Aku selalu ditanya: “Bagaimana untuk rajinkan diri membaca?” Soalan ini ditanyakan oleh rakan-rakan aku. Ramai daripada mereka adalah daripada kalangan pelajar. Disebabkan mereka ini pelajar, soalan ini agak mudah untuk dijawab kerana aku juga adalah pelajar.

Untuk para pelajar, setiap kali habis kuliah, geraklah ke Perpustakaan. Prasarana perpustakaan itu sudah disesuaikan agar pembacaan mudah dilakukan. Bawalah bahan bacaan daripada bilik sekalipun, perpustakaan bukannya kawasan larangan bahan luar. Di situ, kalian bacalah sepuasnya.

Yang menjadi masalah ialah tabiat para pelajar yang suka pulang ke kolej kediaman. Hal ini selari dengan tiga perkara dalam Sindrom 4K yang digariskan oleh Dr Afandi Ahmad (2016) iaitu: Katil, Komputer dan Kafeteria (satu lagi ialah tidak fokus dalam Kuliah). Pelajar sangka apabila sudah mendapat rehat yang secukupnya di katil (akibat lewat tidur), mereka akan boleh meluangkan masa dengan bahan bacaan. Hakikatnya, ramai tewas dengan nafsu terhadap komputer.

Bagi pelajar yang lewat tidur dan mahu sambung tidur, tidurlah setelah tiba di perpustakaan. Perpustakaan juga bukanlah kawasan larangan tidur. Malah, perpustakaan juga adalah tempat yang agak selesa untuk tidur. Apabila sedar daripada tidur, carilah bahan bacaan lalu bacalah. Disarankan untuk tidak bawa komputer riba ke perpustakaan.

Namun, berapa lama harus kita duduk di Perpustakaan sebelum boleh pulang ke kolej kediaman? Untuk ini, aku mengambil kias daripada orang-orang yang kerja di pejabat: iaitu mereka bekerja daripada 9 pagi sehingga 5 petang (selalunya dipanggil 9-ke-5). Malah, bila kita fikirkan semula, belajar di Universiti sememangnya kerja kita sebagai pelajar. Gelaran “Pelajar” itu sendiri adalah sejenis pekerjaan. Itulah juga gelaran yang kita isi dalam bahagian “Pekerjaan” apabila ditanya dalam borang.

Maka, pekerjaan kalian ialah seorang pelajar. Pejabat kalian ialah Perpustakaan. Apabila tiada keperluan untuk ke mana-mana, pulanglah ke pejabat kalian. Begitu jugalah mereka yang bekerja: mereka ada juga keperluan untuk keluar berunding, bermesyuarat, makan minum, dan sebagainya tapi mereka akan pulang ke pejabat apabila selesai keperluan. Pejabat itu juga adalah tempat untuk menghabiskan tugasan. Elakkan bawa komputer riba melainkan tugasan kalian memerlukannya.

Satu semester kebiasaannya akan memperuntukkan masa 20 jam untuk kuliah seminggu. Tabiat 9-5 ini pula memakan masa 40 jam seminggu (Isnin sampai Jumaat). Maknanya, baki ialah 20 jam seminggu di perpustakaan. Untuk 17 minggu (satu semester), dapatlah 340 jam di perpustakaan. Boleh bayangkan berapa banyak buku yang boleh dihabiskan?

Mari kita lakukan anggaran bernilai rendah. Secara purata, seorang dewasa membaca sepantas 200 sehingga 400 patah kata seminit (pk/min). Satu buku pula mempunyai lebih kurang 50,000 patah kata (Chu, 2017). Mengambil nilai rendah 200 pk/min, satu buku dapat dihabiskan dalam 4.17 jam. 340 jam di perpustakaan pula akan membawa kepada 80 buku satu semester.

Angka 80 buku itu sangat banyak untuk satu semester. Setahun pula akan membawa kepada 160 buku. Purata tabiat membaca di Malaysia pula hanyalah 15 buah buku setahun (Bernama, 2017). Lihatlah perbezaan yang ketara itu! Malah, jika hanya sesuku masa daripada 340 jam itu digunakan untuk membaca, kita masih boleh capai angka 40 buku setahun!

Hal ini juga bermakna, para pelajar harus mendisiplinkan diri untuk ke perpustakaan pada pukul 9 pagi walaupun tiada kelas di waktu pagi ataupun tiada kelas langsung pada hari itu. Malah, disiplin diri ini adalah satu keperluan. Ingat, pekerjaan kalian ialah untuk menimba ilmu; setiap pekerjaan memerlukan disiplin. Kalian gagal mengerjakan pekerjaan ini jika kalian tidak menimba ilmu sebanyak mungkin. Maka pergilah perpustakaan dan telaahlah buku-buku.

Semoga dengan berpejabatkan perpustakaan, mahasiswa-mahasiswi akan membaca dengan lebih banyak dan boleh menjadi lebih produktif menyiapkan tugasan.

Daftar Pustaka:

Afandi Ahmad, temubual (2 Okt 2016) “Sindrom 4K di IPT membimbangkan” Berita Harian: https://www.bharian.com.my/node/198126

Bernama (6 Mei 2017) “Kadar Literasi di Malaysia 95 Peratus” [Keratan Akhbar] Kosmo: http://www.pnm.gov.my/pnm/resources/pdf%20file/keratan%20akhbar/2017/Mei/6_Mei_2017_Kosmo.pdf

Chu, C. (2017) “In the time you spend on social media each year, you could read 200 books” Quartz: https://qz.com/895101/in-the-time-you-spend-on-social-media-each-year-you-could-read-200-books/

Nelson, B. (2012) “Do You Read Fast Enough To Be Successful?” Forbes: https://www.forbes.com/sites/brettnelson/2012/06/04/do-you-read-fast-enough-to-be-successful/?ref=pcrorganicgglunkwn&prid=pcseogglunkwn#77f5a0b0462e

Nathasia, E.H. (2017) “Rakyat Malaysia Malas Membaca Ke?” The Patriots: https://thepatriots.asia/rakyat-malaysia-malas-membaca-ke/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Menyambung pengajian sarjana muda Fizik di UKM (2017-2021). Minat menulis sejak tahun 2011 dan mula berkecimpung dalam penulisan akademik sejak tahun 2014. Berazam untuk menjadi pensyarah dan untuk terus menulis ilmu dalam Bahasa Melayu. Gagasan aku mudah sahaja: jika ingin diajarkan ilmu kepada sesuatu bangsa maka ajarkanlah dalam lidah bangsa tersebut.

Comments are closed.