Sebelum ini, dalam artikel saya yang lepas, kita belajar tentang Pertempuran Thermopylae di mana dalam pertempuran ini, kita belajar usaha Xerxes untuk menundukkan seluruh Yunani ke bawah taklukannya dihidangkan dengan jalan yang penuh dengan mimpi ngeri oleh 7000 askar Yunani sebelum berakhir dengan kemenangan tipis. Itu pun sebab pengkhiantan dari pihak Yunani itu sendiri.

Kita juga belajar bahawa dalam pertempuran yang lain, Athens memimpin angkatan laut Yunani berdepan dengan bala kapal-kapal Parsi di Arthemisium, dan dalam pertempuran itu, ianya berhasil dengan keputusan seri di mana Athens terpaksa berundur untuk kembali membuat persediaan baru bagi menahan gempuran Parsi.

Maka dalam siri penaklukan Parsi ke atas Yunani, maka kalau kita ketinggalan berbicara tentang Pertempuran Salamis, maka kita sebenarnya sudah ketinggalan salah satu daripada pertempuran laut yang dibariskan antara paling mengagumkan untuk dikaji dalam sejarah.

Analisis awal yang boleh kita gerakkan sebelum kita panjangkan lagi perbincangan kita adalah seperti berikut:

1. Gabungan Negara Kota Yunani

Komander perang:

• Eurybiades (Sparta) 
• Themistocles (Athens)

Bilangan kapal:

378 Buah Kapal

2. Parsi (Dinasti Achaemenid)

Komander perang:

Xerxes I 
Artemisia I dari Caria (laksamana perempuan pertama dalam sejarah) 
Ariabignes 

Bilangan kapal:

Lingkungan 900 – 1207 buah kapal.

Dari analisis awal yang saya paparkan pada kalian, maka kita mengetahui bahawa kapal yang dibawa oleh Xerxes kali ini betul-betul mengatasi jumlah kapal yang dimiliki oleh gabungan-gabungan negara kota Yunani dengan kapal jenis Triemes dan Penrekonters. Maka, bagaimanakah gabungan negara kota Yunani mahu berdepan dengan jumlah kapal yang maha banyak yang didatangkan oleh Xerxes untuk menggempur mereka? Maka buat sekian kalinya, dunia menyaksikan sebuah lagi pertempuran hebat yang akan dikenang sehingga 2000 tahun kemudiannya.

Baik, apa kata kita mulakan cerita kita tentang perdebatan hangat antara dua komander perang yang berpengaruh dalam pertempuran ini? Perdebatan mereka tentang memilih lokasi pertempuran. Eurybiades berterusan menentang idea Themistocles untuk memilih Salamis sebagai medan tempur, sebaliknya mencadangkan agar mereka semua berperang dekat dengan perairan sebuah negara kota Corinth supaya mereka dapat berundur ke tanah besar sekiranya pertempuran ini akan berakhir dengan kegagalan.

Perdebatan antara Themistocles dan Eurybiades ini hampir sahaja berakhir dengan ugutan Eurybiades yang mahu menyerang angkatan kapal Athens, tetapi Themistocles tetap tenang dengan menyatakan sesuatu kepada Eurybiades.

“Seranglah tapi sebelum itu, tolong dengar!”

Eurybiades terus terdiam lalu Themistocles terus berhujah dengan mengutip ramalan orang kuat agama di Sparta bahawa mereka akan menang pertempuran dengan Parsi sekiranya bertahan menggunakan dinding kayu. Themistocles mengatakan bahawa tembok kayu yang dimaksudkan oleh mereka itu merujuk pada kapal-kapal kayu yang bertahan di laluan sempit di Salamis. Lagi-lagi apabila ada orang Athens yang terdengar ramalan itu terus membina tembok kayu dalam laluan ke Acropolis sebelum ianya dibakar sendiri oleh Parsi, dan orang Athens yang bodoh itu pun terbunuh.

Rancangan Eurybiades yang asal adalah mahu membina dinding mereka sendiri, menghalang kemaraan Parsi. Tetapi Themistocles mengatakan bahawa ia adalah perbuatan bunuh diri apabila memberi peluang untuk Parsi untuk terus mengisi bekalan makanan mereka dan meneruskan perang!

Tetapi saya kagum dengan Themistocles yang sangat bijaksana. Dia benar-benar mengunakan situasi pertelingkahannya dengan Eurybiades dan mengarahkan seorang hamba untuk berlakon seperti berpaling tadah pada Xerxes, lalu menyampaikan berita palsu kononnya Themistocles dan Athens mengambil keputusan untuk kembali ke Athens memandangkan tidak bersetuju tentang lokasi pemilihan pertempuran. Anda semua masih ingat lagikah kisah Ephilades, pengkhianat Yunani ketika di Pertempuran Thermopylae?

Ephialtes telah mendedahkan laluan rahsia kepada Xerxes untuk menewaskan barisan pertahanan Yunani di Thermopylae. Dan kalau ada orang yang berpaling tadah daripada Yunani, pastinya Xerxes tidak akan mengsia-siakannya memandangkan orang pertama yang berbuat demikian membuahkan hasil kepada Xerxes. Maka hamba yang bernama Sicinnus itu pun mengatakan bahawa Athens dan Sparta sedang bertengkar tentang lokasi pertempuran lalu Themistocles memilih untuk meninggalkan medan pertempuran pada waktu malam.

Lalu pada waktu malam pertempuran itu, Xerxes pun mengarahkan kapal-kapalnya untuk mencari dan menjejak lokasi kapal Athens, namun mereka tidak menjumpai sebuah kapal pun. Padahal pada malam itu, semua penghuni kapal Athens sedang tidur nyenyak manakala Xerxes dan askar-askarnya terpaksa berjaga sampai pagi.

Pada keesokan harinya, seluruh ketumbukan kapal Parsi keletihan dek pencarian yang sia-sia itu. Namun Xerxes tetap mengarahkan kapal-kapal Parsi untuk terus menggempur armada Yunani. Dilaporkan bahawa Themistocles mengarahkan armada Corinth untuk berpura-pura berundur ke arah kawasan laut yang cetek airnya serta kecil untuk menarik kapal Parsi ke tempat itu. Themistocles yang sudah mengkaji keadaan muka bumi di Salamis memang mengetahui bahawa armada Parsi yang jauh lebih besar dan banyak itu akan mengalami kesukaran untuk bergerak di tempat yang dipilih oleh Themistocles.

Maka di teluk tempat armada kapal Parsi terperangkap, mereka dibantai dengan teruk oleh kapal-kapal Yunani yang dibina sesuai dengan bentuk muka bumi di Salamis. Parsi cuba berpatah balik, tetapi entah bagaimana, alam seperti memihak pada Yunani dan angin yang kuat terus memerangkap mereka. Perang berlaku dengan sangat dasyat dan dilaporkan bahawa jeneral perang Xerxes, Ariamenes yang cuba menyerang kapal Themistocles terbunuh dalam pertempuran itu.

Dicatatkan juga Parsi tidak menyerah kalah lalu menghantar gelombang demi gelombang untuk menentang kapal Yunani di teluk itu. Tetapi oleh kerana keadaan teluk itu yang sempit dan kapal Parsi yang besar, maka ianya berhasil dengan kegagalan. Kapal Yunani betul-betul bertahan dengan hebat di teluk sempit tadi. Dicatatkan bahawa jumlah kapal Parsi yang mengalami kekalahan mencecah sehingga 300 buah kapal manakala Yunani sekadar kehilangan 40 buah kapal.

Xerxes yang memerhati bagaimana kapal-kapalnya dihancurkan oleh askar-askar Yunani hanya mampu memerhati dari atas takhta emasnya. Dia sempat memuji Artemisia dengan menyatakan bahawa hari ini, dia menyaksikan bagaimana jeneral lelakinya menjadi perempuan, manakala jeneral perempuannya menjadi seorang lelaki. Ini mungkin kerana Artemisia sahajalah yang berani bertempur dengan Yunani sehingga menghapuskan 9 buah kapal Athens seorang diri!

Hasil daripada Pertempuran Salamis ini, ia telah mengubah terus hala Perang Yunani-Parsi. Xerxes telah mengarahkan hampir seluruh askarnya untuk berundur ke Hellespont manakala Xerxes kemudiannya terus balik ke Parsi, meninggalkan Mardonius untuk memimpin saki-baki askar Parsi dalam misi penaklukan Parsi yang seperti sedang berdepan dengan kegagalan itu.

Apa-apa pun dari pertempuran ini, kita mendapati bahawa keegogan Xerxes yang menyangka bahawa armada lautnya mampu menewaskan armada laut yang dibawa oleh Yunani. Dan keegoan Xerxes yang terus percaya dengan khabar yang dibawa oleh hamba yang dikirimkan Themistocles dan ilusi armada Corinth cabut lari telah memakan diri Xerxes sendiri. Xerxes menyangka bahawa dengan bala askar yang berkali-kali ganda daripada Yunani, mampu untuk menundukkan musuh tetapi sebaliknya yang berlaku.

Perancangan yang rapi dan strategi perang yang ampuh sudah cukup untuk menumpaskan musuh. Sesungguhnya Xerxes memalukan legasi datuknya iaitu Cyrus The Great yang terkenal sebagai jeneral perang yang sangat hebat. Namun, kebijaksaan Themistocles yang tenang mengawal situasi ketika pertelingkahan dengan sekutu dan merancang strategi dan taktikal ampuh harus dikenang oleh kita semua!


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Leave A Reply