Siapa yang mungkin mengetahui bahawa kota Mohacs yang sekarang berada di bawah negara Eropah Hungary telah menjadi saksi kepada perang yang besar antara Turki Uthmaniyyah dan juga Eropah. Mohacs ini boleh dikira kawasan strategik sebelum sampai ke kota kota Eropah yang lebih besar seperti Vienna di Austria, Poland dan sebagainya. Kawasannya yang terletak berhampiran Sungai Danube lagi merancakkan pembangunan kota ini yang dikenali sebagai Kota Dua Mata kerana telah menyaksikan dua perang besar oleh kumpulan yang sama.
Pada 29 Ogos 1526 bersamaa 12 Dzul Qa’dah 932 H adalah tarikh keramat yang menyaksikan dua pertembungan epik di antara Turki Uthmaniyyah dan juga Pakatan Eropah. Tarikh ini menjadikan Eropah dan kerajaan Kristian yang lain saat itu sesak nafas dan juga trauma untuk berhadapan dengan empayar Islam dan ini menjadikan dendam kepada generasi Islam seterusnya.
Kenapa orang Eropah terlalu trauma? Mereka trauma kerana ini kekalahan yang tidak terjangka oleh Pakatan Eropah menentang tentera Sultan Sulaiman Al Qanuni di Perang Mohacs I. Ada pepatah yang berbunyi, “Worse was lost at Mohacs”(Kekalahan terburuk kita adalah di Mohacs) – Pepatah Hungaria.
Bukan tanpa sebab pepatah itu diada adakan. Ia membuktikan bahawa perang ini telah mengubah landskap masyarakat Eropah yang terlalu yakin dengan Pakatan mereka yang terbesar berbanding tentera Empayar Turki Uthmaniyyah. Pertempuran Mohacs I adalah sebuah pertempuran terbesar antara Pakatan Suci Kristian Eropah dan Empayar Turki Uthmaniyah ketika zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Al Qanuni yang lebih dikenali sebagai Sulaiman The Magnificient.
Perang ini terjadi kerana Raja Hungaria ketika itu, Raja Louis II, membunuh utusan yang dihantar oleh Sultan Sulaiman untuk mengutip Jizyah (Upeti) yang biasa diberikan oleh Louis II ketika pemerintahan Sultan Selim I. Kesilapan Raja Louis II adalah dengan menganggap Sultan Sulaiman ketika itu yang berumur 26 tahun sebagai anak muda yang tidak kuat dan tidak boleh melawan seperti ayahandanya, Sultan Selim I. Maka, dia membunuh utusan tersebut dengan bongkaknya dengan sokongan oleh Paus Clement VII. Peristiwa ini telah sampai ke telinga Sultan Sulaiman.
Sultan Sulaiman telah mengumumkan perang terhadap Kerajaan Hungaria dan juga Eropah. Baginda menyiapkan tenteranya yang terbaik seramai 100 000 orang dan 350 meriam serta mengerahkan 800 armada perang untuk menghalang sebarang bantuan dari laut oleh Eropah kepada Kerajaan Hungaria. Kali ini, Sultan Sulaiman sendiri turun mengetuai perang seperti yang pernah dilakukan oleh Sultan Muhammad Al Fateh dengan menempuh jarak sepanjang 1000 KM berjalan kaki ke medan pertempuran.
Sepanjang perjalanan, Sultan Sulaiman bersama tenteranya telah menundukkan kota kota yang mereka lalu dan diantaranya adalah kota Belgrade (Ibu Kota Serbia kini). Sebab mereka melakukan ini adalah untuk mengamankan jalan pulang ketika selesai perang nanti.
Mendengar bala tentera Uthmaniyah mula memasuki wilayah Hungaria, maka Raja Louis II berasa gusar kerana bakal berhadapan dengan raja muda yang kuat serta lebih lincah daripadanya di medan perang. Maka dengan bantuan Paus Clement VII, pakatan telah dibentuk dengan jaminan penghapusan dosa bagi siapa yang menyertai perang suci itu.
Inilah pakatan terbesar yang dibentuk dengan disertai oleh Croatia, Serbia, Kekaisaran Romawi Suci Vatikan, Kerajaan Bohemia, Kerajaan Poland, Itali, Sepanyol, Swiss, Luxembourg dan Jerman.. Nampaknya mereka bersungguh mahu membenam tentera Islam dan agama tauhid dari dunia ini.
Setelah selesai Solat Subuh dan Fajar yang diimamkan oleh Sultan Sulaiman, Baginda mengumpulkan tentera. Sultan Sulaiman memandang tentera dengan bangga tanpa sedar air mata mula membasahi pipi Baginda sambil berkata,“Saya saat ini seperti dalam posisi Rasulullah saw menyaksikan kalian semuanya.” Ucapan Sultan Sulaiman membuatkan tenteranya pecah dalam tangisan, mereka saling memeluk satu sama lain dan berjanji akan bertemu di Syurga Allah. Inilah keteguhan ukhuwah barisan tentera Islam yang tiada zaman kini.
Mereka sedar bahawa perjalanan ini tiada patah balik. Ini adalah perjuangan demi generasi akan dating dan amaran kepada puak yang cuba merendahkan kekhilafan Islam. Di pihak Eropah pula yang dipimpin oleh Raja Louis II, Uskup Pal Tomori dan Gyorgy Zapolya. Mereka telah meremehkan strategi Pasukan Islam kerana jumlah yang sedikit. Pertempuran ini dimulai oleh Pakatan Eropah. Mohacs bergegar dengan dentuman meriam, panah panah menutupi pandangan langit dan senapang saling berbalas balas tembakan.
Taktik Sultan Sulaiman telah memancing Tentera Pakatan Eropah. Taktik Baginda dengan melakukan pengunduran Pasukan Janissari mundur ke sisi kanan dan kiri dan membuka jalan bagi pasukan kedua untuk maju. Pasukan kedua bertugas untuk menarik Pasukan Salib sebanyak banyaknya ke jangkauan tembakan meriam Utsmani, dengan melakukan lari ke arah belakang, seolah olah pasukan Utsmani telah kalah. Melihat hal ini pasukan Salib mengejar pasukan Utsmani dengan sisa tentera mereka.
Tetapi mereka silap. Silap dalam menilai. Silap kerana tidak belajar dari siri siri perang antara mereka dan pasukan Muslimin sebelum ini. Barisan pasukan Salib telah dirobek dan dikucar kacirkan oleh meriam dan serangan mengejut pasukan Utsmani. Pasukan Salib yang kucar kacir cuba untuk berundur tetapi di belakang mereka terbentang luas Sungai Danube sehingga banyak antara mereka yang mati katak kerana lemas dihimpit dan diasak oleh pasukan Utsmani termasuklah Raja Louis II dan para Uskup.
Kekalahan ini telah menggemparkan Eropah keseluruhannya dan memalukan institusi gereja. Ini juga titik tolak penaklukan awal pasukan Utsmani ke dalam wilayah Eropah yang lebih jauh lagi selepas Kerajaan Andalusia yang pernah juga cuba untuk menawan Eropah tetapi telah dikalahkan dalam Perang Poitiers di Perancis. Korban yang telah menelan hampir 50 000 dipihak Eropah menandakan bahawa kuantiti bukanlah segalanya untuk menang dalam perang.
Kemenangan ini telah membuktikan beberapa faktor iaitu:
– Pemimpin perlu bijak dalam menangani krisis
– Allah akan berikan kemenangan kepada yang berusaha dan bertawakal kepadaNya
– Belia memainkan peranan penting dalam membawa kemenangan kepada negara
Bergema takbir tentera Utsmani ketika memasuki Kota Budapest, Ibu Kota Hungaria. Terbayang betapa hiba dan penuh dengan lantunan kesyukuran di ibu kota Eropah itu. Kemenangan ini telah menyebabkan perpecahan Eropah dan Kerajaan Hungaria selama beberapa abad seterusnya membawa permusuhan yang berlanjutan antara Kesultanan Utsmani dan Eropah.
Kerajaan Hungaria yang runtuh telah bergabung dengan Kerajaan Habsburg di Austria dengan menikahkan Anna Jagellonica, adik Raja Louis II, dengan Raja Ferdinand I dari Habsburg. Penyatuan ini telah membuahkan perancangan yang besar untuk menjatuhkan Turki Uthmaniyah. Kerajaan Uthmaniyah dapat berkuasa ke atas Hungaria selama 161 tahun dan pasukan Utsmani telah tertahan di Kota Vienna, Austria setelah kalah 2 kali ketika mengepungnya pada 1529 M dan 1683 M.
Eropah akhirnya baru dapat membalas dendam atas kekalahan mereka di Mohacs I setelah dikalahkan di Mohacs II. Kepimpinan yang menggantikan Sultan Sulaiman Al Qanuni selepas itu tidak begitu cekap dalam pemerintahan dan agak lemah dalam mengatur strategi. Akibatnya, banyak wilayah yang cuba berlepas di bawah cengkaman Empayar Turki Uhtmaniyah. Pakatan yang seterusnya terus menggegarkan tentera Utsmani di beberapa siri perang yang akan dikongsikan lagi nanti.
Moga kita tidak jadi orang yang lupa akan sejarah.
RUJUKAN:
1. David Nicolle, (1988), Hungary and the Fall of Eastern Europe 1000-1568, Osprey Publishing Ltd.
2. Lord Kinross, (1979), The Ottoman Centuries: The Rise and Fall of the Turkish Empire, Morrow, New York.
3. Tamas Palosfalvi, (2018), From Nicopolis to Mohacs: A History of Ottoman-Hungarian Warfare 1389-1526, Brill
4. Thoriq Ahmad, (1984), Ini Sejarah Kita, Pustaka Buku Putih
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih