Dalam lipatan sejarah, terdapat begitu banyak perpustakaan agung yang berakhir musnah bersama segala khazanah yang terkandung di dalamnya. Kalaupun tidak musnah, terdapat sebahagian perpustakaan yang hilang selama ratusan malah ribuan tahun sebelum dapat ditemui oleh ahli-ahli arkeologi.

Namun, ada juga yang hilang tanpa sebarang jejak. Pun begitu, dengan berbekalkan keazaman, keterujaan dan kecintaan kepada ilmu, ada sebahagian pemburu dan ahli arkeologi yang meluangkan seluruh hayat mereka bagi mencari khazanah yang tersimpan di dalam kutubkhanah purba yang hilang itu.

Hal ini turut berlaku kepada salah sebuah perpustakaan silam yang sangat masyhur, iaitu perpustakaan milik Tsar pertama Russia – Ivan IV Vasilyevich atau lebih dikenali sebagai Ivan Si Kejam.

SEJARAH PENUBUHAN PERPUSTAKAAN DIRAJA IVAN SI KEJAM

Batu asas kepada perpustakaan diraja Russia ini dimulakan oleh datuk Ivan Si Kejam lagi, iaitu Ivan III (yang Agung). Antara detik permulaan kepada pengumpulan koleksi manuskrip di zaman Ivan III adalah apabila beliau berkahwin dengan anak saudara kepada maharaja terakhir Byzantine, Sophia Paleologue pada tahun 1472M. Sebelum itu, Ivan III pernah berkahwin dengan Maria Tver namun pasangannya itu meninggal dunia pada tahun 1467M.

Ketika berpindah ke rumah barunya di Moscow, Sophia turut membawa bersama koleksi buku-buku lama miliknya. Disebutkan bahawa sebahagian besar buku tersebut merupakan manuskrip-manuskrip dari Perpustakaan Besar Konstantinopel yang terselamat pada peristiwa ketumbangan Konstantinopel ke tangan Uthamniyah pada tahun 1453M. Turut dipercayai bahawa terdapat juga beberapa buah manuskrip dari Perpustakaan Iskandariyah di dalam koleksi yang dibawa oleh Sophia itu.

Ciri bibliofil ini kemudiannya diwarisi oleh Ivan Si Kejam terutama apabila beliau menambahkan lagi sejumlah manuskrip ke dalam koleksi perpustakaan datuknya – melibatkan manuskrip daripada Yunani, Latin, Ibrani dan Mesir. Ivan Si Kejam turut mengumpulkan teks-teks Cina dari abad ke-2M dan manuskrip-manuskrip yang dihasilkan pada zamannya sendiri.

Ivan IV Si Kejam mempersembahkan harta-kekayaannya kepada duta Ratu Elizabeth I. Lukisan oleh Alexander Litovchencko, 1874

MISTERI KEHILANGAN PERPUSTAKAAN IVAN

Pada abad ke-19, muncul seorang sejarahwan bernama Christopher von Dabelov yang mendakwa pernah melihat senarai judul manuskrip yang terkumpul di dalam koleksi perpustakaan Ivan Si Kejam itu. Menurutnya, senarai tersebut melibatkan 142 buah jilid karya Titus Livius yang berjudul History of Rome (sejarahwan kini hanya menemukan 35 buah jilid sahaja), versi penuh bagi karya Cicero yang berjudul De republica (perpustakaan-perpustakaan di Barat hanya memiliki sebahagian sahaja), dan sebuah puisi tidak dikenali dari Virgil. Begitulah antara beberapa buah mansukrip yang dapat disebutkan.

Walaupun judul-judul yang disebutkan itu benar-benar merangsang keterujaan para pencinta buku dan ahli-ahli sejarah, terdapat satu lompong di dalam dakwaan yang dikeluarkan oleh von Dabelov – beliau tidak pernah menunjukkan senarai yang dilihatnya itu kepada sesiapa pun.

The Aposite (1564) karangan Ivan Fyodorov dan Pyotr Mstislavets, salah satu buku pertama yang dicetak di Russia

Para sejarahwan berpendapat bahawa Ivan Si Kejam menyimpan dokumen-dokumen berharga itu di ruang bawah tanah di Moscow Kremlin supaya dapat melindunginya dari menjadi mangsa kebakaran yang sering berlaku pada zamannya. Pun begitu, manuskrip-manuskrip itu tidaklah dibiarkan berdebu tanpa langsung tidak berusik. Sebaliknya, Ivan menggerakkan usaha penterjemahan di mana kesemua manuskrip itu dipindahkan dari bahasa asalnya ke dalam bahasa Russia.

Bagi menambahkan rencah pada kisah perpustakaan ini, sesuai kiranya penulis memetik satu legenda yang mengatakan kononnya para ilmuwan yang terlibat dalam usaha penterjemahan tersebut enggan meneruskan kerja-kerja tersebut. Hal ini kerana mereka khuatir Ivan akan menggunakan ilmu pengetahuan yang diraih dari mana-mana teks ‘ilmu hitam’ yang terdapat dalam koleksi berkenaan untuk menakut-nakutkan rakyat.

Walau bagaimanapun, perpustakaan diraja itu dipercayai lenyap bersama kemangkatan Ivan Si Kejam. Sebahagian sejarahwan mengandaikan bahawa ia musnah dalam sebuah kejadian kebakaran sambil ada pula yang berpendapat perpustakaan itu masih wujud sehingga sekarang, namun Ivan Si Kejam membubuh jampi serapah pada perpustakaannya itu sehingga sesiapa yang cuba-cuba menemukannya akan menjadi buta.

Apapun, dakwaan-dakwaan sebegitu langsung tidak merencatkan semangat para pemburu harta karun atau ahli-ahli arkeologi dari terus berusaha menjejak lokasi perpustakaan berkenaan. Merentas abad, ramai yang mencuba nasib termasuklah Peter Si Agung dan perwakilan Vatican yang melawat Moscow semasa era pemerintahan Boris Godunov – namun, tidak ada seorang pun yang berjaya.

USAHA PENCARIAN PADA ABAD KE-20

Seorang ahli arkeologi Russia yang bernama Ignatius Stelletskii tidak ketinggalan dalam usaha pencarian tersebut. Beliau meluangkan seluruh hidupnya untuk menjejak lokasi perpustakaan tersebut dengan berbekalkan peta Kremlin dari pelbagai zaman serta beberapa bahan arkib. Hasilnya, beliau dipercayai berjaya membuat andaian tentang lokasi perpustakaan Ivan Si Kejam dan malah, diberikan kebenaran oleh Kerajaan Soviet untuk melakukan kerja-kerja ekskavasi pada tahun 1929M.

Namun, ekskavasi yang dijalankan di bawah menara Arsenalnaya yang dimulakan pada tahun 1933 terpaksa dihentikan pada tahun berikutnya rentetan kejadian pembunuhan Sergei Kirov. Dengan meletusnya Perang Dunia Kedua, projek ekskavasi tersebut tergendala sepenuhnya. Walaupun Stelletskii berhasrat untuk menyambung pencariannya itu sesudah tamatnya peperangan, kadar kesihatannya yang terjejas menghalang beliau dari berbuat demikian dan pada tahun 1949, beliau meninggal dunia, berkubur bersama impiannya yang tidak kesampaian.

Sehingga ke tahun 1990an, usaha penjejakan Perpustakaan Ivan Si Kejam masih terus dilakukan. Malah, radius pencarian diluaskan lagi sehingga ke luar Kremlin kerana para arkeologis berpendapat bahawa perpustakaan tersebut mungkin telah dipindahkan ke tempat lain. Antara tempat yang dicadangkan adalah Sergevev Posad (tempat di mana Ivan memindahkan istananya pada tahun-tahun terakhir pemerintahan beliau), Alexandrov (ibu kota pemerintahan Ivan), dan kampung Dyakovo yang terletak berhampiran Kolomenskoya (di mana sebuah pintu rahsia ke ruang bawah tanah ditemui di Gereja St. John the Baptist).

Berjaya atau tidak perpustakaan itu ditemukan? Adakah perpustakaan itu masih lagi wujud? Atau kalaupun ia ditemui, apakah manuskrip-manuskrip yang tersimpan di dalamnya masih terselamat? Semua persoalan itu terus berlegar tanpa sebarang jawapan, walaupun telah ramai arkeologis yang meninggal dunia dalam rangka menemukan perpustakaan ini, Perpustakaan Ivan Si Kejam.

Lukisan Tsar Ivan Si Kejam hasilan Viktor Vasnetsov, 1897

RUJUKAN:

A. Matyukhina. (2012). The Lost Library of Ivan the Terrible (part 1). RusLanguange.
https://ruslanguage.ru/blog/lost-library-ivan-terrible-part-1/

A. Matyukhina. (2012). The Lost Library of Ivan the Terrible (part 1). RusLanguage.
https://ruslanguage.ru/blog/lost-library-ivan-terrible-part-2/

DHWTY. (28 Mei 2018). The Search for the Lost Library of Ivan the Terrible. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/search-lost-library-ivan-terrible-002598

Oleg. Yegorov. (12 Julai 2017). Forever Lost: How Russians hunt for Ivan the Terrible’s Library. Russia Beyond.
https://www.rbth.com/arts/history/2017/07/12/forever-lost-how-russians-hunt-for-ivan-the-terribles-library_800615


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.