Pada tahun 756 Masehi, Maharaja Suzong dari Dinasti Tang telah menulis surat secara tergesa-gesa kepada Khalifah Abu Jafar al-Mansur, iaitu pemerintah Muslim dari Empayar Bani Abbasiah (Abbasid Caliphate) ketika itu.
Surat itu mengandungi permohonan bantuan ketenteraan dari khalifah Islam itu untuk menumpaskan pemberontakan paling hebat dalam sejarah Dinasti Tang.Ini bermula apabila seorang jeneral di utara China yang bernama An Lushan telah mengisytiharkan dirinya pemerintah di wilayah utara sekaligus menubuhkan Dinasti Yan.
Mula-mula An Lushan menggerakkan balatenteranya dari Fanyang menuju ke Luoyang yang mana di sepanjang perjalanan,dia telah menundukkan semua pegawai-pegawai dan wakil Dinasti Tang malah ramai di antara mereka menyertai tentera An Lushan. Bala tentera yang semakin ramai itu terus maju dan sampai ke timur kota Luoyang. Pertempuran pun tercetus dan akhirnya An Lushan berjaya menewaskan Feng Changqing, jeneral yang menjaga Luoyang. Pelan seterusnya ialah ke arah ibu kota dinasti Tang, Chang’an.
Dipendekkan cerita,ketika mara ke ibukota,tentera An Lushan menghadapi tentangan hebat dari pasukan tentera di kawasan pergunungan Tongquan,malangnya ketika itu pula dua jeneral tentera di pihak Dinasti Tang yang sepatutnya menjaga di Genting Tong, telah dibunuh atas arahan sida-sida yang memiliki kuasa dan pengaruh kuat, Bian Lingcheng. Ini mengakibatkan kekalutan di pihak tentera dan salah seorang pemimpin mereka merangkap penasihat kepada maharaja,Yang Guozhong telah mengarahkan tentera berperang dengan balatentera pemberontak secara terbuka.Ini satu kesilapan yang dasyat apabila tentera Tang dikalahkan dan jalan menuju ke Chang’an,ibukota Dinasti Tang terbuka luas.
Mendengarkan berita buruk itu, Maharaja Xuanzong mengambil keputusan untuk melarikan diri bersama-sama keluarganya. Dalam pelarian ini,terjadi satu kisah yang menyayatkan hati, apabila di tengah perjalanan, para pengawal maharaja dan askar-askar mereka telah memaksa maharaja membunuh Yang Guozhong yang didakwa mereka menyebabkan punca berlakunya pemberontakan dan kekacauan ketika itu.Selepas Yang Guozhong,anaknya dan yang lain-lain dibunuh, askar pengawal mendesak pula maharaja membunuh Yang Guifei, iaitu sepupu Yang Guzhong. Yang Guifei adalah permaisuri kepada Maharaja Xuanzong iaitu Maharani Dinasti Tang!
Yang Guifei terkenal kerana kecantikannya sehinggakan Maharaja Xuanzhong sanggup merampasnya dari tangan anaknya sendiri yang mengahwini Yang Guifei terlebih dahulu dengan cara licik.
Selepas beberapa peristiwa pertelingkahan, bantahan dan pujukan,akhirnya sang maharaja yang putus harapan itu bersetuju supaya permaisurinya dibunuh.Permaisuri jelita itu dibunuh dengan cara dicekik dan dikebumi di situ juga tanpa keranda dan hanya dibaluti dengan selimut penuh dengan bunga-bungaan sahaja.
Pada tahun 756, tentera An Lushan menakluk Chang’an dan menjarah ibu kota Tang itu.
Pada tahun itu juga, Li Heng, anak kepada Maharaja Xuanzhong mengisytiharkan dirinya maharaja. Namanya bertukar kepada Maharaja Suzong.
Inilah puncanya kisah mengapa maharaja baru itu tergesa-gesa menulis surat kepada Khalifah Al-Mansur walaupun tentera Abbasiah pernah mengalahkan tentera Tang dalam Pertempuran Talas. Maharaja Suzong tiada pilihan lain, lebih baik menebalkan muka kepada bekas musuhnya daripada hilang seluruh kerajaan kepada pemberontak.
Khalifah Al-Mansur bersetuju membantu China. Baginda menghantar 22 ribu askar termasuk 700 askar berkuda untuk membantu maharaja Tang itu. Sebahagian dari mereka adalah warisan kepada masyarakat Hui di China hari ini.
(Saya suka membayangkan situasi konflik ini ketika menonton ‘14 Blades‘ lakonan Donnie Yen)
Pemberontakan berjaya dipadamkan. Selepas segalanya reda, bekas maharaja, Xuanzong secara senyap-senyap menghantar orang-orangnya menggali semula mayat isterinya,Yang Guifei. Mayat bekas permaisuri jelita itu telah hancur dalam selimut; tetapi yang anehnya bunga-bunga di dalam masih segar. Sida-sida membawa selimut itu dihadapan Maharaja Xuanzhong yang melihatnya dengan hati yang luluh. Sekembalinya ke Chang’an, bekas maharaja itu menyuruh potret permaisurinya dilukis sebagai tanda kenangan, dan selalu memandang potret itu sehingga ke akhir hayatnya.
~ Srikandi
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih