Hari Puisi Sedunia disambut pada 21 Mac pada setiap tahun, yang telah diisytiharkan oleh UNESCO bertujuan untuk menyokong kepelbagaian bahasa di seluruh dunia melalui ekspresi puitis dan memberi peluang kepada bahasa-bahasa yang terancam untuk diketahui dan didengari semula. Matlamatnya adalah untuk mempromosikan bacaan, penulisan, penerbitan dan pengajaran puisi di seluruh dunia.
Sempena sambutan Hari Puisi Sedunia beberapa hari lepas, mari kita imbas kembali satu kisah yang berlaku pada zaman Dinasti Joseon dan bagaimana puisi telah menguatkan hubungannya dengan Dinasti Ming. Sekitar tahun 1450, iaitu pada tahun ke-32 pemerintahan Raja Sejong, rombongan dari Ming telah datang ke Joseon untuk mengumumkan secara rasmi tentang perlantikan Maharaja Jingdi.
Rombongan Ming ini disambut oleh sekumpulan pegawai kerajaan Joseon. Menariknya, kedua-dua kumpulan pegawai kerajaan ini saling berbalas puisi yang telah mereka tulis khas sempena hari bersejarah tersebut. Ia merupakan satu acara yang dinantikan dalam majlis berkenaan.
Bongsa Joseon Changhwa Sigwon
Skrol yang dinamakan Bongsa Joseon Changhwa Sigwon (Poetry Scroll Between Ming Envoys and Joseon Literati) adalah skrol yang mengumpulkan sebahagian daripada puisi-puisi ini. Skrol ini mengandungi 33 buah puisi, bersama dua teks prosa beritma yang dikenali sebagai ‘bu’, iaitu teks Seoljedeungnubu, yang ditulis oleh Ni Xian dari Dinasti Ming serta teks respons Hwaseoljedeungnubu, yang ditulis oleh Shin Sukju dari Joseon. Daripada 33 buah puisi ini, 15 buah telah ditulis oleh Ni Xian; enam puisi oleh Shin Sukju, enam puisi daripada Jeong Inji dan enam puisi lagi ditulis oleh Seong Sammun. Setiap puisi ini telah ditanda dengan cap lambang (seal) oleh setiap penulisnya.
Pada bahagian luar skrol ini, tajuknya dituliskan sebagai Bongsa Joseon Changhwa Sigwon. Apabila gulungan skrol dibuka, teks pertamanya adalah Bongsa Joseon Changhwa Sigwon, yang ditulis dalam bentuk seal calligraphy oleh Wang Shuan, iaitu seorang penulis dari Dinasti Qing. Inskripsi ini pada bahagian luar ini menunjukkan bahawa skrol ini telah dipulihkan semula pada tahun 1905 oleh Luo Zhenyu, seorang sarjana dalam bidang prasasti pada era akhir Dinasti Qing. Kerana itulah, teks pertamanya ditulis oleh penulis Wang Shuan dari Dinasti Qing, dan bahagian asal skrol ini hanyalah pada bahagian antologi puisinya sahaja.
Asasnya, skrol ini boleh dianggap sebagai sebuah antologi puisi yang telah dibahagikan kepada tiga bahagian utama. Tiga bahagian ini adalah bahagian tajuk yang ditulis tangan oleh Wang Shuan, iaitu pegawai dalam Dinasti Qing; changhwasi iaitu bahagian utama yang mengandungi puisi dan prosa oleh kedua-dua dinasti serta epilog yang ditulis oleh Tang Hanti dan Luo Zhenyu dari Dinasti Qing.
Antologi dalam skrol ini memuatkan puisi-puisi yang digunakan sewaktu acara berbalas puisi antara pegawai kerajaan Ming dengan pegawai kerajaan Joseon. Ni Xian, adalah seorang pengajar di institut kesusasteraan diraja Dinasti Ming, telah pergi ke Joseon bagi membawa mesej diraja tentang Maharaja Jingdai yang telah menaiki takhta pada tahun 1450, iaitu pada tahun ke-32 pemerintahan Raja Sejong. Ni Xian telah menetap di Joseon selama sebulan.
Dalam waktu inilah, beliau telah menulis puisi dan menukarkan puisi tersebut dengan puisi yang ditulis oleh tiga orang sarjana Joseon, iaitu Shin Sukju, Jeong Inji dan Seong Sammun yang bertanggungjawab menyambut kedatangan pegawai kerajaan dari China.
Bahagian epilog pada penghujung antologi dalam skrol ini telah ditulis sewaktu pemulihannya pada tahun 1905 oleh Luo Zhenyu. Antologi ini juga mempunyai satu lagi muka surat lain iaitu catatan penilaian yang dibuat oleh enam orang pakar di Korea, termasuklah Kim Sang-gi, pada tahun 1958 yang menunjukkan bahawa skrol antologi ini telah dibawa pulang ke Korea pada atau sebelum tahun 1958.
Ia telah disimpan oleh Im Chang-sun dan kemudiannya diserahkan kepada pihak Muzium Kebangsaan Korea. Pada tahun 2018, skrol antologi puisi ini telah diisytiharkan sebagai salah satu Khazanah Kebangsaan Korea bernombor 1404.
Permulaan tradisi Hwanghwajip
Skrol Bongsa Joseon Changhwa Sigwon ini adalah permulaan kepada tradisi Hwanghwajip, iaitu amalan mengumpul dan menerbitkan puisi-puisi yang telah ditukarkan antara pegawai Joseon dengan pegawai Ming. Bermula daripada pemerintahan Maharaja Jingdi dan Raja Sejong ini, kerajaan Ming mula menghantar pegawai kerajaan yang mahir dalam kesusasteraan dan Confucianisme ke Joseon.
Selepas skrol Bongsa Joseon Changhwa Joseon ini diterbitkan, sebanyak 24 edisi puisi Hwanghwajip telah diterbitkan dalam jangkamasa 180 tahun. Pada tahun 1773, Raja Yeongjo telah mengarahkan agar kesemua penerbitan puisi ini dikumpulkan dan diterbitkan semula sebagai sebuah antologi Hwanghwajip yang baru dan mengandungi 35 buah edisi.
Persahabatan antara Sarjana Joseon dan Sarjana Ming
Jeong Inji, Seong Sammun dan Shin Sukju adalah tiga orang sarjana dalam Hall of Worthies yang disayangi oleh Raja Sejong. Pada waktu itu, Jeong Inji berusia 55 tahun, Shin Sukju 34 tahun dan Seong Sammun pula berusia 33 tahun. Manakala, pegawai dari Ming, iaitu Ni Xian pula berusia 36 tahun. Ni Xian sebenarnya telah menulis beberapa buah puisi tentang perjalanannya ke Joseon, tetapi tidak menukarkan puisi tersebut dengan pegawai Joseon sehinggalah mereka melawat kuil Confucius di Akademi Diraja.
Rekod sejarah menunjukkan bahawa para sarjana Ming dan Joseon ini saling berbalas puisi beberapa kali sewaktu melawat kawasan suci itu. Pada awalnya, kedua-dua kumpulan sarjana ini hanya ingin saling menduga dan bertanding untuk melihat kebolehan masing-masing. Tetapi, lama-kelamaan mereka menjadi rapat serta saling menghormati antara satu sama lain, kerana pandangan dan minat mereka terhadap bidang kesusasteraan.
Hubungan persahabatan yang rapat antara sarjana Ming dan Joseon telah menyebabkan kedua-dua kumpulan ini merasa begitu sedih apabila tiba masanya untuk rombongan Ming berangkat pulang. Berdasarkan catatan Seong Hyeon dalam Assorted Writings of Seong Hyeon, Ni Xian dikatakan begitu mengagumi dan menghormati Jeong Inji, sehingga beliau menyatakan bahawa “berbual satu malam bersama awak adalah lebih baik daripada membaca selama 10 tahun.”
Manakala, dengan Shin Sukju dan Seong Sammun pula Ni Xian menjalinkan persahabatan yang lebih erat kerana usia mereka yang hampir sama (tiga puluhan) sehinggakan ketiga-tiganya menubuhkan ikatan rasmi ‘Brotherhood Relationship’.
Pertukaran Puisi: Lambang Kemegahan Joseon dan Ming
Selain daripada persahabatan erat yang terjalin antara sarjana Joseon dan Ming, pertukaran puisi yang berlaku juga telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kualiti budaya Joseon dan sekaligus menaikkan imej Joseon di mata Dinasti Ming. Ini ditunjukkan melalui rasa kagum Ni Xian terhadap ketinggian ilmu para sarjana Joseon dalam membalas puisi yang ditulisnya, dan seterusnya meletakkan asas kukuh bagi persahabatan antara sarjana Joseon dan Ming.
Hasil daripada hubungan erat selain daripada persahabatan peribadi antara sarjana Joseon dan Ming, ia turut membantu hubungan diplomatik antara kedua-dua buah kerajaan. Kedua-duanya saling bertukar-tukar hadiah, dan terus terlibat dalam acara-acara kesusasteraan puisi sehinggalah kejatuhan Dinasti Ming pada tahun 1644.
RUJUKAN:
Seo, Y. (2019). Bongsa Joseon Changhwa Sigwon: Poems Exchanged by Joseon Officials and Ming Envoys. Retrieved March 21, 2021, from https://www.museum.go.kr/site/eng/archive/united/14944
Yim, S.-H. (2018). Poetry collections capture history : The Cultural Heritage Administration designates poems as national treasures. Retrieved March 21, 2021, from https://koreajoongangdaily.joins.com/news/ar ticle/article.aspx?aid=3052312
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih