Semasa era klasik, Perpustakaan Agung Iskandariah atau Great Library of Alexandria dianggap satu khazanah ilmu yang tidak ternilai harganya. Ini kerana di sinilah pelbagai koleksi ilmu dari pelbagai bidang dikumpul, disimpan dan dikaji oleh para cendekiawan yang dinaungi oleh Dinasti Ptolemy,. Tetapi ia juga diselubungi pelbagai mitos termasuk bagaimana ia musnah menyembah bumi.
Sejarah
Untuk mengesan sejarah perpustakaan ini, ianya berkait dengan sejarah Iskandariah itu sendiri. Pada April 331 SM tidak lama selepas berjumpa dengan ahli-ahli nujum di Siwa, Mesir, Iskandar Agung/Alexander the Great membayangkan sebuah metropolis yang menghubungkan Mesir dengan Yunani.
Tetapi baginda maklum sebarang usaha menubuhkan metropolis di muara Sungai Nil amat payah berikutan arus sungai yang tidak menentu dan kawasan pesisirnya tidak stabil. Justeru, Alexander memilih satu lokasi 20 batu barat sungai berkenaan dengan bayangan dinding kota sejauh 10 batu dan kelebaran jalan-jalannya sehingga 100 kaki.
Namun kurang sedekad selepas mengasaskan Iskandariah/Alexandria, Alexander mangkat dan kota yang dinamakan sempena namanya menjadi tempat persemadian terakhirnya. Mengikut rancangan asal, mayat baginda dibawa pulang ke Macedonia untuk dimakamkan tetapi dicuri oleh jeneral merangkap pengasas Dinasti Ptolemy, Ptolemy I Soter.
Ptolemy I tahu sekiranya mayat Alexander dimakamkan di kota yang dinamakan sempena namanya itu, ia sebenarnya mengesahkan kedudukannya sebagai pemerintah Mesir yang sah. Selain itu, baginda juga turut mempunyai kekuatan kewangan hasil daripada rampasan siri pertempuran yang disertainya semasa berada di Asia dan kemakmuran bumi Mesir itu sendiri.
Pembinaan Perpustakaan Agung Iskandariah bermula sekitar 295 SM tidak lama selepas kemangkatan Alexander. Bangunan perpustakaan ini terletak di satu kawasan kompleks istana Iskandariah yang dikenali sebagai Bahagian Diraja. Perpustakaan ini merangkumi dua bahagian iaitu Biblion (tempat teks-teks disimpan di arkib) dan Museion (tempat pengajaran dan pembelajaran berlangsung).
Ahli geografi Yunani, Strabo menggambarkan perpustakaan itu sebahagian daripada istana diraja, kawasan pejalan kaki yang terlindung, exedra (dewan perbincangan) dan sebuah rumah besar yang berperanan sebagai dewan makan bagi para cendekiawan yang berkongsi idea dan ilmu mereka di Museion.
Memandangkan perpustakaan ini merupakan sebuah institusi diraja, tidak syak lagi ia mengambil banyak unsur Yunani dan tradisi Timur Baru. Di Mesir, perpustakaan dan arkib dokumen bukan sesuatu yang baru semasa kedatangan baginda dan sudah diamalkan sejak sekian lama.
Dan memandangkan hubungan ilmu dengan elemen keagamaan amat penting pada ketika itu, tidak hairanlah mengapa seorang pendeta dilantik sebagai ketua Museion. Selain memperlihatkan kaitan keagamaan dengan tradisi pemerintahan Alexander, ia juga sebagai petunjuk bahawa Perpustakaan Agung Iskandariah ialah sebuah institusi diraja yang terkenal.
Tidak seperti perpustakaan yang wujud ketika itu, Perpustakaan Agung Iskandariah bersifat sejagat bersesuaian dengan tradisi imperialisme Hellenistik yang dibawa Alexander dan pemerintah-pemerintah selepasnya. Justeru, tidak hairanlah mengapa banyak koleksi teks-teks ilmu bukan saja dari Yunani tetapi juga dari serata tempat disalin, diterjemah dan disimpan di situ.
Dengan namanya harum dan menjadi sebutan orang ketika itu, tak sah kalau ada yang cemburu. Salah seorang daripada mereka ialah pemerintah Dinasti Attalid, Eumenes II. Eumenes II bertindak menubuhkan sebuah perpustakaan sejagat di Pergamum dengan harapan dapat menyaingi kemasyhuran Perpustakaan Agung Iskandariah.
Sejak itu, kedua-dua perpustakaan berlumba-lumba mengisi koleksi masing-masing dengan teks-teks ilmu dari pelbagai tempat. Pemerintah-pemerintah Ptolemy menghantar rombongan cendekiawan-cendekiawan ke luar negara bagi mendapatkan manuskrip ilmu terbaru.
Dan untuk memastikan Dinasti Ptolemy sentiasa di hadapan, kapal-kapal dagang yang berlabuh di Iskandariah dipaksa menyerahkan semua koleksi buku mereka kepada pegawai-pegawai perpustakaan. Semua buku itu akan disalin dengan buku asal disimpan di perpustakaan manakala salinan pula diberi kepada pemilik-pemilik buku itu.
Semasa Perpustakaan Agung Iskandariah berada di kemuncaknya, dikatakan terdapat simpanan teks antara 70,000 hingga 700,000 helai dalam perpustakaan berkenaan. Tetapi tugas mengarkib semua teks ini bukan sesuatu yang mudah. Justeru, tidak hairanlah hanya beberapa orang sahaja yang arif dengan keseluruhan simpanan teks perpustakaan.
Di sebalik labelnya sebagai perpustakaan sejagat, itu bukan bermakna ia boleh diakses oleh semua orang. Hanya individu yang dilantik dan mendapat naungan pemerintah Dinasti Ptolemy sahaja yang dibenarkan mengakses perpustakaan dan Museion. Dan mereka ini dibayar gaji dan diberi pengecualian cukai sekiranya tinggal dan bekerja di kawasan perpustakaan.
Ciri sebegini ternyata mengundang rasa kurang senang sesetengah cendekiawan. Salah seorang daripada mereka ialah filsuf abad keempat SM, Timon of Phlius. Timon menggelar sesetengah cendekiawan yang bertuah mengakses perpustakaan berkenaan sebagai burung-burung yang mematuk makanan dan tinggal dalam sangkar Muses (Dewi-dewi Seni Yunani).
Berikutan koleksi teks dan buku yang terlalu banyak di Perpustakaan Agung Alexandria, sebuah lagi perpustakaan dibina di Serapeum. Bagi para cendekiawan yang tiada kaitan dengan institusi itu, mereka bagai orang mengantuk disorongkan bantal kerana boleh mengakses semua teks dan buku tanpa halangan.
Kemusnahan perpustakaan
Ramai mendakwa perpustakaan tersebut musnah pada tahun 48 SM semasa Perang Saudara Rom/Perang Saudara Caesar. Tetapi hakikatnya, Perpustakaan Agung Iskandariah sudah mula mengalami kemerosotan akibat ketidakstabilan politik yang melanda Dinasti Ptolemy dan ramai cendekiawan memilih menghasilkan komentar mereka sendiri, sekaligus mengabaikan koleksi teks ilmu asal.
Pada tahun 48 SM, Caesar yang pada ketika itu dikepung di Iskandariah mencari jalan bagaimana mahu melepaskan kepungan daripada musuh-musuhnya. Ini mendorong tentera-tenteranya membakar sebahagian kapal-kapal Mesir yang berlabuh di pelabuhan. Malangnya, api terkawal itu didakwa merebak sehingga ke kawasan perpustakaan dan membakar lebih 40,000 simpanan teks perpustakaan.
Bagaimanapun, ramai mengesyaki kebakaran yang dicetuskan oleh tentera Caesar tidak meliputi sebahagian besar kawasan Perpustakaan Agung Iskandariah tetapi kawasan gudang yang menempatkan simpanan teks di pelabuhan. Justeru, ramai berpandangan institusi itu terus wujud selepas tahun 48 SM.
Buktinya ialah seorang penulis prolifik Rom-Yunani ketika itu bernama Didymus Chalcenterus atau Chalkenteros. Chalkenteros menghasilkan antara 3,500 hingga 4,000 buku sekaligus menjadikannya penulis buku paling prolifik dalam era klasik. Beliau sudah pasti berdepan kesukaran menghasilkan karya-karya ini jika tidak mempunyai akses terhadap perpustakaan.
Ada pula mengatakan Perpustakaan Agung Iskandariah dimusnahkan oleh kelompok fanatik Kristian. Bagaimanapun, komuniti sejarah menolak bulat-bulat dakwaan kelompok tersebut memang mensasarkan perpustakaan berkenaan.
Hakikatnya, banyak wilayah termasuk Iskandariah mengalami kehilangan artifak dan khazanah berharga akibat ketidakstabilan politik dan peperangan yang tercetus pada abad ketiga dan keempat Masihi. Antara khazanah yang hilang atau musnah dari Bahagian Diraja pada ketika itu ialah Makam Alexander sendiri.
Ada pula mengaitkan kemusnahan Perpustakaan Agung Iskandariah berpunca daripada dua tokoh ini, Maharaja Theodosius I dan Umar bin al-Khattab r.a. Pada abad keempat Masihi, Theodosius I mengarahkan perpustakaan dan arkib-arkib yang menyimpan dokumen-dokumen yang bertentangan dengan ajaran Nasrani dimusnahkan atau ditukar peranannya sebagai gereja.
Manakala Umar pula dikatakan mengarahkan panglima angkatan perang Madinah yang menawan Mesir pada tahun 642 Masihi, Amru bin al-As r.a untuk memusnahkan semua teks dan skrol perpustakaan atas alasan ia bertentangan dengan ajaran Islam. Namun untuk kedua-dua versi ini, para cendekiawan kontemporari sudah ragu-ragu dengan kesahihan kisah ini.
Ini kerana mereka melihat dua kisah ini penuh dengan anakronisme yang mengarut. Dan dalam kes membabitkan Umar dan Amru r.a, sudah pasti perpustakaan yang dibina oleh Ptolemy I tidak lagi wujud pada abad ketujuh Masihi semasa ekspedisi tentera Madinah berjaya menakluk Iskandariah.
Tambahan pula, kisah sebegini langsung tidak direkodkan dalam mana-mana teks yang menceritakan kempen penaklukan Mesir oleh Amru baik sama ada sumber Arab, Koptik atau Rom Timur/Byzantine. Sekiranya arahan tersebut wujud dan mereka melakukannya, sudah pasti ia akan direkodkan sebagai peristiwa besar sejarah sama ada oleh John Nikiou (pendeta Byzantine) atau John Moschus.
Jadi, siapa sebenarnya bertanggungjawab mereka-reka kisah ini? Kisah ini dikatakan timbul pada abad ke-12 Masihi oleh seorang cendekiawan Ayubiyyah bernama Ali bin Yusuf al-Qifti. Menurut Qassem Abdou Qassem dan Bernard Lewis dalam buku mereka bertajuk What Happened to the Library of Alexandria, mereka mengesyaki kisah ini sebenarnya sebuah propaganda untuk Dinasti Ayubiyyah.
Perlu diingat pada ketika itu, pengasas Dinasti Ayubiyyah iaitu Salahuddin Yusuf al-Ayyubi berjaya menyingkirkan Dinasti Fatimiyyah pada tahun 1171 selepas kemangkatan Khalifah al-Adid, pemerintah terakhir dinasti berkenaan. Justeru bagi memberi keabsahan tindakannya itu, maka tindakannya disamakan dengan tindakan memusnahkan skrol-skrol perpustakaan kononnya dilakukan oleh Amru atas arahan Umar.
Perpustakaan Agung Iskandariah bukan musnah akibat tangan-tangan tokoh tertentu tetapi akibat ketidakstabilan politik dan sosial yang melanda dan mengubah landskap Iskandariah pada setiap abad. Tetapi legasi intelektualnya tetap diteruskan dengan kemunculan kota-kota ilmu lain seperti Rom, Constantinople (kini Istanbul) dan Damascus (Damsyik moden).
Dan usah terkejut sekiranya penulis menyimpulkan ini. Legasi Perpustakaan Agung Iskandariah disambung menerusi penubuhan Perpustakaan Baitul Hikmah oleh kerajaan Bani Abbasiyyah yang menjadi teras utama Zaman Keemasan Islam.
Justeru apabila Baghdad dilanggar gerombolan bala tentera Mongol pada abad ke-13, barulah dunia menangis. Menangis kerana legasi ilmu yang dibawa dari perpustakaan yang dicetuskan oleh Ptolemy I itu musnah dimamah musuh yang tidak mengerti signifikannya kepada dunia.
RUJUKAN:
Lawler, Andrew. (2007). Raising Alexandria. Smithsonian Magazine. https://www.smithsonianmag.com/science-nature/raising-alexandria-151005550/
King, Arienne. (2018). Making the myth of the Library of Alexandria. Ancient World Magazine. https://www.ancientworldmagazine.com/articles/making-myth-library-alexandria/
Haughton, Brian. (2011). What happened to the Great Library at Alexandria?. Ancient.eu. https://www.ancient.eu/article/207/what-happened-to-the-great-library-at-alexandria/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih