Kali pertama saya mengetahui tentang stesen angkasa ini adalah ketika saya berada di sekolah menengah, ketika di tingkatan satu.
Waktu itu stesen televisyen satelit masih lagi baharu dan saluran Discovery yang di siarkan tidak seperti sekarang, dan siaran yang paling menambat hati adalah mengenai ISS yang mana waktu itu adalah peringkat eksplorasi angkasa lepas yang sangat membanggakan.
ISS pada waktu itu masih lagi baharu, dalam 3 – 4 tahun usianya dan modul asas seperti Zarya, Unity dan Zvezda membentuk teras utama ISS.
Mir yang merupakan stesen angkasa milik Russia masih lagi berada di orbit tetapi semakin uzur dan seringkali mengalami masalah teknikal, namun terus gagah mengendalikan eksperimentasi saintifik angkasalepas.
ISS adalah stesen angkasa yang dibina dengna kolaborasi dari negara-negara maju, seperti AS dan Russia serta Eropah dan Jepun.
Asalnya ia adalah idea NASA dalam cubaan untuk mengatasi Russia dengan membina stesen angkasa yang lebih besar dan lebih baharu dari Mir pada ketika itu namun kekangan belanjawan dan tentangan politik menyebabkan ia terbatal.
Namun ia tidak terhenti disitu.
Usaha mengembalikan semula program ini dibuat, dan faktor usia MIR yang semakin uzur serta tidak lagi ekonomikal untuk dikekalkan di orbit selain perbelanjaan yang tinggi terpaksa dikeluarkan oleh pihak Russia membuka jalan kepada pembinaan ISS.
ISS dibina dengan modul pertama Zarya, yang kemudian dicantumkan dengan modul Unity dan Zvezda sebagai teras utama ISS.
Satu persatu modul pelbagai guna, modul makmal saintifik, kekuda panel suria, modul simpanan dan tempat tinggal, lengan-lengan robotik, modul bagi mengendalikan kapal angkasa Souyuz, Progress, Shuttle, ATV dan HTV di cantumkan membentuk satu struktur buatan manusia terbesar mengorbit Bumi pada kelajuan 27 600km per jam pada ketinggian maksimum sehingga 400km dari permukaan Bumi.
ISS merupakan fasilitas angkasa lepas yang menyediakan makmal kajian perubatan, bioteknologi, kajian mengenai kesan mikrograviti keatas kehidupan, kajian mengenai pancaran kosmik, cerapan keatas cuaca kosmik dan cuaca di Bumi, astrobiologi, sains fizika, sains materi dan sains kehidupan yang berkait rapat dengan kesan keatas suasana graviti sifar dan graviti mikro keatas bahan dan hidupan serta tubuh manusia.
ISS juga menjadi platform ujian kenderaan angkasa lepas komersial yang memperlihatkan pengunaan Cygnus dan Dragon bagi tujuan penghantaran kargo saintifik ke ISS setelah program Shuttle ditamatkan.
ISS terbahagi kepada dua segmen utama, iaitu RSO (Russian Orbital Segment) yang menempatkan modul Zarya, Zvezda, Poisk dan Pirs serta modul-modul labuhan bagi kapal angkasa Soyuz dan Progress, manakala USOS (US Orbital Segment) terdiri dari modul Unity sebagai modul yang menyatukan segmen Russia dan AS, Harmony, Tranquility, Quest dan Destiny yang merupakan modul buatan Amerika manakala Leonardo yang merupakan modul Itali, modul Kibo yang merupakan modul terbesar ISS yang menempatkan platform terdedah, lengan robotik dan modul eksperimental Jepun, modul Colombus yang merupakan buatan agensi angkasa lepas Eropah, serta modul Platform sistem pengangkutan olah gerak yang menempatkan lengan robotik Canadarm2 dan SPDM Dextre.
Kesemua modul angkasa lepas ini bersambungan antara satu sama lain dengan setiap darinya mempunyai pintu kekunci udara, dan di jana dengan kuasa suria yang didatangkan dari modul-modul fotovolta yang tersambung pada dengan sambungan segmen kekuda yang tercantum pada modul sistem pengangkutan olah gerak.
Selain ujikaji saintifik materi dan hidupan, cerapan keatas angkasa lepas turut dilakukan dengan penempatan modul AMS (Alpha Magnetic Spectrometer) yang melaksanakan cerapan saintifik keatas spektrometer magnetik angkasaraya yang menghujani Bumi.
Sejak ISS mulai mengorbit Bumi sekitar tahun 1998, (yang merupakan tahun dimana modul Zarya pertama kali ditempatkan diangkasa lepas) ia telah menerima sejumlah besar labuhan kapal angkasa tanpa panduan manusia dan dengan panduan manusia yang melibatkan 35 misi Shuttle, 42 misi Soyuz, 5 misi ATV, 5 misi HTV, 8 misi Dragon dan 8 misi Cygnus ke stesen angkasa tersebut dengan pelbagai jenis beban bayar dan tugasan yang berbeza-beza.
Dengan sejumlah 16 kali orbit mengelilingi Bumi sehari, ISS dan krew nya mengalami 16 kali siang dan malam disebabkan kelajuan pengorbitan yang mencecah 27 600km per jam. Ia agak pantas namun memberikan peluang kepada kalangan krew ISS untuk mengabadikan foto-foto yang sangat menakjubkan dari angkasa lepas.
Selain dari aktiviti saintifik dan teknikal yang dijalankan di ISS, stesen angkasa ini turut melakukan aktiviti pembelajaran jarak jauh kepada pelajar sekolah dalam menanam minat berkenaan sains dan teknologi serta kajian berkenaan angkasa lepas melalui program-program yang diatur oleh agensi angkasa seperti NASA dan ESA.
Dari pembelajaran sains melalui radio amatur hingga siaran rancangan televisyen mengenai kehidupan di ISS untuk tatapan pelajar sekolah yang dikendalikan stesen televisyen Jepun, kepada program-program eksperimentasi yang dijalankan oleh krew saintifik ISS berdasarkan permohonan email dan video log yang dihantar pelajar sekolah dan universiti seluruh dunia mendekatkan lagi budaya ilmu sains antara kalangan krew ISS dengan pelajar pelbagai peringkat.
Pembenihan budaya ilmu dan penerapan sikap cinta ilmu juga tidak terhad kepada kalangan pelajar, malah orang awam juga turut serta dimana NASA dan agensi angkasa lain mengadakan program seperti “Spot The Station” yang mana melibatkan orang awam mencerap langit dengan teleskop persendirian kedudukan stesen angkasa tersebut jika sekiranya ia mengorbit langit satu-satu negara atau kawasan, malah mengajak kalangan awam untuk membuat perkiraan jangkaan “fly by” stesen angkasa tersebut.
ISS yang bernilai 150 billion USD dan telah mengorbit Bumi kita selama ini bukan semata-mata projek mega negara-negara maju meneroka angkasa tetapi ia turut bersifat holistik kerana berjaya menerap pembudayaan ilmu sains dan teknologi serta menarik minat generasi baharu terhadap pelbagai cabang ilmu seperti matematik, sains angkasalepas, teknologi dan mekanikal robotik dan pengkomputeran serta sains biologi angkasa.
Apapun, yang paling menakjubkan adalah imej dan foto yang diambil dari ISS yang menunjukkan keadaan Bumi yang anda boleh telusuri melalui galeri-galeri foto yang terdapat di laman web rasmi ISS.
Ia jelas menunjukkan walau sehebat mana pun ciptaan manusia, ia masih tidak dapat menandingi kehebatan ciptaan Tuhan dan keindahan ini diakui oleh kalangan krew ISS sejak program menghuni stesen angkasa tersebut bermula pada dekad lepas.
-FJ-
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih