Penularan wabak ‘SARS-CoV-2’ atau Covid-19 yang bermula pada penghujung tahun 2019 telah memaksa peradaban manusia moden hari ini ‘berlumba-lumba’ untuk menghasilkan vaksin yang efisien lagi selamat dengan mengikut garis panduan keselamatan yang telah ditetapkan.

Secara asasnya, vaksin adalah salah satu kaedah pencegahan penyakit berjangkit atau wabak yang dibuat melalui kaedah suntikan imunisasi. Kebiasaannya, vaksin digunakan untuk mencegah jangkitan wabak berbentuk ‘pathogen’ yang berpunca daripada virus, bakteria, fungi dan juga parasit.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setiap penghasilan vaksin perlu melalui beberapa peringkat wajib, khususnya peringkat ujian keselamatan yang terdiri daripada peringkat Pra-Klinikal (haiwan), Klinikal (manusia) dan Pengawalseliaan (regulatory review).
Peringkat Klinikal adalah peringkat yang paling penting, yang mana ianya terdiri daripada 3 fasa utama, iaitu Fasa 1 (Safety Trials) yang melibatkan sebilangan kecil manusia, Fasa 2 (Expanded Trials) pula dijalankan ke atas ratusan manusia, dan Fasa 3 (Efficacy Trials) yang diwajibkan ujian ke atas ribuan manusia.

Atas faktor itu, tempoh penghasilan sesuatu vaksin semestinya akan mengambil masa yang agak lama, adakalanya mampu mencecah sehingga 10 tahun sebelum ianya mendapat kebenaran penuh untuk dipasarkan.

Walaubagaimanapun, tempoh masa penghasilan vaksin Covid-19 telah dipercepatkan dengan sasaran masa hanya 1 hingga 2 tahun sahaja memandangkan penghasilan vaksin ini menggunapakai teknologi moden terkini.

Dalam pada itu, WHO turut menggariskan beberapa jenis vaksin yang paling ‘common’, antaranya ‘Live Attenuated Vaccine’ (LAV), ‘Inactivated Whole Cell Vaccine’, ‘Subunit Vaccine’ dan ‘Toxoid Vaccine. Kesemua jenis vaksin ini menggunapakai kaedah penghasilan yang berbeza.

Setakat 11 November 2020, terdapat 234 kajian vaksin yang telah didaftarkan di seluruh dunia. Daripada jumlah itu, sebanyak 39 kajian sedang berada di peringkat ujian Klinikal. Hanya 10 kajian sahaja yang sedang berada di ujian Klinikal fasa 3 (efficacy trials) menurut portal covid-19vaccinetracker.com.

Berdasarkan senario terkini, negara China sedang mendahului carta negara pengeluar vaksin terawal dan terbesar dunia, setelah 5 kajian vaksin milik syarikat farmaseutikal dari negara itu sedang menjalani ujian Klinikal fasa 3. Antara syarikat farmaseutikal China yang terlibat ialah Anhui Zhifei Longcom Biopharmaceutical, Chongqing Zhifei Biological, Sinovac Biotech, CanSino Biologics dan Sinopharm.

Selain China, terdapat beberapa kajian vaksin dari negara lain yang sedang menjalani ujian Klinikal fasa 3, iaitu United Kingdom (AstraZeneca), Amerika Syarikat (Moderna, Novavax & Pfizer), Russia (Gamaleya), Belgium (Janssen), dan Jerman (BioNTech) sepertimana yang dilaporkan oleh covid-19vaccinetracker.com.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM), kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk menyertai sebuah badan antarabangsa yang dikenali sebagai COVID-19 Vaccine Global Access (COVAX). Badan ini bertanggungjawab untuk membantu negara-negara membangun mendapatkan bekalan vaksin.

Sebagai info, kerajaan telah melabur sebanyak RM42 juta untuk menjadi ahli COVAX. Angka tersebut hanyalah ‘bayaran awal’, dan kerajaan perlu membayar sebanyak RM600 juta untuk mendapatkan stok vaksin menerusi pelan COVAX. Kerajaan turut menjangkakan bahawa harga seunit vaksin boleh mencecah sehingga $22 USD atau RM91 (at least) menurut laporan thestar.com.

Dalam perkembangan lain, pada 16 November 2020, kerajaan telah berhubung dengan 10 buah syarikat pengeluar vaksin bagi membincangkan beberapa peluang kerjasama di dalam aspek-aspek terpenting, seperti kajian dan pembangunan (R&D), pertukaran teknologi dan saintis, serta perjanjian pembelian vaksin menurut YB Khairy Jamaludin selaku Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

YB Khairy turut menyebut bahawa, kerajaan hanya memperoleh bekalan vaksin Covid-19 untuk 10% populasi rakyat Malaysia menerusi keahlian COVAX. Justeru, kerajaan perlu berusaha mendapatkan baki bekalan vaksin sekurang-kurangnya untuk 60% populasi Malaysia bagi mencapai sasaran ‘Herd Immunity’ yang ditetapkan pada kadar 70%. Menerusi Belanjawan 2021, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3 Bilion dalam usaha membuat tempahan awal bekalan vaksin Covid-19.

Namun, pembelian tersebut hanya akan dibuat setelah mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).Terdahulu, pada 11 Ogos 2020, Presiden Vladimir Putin (Russia) mengumumkan bahawa vaksin Sputnik V keluaran Gamaleya Research Institute yang berpusat di Moscow telah memperoleh kelulusan (approval) untuk dipasarkan. Vaksin itu dikatakan hanya melalui proses ujian ke atas manusia (human testing) dalam jangka masa 2 bulan sahaja menurut theguardian.com.

Pengumuman yang dibuat Putin itu telah menjadikan Sputnik V sebagai vaksin Covid-19 pertama di dunia yang memperoleh kelulusan. Sejurus selepas itu, Sputnik V mendapat kritikan hebat daripada ramai pakar vaksin di seluruh dunia khususnya berkaitan dengan tahap keselamatan yang tidak begitu meyakinkan.

Hal ini dikatakan demikian kerana, kerajaan Russia membuat pengumuman tersebut dengan hanya bersandarkan keputusan ujian Klinikal fasa 1 dan 2 yang hanya melibatkan 76 orang sukarelawan sahaja. Sedangkan, kayu ukur utama dalam penghasilan sesuatu vaksin adalah bergantung kepada keputusan ujian Klinikal fasa 3 yang melibatkan ribuan sukarelawan.

Menjelang bulan Oktober 2020, Sputnik V melaksanakan ujian Klinikal fasa 3 dengan melibatkan seramai 40 000 orang sukarelawan. Tahap keberkesanan (efficacy) Sputnik V dilaporkan mencecah sehingga 92% berdasarkan perolehan keputusan ujian ke atas 16 000 sukarelawan, menurut The Associated Press.

Sebagai pembandingan, vaksin keluaran syarikat Moderna (US) yang menjalankan ujian Klinikal fasa 3 ke atas 30 000 orang rakyat US memiliki kadar keberkesanan sehingga 95%. Manakala, vaksin ciptaan bersama syarikat Pfizer (US) dan BioNTech (Jerman) memiliki kadar keberkesanan setinggi 90% melalui ujian yang dilaksanakan ke atas 43 500 orang sepertimana yang dilaporkan oleh portal bbc.com.

Namun, terdapat beberapa kajian vaksin lain terpaksa dihentikan seketika setelah beberapa orang sukarelawan yang terlibat didapati terkena kesan sampingan (adverse effect) yang marabahaya.

Vaksin CoronaVac yang diusahakan secara bersama oleh syarikat farmaseutikal China (Sinovac) dan Institut Butantan milik kerajaan Brazil telah dihentikan pada 10 November 2020 menurut laporan nytimes.com. Jumlah sukarelawan vaksin CoronaVac adalah seramai 27 000 orang.

Selain itu, syarikat AstraZeneca turut menggantung kajian mereka selama kira-kira 6 minggu yang bermula pada 6 September 2020, setelah mendapati beberapa orang sukarelawan mereka jatuh sakit. AstraZeneca kemudiannya dibenarkan untuk meneruskan kajian mereka pada 23 Oktober setelah siasatan menunjukkan tiada sebarang kaitan antara penyakit ‘neurological’ yang dialami oleh sukarelawan tersebut dengan suntikan vaksin percubaan (trials) yang diberikan.

Sebagai penutup, penghasilan sesuatu vaksin tidak boleh dibuat secara terburu-buru tanpa mengambil kira tahap keselamatan kepenggunaanya. Diharapkan agar pihak kerajaan dapat memastikan vaksin yang dibeli nanti benar-benar selamat dan berkesan untuk digunakan oleh rakyat Malaysia.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sekadar penulis amatur.

Comments are closed.