JIKA kita menggodek sejarah pemberontakan komunis di Sarawak boleh dikatakan untuk terjahan kali kedua gerila komunis yang didokong oleh Biro Kedua Parti Komunis Kalimantan Utara (BKPKKU) merupakan antara yang paling berani mereka lakukan. Ini kerana terjahan kali kedua ini menyaksikan mereka secara terang-terangan membuat pembunuhan, kekacauan dan pemusnahan harta awam berbanding sebelumnya.
Dek kerana itulah pada tanggal 25 Mac 1972, Rajang Area Security Command atau RASCOM telah ditubuhkan di Sarawak iaitu meliputi kawasan Lembah Rajang yang sering diganggugugat oleh komunis. Wilayah operasi RASCOM meliputi keseluruhan Bahagian Sibu, Sarikei dan Kapit yang mana disinilah sebenarnya berhimpun segala operasi memerangi komunis oleh anggota-anggota keselamatan kita suatu waktu dahulu.
Mengimbau cerita operasi memerangi komunis di Sarawak, pernah ada satu pertempuran yang melibatkan satu unit anggota renjer dan askar Melayu Diraja dari Kem Pagar Ruyong, Sibu dengan sekumpulan gerila komunis iaitu untuk lebih mengkhusus di Ulu Dap, Kanowit sekitar Mei 1972. Pada masa itu kumpulan anggota keselamatan kita ini dibawah ketuanya iaitu Kapten Hamid.
Pada tanggal 9hb Mei 1972, setelah siaga segala keperluan maka anggota renjer dan askar Melayu telah berlepas dari Sibu dengan menggunakan bot TLDM menuju ke Nanga Dap. Semasa zaman komunis berleluasa, sebarang perjalanan anggota keselamatan kita akan diatur dengan sebaik mungkin bagi memastikan kelancaran satu operasi. Makanya perjalanan anggota renjer dan askar Melayu dari Kem Pagar Ruyong ini berlepas sekitar jam 5 petang dan tiba di Nanga Dap menjelang tengah malamnya.
Sudah pasti perjalanan air yang jauh itu mengundang seribu kepenatan kepada anggota keselamatan kita dan belum lagi habis lelahnya pada awal pagi iaitu pada 10 Mei 1972, anggota renjer dan askar Melayu sudah dikerahkan untuk memulakan perjalanan darat pula. Bukan dengan menaiki kenderaan tentera sebaliknya berjalan kaki menuju ke Ulu Dap iaitu lokasi yang diperintahkan kepada mereka.
Hendak dijadikan cerita setelah berjalan kaki hampir tiga jam, kumpulan anggota keselamatan kita telah menemui satu tapak perkhemahan kosong yang dipercayai milik gerila komunis. Berdasarkan kepada pemerhatian dengan adanya bukti-bukti fiskal bahan makanan di tapak tersebut berkemungkinan besar pada malam sebelumnya, gerila komunis telah merayakan perayaan Chap Goh Meh di tapak perkhemahan itu. Jadi anggota renjer dan askar Melayu yang terlibat sudah mengetahui bahawa musuh yang mereka cari tidaklah jauh daripada kedudukan mereka maka sebarang pergerakan mereka harus lebih berhati-hati lagi selepas ini.
Pada keesokan harinya iaitu 11 Mei 1972, kumpulan renjer dan askar Melayu ini telah berhenti rehat di satu kawasan cabang anak sungai iaitu kira-kira 1 batu jauhnya dari Rumah Panjang Ubong. Pada ketika itulah seorang anggota renjer yang bernama Trooper Sigai anak Nawan telah berjumpa dengan Kapten Hamid yang merupakan ketua untuk operasi ini bagi membenarkan beliau dan Trooper Kandasamy untuk membuat rondaan di kawasan kebun lada tidak jauh daripada mereka.
Setelah kebenaran diberikan, Trooper Sigai dan Trooper Kandasamy telah mula membuat rondaan keselamatan sehinggalah pada satu lokasi langkah kaki kedua-duanya terhenti di satu kawasan yang mana menyaksikan seperti denai-denai sengaja diatur dengan baik bagi mengelakkan dikenali. Bagi seorang anak Iban yang sememangnya terkenal sebagai pakar penjejak di hutan, hal seperti ini mengundang 1001 perasaan curiga di kotak fikirannya.
Bermula daripada detik itu juga, Trooper Sigai mengarahkan rakannya iaitu Trooper Kandasamy untuk sentiasa mengekorinya dari jarak dekat. Dan ternyata naluri seorang penjejak Iban itu tidak pernah mengecewakan kerana di satu lokasi di dalam kebun lada itu, mereka terjumpa pula sisa-sisa buah nenas yang baharu sahaja dikupas kulitnya. Penemuan ini juga menunjukkan bahawa bukan mereka sahaja yang berada di dalam kebun lada tersebut.
Dengan langkah berhati-hati, Trooper Sigai terus maju ke depan sementara Trooper Kandasamy pada masa itu dikatakan sedang membuang air kecil di satu kawasan pokok. Pada waktu itulah tanpa keduanya sedari terdengar satu tembakan langsung mengena posisi dimana rakannya Trooper Kandasamy berada. Trooper Sigai yang sedang di dalam posisi bertahan lantas mendapatkan rakannya yang sedang menjerit kesakitan.
Rupa-rupanya Trooper Kandasamy mengerang kesakitan bukanlah kerana beliau telah ditembak sebaliknya beliau telah dihempap oleh beberapa ranting pokok yang sengaja ditembak oleh musuh pada masa itu. Walau didalam keadaan kesakitan dan hanya mereka berdua sahaja, langsung Trooper Sigai dan Trooper Kandasamy tidak beralah.
Namun begitu, dek kerana kecederaan Trooper Kandasamy pada masa itu juga menyebabkan beliau tidak mampu bergerak lebih banyak.
Trooper Sigai meminta rakannya untuk bertahan di pohon tersebut sementara menunggu anggota pasukan mereka yang lain datang. Ini kerana, Trooper Sigai pasti bahawa Kapten Hamid dan seluruh anggota yang sedang menikmati makan tengahari di cabang anak sungai tidak jauh dari kebun lada mampu mendengar bunyi tembakan musuh. Sudah tentu mereka akan berkejar ke lokasi mereka berdua pada masa itu.
Sementara itu, Trooper Sigai biar hanya berseorangan tetap mengejar musuh yang cuba melepaskan diri. Dari kejauhan beliau mendengar bunyi bising tembakan musuh yang menyasarkan di mana Trooper Kandasamy berada. Serentak dengan itu juga, beliau turut mendengar tembakan balas yang mana menunjukkan bahawa Trooper Kandasamy tidak berseorangan malah telah mula dibantu oleh rakan-rakannya yang lain.
Hampir pada satu kawasan berlembah, Trooper Sigai yang mengejar komunis seorang diri dapat melihat dengan jelas satu kumpulan komunis yang sedang di dalam keadaan cemas mengemas barangan mereka. Ternyata kumpulan komunis ini sudah mula goyah dengan ketibaan rakan-rakan Trooper Sigai yang lebih ramai pada masa itu. Tanpa menunggu lebih lama hamburan peluru dari senjata Trooper Sigai disasarkan ke arah kumpulan komunis tersebut.
Terkejut dengan tembakan bertali arus dari Sigai yang kemudiannya disertai oleh Trooper Ismail menyebabkan kumpulan komunis ini turut membuat tembakan balas. Maka bermulalah episod dua orang anggota renjer berhadapan dengan segerombolan gerila komunis di dalam satu masa. Dek kerana itulah juga gerila komunis ini mampu meloloskan diri akhirnya. Sekiranya anggota keselamatan yang lain mampu menyertai Sigai dan Ismail dengan cepat sudah tentu impak lebih besar akan mengenai kumpulan komunis tersebut.
Setelah reda, anggota keselamatan dibawah Kapten Hamid mula melakukan pencarian dan akhirnya menemui dua mayat komunis di kawasan sekitarnya. Adalah dipercayai kedua-dua komunis itu terkena tembakan Trooper Sigai. Selain daripada itu mereka juga turut menemui beberapa laras senjata dan peluru yang tidak sempat dibawa oleh kumpulan komunis itu ketika melarikan diri.
Hendak dijadikan cerita, di ketika sedang di dalam perjalanan untuk ke khemah mereka di cabang anak sungai itulah baru mereka sedari bahawa hampir setiap ruang kawasan telah diletakkan jerangkap samar oleh komunis. Mungkin nasib menyebelahi anggota keselamatan kita pada mulanya jika tidak besar lagi kemusnahan akan berlaku.
Oleh kerana kumpulan komunis yang ditentang mereka mampu meloloskan diri pada awalnya maka operasi mereka masih belum tamat. Makanya dengan bantuan 16th Askar Melayu Diraja yang juga berada di kawasan sekitar telah diarahkan untuk membawa keluar dua mayat komunis tersebut. Kedua-duanya diterbangkan ke Sibu dengan menggunakan helikopter TUDM bersama-sama dengan Sarjan Selamat terkena demam panas sewaktu di dalam operasi.
Sekitar jam 3 petang, kedudukan anggota renjer dan askar Melayu dibawah Kapten Hamid diatur semula. Kali ini perancangan yang lebih berkesan digunakan iaitu mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan. Kumpulan pertama yang juga barisan hadapan diketuai oleh Koperal Entabah dianggotai oleh Kapten Hamid dan Sigai sendiri. Ketiga-tiga kumpulan bergerak sebaik mungkin untuk mengejar kumpulan komunis tersebut. Mereka berada tidak jauh di antara satu sama lain bagi tujuan keselamatan. Oleh kerana hari sudah menjelang malam dan keadaan sudah semakin gelap akhirnya mereka sepakat untuk berehat dan makan serta memulihkan tenaga pada satu lokasi masih lagi di dalam kawasan Ulu Dap.
Tanggal 12 Mei 1972, Trooper Sigai dan rakan anggotanya memulakan pencarian kumpulan komunis itu semula. Mereka mengekori denai-denai yang telah ditinggalkan oleh kumpulan tersebut. Sehinggalah menjelang petang iaitu ketika berada betul-betul di bahagian atas Sungai Dap, denai-denai itu sudah berpisah menjadi dua yang mana menunjukkan bahawa kumpulan komunis sudah berpecah menjadi kumpulan kecil.
Boleh dikatakan sudah hampir 48 jam, Trooper Sigai dan rakan seperjuangannya tidak cukup tidur mahupun makan sejak menjejakkan kaki di Ulu Dap. Sebelah siangnya iaitu 13 Mei 1972 pula ketika sedang membuat rondaan itulah sekali lagi Sigai yang berada di barisan hadapan menemui jejak yang masih baru tinggalan komunis. Penemuan ini dikhabarkan kepada Kapten Hamid yang mana pada ketika itulah kesemua mereka pasti bahawa inilah detik pertempuran sebenar dengan kumpulan komunis tersebut.
Bagi memastikan kesemua anak buahnya bersedia dan cukup tenaga, Kapten Hamid mengarahkan agar anggotanya untuk menjamah makanan yang dibekalkan. Usai segalanya sekali lagi kepakaran Trooper Sigai dituntut dengan beliau menjadi ketua penjejak pada masa itu. Apabila sampai di satu kawasan atas bukit, beliau peka dengan bunyi bising dari arah lembah bukit tersebut dan disaat itulah beliau bersama Koperal Entabah dan Trooper Budin mampu melihat hampir 25 orang gerila komunis sedang berehat tetapi tetap siaga dengan senjata masing-masing.
Tidak mahu menanggung risiko untuk kumpulan komunis ini mampu meloloskan diri buat kali kedua maka Trooper Sigai merujuk hal tersebut kepada ketuanya Kapten Hamid. Kesemua mereka berundur tidak jauh daripada puncak bukit sambil mengatur strategi menyerang yang lebih rapi. Semangat anggota keselamatan yang terlibat pada operasi ini adalah pada tahap yang tinggi. Hilang penat dan lapar mereka apabila melihat kumpulan komunis durjana di depan mata.
Bila sahaja mendapat arahan daripada Kapten Hamid maka suasana hutan yang sunyi di Ulu Dap dipecahkan oleh bunyi peluru dari senjata dan bom tangan kedua-dua pihak. Mereka berjuang sehingga ke titisan keringat yang terakhir. Ada satu ketika Lans Koperal Mohd Ali yang sedang melaraskan senjata LMG iaitu satu-satunya senjata berat yang mereka ada telah terkena tembakan musuh terlebih dahulu. Koperal Mohd Ali cedera malah senjata LMG itu juga langsung sudah tidak boleh digunakan.
Walau tiada lagi senjata yang lebih berkesan bagi mematahkan hujan peluru daripada musuh, kesemua anggota keselamatan dibawah Kapten Hamid langsung tidak beralah. Mereka bertempur sehabis mungkin dengan menggunakan senjata yang ada. Akhirnya pertempuran di Ulu Dap itu reda juga apabila kumpulan komunis itu buat kali kedua berjaya meloloskan diri.
Pada pertempuran ini, beberapa orang anggota mengalami kecederaan ringan manakala Lans Koperal Mohd Ali gugur sebagai bunga bangsa. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir sekitar jam 8.00 malam akibat pendarahan yang banyak. Bantuan udara untuk membawanya mendapat rawatan tidak mampu dilakukan kerana cuaca semakin gelap dan kesukaran untuk membuat pendaratan.
Inilah antara cerita pertempuran yang mewarnai zaman komunis berleluasa di Sarawak suatu waktu dahulu. Pertempuran di Ulu Dap, Kanowit menyaksikan anggota keselamatan kita bertempur dengan sekumpulan komunis yang sama pada hari yang berbeza iaitu 11 dan 13 Mei 1972. Lokasinya juga berbeza malah kedua-duanya menyaksikan komunis mampu meloloskan diri.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui kewujudan cerita pertempuran ini namun bukanlah bermakna kita boleh melupakannya. Sesungguhnya keamanan yang kita miliki sekarang adalah hasil kudrat dan keringat anggota keselamatan kita yang berjuang tanpa mengira bangsa dan agama. Kesemuanya dilakukan untuk tanahair mereka yang tercinta iaitu Negara Malaysia.
Lest We Forget!
-HB-
#KamekSayangSarawakBah!
Rujukan:
1. Trooper Sigai Anak Nawan
http://www.7rangers.com/2008/02/901370-trooper-sigai-anak-nawan-pingat.html
2. ESSCOM: Learning from Sarawak Experiences
3. Sejarah Pingat Gagah Berani (PGB)
http://un2ukdia.blogspot.my/2013/12/sejarah-pingat-panglima-gagah-berani-pgb.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih