Dalam kebanyakan siri pertempuran yang disertai Rasulullah s.a.w, Pertempuran Khaibar merupakan pertempuran paling penting. Ini kerana menerusi penaklukan Khaibar bukan saja membuka jalan kepada pengukuhan kekuasaan negara Islam Madinah. Malah, ia sebenarnya membuka jalan kepada pembukaan kota Makkah yang berlaku pada tahun kelapan Hijrah. Pertempuran ini turut memperlihatkan kebijaksanaan Nabi s.a.w bukan saja sebagai seorang pemimpin negara tetapi juga sebagai panglima pertempuran.

Punca pertempuran

Gangguan yang dicetuskan orang Yahudi terhadap umat Islam bukan satu isu baru kerana ia sudah diharungi semasa Bani Qainuqa dan Bani Nadhir masih berada di Madinah. Dua kabilah Yahudi ini bukan sekali dua menyakiti umat Islam termasuk pada satu ketika, merancang membunuh Nabi s.a.w dengan melontar seketul batu yang besar. Akibat dari sikap keras kepala dan kecenderungan berlaku khianat mereka ini, kedua-dua kabilah berkenaan dihalau keluar dari Madinah.

Selepas dihalau keluar ke Madinah, sesetengah memilih menuju ke Syam manakala sebahagian lagi termasuk pemimpin puak-puak ini menghala ke Khaibar. Khaibar menjadi pilihan kerana tanahnya yang subur sesuai untuk aktiviti pertanian dan kubu-kubu pertahanan yang strategik. Bagi mereka, kedudukan pertahanannya yang kukuh sukar dicabar mana-mana kuasa termasuk negara Islam Madinah ketika itu.

Terima kasih kepada kedudukan mereka ini juga membolehkan mereka menghasut kabilah-kabilah Arab jahiliah terutama golongan kafir Quraisy memerangi umat Islam menerusi kempen Pertempuran Khandak pada tahun 627 Masihi. Kempen yang digerakkan Huyai bin Akhtab ini bagaimanapun berakhir dengan kegagalan walaupun pertempuran berkenaan menyaksikan pakatan ini mempunyai ketumbukan tentera seramai 10,000 orang melawan 3,000 tentera Islam.

Kempen berkenaan turut menyaksikan kemusnahan Yahudi Bani Quraizah dan kematian Huyai selaku batu api yang memarakkan api pertempuran selepas dihukum menerusi hukum Taurat oleh Saad bin Muaz r.a. Jika mereka boleh menggembleng kabilah Arab untuk memerangi umat Islam, tidak mustahil pada satu masa mereka akan meminta bantuan Rom atau Parsi untuk melakukan perkara sama. Rencana sebegini perlu dihalang sebelum menjadi kenyataan.

Nabi s.a.w dan para sahabat sedar akan ancaman puak ini tetapi sebarang langkah perlu diperhalusi terlebih dahulu. Ini kerana dengan ancaman golongan kafir Quraisy, sudah pasti baginda tidak mahu pihak Quraisy mengambil kesempatan dengan menyerang Madinah tatkala tentera Islam berangkat ke Khaibar. Hajat baginda dimakbulkan Allah s.w.t menerusi perlaksanaan Perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai pada tahun 628 Masihi. Satu perkara yang terkandung dalam perjanjian berkenaan ialah gencatan senjata antara kedua-dua pihak selama 10 tahun. Menerusi perjanjian ini, Madinah tidak perlu merasa risau dengan ancaman golongan kafir Quraisy dan boleh memfokuskan kempen Khaibar tanpa sebarang masalah.

Pertempuran Khaibar

Jika dibandingkan kekuatan tentera Islam dengan kekuatan tentera Khaibar, bilangan pihak musuh jauh lebih ramai dengan kekuatan 20,000 orang ditambah dengan bantuan sekutu Bani Fadak, Bani Fazara dan Bani Ghatafan. Sementara kekuatan tentera Islam seramai 1,600 orang termasuk 200 tentera kavalri semasa memulakan perjalanan ke Khaibar pada Mei 628 Masihi. Walaupun bilangan mereka sedikit, ia memberi kelebihan dari segi pergerakan kerana mereka boleh tiba dengan pantas dan senyap ke Khaibar dalam tempoh tiga hari. Tempoh sebegitu sudah pasti tidak akan memberi peluang kepada pengawal kubu bersedia menentang mereka.

Selain itu, kedudukan tentera Khaibar juga tidak dibantu dengan ketidakhadiran tentera Ghatafan untuk membantu pertahanan mereka. Dalam satu riwayat, tentera Islam berada di lembah Ar-Raji, satu kawasan yang terletak antara kedudukan Bani Ghatafan dan Khaibar. Bimbang sekiranya tentera Islam menuju ke situ untuk bertindak balas terhadap tindakan mereka semasa Pertempuran Khandak, 4,000 tentera Ghatafan memilih untuk berundur dan kembali ke kampung halaman mereka. Tindakan Nabi s.a.w berhenti secara strategik di Ar-Raji ternyata mengelirukan pihak musuh kerana pihak Ghatafan dan puak Yahudi Khaibar tertanya-tanya destinasi mana yang menjadi pilihan baginda.

Di samping itu, sikap pihak Yahudi yang memandang rendah kekuatan tentera Islam nyata melemahkan lagi kedudukan pengawal pertahanan Khaibar. Dengan kekuatan seramai 20,000 orang, mereka boleh saja memilih menyerang di medan terbuka. Tetapi kerana terlalu yakin dengan keutuhan kubu pertahanan mereka dan bilangan mereka, mereka memilih berkubu dan berpertempuran dengan membaling batu atau memanah tentera yang berada di bawah. Sikap terlalu yakin Yahudi Khaibar ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh tentera Islam dengan satu persatu kubu mereka jatuh ke tangan tentera Madinah. Kubu pertama yang jatuh ialah kubu Naim tetapi harganya ialah beberapa tentera Islam syahid dengan 50 lagi cedera di mana mereka mendapat rawatan di sebuah hospital sementara yang diuruskan golongan Hawa Bani Ghifari.

Menariknya di sini, kubu-kubu yang menjadi tumpuan tentera Islam ialah kubu-kubu di mana pengawal pertahanannya lemah atau ragu-ragu sekaligus membuka ruang kepada penaklukan kubu berkenaan. Tentera Islam juga pasti sudah menjangka pihak Yahudi Khaibar akan memindahkan wanita, kanak-kanak dan harta mereka dari satu kubu ke satu kubu yang lain menerusi terowong bawah tanah. Mereka juga akan terus melawan dengan batu dan anak panah serta menghantar pahlawan terbaik mereka berhadapan dengan tentera Islam. Strategi yang digunakan tentera Khaibar membolehkan mereka bertahan selama sebulan.

Tetapi kepungan lebih lama nyata menjejaskan moral mereka kerana ia mengakibatkan bekalan makanan dan minuman mereka kehabisan. Keadaan sama turut dialami tentera Islam kerana bekalan makanan dibawa juga kehabisan. Ada yang terdesak menyembelih haiwan tunggangan mereka dan keadaan ini disedari oleh baginda. Justeru, Nabi s.a.w membenarkan mereka memakan haiwan-haiwan sebegini sekiranya sudah tiada alternatif dan dalam keadaan darurat. Tetapi isu kelaparan ini kadangkala bukan disebabkan tiada haiwan ternakan Khaibar.

Sebaliknya, tentera Islam berusaha untuk bersikap jujur dan amanah dalam pertempuran termasuk tidak mengambil haiwan ternakan pihak musuh tanpa izin. Ini berlaku pada seorang pengembala biri-biri Yahudi yang bertemu dengan baginda sambil membawa kumpulan gembala biri-birinya. Selepas diajarkan Islam hingga mendorongnya memeluk Islam, lelaki itu bertanya kepada Nabi:

“Duhai tuan, semua kambing ini diamanahkan kepada saya. Apa yang saya harus lakukan sekiranya hubungan saya dengan mereka terputus?”

Baginda menjawab, “Dalam agama saya, bersikap khianat merupakan satu kesalahan. Seeloknya, kamu memulangkan kambing-kambing ini kepada pemilik-pemiliknya yang berhak di pintu kota.”

Syor Nabi Muhammad s.a.w itu dilaksanakan oleh pengembala itu dan pengembala itu syahid semasa pertempuran berkenaan. Sedar keadaan mereka yang terlalu lapar, baginda mengizinkan tenteranya menangkap dua ekor kambing dan membiarkan kambing-kambing lain masuk ke dalam kandang. Malah, baginda juga berdoa agar usaha mereka menawan stor simpanan Khaibar dipermudahkan-Nya bagi membantu tentera Islam yang kelaparan.

Selepas beberapa kubu lain jatuh ke tangan tentera Islam, satu-satunya kubu yang masih gagal ditawan ialah kubu al-Qamus. Kepungan ke atas kubu berkenaan berlangsung antara 13 hingga 19 hari. Pada awalnya, Nabi s.a.w mengirim Abu Bakar as-Siddiq dan Umar bin al-Khattab r.a untuk memecah kubu berkenaan tetapi tidak membuahkan hasil. Beberapa hari selepas itu, baginda mahu Ali bin Abi Talib r.a memegang panji Islam tetapi diberitahu sahabat merangkap menantunya itu mengalami sakit mata yang teruk. Nabi s.a.w menjenguk Ali r.a dan meludah pada matanya yang sakit itu, dengan izin Allah ianya sembuh seperti sediakala. Beliau kelihatan lebih bersemangat dan memulakan usaha menembusi kubu al-Qamus sambil membawa panji Islam. Namun pada satu ketika, salah seorang tentera musuh memukulnya dengan kuat sehingga kehilangan perisai. Sebagai ganti kepada perisainya itu, Ali r.a menjadikan sebuah pintu sebagai perisai barunya untuk mempertahankan dirinya. Pintu tersebut amat berat sehinggakan ia perlu diangkat oleh lapan orang lelaki sebagai ganti kepada pintu itu.

Lawannya semasa berada di al-Qamus ialah dua pahlawan bersaudara bernama Haris dan Marhab. Pada awalnya, Haris terlebih dahulu berhadapan dengan Ali r.a tetapi mati di tangan sahabat yang digelar Asadullah itu. Kemudian, giliran Marhab pula berhadapan dengan beliau. Kedua-duanya saling berbalas syair bagi menonjolkan diri mereka sebagai singa bagi pasukan tentera masing-masing. Setelah itu, berlakulah pertempuran sengit antara kedua-dua pahlawan berkenaan. Tetapi kejayaan memihak kepada Ali r.a selepas berjaya memukul kepala Marhab sehingga mati. Kisah ini ada disebut dalam beberapa hadis termasuk satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim rahimahullah.

Konklusi pertempuran

Dengan kejayaan Ali r.a, sebarang bentuk penentangan yang masih ada menjadi lemah dan pemimpin mereka mahu berunding dengan Nabi s.a.w. Ada yang sedia mengadakan perjanjian meninggalkan Khaibar dan menyerahkan seluruh harta mereka sebagai pertukaran kepada jaminan keselamatan daripada Madinah. Ada juga yang memohon untuk tinggal di Khaibar dan meneruskan aktiviti perladangan mereka di mana sebagai tukaran kepada permintaan mereka, mereka sedia menyerahkan separuh dari hasil pertanian Khaibar dan membayar jizyah kepada Madinah.

Sebaik pihak Fadak mengetahui apa yang berlaku, mereka segera menghantar rombongan bertemu dengan Nabi s.a.w diketuai Muhayyisa bin Mas’ud. Rombongan ini meminta agar diberi perjanjian sama dengan Khaibar sebagai tukaran kepada penyerahan mereka. Berikutan itu, satu lagi perjanjian dirangka antara Fadak dengan Madinah. Pihak Quraisy yang tertanya-tanya apa berlaku di Khaibar cuba menghantar perisik-perisik untuk mendapatkan berita di sana. Salah seorang orang Quraisy yang tahu akan kemenangan pihak Islam ialah seorang pedagang bernama Hajjaj bin Ilat. Hajjaj yang melihat sendiri kehebatan Madinah menundukkan Khaibar dan pesona keperibadian baginda menyatakan keislamannya sebelum bertolak ke Makkah.

Semasa tiba di Makkah, beliau dikelilingi oleh pembesar-pembesar Quraisy yang ingin tahu apa yang berlaku di Khaibar. Lalu, Hajjaj mengadakan cerita dengan menceritakan tentera Islam kalah dan Nabi s.a.w menjadi tawanan pihak Yahudi untuk diserahkan kepada golongan kafir Quraisy di Makkah. Hajjaj kemudiannya meminta mereka yang berhutang untuk menjelaskan hutang kerana wang berkenaan dikatakan akan digunakan untuk membeli semua tawanan pertempuran itu. Khabar berkenaan nyata menggusarkan bapa saudara baginda Abbas bin Abdul Mutalib r.a tetapi semasa bertemu dengan pedagang itu, beliau memberitahu tentang keislamannya dan cerita sebenar yang berlaku di Khaibar. Selepas tiga hari Hajjaj meninggalkan Makkah, Abbas r.a mendedahkan perkara sebenarnya dan ini menambah lagi kesedihan orang Quraisy selepas itu selepas khabar berkenaan disahkan oleh perisik-perisik mereka.

Antara yang menjadi tawanan tentera Islam ialah Kinanah bin al-Rabi, seorang pembesar Yahudi dari Bani Nadhir. Semasa keluar dari Madinah, beliau mengetahui jumlah harta yang dibawa kabilah berkenaan dan lokasinya di Khaibar.

Tetapi bila ditanya, Kinanah tidak tahu-menahu tentang perkara itu walaupun diancam hukuman mati sekiranya berbohong. Bagaimanapun, tembelang pembesar Bani Nadhir itu terbongkar apabila seorang Yahudi menceritakan kepada Nabi s.a.w gelagatnya yang menghampiri satu runtuhan setiap pagi. Selepas runtuhan bangunan itu diperiksa, ia merupakan lokasi harta berkenaan yang dicari.

Dan seperti dijanjikan, Kinanah dihukum mati bukan saja kerana berbohong tetapi juga kerana membunuh saudara Muhammad bin Maslamah, Mahmud bin Maslamah r.a. Isterinya yang juga puteri Huyai bin Akhtab, Safiyyah pula diberi penghormatan menjadi Ummul Mukminin sekaligus bukan saja mengangkat martabatnya tetapi juga martabat kaumnya sehingga mereka menghormati Nabi s.a.w dan umat Islam.

Kejayaan Nabi s.a.w menguasai Khaibar bukan saja menaikkan prestij Madinah. Bahkan, ia turut mendorong kabilah-kabilah Arab yang masih berkira-kira menyokong baginda dan umat Islam akhirnya bersedia mengisytiharkan kesetiaan mereka kepada Madinah. Dengan bilangan harta rampasan pertempuran yang banyak, ia kemudian digunakan untuk mengukuhkan persenjataan dan pengangkutan tentera Islam. Hasilnya dapat dilihat 18 bulan kemudian apabila ketumbukan tentera diketuai baginda dan beberapa panglima tentera berkaliber seperti Khalid bin al-Walid dan Abu Ubaidah al-Jarrah r.a seramai 10,000 berjaya membuka kota Makkah.

Kedegilan orang Yahudi

Walaupun sudah diberi pengampunan dan dibenarkan menetap di Khaibar dengan syarat membayar jizyah, kaum Yahudi masih tidak serik. Pada satu ketika, seorang wanita Yahudi bernama Zainab cuba meracun baginda dengan memasak kambing bakar yang diisi dengan racun selepas dihasut kelompok tertentu. Bagaimanapun, cubaan tersebut gagal selepas baginda merasakan makanan tersebut sudah beracun dan tidak memakannya. Bagaimanapun, seorang sahabat bernama Bisyir bin Bara mati akibat termakan daging beracun berkenaan. Bila ditanya motifnya berbuat demikian, ia sebagai cubaan melihat sama ada baginda sememangnya Rasulullah atau tidak. Walaupun Nabi s.a.w memaafkan Zainab, keluarga Bisyir tidak melakukan perkara sama dan wanita tersebut kemudiannya dihukum mati atas perbuatannya itu.

Dalam satu riwayat yang lain, seorang sahabat bernama Abdullah bin Sahal r.a dihantar ke Khaibar untuk membawa hasil pertanian mereka ke Madinah seperti yang dinyatakan dalam perjanjian. Bagaimanapun semasa perjalanan, beliau mati dibunuh oleh sekumpulan Yahudi yang tidak dikenali. Selepas bertemu dengan keluarga waris Abdullah, baginda memberi jaminan sekiranya mereka mengenali dan bersumpah bahawa individu berkenaan yang membunuhnya, maka individu-individu ini akan dihukum mengikut lunas undang-undang syariah. Bila ditanya tentang sumpah orang Yahudi berkenaan insiden ini, mereka menyatakan sumpah mereka langsung tak boleh pakai. Justeru, Nabi s.a.w mengirim surat kepada pemimpin Khaibar tentang peristiwa itu dan menggesa mereka membayar wang darah akibat peristiwa pembunuhan itu. Sebagai respon, mereka membalas dengan mengatakan mereka tidak terlibat dengan pembunuhan Abdullah dan tidak mengenali siapa pembunuhnya. Untuk mengelak dari berlakunya pertumpahan darah, Nabi s.a.w sendiri yang membayar wang darah pembunuhan itu.

Sikap mereka yang berterusan mengganggu umat Islam akhirnya ditangani secara serius semasa era pemerintahan Umar bin al-Khattab r.a. Selepas berunding dengan Majlis Syura, beliau mengeluarkan dekri, “Barangsiapa yang masih ada hutang dengan penduduk Khaibar, hendaklah diselesaikan secepat mungkin. Ini kerana aku akan mengeluarkan perintah untuk mengeluarkan mereka dari Khaibar.” Terima kasih kepada sikap mereka yang tidak bersyukur dan berterusan menjadi duri dalam daging kepada umat Islam di Semenanjung Tanah Arab, mereka dihalau keluar tanpa sebarang soal.

RUJUKAN:

Al-Husni, Abu Hikmah. (1998). Darul Nu’man. Kisah Kehidupan Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.