Jika disebut Sultan Muhammad al-Fatih dengan kisah penaklukan Contantinople, acap kali kita pernah mendengarnya tetapi saya pasti ramai di antara kita yang jarang atau langsung tidak pernah mendengar kisah Pertempuran Nicopolis. Saya pun tidak pasti mengapa peristiwa ini jarang diperkatakan oleh sejarawan Islam sedangkan sejarawan Barat sering mengambil kisah ini sebagai panduan dan strategis mereka.
Berlaku pada tahun 1396 di antara tentera Uthmaniyyah dengan gabungan tentera Salib dari Hungary, Perancis, Empayar Rom Suci, England, Scotland, Jerman, Wallachia, Poland, Venice, Genoa, Knights of St. John dan Knights Hospitaller dari Rhode.
Ia juga sering dirujuk sebagai ‘Perang Salib Nicopolis’ dan peperangan yang melibatkan paling ramai tentera di kedua-dua belah pihak. Pertama kali tentera Uthmaniyyah berhadapan dengan tentera Salib dari Eropah Barat (sebelum ini pertempuran hanya membabitkan tentera musuh dari Eropah Timur).
Selepas kemenangan Uthmaniyyah dalam Perang Kosovo tahun 1389, mereka telah menakluki hampir seluruh Balkan, mengecilkan kawasan Empayar Byzantine kepada kawasan sekitar Constantinople sahaja. Kota Nicopolis yang menjadi ibu kota Kerajaan Bulgaria jatuh ke tangan Islam pada tahun 1393 memaksa rajanya Tsar Ivan Shishman tunduk kepada kekuasaan Sultan Bayazid Yildirim atau dikenali sebagi ‘Halilintar’.
Kerajaan Hungary kini satu-satunya garis pemisah antara Islam dan Kristian di Eropah Timur. Dalam masa yang sama, Kerajaan Venice turut merasa khuatir sekiranya penguasaan mereka di Laut Adriatik akan terjejas disebabkan perkembangan agama Islam.
Pada tahun 1394, Pope Boniface IX mengisytiharkan perang salib yang baru terhadap Uthmaniyyah. Dua kerajaan utama di Eropah yang bermusuhan iaitu England dan Perancis yang ketika itu terlibat dalam Perang Seratus Tahun di Perancis menyambut seruan Pope dan melakukan gencatan senjata.
Raja England, King Richard II dan Raja Perancis, King Charles VI bersetuju untuk membiayai perbelanjaan perang dan menghantar tentera. Rundingan menubuhkan pakatan tentera kristian turut diadakan antara Perancis dan King Sigismund dari Hungary untuk mengekang kemaraan tentera Islam di Eropah Timur.
Pada bulan April 1396, kontingen dari Perancis mula bergerak dari Montbéliard ke wilayah Hungary diketuai John de Nevers dengan kira-kira 10,000 anggota yang kebanyakkannya tentera berkuda. England menghantar 1,000 tentera sementara 6,000 tentera Jerman didatangkan khas dari Palatinate, Bavaria dan Nuremberg.
Turut serta ialah 10,000 tentera Wallachia dibawah pimpinan puteranya, Mircea cel Bătrân seorang Kristian Ortodok. Pada bulan Mei, persekutuan kristian ini akhirnya tiba di Vienna dan pada bulan Julai 1396, mereka bergabung dengan tentera Hungary yang diketuai King Sigismund di Buda.
Strategi Sigismund pada awalnya hanya untuk bertahan sementara menunggu ketibaan tentera Islam yang akan menyerang mereka. Tetapi pemimpin dari Perancis enggan berbuat demikian kerana bagi mereka, kedatangan mereka ke sana bukan untuk bertahan tetapi melakukan serangan.
Akhirnya Sigismund terpaksa menurut sahaja kehendak pasukan sahabat mereka dan meneruskan kemaraan ke arah Nicopolis. Sepanjang perjalanan, mereka merompak setiap perkampungan Islam yang ditemui termasuk kota Rahovo yang digeledah, penduduknya dibunuh manakala yang hidup dijadikan tawanan.
Sementara itu, armada gabungan kristian dari Venice, Genoa dan Knight of St. John memulakan pelayaran ke Sungai Danube, menyusuri anak-anak sungai dan akhirnya bertemu dengan gabungan tentera Sigismund di Nicopolis pada 10 September. Kota Nicopolis serta-merta dikepung tentera Salib yang kini berkekuatan kira-kira 130,000 tentera tetapi pertahanan kota ini terlalu kukuh dengan para pejuang Islam bermati-matian mempertahankannya sementara menunggu kedatangan pasukan bantuan.
Sultan Bayazid I yang ketika itu sedang mengetuai kepungan ke atas kota Constantinople, mula mengumpulkan pasukan Islam dan mara ke Nicopolis untuk membantu saudara Islam yang sedang terkepung di sana. Di pertengahan jalan, sekutu sultan iaitu Stefan Lazarevic dari Serbia dan 20,000 tenteranya bergabung dengan pasukan muslimin. Pasukan gabungan Uthmaniyyah ini akhirnya tiba di Nicopolis pada 24 September dengan kira-kira 60,000 tentera.
Pada 25 September, kedua-dua pasukan mula melakukan persiapan peperangan. Bayazid membentuk formasi dengan barisan hadapan dibarisi oleh tentera-tentera berkuda, diikuti pasukan pemanah dan Inkisyariyah atau Janissari. Pasukan utama Uthmaniyyah dan Serbia pula diletakkan di sebalik bukit bagi mengabui mata musuh.
Di pihak musuh pula, tentera dari Perancis dan England membentuk barisan hadapan sementara Sigismund mengetuai tentera Hungary dan Jerman di bahagian tengah, tentera dari Transylvania di sayap kanan dan Mircea cel Bătrân yang mengetuai tentera dari Wallachia di sayap kiri.
Sigismund mencadangkan agar mereka bersabar dan menunggu serangan dari pasukan Islam terlebih dahulu. Sekali lagi pasukan Perancis menampakkan sikap gelojoh dan kurang sabar mereka. Mereka menyerbu ke arah barisan hadapan tentera Islam dan berjaya memperolehi kemenangan awal.
Kesatria baju besi Perancis bukan tandingan pasukan infantri Islam, justeru 10,000 mujahid terkorban. Keangkuhan kesatria Perancis diteruskan apabila mereka menyerbu pasukan berkuda Islam. Kali ini 5,000 pejuang syahid. Tidak puas dengan kejayaan yang dikecapi, tentera Salib terus mengejar tentera Islam sehingga ke atas bukit yang menjadi tempat persembunyian pasukan utama muslimin.
Apabila sampai di puncak bukit, barulah pasukan musuh tadi sedar mereka terperangkap di hadapan pasukan besar yang terdiri dari gabungan tentera Islam Uthmaniyyah dan Serbia. Ketakutan mula menyelubungi mereka ditambah pula dengan keletihan selepas mengejar tentera Islam. Mereka dengan mudah dihancurkan, semuanya terbunuh termasuk komandernya, Jean de Vienne. Yang hidup pula menjadi tawanan antaranya John de Nevers, Enguerrand VII de Coucy dan Jean Le Maingre.
Melihatkan kekalahan yang melanda pasukan Perancis tadi, ketumbukan dari Transylvania dan Wallachia mula berundur dari medan pertempuran. Namun, Sigismund meneruskan serangan bagi membantu tentera Perancis yang tertawan tadi dan bertembung dengan Bayazid. Pertempuran kedua-dua belah pihak hampir tiada kesudahannya sehinggalah pasukan sekutu Islam dari Serbia masuk bertempur.
Tentera Kristian menderita kekalahan teruk. Sigismund berjaya melarikan diri melalui jalan laut merentasi Laut Hitam, Laut Aegean dan Mediterranean. Walhal sebelum ini beliau dengan sombongnya pernah berkata “Andaikata langit runtuh, maka akan kami tangkap dia dengan kekuatan pasukan kami.”
Pada 26 September, Sultan Bayazid memerintahkan 3,000 tawanan dibunuh atas balasan kerana merompak dan membunuh penduduk Rahovo. Bagi pembesar-pembesar Kristian yang di tawan dan mampu, mereka membayar tebusan dan kemudian dibebaskan dengan syarat tidak memerangi Islam di kemudian hari.
Kata sultan “Saya membolehkan kamu tidak mentaati sumpah ini, kamu boleh sahaja kembali berperang menentang saya. Sebab tidak ada satu hal pun yang lebih saya senangi daripada memerangi semua Kristian Eropah dan saya menang ke atas mereka.”
Selepas peperangan ini, kesatria-kesatria dari Eropah Barat mula hilang semangat untuk meneruskan Perang Salib di Balkan. Tiada lagi dibentuk pakatan atau gabungan yang besar seperti di Nicopolis. Tiada lagi ekspedisi yang dilancarkan oleh mereka.
Perjuangan mereka hanya diteruskan di Sepanyol dan sekitar Mediterranean. England dan Perancis pula meneruskan kembali Perang Seratus Tahun mereka. Dengan ini telah memudahkan Sultan untuk merancang penaklukan Constantinople yang akhirnya berjaya direalisasikan oleh Sultan Muhammad al-Fatih pada tahun 1453.
Kenyataannya, sehingga sekarang peristiwa ini masih lagi menjadi igauan kepada orang-orang barat sungguhpun sudah lebih 600 tahun ianya berlaku. Nicopolis merupakan satu kekalahan yang amat dahsyat bagi mereka. Dendam kesumat masih membara sehingga kini. Walaupun kini Empayar Uthmaniyyah hanya tinggal sejarah, namun setiap langkah untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam mesti dan wajib dicantas oleh pihak barat khususnya di Turki dan semua negara Islam amnya.
RUJUKAN:
Battle of Nicopolis 1396 Hungarian Crusade DOCUMENTARY. https://www.youtube.com/watch?v=v_0-Vc7uA4g
Grant, R.G. (2005). Battle: A Visual Journey Through 5,000 Years of Combat. London: Dorling Kindersley.
Nicolle, David (1999). Nicopolis 1396: The Last Crusade.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih