Ketika Revolusi Perindustrian yang berlaku rancak pada abad ke-18 dan hingga menghampiri akhir abad ke-19 terutamanya di Eropah, terdapat pelbagai inovasi dan ciptaan baru dihasilkan oleh pelbagai pereka-cipta untuk mengubah cara hidup masyarakat pada abad itu.
Sewaktu ledakan penduduk di empayar Britain, terdapat satu juta orang pada awal tahun 1800 tetapi menjelang abad ke-20 jumlah penduduk melonjak kepada lebih 30 juta orang , para jurutera, arkitek dan perancang bandar ketika itu mengalami masalah untuk memastikan penduduk menerima perkhidmatan baik seperti bekalan air, makanan,sistem pembentungan dan rumah yang mampu mengawal “ledakan” populasi ketika itu.
Seiring dengan ledakan populasi di Britain ketika itu, golongan kelas pertengahan mula meningkat di dalam kalangan rakyat Britain, dimana mereka mempunyai gaji dan kewangan yang cukup untuk membeli barangan yang mahal serta kemampuan kewangan mereka melebihi dari generasi yang sebelumnya, rakyat kepada ketika itu terutamanya di zaman Victorian (zaman Victorian merujuk kepada zaman pemerintahan Ratu Victoria 1837-1901) cuba sedaya upaya membuatkan suasana didalam rumah yang didiami mereka menjadi lebih selesa dan boleh dijadikan peluang untuk menunjuk-nunjuk kepada keluarga dan sahabat handai diatas pembelian makanan mewah mahupun perkakas yang dibeli.
Ya, itulah gaya hidup orang pada zaman Victorian di London, perabot rumah lebih besar dan memenuhi ruangan rumah adalah lebih disukai oleh golongan berada, menunjukkan anda mampu membeli perabot eksklusif. Dan, bermulalah penghasilan produk baru dan makanan yang dihasilkan oleh pelbagai pereka cipta yang sesetengahnya merbahaya dan belum lagi difahami sepenuhnya oleh pembeli.
Perkakas dapur seperti pemanas air, peti ais dan sebagainya telahpun berevolusi dan telahpun menempuhi pelbagai “trial & error” dimana sudah banyak ciptaan terdahulu yang dihasilkan telahpun secara tidak sengaja membvnvh penggunanya. Malahan, produk kosmetik dan penjagaan diri pun telahpun melalui perkara yang sama sebagaimana perkakas elektrik sewaktu di pertengahan abad ke-18 hinggalah memasuki abad ke-20.
1. Kertas dinding (wallpaper) yang meracuni penghuni dalam senyap
Penciptaan dan pengenalan lampu gas adalah sesuatu yang amat baru bagi warga Britain yang hidup di awal 1800an . Sebelum pengenalan lampu gas, merupakan satu kebiasaan lilin digunakan sebagai sumber cahaya untuk menerangi lorong jalanan hinggalah bilik didalam rumah, ia menjadi sebab munasabah mengapa ruang dalaman rumah kediaman orang Britain sewaktu era Victorian sekitar 1830an diberi kertas dinding (wallpaper) yang kusam dan gelap, sebelum pengunaan lampu gas secara meluas pada pertengahan tahun 1850an. Ini bertujuan untuk menyembunyikan kesan jelaga terhasil dari pembakaran lampu lilin.
Oleh itu dengan pengenalan terhadap lampu gas (gas-lighting) yang menerangi setiap pelusuk ruangan dalaman rumah orang Victorian menjelang akhir abad ke-19, kini mereka boleh menghiasi ruang dalaman mereka dengan kertas dinding yang mempunyai warna yang lebih pekat, gelap dan corak yang rumit, dan tidak perlu risau warna kertas dinding tenggelam oleh kerana kehadiran lampu gas yang jauh lebih terang berbanding pencahayaan lilin konvensional. Namun mereka tidak tahu lagi dengan bahaya bakal timbul dengan pengunaan kertas dinding .
Sewaktu melonjaknya pergerakan “art and craft” oleh William Morris di Britain pada pertengahan dan penghujung abad ke-19 di Britain, fahaman tersebut menjadikan gerakan yang sebelumnya iaitu “Classicism” pada abad ke-18 mengenai definasi ruangan bilik perlu dicat putih agar kelihatan mewah dan agam serta ringkas, ketinggalan zaman . Gerakan “art and craft” pula menekankan ruangan dalaman rumah adalah lebih cantik jika dipenuhi dengan corak kertas dinding yang mempunyai tumbuh-tumbuhan yang rumit dan banyak. Ini kerana lebih rumitnya corak yang dihasilkan menunjukkan bahawa tuan rumah itu mampu membeli kertas dinding yang mahal. Pembeli juga dimomokkan oleh pengeluar kertas dinding bahawa warna hijau baik untuk mata.
Seiring dengan kefahaman baru itu, pembelian terhadap kertas dinding meningkat secara mendadak di Britain dan pengguna gemar akan kertas dinding yang bewarna hijau terutamanya warna “Paris Green” mempunyai kadar kandungan arsenik yang tinggi. Pengunaan bahan kimia yang merbahaya ini digunakan supaya warna tersebut lebih menyerlah terutamanya didalam ruangan bilik ruang tamu rumah.
Selain dari kertas dinding, permainan kanak-kanak, sarung bantal, karpet diwarnakan dengan warna hijau arsenik yang beracun ini. Insiden serta kecelakaan apabila kanak-kanak dan bayi mavt apabila tidak sengaja tertelan cat hijau yang mengandungi arsenik yang terdapat pada permainan meningkat, ini kerana sifat semulajadi ingin tahu kanak-kanak yang suka menjilat objek dan memegang objek.
Hijau pembawa m4ut -Pewarna untuk kertas dinding yang dinamakan “Paris Green” “kaya” dengan arsenik namun tetap menjadi dambaan warga Victoria London oleh kerana warnanya yang terang dan menyerlah berbanding kertas dinding tanpa sebatian arsenik.
Bilik yang selesa namun beracun – Oleh kerana zaman Revolusi Industri di London menyebabkan persekitaran luar tercemar dan kotor dengan asap kilang, penduduk di zaman Victorian lebih gemar menghabiskan masa didalam rumah, tidak sedar wap merbahaya yang terhasil dari kertas dinding arsenik bewarna hijau juga turut meracuni mereka secara perlahan.
Losyen Arsenik oleh Dr. Mountebank’s (1807) – Produk kecantikan wajah dan losyen mengandungi arsenik yang dikatakan mampu memberi kecantikan kepada wajah, terutamanya wanita Victorian yang sangat mementingkan kecantikan wajah ketika itu
2. Susu yang membawa kem4tian dan ker4cunan
Tidak kurang dengan itu juga, produk minuman seperti susu lembu juga mengandungi sebatian kimia beracun seperti asid borik. Susu yang rosak akibat pencemaran sewaktu proses penghantaran dan penyediaan adalah menjadi kebiasaan ketika itu di London, oleh kerana ketiadaan teknik penyejukan (peti ais) untuk mengekalkan kesegaran susu. Susu diekstrak didalam keadaan tidak steril oleh kerana kandang lembu tidak mempunyai udara yang cukup dan busuk oleh najis lembu.
Untuk mengelakkan pembaziran, salah satu petua yang diikuti oleh pengedar susu ketika itu dari buku “Mrs Beeton’s Book of Household Management” mencadangkan pada ketika itu untuk mengelakkan susu yang rosak dibuang mahupun sewaktu penghantaran, iaitu mereka mencampurkan asid borik kedalam susu untuk meneutralkan asid terhasil dari bakteria dan menjadikan susu basi mempunyai “rasa yang boleh diminum” (palatable taste) serta menutup rasa masam akibat susu yang rosak.
Akhirnya, asid borik bertindakbalas di dalam perut dan menyebabkan cirit-birit, mual oleh kerana sifat merengsa asid borik. Memburukkan keadaan lagi, bakteria yang tidak disteril didalam susu tersebut menyebabkan jangkitan kuman kepada kanak-kanak yang meminumnya dan membawa maut, tidak terkecuali juga golongan dewasa yang meminumnya.
“Most schemes for preserving milk fresh consist in the addition of some alkali to correct this acidity”. Penambahan alkali itu ialah asid borik kedalam susu lembu untuk mengekalkan rasa susu sebelum ia rosak atau hampir rosak akibat bakteria didalam susu dengan meneutralkan asid yang dihasilkan oleh bakteria (bakteria tidak dibunuh). Kredit imej yang di-digitalkan semula : Microsoft. Sumber dari buku “Mrs Beeton’s Book of Household Management” (1861)
3. Roti murah yang membawa m4ut
Jika tidak cukup dengan susu basi yang dicampur asid borik, roti juga tidak terkecuali juga dari dicampurkan dengan sebatian bahan kimia merbahaya seperti alum. Alum merupakan sebatian kimia yang boleh ditemui didalam detergen pencuci baju. Oleh kerana pertambahan penduduk di Britain yang amat drastik seiring dengan peningkatan golongan kerja yang tidak mempunyai masa untuk membuat roti sendiri, Pekedai dan penjual roti di zaman Victorian mengambil peluang keemasan ini dengan mencampurkan sebatian alum, kapur,dan Plaster of Paris kedalam roti supaya roti boleh dijual secara pukal, murah dan berat.
Sebatian kimia dicampur ke dalam roti supaya memberikan ilusi bahawa roti kelihatan putih dan segar serta rangup. Dengan menambahkan bahan kimia seperti itu membawa kepada masalah badan tidak menerima cukup zat dan cirit-birit. Memburukkan keadaan, masalah penghadaman yang berlaku pada kanan-kanak Britain yang sememangnya ketara ketika itu, dengan memakan roti tersebut, sudah tentu membawa maut.
Roti pembvnvh-Penduduk yang tidak punyai masa dan warga miskin kota London menjadi mangsa kepada roti yang diperbuat dari bahan kimia merbahaya dan dijual secara pukal dan besar-besaran kepada mereka.
4. Perkakas Elektrik dan soket yang membvnoh
Iklan Soket lampu serbaguna oleh Benjamin Electric Manufacturing Company, Chicago, Illinois. Bukan sekadar soket lampu mentol malahan soket ini boleh kongsikan dengan perkakas elektrik lain seperti dapur elektrik, seterika, kipas dan sebagainya (Anda boleh bayangkan satu plag dikongsikan oleh kesemua perkakas elektrik yang lain, menwujudkan bahaya beban arus berlebihan)
Menjelang tahun 1910an dimana era Edwardian bermula, pengenalan awal kepada tenaga elektrik turut sama sekali hadir ke masyarakat awal Eropah dan Amerika. Syarikat elektrik berlumba-lumba menghasilkan lampu elektrik dan perkakas elektrik untuk menambat hati pengguna. Dari pemanas elektrik, pencukur elektrik dan mandian dengan sistem pemanas elektrik dikatakan “elok untuk kesihatan badan”, sudah tentunya pembeli jatuh hati lalu membelinya.
Memburukkan keadaan lagi, syarikat pengeluar perkakas elektrik ketika itu tidak memberikan manual pengunaan yang jelas mengenai cara pengunaan mengenai perkakas yang dihasilkan, sehinggakan amaran dikeluarkan hanyalah “Do not approach the electric socket with a match” (Disebabkan orang zaman itu terbiasa dengan mancis untuk menghidupkan lilin dan lampu gas, oleh itu amaran sedemikian diletakkan).
Oleh sebab itu, pengguna mempunyai kebebasan menyambungkan soket elektrik dengan pelbagai perkakas elektrik lain dengan sambungan palam soket yang sama, sistem pendawaian dan elektrik tanpa dawai pembumi disatukan sekali dengan cerek elektrik, pemanas roti dan kipas elektrik, menghasilkan situasi merbahaya apabila palam satu soket dipenuhi “adaptor” dan melebihi beban arus yang ditetapkan.
Malahan, pengguna melakukan baik-pulih tanpa pengetahuan mengenai ilmu elektrik apabila perkakas rosak. Untuk maklumat pembaca, ketika itu tidak wujud lagi istilah pemutus litar keselamatan, “Miniature Circuit Breaker”, fius keselamatan apabila berlaku lebihan arus. Kesudahannya, akhbar di Britain ketika zaman itu penuh dengan kes pengguna maut akibat renjatan, samada dari kecuaian pengguna hinggalah penyebab dari pendawaian perkakas itu sendiri. Sungguh ngeri sekali mavt dalam keadaan sebegitu.
5. Tandas yang merbahaya dan boleh meletup bila-bila masa
Tandas boleh jirus merupakan satu reka cipta yang amat penting dalam kehidupan orang Victorian dimana sebelum ini tandas adalah dari “chamber pots” (melepaskan hajat didalam tembikar) lalu najis dibuang melalui lorong jalanan dan air hujan dijadikan medium untuk mengalirkan najis tersebut.
Meskipun ciptaan tandas ini kelihatan maju namun siapa boleh sangka ia boleh meletup bila-bila masa! Sistem paip pembentungan ketika zaman Victorian tidaklah efisyen sepertimana sistem paip pembentungan moden.
Terdapat najis yang boleh tersekat dan menyebabkan pengumpulan gas metana yang mudah terbakar dan meletup tidak dapat dilepas keluar akibat hasil penguraian najis didalam salur pembentungan. Malahan, gas ini mampu menyusup semula kedalam kediaman, sesiapa yang malang menyalakan api lilin mahupun lampu pasti akan menjadi penyebab kepada letupan besar.
Oleh kerana situasi berlakunya najis tersumbat di perangkap dan salur kumbahan, seseorang yang sukarela pasti akan turun ke ruang saluran najis untuk mengosongkan “halangan” pada paip, didalam salur najis dibawah kota London yang gelap, mereka bercahayakan lilin (salah satu resepi mengundang padah) dan menyebabkan letupan skala besar. Pereka-cipta, Thomas Crapper berjaya mencipta sebuah injap sifon dan kedap yang mampu menghalang kemasukan gas kedalam premis, menjadikan persekitaran untuk “melepaskan hajat” lebih selamat dari risiko letupan dari gas pembentungan.
Lakaran yang dilukis oleh penulis artikel ini menunjukkan sistem paip pembentungan zaman Victorian, sewaktu itu, pembentungan tidak mampu menyingkirkan najis dengan efisyen lalu menjurus kepada sekatan pada perangkap najis (didalam bulatan merah), menyebabkan pengumpulan gas Metana yang merbahaya dan mudah meletup di salur pembentungan. Terdapat gas pembentung berjaya memasuki rumah semula.
Para sukarelawan merelakan diri mereka untuk mengosongkan sekatan didalam saluran pembentungan, namun jika nasib mereka tidak baik, kebarangkalian mereka mencetuskan letupan akibat nyalaan lilin didalam salur pembentungan adalah tinggi.
Akhir sekali, mujurlah kita tidak hidup atau lahir di era Victorian dan Edwardian dimana teknologi masih lagi di peringkat awal dan dalam ujikaji serta merbahaya kepada pengguna, Diatas nama sains, pengguna tidak mengambil endah bahaya dihadapi, tetap membelinya kerana ingin menarik perhatian masyarakat sekeliling dan ingin menjadi peneraju didalam arus kemajuan teknologi, dimana yang miskin tidak bekemampuan tidak mampu membeli ciptaan baharu.
Meskipun pelbagai rekacipta yang dihasilkan serta dipaten tidak bermakna ciptaan tersebut selamat digunakan, malah ia mengambil masa beberapa dekad tidak pun ratusan tahun sebelum sesuatu produk atau perkakas boleh digunakan sepenuhnya dengan selamat.
Dengan maklumat dihujung jari dan betapa mudahnya kita mencapai orang berpengetahuan untuk mendapatkan nasihat mengenai perkakas mahupun produk digunakan, kita tidaklah mudah terpedaya dengan muslihat dan helah peniaga sepertimana di zaman Victorian dan Edwardian dimana pengguna dijadikan “bahan ujikaji”.
RUJUKAN:
Buku “The Early Victorians” oleh Elizabeth Burton (Terbitan tahun 1972)
- Kaedah penyediaan susu lembu di London. Mukasurat 137
Teknologi Tandas
https://fontedeimarmi.wordpress.com/2010/09/15/bathrooms-through-the-ages-victorian-era-1837-1901/
Sistem paip pembentungan dan sanitasi
https://homeguides.sfgate.com/victorian-edwardian-bathrooms-90685.html
The Victorians’ Deadly Desire To Be Clean | Absolute History
https://www.youtube.com/watch?v=uB7hIpDCfr0
Lighting in the Victorian Home oleh Jonathan Taylor
https://www.buildingconservation.com/articles/lighting/lighting.htm
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih