dengan TUDM, terdapat ura-ura mengatakan bahawa angkatan
udara negara kita memerlukan tambahan sejumlah pesawat tempur pelbagai tugasan
bagi menyokong tugasan pesawat yang masih berkemampuan dan menggantikan pesawat
sedia ada yang sudah dimamah usia melalui program MRCA. Namun sehingga artikel
ini ditulis, program tersebut mengalami pelbagai halangan, terutama dari segi
kos operasi dan perbelanjaan negara yang sangat terhad.
Kami amat mengharapkan pihak pemerintah mengambil perhatian serius berkenaan pertahanan udara kerana senario pertempuran masa kini melibatkan penguasaan ruang udara total dan pada masa sama melindungi ketumbukan tentera konvensional di daratan. Kuasa udara adalah amat kritikal dalam mengekalkan kedaulatan negara.
Anda sedang membaca sebahagian daripada petikan buku terbitan terbaru kami, Malaysia Military Power II. Berminat nak dapatkan buku ini? Klik link ini untuk wassap terus: www.wasap.my/60195812791




No comments yet