Selepas kejayaan filem Mat Kilau baru-baru ini, timbul minat dalam kalangan masyarakat kita yang mahu mengetahui sejarah perjuangan melawan pendudukan penjajah baik dari era Portugal (Portugis) hinggalah era British dan Jepun. Di Melaka dan Negeri Sembilan, sebut saja nama Naning, pastinya ramai mengetahui kisah perjuangan Dol Said yang menjadi sebahagian daripada Perang Naning.
Sebelum kita sentuh kisah ini, amat molek untuk lihat latar belakang Naning terlebih dahulu. Naning hari ini menjadi sebahagian daripada Melaka tetapi satu ketika dahulu merupakan sebuah negeri Melayu yang merdeka. Semasa Kesultanan Melayu Melaka (KMM), mereka menyatakan taat setia yang tidak berbelah-bahagi kepada kesultanan itu dengan Melaka sebagai penaung Naning. Hal ini tetap diteruskan semasa era pengganti KMM, Kesultanan Johor-Riau.
Bagaimanapun, menjelang abad ke-18, Naning terpaksa menjadikan Belanda sebagai penaung mereka. Ini selepas Sultan Johor ketika itu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah bersetuju memindahkan hak naungan Johor untuk Naning kepada Belanda pada 1757.
Orang Naning mempunyai sebab untuk tidak mempercayai pihak Belanda pada awalnya. Seabad sebelumnya, Belanda melancarkan serangan ke atas Naning pada 1644 dan memaksa penghulunya (gelaran rasmi ialah Penghulu Raja Merah) memeterai perjanjian dengan mereka.
Tetapi perjanjian tersebut tidak pernah dikuatkuasakan oleh Belanda. Benar, salah satu terma perjanjian berat sebelah itu ialah penghulu Naning menerima nasihat daripada mereka dari segi pentadbiran wilayah berkenaan. Namun begitu, Belanda tidak pernah mencampuri urusan dalaman Naning termasuk menentukan siapa penghulu wilayah itu yang seterusnya. Belanda juga tiada masalah menerima satu persepuluh hasil tanaman Naning (400 gantang beras) yang ditetapkan dalam perjanjian sama.
Namun begitu, semuanya berubah akibat kempen Eropah Napoleon Bonaparte pada awal abad ke-19. Si pendek yang menjadi duri dalam daging kepada kuasa-kuasa Barat ketika itu telah menakluk sebahagian besar Eropah termasuk Belanda. Dan ini menimbulkan masalah: siapa patut jaga wilayah-wilayah Belanda sementara perang dengan Napoleon masih berlaku?
Bagi British, solusi mereka ialah penaklukan. Ini kerana dengan Belanda kini menjadi sebahagian daripada jajahan Perancis, makanya Belanda secara teknikal menjadi musuh mereka. Dengan menguasai wilayah jajahan Belanda, ia menafikan semua hasil pendapatan daripada masuk ke kantung kewangan Perancis. Di sebelah Asia saja, semua maklum betapa lumayannya perdagangan rempah-ratus yang dimonopoli Belanda selepas Portugal diusir keluar dari Melaka pada 1641.
Oleh sebab itu, London segera mengarahkan operasi ketenteraan digerakkan ke atas semua bekas jajahan Belanda terutama di rantau Nusantara. Selain itu, mereka juga turut mendapat kebenaran daripada kerajaan Belanda yang duduk secara buangan untuk menduduki wilayah-wilayah ini secara sementara konflik dengan Napoleon masih lagi berlaku.
Justeru, dari 1796 hingga 1801 dan 1807 hingga 1818, Melaka ditadbir oleh seorang Residen British. Dengan status perjanjian Belanda-Naning dalam bahaya, satu perjanjian baru didraf dengan terma perjanjian yang sama. Disebabkan kedudukan wakil utama British, Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) nun jauh di India, perjanjian tersebut seperti mana perjanjian Belanda-Naning sebelum ini tidak dikuatkuasakan.
Tetapi semua itu berubah menerusi penguatkuasaan Perjanjian British-Belanda 1824. Menerusi perjanjian itu, kedua-duanya bersetuju untuk tidak mencampuri mana-mana kawasan yang terletak di bawah pengaruh mereka. Menerusi perjanjian sama, Melaka diserahkan kepada British dengan Bengkulu, Sumatera diserahkan kepada Belanda.
Dengan termeterainya perjanjian itu, British cuba menguatkuasakan terma perjanjian 1801 secara membabi-buta. Usaha ini digerakkan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat (NNS) yang pertama, Sir Robert Fullerton. Bagaimanapun, idea ini ditentang oleh Residen-Kaunselor Melaka ketika itu, Samuel Garling dan Residen-Kaunselor Pulau Pinang John Anderson.
Garling mempunyai sebab kukuh untuk membangkang idea Fullerton. Pertama, perjanjian Belanda-Naning yang dimeterai pada 1643 secara jelas mengiktiraf kedudukan Naning sebagai sebuah wilayah yang merdeka. Kedua, kekaburan berkenaan terma tanah SHTI yang dicatatkan dalam 1801 berkenaan Naning sebagai wilayah mereka boleh dicabar.
Anderson turut menyifatkan idea tersebut sebagai mengarut. Pemahaman sempit Fullerton terhadap struktur kekuasaan dan kerajaan orang Melayu seolah-olah mahu mencabar kedudukan mereka. Anderson menegaskan kedudukan Penghulu Naning ketika itu, Dol Said tidak boleh dicabar dan beliau sepatutnya dibenarkan meneruskan tugas tanpa diganggu mereka.
Anderson bukan asing dengan Tanah Melayu kerana telah berada di situ selama 30 tahun. Beliau tiba di situ buat kali pertama pada 1795 selepas dihantar sebagai penterjemah SHTI di Pulau Pinang. Ini menjadikan Anderson masak dengan adat istiadat orang Melayu dan Bahasa Melayu. Garling juga arif dengan hal ini kerana selain bergelar residen di Melaka selama beberapa tahun. beliau mempunyai hubungan baik dengan wakil British di Singapura, Stamford Raffles.
Garling pastinya maklum Dol Said merupakan anak saudara kepada penghulu Naning sebelumnya, Datuk Anjak. Dengan hubungan sebegitu, itu menjadikan beliau satu-satunya calon penghulu Naning yang kesembilan pada 1802. Dan dengan kedua-duanya arif dengan perjanjian yang dimeterai pada 1801, Datuk Anjak dan Dol Said pastinya tidak akan melakukan apa-apa yang boleh menjejaskan kedudukan mereka.
Tetapi Fullerton tetap bertegas untuk melakukannya atas alasan bagi mengukuhkan kekuasaan SHTI ke atas Melaka khususnya Naning. Ironinya, pendirian Fullerton disokong oleh timbalan Garling, William Lewis. Sentimen ini didorong oleh mentaliti ‘beban orang putih’ yang menyifatkan orang tempatan sebagai tidak bertamadun dan patut dibantu agar bertamadun sama seperti orang Eropah.
Situasi di Naning bertambah buruk selepas kedua-dua pihak tidak bersetuju berkenaan jumlah cukai yang patut dibayar wilayah itu kepada British. Naning menyangka 400 gantang beras sudah cukup bagi memenuhi terma perjanjian asal. Tetapi penilaian buruk yang dibuat Lewis berkenaan keupayaan Naning membayar cukai terhadap British mengakibatkan mereka meletakkan kadar cukai yang tinggi terhadap wilayah tersebut.
Hal ini dibantah sekeras-kerasnya oleh Dol Said yang menyifatkan kenaikan kadar cukai tersebut sebagai melampau. Ini ditambah dengan pendedahan Lewis sengaja mengada-adakan nilai kekayaan Naning semasa membuat tinjauan di situ pada 1827. Sebaik laporan itu diterima oleh Fullerton, Lewis melobi SHTI untuk menggerakkan ekspedisi ketenteraan ke Naning secepat mungkin.
Bagi Dol Said pula, perilaku British menerusi SHTI dilihat mencabar kedudukannya sebagai pemimpin Naning. Sudahlah cuba merampas peranannya sebagai pengutip cukai, sekarang cuba menghalang peranannya sebagai hakim. Pada 1828, Fullerton mengamuk selepas mendapat tahu Dol Said menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang individu yang terlibat dalam kes pembunuhan.
Di mata British, sepatutnya hal ini dirujuk terlebih dahulu kepada Garling bersesuaian dengan statusnya sebagai wakil British di Melaka. Susulan itu, Dol Said dipanggil ke Melaka untuk menyelesaikan hal itu tetapi ia tidak dilayan oleh penghulu Naning itu.
Kemarahan Fullerton semakin membara dua tahun kemudian apabila beliau merampas hasil tanaman sebuah dusun yang terletak di sepanjang sempadan Melaka-Naning. Sekali lagi, Dol Said dipanggil ke Melaka untuk membincangkan apa yang berlaku tetapi tidak dilayan. Bagi SHTI, ini menunjukkan Penghulu Naning itu semakin berani mencabar kedudukan mereka. Oleh sebab itu, SHTI meluluskan usul Fullerton untuk menjadikan Naning sebahagian daripada Melaka.
Tetapi seperti mana yang disaksikan oleh J.P Rodger dan Hugh Clifford di Pahang bertahun-tahun kemudian, nilai penaklukan Naning akan memakan kos kewangan yang tinggi. Fakta ini dipandang sepi oleh SHTI atas alasan orang Melayu ialah orang gasar dan mereka tidak akan berupaya menentang kedudukan mereka. Orang gasar, ya? Pengganti Fullerton, Sir Robert Ibbetson terpaksa menelan semula kenyataan itu selepas Perang Naning tercetus.
Sepanjang lipatan sejarah orang Melayu, kuasa-kuasa Eropah dari Portugal hingga British sentiasa memandang rendah keupayaan pejuang-pejuang Melayu. Dan dalam banyak kes, ia banyak kali merugikan mereka seperti kes Raja Haji (Belanda), Laksamana Tun Abdul Jamil (Portugal) dan Dato Bahaman (British). Ini turut terpakai dalam kes Dol Said dan Naning.
Sebenarnya, orang Eropah cuba meluaskan jajahan mereka di Melaka ke kawasan pedalaman. Ini cuba dilakukan oleh Alfonso de Albuquerque pada abad ke-16 dengan menggerakkan ekspedisi ketenteraan Portugis ke Naning. Pasukan ini dikatakan mara sehingga Padang Cacar sebelum dipaksa berundur selepas menerima penentangan hebat penduduk ketika itu. Peristiwa itu menyaksikan seorang tentera Portugis terbunuh dengan lokasi kuburnya kini dinamakan sebagai Kubur Ferringhi.
Jadi, kalau Belanda sendiri berdepan tentangan pada 1644, apa jaminan ‘orang gasar’ ini takkan melawan pihak British? Hakikat pahit ini mula disedari SHTI selepas dua batalion sepoi mereka yang diketuai Lewis berjaya dipaksa keluar dari Naning pada Ogos 1831. Lewis yang sepatutnya dilantik sebagai superitendan menggantikan Dol Said terpaksa berundur ke Melaka bersama saki-baki tentera yang terselamat.
Situasi di Naning semakin rumit apabila konflik tersebut turut mendedahkan konflik perebutan jawatan Yang di-Pertuan Besar di Negeri Sembilan ketika itu. Pada 1831, calon Yang di-Pertuan Besar dari Pagar Ruyung (Minangkabau) Raja Labu menjadi pilihan untuk mengisi kedudukan berkenaan. Bagaimanapun, Raja Labu ditentang oleh ayahanda saudara Sultan Muhammad Shah (Sultan Selangor yang ketiga) yang memerintah Rembau ketika itu, Raja Ali.
Raja Ali bukan sekadar mempunyai darah Bugis. Malah, isteri Raja Labu merupakan bonda saudara baginda. Hal ini menjadikan perebutan kedudukan Yang di-Pertuan Besar sebagai sesuatu yang cukup peribadi bagi kedua-dua pihak. Sementara konflik ini menemui jalan buntu, Raja Labu terpaksa berlindung di Melaka dengan memakai gelaran Yang di-Pertuan Besar Seri Menanti.
Rembau pada awalnya berpihak kepada Naning selepas diberitahu pihak British mahu menamakan Raja Labu sebagai Yang di-Pertuan Besar selepas mengalahkan wilayah berkenaan. Lantas, Raja Ali menghantar sepasukan tentera Rembau diketuai menantunya Syed Shaaban.
Naning turut mendapat bantuan penghulu-penghulu di sebelah Muar, Johor yang mengirim tentera untuk membantu Dol Said melawan British. Rasa marah orang Melayu ketika itu sangat membara terutama selepas melihat keadaan Sultan Kedah yang berlindung di Melaka selepas melarikan diri daripada serangan Siam ketika itu, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II. Mereka tahu perkara itu tidak akan berlaku sekiranya British berpegang kepada janji membantu Kedah semasa mendapatkan Pulau Pinang bertahun-tahun sebelumnya.
Hal ini turut dibantu oleh tentera Melayu yang direkrut British untuk menentang Naning. Ramai sejarawan percaya mereka enggan menentang bangsa sendiri walaupun selepas menerima bayaran daripada penjajah. Justeru, tidak mengejutkan jika ada yang meninggalkan pasukan ekspedisi secara senyap-senyap atau bertindak sebagai pemberi maklumat kepada Naning. Hal ini menyukarkan SHTI mengatur strategi berkesan menentang Dol Said.
Tetapi peluang mereka muncul menerusi satu rundingan rahsia antara British dengan Raja Ali. British bersedia mengiktiraf kedudukan Raja Ali di Rembau sebagai tukaran kepada penarikan semula sokongan terhadap Naning. Perjanjian sama turut dibuat dengan pemimpin-pemimpin Melayu lain bagi memastikan Naning berseorangan semasa berhadapan dengan British.
Pada 15 Jun 1832, pasukan SHTI berjaya sampai di Taboh Naning tetapi kelibat Dol Said tidak kelihatan. Susulan itu, satu waran tangkap dikeluarkan bersama dengan ganjaran penangkapan sebanyak 2,000 dolar Sepanyol. Bagaimanapun, orang Melayu tidak berminat dengan tawaran tersebut dan marah dengan pengkhianatan yang dibuat Raja Ali dan pemimpin-pemimpin Melayu lain. Atas sebab itu, mereka banyak membantu Dol Said semasa menjadi buruan pihak British.
Selepas dua tahun bersembunyi, Dol Said akhirnya menyerah diri selepas pihak British bersetuju memberi pengampunan terhadapnya. Susulan itu, beliau diberi pencen sebanyak 200 rupee, sebuah rumah dan beberapa bidang tanah di Melaka. Tindakan ini dibuat bagi menjamin sokongan orang Melayu memandangkan pengaruh Dol Said masih lagi kuat ketika itu di Melaka dan Naning. Sejak itu, beliau membantu orang ramai sebagai pengamal perubatan tradisional sehingga meninggal dunia pada Ogos 1849.
Kos kewangan untuk konflik di Naning memang tinggi tetapi tidaklah setinggi hutang yang ditanggung Pahang bertahun-tahun kemudian. Menerusi kejayaan mereka di Naning, impian British untuk meluaskan pengaruhnya semakin terbuka luas terutama selepas Perjanjian Pangkor 1874. Tetapi sikap terlebih pandai dan biadap mereka terus menyusahkan British selama bertahun-tahun terutama dengan pembunuhan J.W.W Birch di Pasir Salak lebih setahun kemudian.
Kisah Dol Said dan Naning menjadi inspirasi kepada pejuang-pejuang negara untuk terus melawan pendudukan British atau Siam. Contoh paling hampir sudah pastinya, Sultan Ahmad Tajuddin. Baginda tahu apa yang berlaku di Naning dan tidak mustahil baginda bertemu dengan beliau semasa di Melaka. Dan pastinya, Sultan Ahmad Tajuddin tidak mahu hal ini digagalkan oleh sesiapa terutama yang mempunyai kepentingan dengan Siam dan British – lebih tepat orang macam Raja Ali dan Syed Shaaban.
Kalau tak boleh lawan cara senjata, maka cara diplomatik seperti yang dilakukan Dol Said dapat membantu baginda mendapatkan semula Kedah. Menerusi kaedah diplomatiklah, kedaulatan Kedah berjaya dipulihkan semula. Baginda kembali sebagai Sultan Kedah pada 1842 dan terus bertakhta sehingga mangkat pada 1845.
Jika Raja Ali menyangka hal ini sudah berakhir, lupakanlah. Benar, Rembau dan Naning kini berada di bawah perlindungan British. Tetapi perebutan jawatan Yang di-Pertuan Besar membabitkan pembesar-pembesar Negeri Sembilan berterusan selama 60 tahun lagi sebelum British sekali lagi campur tangan pada 1877. Hal ini hanya diselesaikan menerusi satu draf perjanjian 1876 di mana salah satu klausanya ialah merujuk sebarang pertikaian kepada Maharaja Johor (bakal Sultan Abu Bakar). Dengan wujudnya klausa tersebut, isu perebutan jawatan Yang di-Pertuan Besar dianggap selesai.
Menariknya, semasa negara hendak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Penghulu Naning ketika itu cuba memohon kepada kerajaan British di London agar kedaulatan wilayah tersebut dipulangkan. Bagaimanapun, permintaan tersebut tidak dilayan dan Naning kekal menjadi sebahagian daripada Melaka sehingga hari ini.
RUJUKAN
Chew, E. (1998). The Naning War, 1831-1832 Colonial Authority and Malay Resistance in
the Early Period of British Expansion. Jurnal Modern Asian Studies Ke-32, 2 (1998). Muka surat 35 1-387.
Begbie, P. J. (1967). The Malayan Peninsula. Kuala Lumpur. Oxford University Press.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih