Perang Dunia Kedua (WWII) berakhir dengan penyerahan kalah Jepun susulan serangan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki. Tetapi selepas itu, wujud vakum dari segi pemerintahan wilayah-wilayah jajahannya termasuk Tanah Melayu. Ini kerana kuasa-kuasa Barat termasuk British hanya akan tiba di wilayah jajahan lama mereka dalam tempoh beberapa minggu. Peluang ini dieksploitasi oleh Parti Komunis Malaya (PKM) untuk bermaharajalela selama 14 hari sebelum Pentadbiran Tentera British (BMA) dikuatkuasakan pada September 1945.
Benih isu ketegangan kaum ini wujud berpuluh tahun sebelum kedatangan Jepun ke Tanah Melayu pada akhir tahun 1941. Selama bertahun-tahun, British melaksanakan dasar pecah dan perintah serta mengeksploitasi hasil bumi Tanah Melayu. Anak-anak tempatan dibiarkan mundur dan dibelenggu kemiskinan. Sementara bagi golongan bukan Melayu, golongan ini diberi perlindungan dan sokongan sekaligus menjadikan mereka lebih kaya berbanding orang Melayu.
Lagi parah, kenyataan orang bukan Melayu yang mendakwa Tanah Melayu bukan milik orang Melayu makin membakar kemarahan. Bukan sekali kelancangan mereka ditentang secara berlapik menerusi akhbar-akhbar yang wujud pada 1930-an seperti Warta Malaya, Majlis dan Utusan Melayu.
Kelompok bukan Melayu dianggap masih berpaksikan tanah asal mereka walaupun telah menetap di Tanah Melayu selama bertahun-tahun. Buktinya, wujud tuntutan orang Cina terhadap British ketika itu agar menjadikan Hari Kebangsaan China (masa itu geng Kuomintang) pada 10 Oktober sebagai cuti umum. Nampak sangat walaupun diberi banyak kelebihan oleh British, ada saja hak orang Melayu yang berbaki cuba dituntut atau dihapuskan.
Sebelum itu, kami cadangkan korang dapatkan PERTEMPURAN DI HUTAN. Sayang sekali kisah perajurit negara semakin dilupakan oleh orang ramai. Tanpa pengorbanan mereka, keamanan yang kita kecapi hari ini tidak akan wujud. Nak tahu kisah mereka, dapatkan PERTEMPURAN DI HUTAN sekarang! Beli di Shopee: https://shopee.com.my/The-Patriots-Pertempuran-Di-Hutan-i.238336777.17131032084
Orang Melayu lagi berbulu dengan kenyataan Tun Tan Cheng Lock yang memperlekeh kedudukan Bahasa Melayu pada 1930-an. Dalam kenyataannya di akhbar Straits Times, bakal pengasas MCA itu menganggap Bahasa Melayu sebagai tiada nilai. Ini sebagai maklum balas terhadap cadangan British yang mahu mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan orang bukan Melayu diberi kelas percuma untuk menguasai bahasa berkenaan.
Justeru, apabila Jepun tiba di Tanah Melayu pada Disember 1941, orang Melayu melihat inilah peluang untuk mendapatkan kembali tanah air mereka. Ini ditambah dengan slogan-slogan propaganda Jepun seperti ‘Asia Untuk Orang Asia’ dan ‘Lingkungan Kawasan Kemakmuran Asia’ yang dijaja bagi meraih sokongan orang tempatan termasuk orang Melayu. Kononnya, dengan slogan-slogan ini, semua bentuk penindasan yang wujud sebelum ini akan terhapus.
Tetapi hakikatnya, Jepun dua kali lima je dengan British. Cuma yang jadi sasaran diskriminasi mereka ialah orang Cina. Mereka menjadi sasaran disebabkan tentangan sengit China terhadap Jepun semasa Perang China-Jepun Kedua. Selain itu, orang Cina turut memberi sokongan dalam pelbagai segi termasuk sokongan kewangan kepada China bagi membantu mereka menyerap tekanan ketenteraan Jepun.
Jadi, sebagai tindak balas, mereka masuk ke hutan dan menyertai gerakan penentangan anti-Jepun. Antara kumpulan yang aktif ketika itu ialah Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA). MPAJA yang merupakan sayap tentera tak rasmi PKM berjuang secara gerila dalam hutan dengan kebanyakan ahlinya merupakan orang Cina. Kebanyakan ahli MPAJA ini kemudiannya menjadi sebahagian daripada kempen ganas PKM semasa era Darurat (1948-1960).
Ini sama sekali berbeza dengan orang Melayu semasa era Jepun. Semasa era ini, mereka diberi peluang mengisi pelbagai jawatan kerajaan – sesuatu yang sukar diraih semasa era pemerintahan British. Orang Melayu turut digalakkan bekerjasama dengan Jepun menerusi organisasi seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Pembela Tanah Air (PETA). Bagaimanapun, ini mewujudkan sangkaan bahawa orang Melayu ialah tali barut Jepun. Padahal, sesetengah daripada mereka ini dipaksa menjalankan peranan tersebut.
Disebabkan sangkaan bukan-bukan dan hubungan antara kaum yang sedia rapuh sebelum kedatangan Jepun lagi, ini membawa kepada tempoh anarki selama 14 hari oleh MPAJA dan PKM. Semasa tempoh inilah, PKM membalas dendam dan menjadi pencetus pergaduhan kaum di beberapa negeri Tanah Melayu.
Di Batu Pahat, Johor misalnya, ahli-ahli MPAJA yang keluar dari hutan bertindak membunuh ramai orang Melayu yang disangka sebagai tali barut. Ini termasuklah golongan guru agama dan ulama. Geng MPAJA berbuat demikian dengan harapan dapat melemahkan pengaruh Islam dalam kalangan penduduk dan memudahkan penyebaran ajaran komunisme dan Marxisme.
Tetapi geng MPAJA ibarat menjolok sarang tebuan. Kumpulan Selempang Merah yang diketuai Kiyai Haji Salleh Abdul Karim bertindak menyerang dan membunuh ramai ahli organisasi tersebut. Sebarang cubaan untuk MPAJA/PKM untuk bertindak balas tidak berhasil berikutan kumpulan tersebut mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi termasuk ilmu kebal. Ini memaksa kumpulan pengganas itu mensasarkan infrastruktur dan orang awam sebagai cara membalas dendam.
Makin hilang sabar dengan kerenah mereka, Kiyai Haji Salleh merancang untuk menggempur kedudukan MPAJA di Penggaram, pusat bandar Batu Pahat. Tetapi usaha tersebut berjaya dihentikan oleh Pegawai Daerah Batu Pahat, Dato Onn Jaafar atas permintaan penduduk Cina yang menetap di situ. Mereka bimbang sekiranya serangan diteruskan, bukan saja ramai orang akan terbunuh.
Malah, Penggaram juga akan menjadi padang jarak, padang tekukur jika kumpulan Selempang Merah meneruskan niat mereka.Susulan itu, satu mesyuarat diadakan membabitkan semua komuniti termasuk geng MPAJA. Hasilnya, semua bersetuju untuk menghentikan semua provokasi. Akhirnya, keamanan kembali di bumi Muar dan Batu Pahat.
Bila British kembali muncul di Tanah Melayu menerusi BMA, ramai sangka pertelingkahan kaum akibat tempoh 14 hari PKM sudah berakhir. Hakikatnya, mereka terus mencetuskan huru-hara walaupun ahli-ahli MPAJA diarah meletakkan senjata dan menyerahkan kembali kepada kerajaan. Disebabkan hal inilah, apabila darurat diisytiharkan pada 1948, perajurit-perajurit negara berjuang habis-habisan bagi membanteras ancaman komunis.
Salah satu insiden ganas membabitkan mereka ialah serangan ke atas Kampung Bekor, Perak pada 5 Mac 1946. Serangan yang berlaku selama dua hari itu menyaksikan 80 orang termasuk kanak-kanak terbunuh. Kebanyakan yang terbunuh ialah jemaah Masjid Bekor yang sedang mengerjakan solat Subuh. Kumpulan sama kemudiannya bertanggungjawab memusnahkan hasil tanaman orang Melayu di situ.
Orang Kampung Bekor yang naik angin bangkit menentang dengan penentangan diketuai Haji Salleh Abdul Manan. Hasilnya, lebih 100 orang Cina dihambat tanpa henti oleh orang Melayu selepas cuba mengganggu usaha pembinaan sebatang jalan di kampung tersebut. Dan seperti mana kisah Kiyai Haji Salleh, kebanyakan pemimpin Kampung Bekor mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi termasuk ilmu kebal.
Jadi, bila sedar diri dalam bahaya, satu perjumpaan diadakan dengan orang Melayu mengemukakan tiga tuntutan kepada orang Cina. Pertama, pulangkan kembali orang Melayu yang diculik geng MPAJA dalam keadaan selamat. Sekiranya mereka dibunuh, maka mereka perlu tunjukkan lokasi kubur bagi membolehkan jenazah orang yang dibunuh dapat disempurnakan mengikut kaedah syarak.
Kedua, mereka mendesak semua harta orang Melayu yang dirampas semasa serangan sebelum ini dipulangkan. Akhir sekali, mereka mengarahkan geng MPAJA agar meletak senjata dan menyerahkan semua senjata kepada kerajaan. Jika semua tuntutan ini tidak dipenuhi, maka bersedia sajalah menerima akibatnya. Tidak mahu nyawa melayang, orang Cina akur dengan semua tuntutan tersebut.
Pertelagahan kaum selepas Jepun serah kalah pada Ogos 1945 ialah satu babak hitam dalam sejarah negara. Suka atau tidak, kita harus mengambil pengajaran dan tidak mengulangi apa yang berlaku. Jika kita mengulangi kesilapan sama, maka bersediakah kita berdepan dengan tragedi sebegini selepas peristiwa 13 Mei? Kita perlu jadi lebih baik, bukan beranjak ke belakang.
RUJUKAN
Mat Husin, A. R. Hubungan Etnik Selepas Perang Dunia Kedua Dan Pengasuh. Dibentangkan di Persidangan Nasional Sejarah Dan Sejarawan Malaysia 2017 Memperkasa Sejarah Nasional Dalam Melestarikan Pembanggunan Negara. Universiti Sains Malaysia. Halaman 49-74.
Haniffa, M. A. dan Othman, M. R. (2012). PERGADUHAN KAUM DI TANAH MELAYU SELEPAS PENDUDUKAN JEPUN HINGGA DARURAT DIISYTIHARKAN. Vol. 20. No. 20. Halaman 97-123.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih