Apabila penjelajah-penjelajah Eropah tiba di Dunia Baru pada abad ke-15 dan ke-16, ia memberi impak yang bukan sedikit kepada ketamadunan manusia hingga hari ini. Impak ini dikenali sebagai Pertukaran Columbia (Columbian Exchange) kerana ia membabitkan pertukaran pelbagai aspek seperti populasi, tanaman, idea dan penyakit antara Dunia Lama dengan Dunia Baru.
Antara impak Pertukaran Columbia yang dapat dikesan sebaik penjelajah Eropah tiba di Dunia Baru ialah penyebaran penyakit berjangkit dari Dunia Lama. Terdapat banyak penyakit berjangkit yang menjadi pembu-nuh masyarakat asli Amerika seperti bubonik, cacar, tifus dan demam malaria. Memandangkan mereka tidak mempunyai sebarang pendedahan terhadap penyakit-penyakit ini, ramai yang menjadi kor-ban.
Walaupun impak sebenar kemerosotan populasi orang asli Amerika masih tidak diketahui, dianggarkan 80-95% populasi orang asli Amerika ma-ti dalam tempoh 100 hingga 150 tahun selepas tahun 1492. Tahun 1492 ialah tahun ketibaan kumpulan penjelajah Sepanyol diketuai Christopher Columbus di benua Amerika atau lebih tepat, Kepulauan Bahamas.
Contoh mudah, populasi Taino[1] di Hispaniola[2]. Selepas 50 tahun ketibaan Columbus di negara pulau itu, keseluruhan populasi asli Taino yang dianggarkan berjumlah antara 80,000 hingga lapan juta orang pupus sama sekali. Sementara di bahagian tengah Mexico pula menyaksikan kemerosotan populasi orang asli dari 15 juta orang pada 1519 kepada 1.5 juta orang seabad kemudian.
Satu penyakit yang dikatakan dibawa dari Dunia Baru ke Dunia Lama ialah sifilis. Bagaimanapun, teori ini dianggap kontroversi dan mencetuskan perdebatan dalam kalangan para cendekiawan dan sejarawan. Mengikut teori hipotesis Columbia, ejen pencetus sifilis iaitu Treponema pallidum sebenarnya berasal dari Dunia Baru dan tersebar melalui aktiviti seksual membabitkan ahli ekspedisi Columbus di Hispaniola dengan wanita tempatan.
Selepas pulang ke Sepanyol, sesetengah daripada mereka menjadi sebahagian daripada angkatan per-ang Raja Charles VIII[3] yang mengepung Naples pada 1495. Semasa kempen berjalan, mereka menyebarkan sifilis menerusi hubungan kelamin dengan komuniti pelacur di situ sekaligus menggandakan lagi angka jangkitan penyakit tersebut. Lima tahun selepas itu, ia mencapai tahap epidemik di Eropah sebelum tersebar ke tempat lain seperti Afrika, Timur Tengah dan India (1498), China (1505), Australia (1515) dan Jepun (1569).
Begitupun, sesetengah meragui dakwaan ini dan merasakan sifilis sebenarnya sudah ada di Dunia Lama sebelum ekspedisi-ekspedisi penjelajah Eropah digerakkan. Tambah golongan ini lagi, sifilis tidak dapat dikesan kerana ia berkongsi beberapa simptom dengan penyakit lain. Antara bukti yang dikatakan menyokong teori mereka ialah ubat yang dicadangkan Ibnu Sina dalam kitab al-Qanun fi al-Tibb (Kanun Perubatan) untuk sifilis.
Tetapi pada akhirnya, perdebatan ini akhirnya ditamatkan menerusi beberapa kajian filogenetik. Kajian tersebut membuktikan sifilis sememangnya penyakit Dunia Baru kerana penyakit ini dilihat baru muncul pada akhir abad ke-15 dan salah satu variasi bakterianya dikesan di satu wilayah terpinggir di Guyana, Amerika Selatan.
Pertukaran Columbia turut bertanggungjawab mengembangkan lagi bekalan makanan pertanian global. Sejarawan Alfred Crosby menyifatkan pemindahan tanaman pertanian dari Dunia Baru ke Dunia Lama menyebabkan pertambahan populasi yang pesat dalam tempoh dua abad. Ini sekaligus menjadi pemangkin kepada Revolusi Perindustrian yang muncul pada abad ke-18 dan ke-19.
Apabila spesies tanaman seperti kentang, ubi keledek, jagung dan ubi kayu diperkenalkan di Dunia Lama, ia menambahbaik makanan ruji sedia ada penduduk ketika itu. Sementara tanaman lain seperti koko, tomato dan cili pula menambahbaik diet pemakanan penduduk dari segi nilai nutrien.
Tidak ramai tahu, pengenalan spesies tanaman baru ini turut memberi impak besar kepada evolusi hidangan-hidangan tempatan. Tanpa serbuk cili, maka tidak akan terhasillah kari pedas India, paprika[4] di Hungary atau kimchi di Semenanjung Korea. Manakala tomato pula menjadi teras utama kebanyakan hidangan Mediterranean terutama di Itali.
Selepas ketibaan penjelajah Eropah di tanah Amerika pada abad ke-15, mereka perasan di benua ini terdapat banyak tanah yang luas dan sesuai dijadikan sebagai kawasan pertanian. Atas sebab itu, beberapa tanaman yang mendapat permintaan tinggi seperti kopi, tebu, kacang soya dan oren ditanam di Dunia Baru. Ini menyebabkan benua Amerika sebagai antara pengeluar utama komoditi-komoditi itu.
Contoh mudah, kentang. Kentang menjadi pilihan kebanyakan populasi Dunia Lama kerana menawarkan jumlah kalori dan nutrien yang banyak. Sejarawan sosial Profesor Kenneth Hugh Connell menyifatkan manusia boleh hidup dengan diet kentang dengan sokongan susu atau mentega kerana dua bahan itu mengandungi nutrien yang tidak ada dalam kentang. Diet sebegini menjadi pilihan populasi di Ireland dan menyumbang kepada pertumbuhan populasi sesebuah tempat.
Bagi tomato pula, ia menjadi sebutan orang Eropah menerusi sebuah teks pada 1544. Ia digelar sebagai epal emas oleh Mathiolus sekaligus menunjukkan semasa ia dibawa kali pertama ke Dunia Lama, warna tomato ketika itu ialah kuning dan bukan merah. Sejak itu, usaha penanaman tomato rancak dijalankan di Sepanyol, Itali dan Perancis.
Ia dibawa ke Asia oleh Sepanyol semasa mengadakan penjelajahan ke Filipina pada 1564. Di China pula, tomato tidak ditanam secara besar-besaran sehingga abad ke-20 atas alasan tomato merupakan makanan orang gasar yang datang dari selatan (berkemungkinan merujuk kepada kuasa-kuasa imperialis yang menduduki beberapa wilayah di Asia).
Walau apa pun persepsi orang terhadap tomato ketika itu, ia mengandungi nutrien dan vitamin termasuk vitamin A dan C. Penyelidik-penyelidik perubatan turut mendapati tomato mengandungi likopena, sejenis bahan anti-oksidan yang boleh mengurangkan risiko penyakit kanser.
Dan siapa sangka, penemuan Dunia Baru turut merintis jalan kepada aktiviti imperialisme kuasa-kuasa Eropah di negara-negara tropika. Penemuan yang dimaksudkan ialah k dari kulit pokok Chinchona di kawasan hutan pergunungan di Colombia, Ecuador, Bolivia dan Peru. Kuinina dilihat sebagai rawatan berkesan pertama untuk merawat demam malaria.
Ini menyebabkan Britain yang mempunyai impian melebarkan pengaruhnya di Timur Jauh termasuk rantau Nusantara menggesa Persatuan Diraja (Royal Society) menggiatkan lagi kajian mereka berkenaan kuinina. Pada tahun 1858, Taman Botani England diketuai Kew Gardens, England melaksanakan projek pemindahan pokok Chinchona bagi memastikan bekalan kuinina mencukupi untuk aktiviti imperialisme.
Dan mereka bersedia melakukan apa saja untuk melancarkan proses pemindahan termasuk pembelian, penyeludupan dan mencuri spesies pokok ini agar ia dibawa ke taman-taman botani di England, India dan Sri Lanka. Dalam tempoh beberapa dekad, aktiviti penghasilan kuinina dikembangkan lagi ke Singapura dan Hindia Timur Belanda (kini Indonesia). Menjelang tahun 1880, ia sudah menghasilkan dos mencukupi untuk 10 juta orang.
Sejarawan Philip D. Curtin menyifatkan tanpa bekalan kuinina, usaha penaklukan dan eksploitasi ekonomi kuasa-kuasa Eropah di negara-negara tropika sebagai mustahil. Ini kerana tanpa kuinina, kuasa-kuasa Eropah sudah pasti akan bergelut menambah bilangan ten-tera dan pentadbir diperlukan untuk mentadbir wilayah-wilayah ini. Selain itu, ia juga akan mengukuhkan keazaman warga tempatan untuk menghalau mereka kembali ke negara asal.
Selain kuinina, getah juga dianggap sumbangan terbesar Pertukaran Columbia. Walaupun getah banyak didapati dalam pelbagai spesies tumbuhan di seluruh dunia, dua spesies getah saja yang boleh dikomersialkan iaitu pokok getah Heva dari Amerika Tengah dan Selatan serta pokok menjalar liar yang ditemui di Afrika Tengah-Barat.
Bagi masyarakat asli, kegunaan getah mereka berbeza-beza. Di Afrika, getah digunakan sebagai pelekat untuk mengikat kepala anak pan-ah atau lem-bing pada batangnya. Sementara masyarakat orang asli Amerika pula memanfaatkan getah dengan cara mengasap lateks agar ia dibentuk menjadi gulungan getah yang boleh digunakan. Getah ini digunakan untuk menghasilkan barang seperti but, khemah, bola dan pelekat.
Orang-orang Eropah hanya mengetahui getah pada abad ke-18 hasil laporan penjelajah Perancis, Charles Marie de La Condamine[5] semasa menjalankan kajian di Amazon. Pada awalnya, getah hanya dikomersialkan sebagai bahan utama pembuatan kasut. Tetapi semua itu berubah apabila proses vulkanisasi diperkenalkan.
Proses ini termasuklah memanaskan getah dan menggabungkannya dengan bahan-bahan kimia bagi menghasilkan produk getah yang stabil dan boleh dimanfaatkan untuk sebarang jenis aplikasi. Sejak itu, pengeluaran getah bertambah daripada 2,500 tan pada 1851 kepada 25,000 tan pada 1881. Selepas tahun 1881, getah menjadi komoditi baru berharga di pasaran kerana boleh dijadikan sebagai penebat elektrik atau sebagai tayar basikal dan kenderaan bermotor.
Salah satu negara yang menjadi pengeluar getah utama ialah Congo Free State[6] dengan kadar pengeluaran antara 4,500 hingga 6,000 tan dari 1900 hingga 1908. Begitupun, pada era ini juga banyak pencabulan hak asasi manusia dilakukan demi memastikan kadar getah yang diperlukan dapat dieksport. Ini termasuk memba-kar kampung-kampung dan aktiviti pembu-nuhan beramai-ramai ke atas orang awam.
Berdasarkan pemerhatian John Loadman dari Universiti Oxford, Congo mengalami kemerosotan penduduk yang ketara seiring dengan peningkatan harga getah. Sebelum tahun 1880, populasi negara itu berjumlah 25 juta orang sebelum merosot kepada 7.7 juta orang pada 1923. Loadman menyimpulkan bagi setiap 10 kg hasil getah yang dikumpul, ia bersamaan dengan kos seorang penduduk Congo yang ma-ti.
Pertukaran Columbia turut membawa kepada migrasi secara paksa dan sukarela ke benua Amerika. Antara abad ke-16 hingga abad ke-19, lebih 12 juta orang Afrika dibawa ke benua Amerika untuk diperdagangkan sebagai hamba. Permintaan hamba amat tinggi dalam tempoh tersebut bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di ladang terutama selepas ramai orang asli Amerika kembali ke negeri cacing[7] akibat penyakit yang dibawa dari Dunia Lama.
Selepas Britain menguatkuasakan Akta Perdagangan Hamba 1807 dan Akta Pengharaman Perhambaan 1837, banyak kuasa Eropah beralih kepada buruh-buruh kontrak dari India dan China. Misalnya, dari pertengahan abad ke-19 hingga awal abad ke-20, 500,000 buruh kontrak dibawa dari India ke Kepulauan Carribean yang dikawal Britain.
Walaupun ramai individu menyertai usaha ini secara sukarela, layanan yang diberi terhadap mereka dan hamba dua kali lima sama[8]. Ini kerana dalam perlayaran ke Amerika, ramai yang ma-ti akibat kekurangan nutrien dan penyakit.
Abad ke-19 dan ke-20 turut menyaksikan pertambahan bilangan migrasi sukarela dari Dunia Lama. Dari 1851 hingga 1924, 45 juta orang memilih berhijrah ke benua Amerika dengan 34 juta memilih Amerika Syarikat dengan bakinya berhijrah ke Amerika Latin terutama Argentina dan Brazil. Antara 1850 hingga 1940, tujuh juta memilih berhijrah ke Argentina manakala 4.5 juta berhijrah ke Brazil.
NOTA KAKI:
[1] Masyarakat asli Carribean dan merupakan penghuni wilayah Cuba, Hispaniola, Jamaica, Puerto Rico, Bahamas dan Lesser Antilles. Walaupun disangka sudah tiada oleh penjajah Sepanyol akibat penularan penyakit berjangkit, keturunan mereka masih wujud menerusi perkahwinan dengan kumpulan-kumpulan etnik yang lain.
[2] Nama lama bagi Republik Dominica dan Haiti.
[3] Raja Perancis yang memerintah dari 1470 hingga 1498. Mangkat pada tahun 1498 selepas mengalami kecederaan serius apabila kepalanya terhantuk dengan ambang pintu Chateau d’Amboise.
[4] Sejenis serbuk perasa makanan yang diperbuat daripada sejenis lada merah.
[5] Penjelajah, ahli geografi dan ahli matematik Perancis abad ke-17.
[6] Wilayah Congo yang dimiliki secara peribadi oleh Raja Leopold II dari Belgium dari 1885 hingga 1908. Diilhak oleh Belgium pada 1908 bagi membolehkan sektor perlombongan dibangunkan dan diakses oleh pelabur-pelabur Belgium.
[7] Simpulan bahasa yang bermaksud ma-ti.
[8] Simpulan bahasa yang bermaksud sama saja.
RUJUKAN:
Nunn, N dan Qian, N. (2010). The Columbian Exchange: A History of Disease, Food, and Ideas. Journal of Economic Perspectives, Volume 24, No. 2, Halaman 163-168.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih