Seorang pakar perubatan ulung negara mendedahkan bekas pesakit Covid-19 mempunyai sedikit imuniti terhadap penyakit berkenaan. Perkara ini disimpulkan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit, seorang perunding penyelidikan dari Universiti Malaya dan bertanggugjawab menemui virus nipah semasa epidemik penyakit itu melanda negara pada tahun 1990-an.
Menurut Prof Sai Kit, seperti kes bekas pesakit SARS dan MERS, bekas pesakit Covid-19 dilihat mempunyai imuniti terhadap sebarang jangkitan semula sehingga tiga tahun berikutan kehadiran antibodi spesifik dalam badan yang mematikan ancaman virus spesifik seperti koronavirus.
Beliau berkata, “Berdasarkan kes jangkitan koronavirus lain kepada manusia, saya percaya wujud sedikit perlindungan terhadap virus SARS-CoV-2. Kita tidak tahu sejauh mana ia boleh bertahan sebagai pelindung selama berminggu-minggu, berbulan-bulan atau bertahun-tahun.”
Kenyataan Prof Sai Kit ini turut disokong oleh tindakan WHO yang menarik balik semula salah satu pengumuman mereka iaitu tiada bukti bekas pesakit Covid-19 yang sudah pulih dan ada antibodi dilindungi daripada jangkitan semula. Kenyataan ini dibuat sebagai maklum balas terhadap rancangan sesetengah negara yang mahu mengeluarkan pasport imuniti yang membenarkan individu bergerak bebas atau kembali bekerja.
Namun, kenyataan yang dibuat pada hari Jumaat mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan komuniti saintifik sehingga mendorong WHO membuat pembetulan pada Ahad bahawa bekas pesakit mempunyai sedikit perlindungan daripada jangkitan semula Covid-19.
Bagi Prof Sai Kit, tindakan pantas WHO itu memberi kelegaan kepada semua kerana menghentikan kekeliruan berkenaan isu vaksin Covid-19. Ini ditambah dengan berita monyet yang diberi suntikan vaksin Covid-19 di China terlindung daripada jangkitan penyakit berkenaan.
Tambahnya, “Fasa ketiga ujian vaksin ialah ujian ke atas manusia bagi menguji keberkesanan vaksin ke atas sekumpulan besar sukarelawan dan seharusnya bertindak sebagai bukti tambahan sama ada antibodi yang dihasilkan boleh menawarkan perlindungan dalam persekitaran semulajadi. Kita seharusnya meneruskan pemantauan untuk mengutip bukti perlindungan dan bagaimana ia menular.”
Selain dikenali sebagai individu yang menjumpai virus Nipah, Prof Sai Kit juga bertanggungjawab membangunkan teknik diagnostik pantas untuk mengesan virus demam denggi. Beliau menerima banyak pengiktirafan dan anugerah termasuk Merdeka Award 2013 dan Knight of the National Order of Merit (Perancis).
RUJUKAN:
Foon Fong, Loh. (2020). Recovered Covid-19 patients likely to have some immunity, says Nipah virus scientist. The Star. https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/04/28/recovered-covid-19-patients-likely-to-have-some-immunity-says-nipah-virus-scientist




No comments yet