Sejarah orang Maori di New Zealand merupakan satu sejarah yang panjang. Ini kerana menjelang abad ke-19 dan ke-20, mereka berusaha memperjuangkan hak mereka yang dinafikan Britain termasuk mengembalikan satu perjanjian yang dianggap signifikan terhadap kepentingan bangsa berkenaan. Perjanjian yang dimeterai pada tahun 1840 ini dianggap sama seperti kontrak sosial tanah air yang kita ketahui hari ini. Perjanjian yang saya maksudkan ialah Perjanjian Waitangi.
Pada tahun 1830-an, New Zealand ketika itu masih lagi dikuasai orang Maori tetapi sudah mula menarik perhatian para peneroka yang datang dari Eropah. Pada awalnya, tidak ramai yang memilih New Zealand berikutan lokasinya berhampiran dengan koloni penjara pihak Britain di New South Wales, Australia. Namun, itu tidak menghalang syarikat seperti New Zealand Company menjanjikan tanah murah untuk para peneroka. Tanah murah ini diperoleh dengan cara tidak sah termasuk menjual tanah yang tidak dimiliki mereka kepada peneroka dan mengadakan kempen pengiklanan palsu. Selain itu, perjanjian ini dimeterai bukan saja untuk melindungi warga British berikutan undang-undang negara itu tidak terpakai di New Zealand ketika itu. Malah, ia bagi menjamin kedaulatan New Zealand dengan menguatkuasakan Deklarasi Kemerdekaan New Zealand yang dibuat pada tahun 1835.
Bagi mengekang cubaan New Zealand Company yang diketuai Edward Gibbons Wakefield dari memulakan proses kolonisasinya di New Zealand, London melantik Kapten William Hobson sebagai konsul mereka di New Zealand dan sebagai leftenan gabenor di mana-mana kawasan yang dibenarkan bangsa Maori menjadi milik Britain pada tahun 1839. London turut mengarahkannya berunding bagi menentukan status kedaulatan New Zealand dan menubuhkan secara rasmi koloni British pertama di negara berkenaan. Semasa dalam perjalanan, beliau menerima surat dari Setiausaha Dalam Negeri Constantine Phipps tentang cara berunding dengan pihak Maori.
Rombongan Hobson akhirnya tiba di New Zealand pada 29 Januari 1840 dengan kapal HMS Herald bersama sekumpulan kecil pegawai kerajaan termasuk Setiausaha Koloni Willoughby Shortland, Bendahari Koloni dan Peguam Negara Francis Fisher. Beliau turut melantik tiga orang individu iaitu Shortland, Johnson dan Matthew sebagai majistret. Sebaik tiba, Hobson mula merangka Perjanjian Waitangi dengan bantuan setiausahanya James Freeman dan Residen British James Busby. Bagi memastikan kandungan perjanjian difahami sebaiknya oleh pihak Maori, usaha penterjemahan dilakukan oleh mubaligh Henry Williams dan anaknya Edward.
Selepas ia selesai didraf dan diterjemahkan, Hobson mengadakan mesyuarat bersama 500 ketua puak Maori di Waitangi pada 5 Februari. Dalam mesyuarat berkenaan, mereka berdebat tentang kedudukan perjanjian dan bagaimana ia memberi kesan kepada kedudukan mereka sebagai ketua puak. Salah seorang yang menyatakan kesangsian terhadap perjanjian ini ialah seorang ketua puak bernama Rewa (Russell) dari Korokareka. Beliau berkata:
“Orang Maori tidak memerlukan gabenor kerana kami bukan orang putih atau orang luar. Walaupun kebanyakan tanah kami sudah mula diambil oleh orang Eropah, negara ini merupakan hak milik kami, kamilah gabenornya dan kamilah ketua di atas tanah ayah kami ini.”
Pada hari berikutnya, tidak banyak debat tentang status perjanjian dan pada akhir mesyuarat, 40 ketua Maori memilih menandatangani perjanjian tersebut.
Selepas melihat perjanjian, Bishop Katolik berbangsa Perancis iaitu Jean Baptiste Francois Pompallier meminta syor semua agama dan kepercayaan dibenarkan dipraktikkan di tanah baru itu dimasukkan dalam syarat perjanjian dan ia dipersetujui oleh Hobson. Untuk hari-hari berikutnya, mesyuarat di Waimate Utara dan Hokianga menyaksikan lebih ramai ketua puak menandatangani perjanjian. Bagaimanapun pada sesetengah masa, ia tidak berjalan lancar di mana ada yang masih sangsi dengan kandungan perjanjian. Tetapi pada Hobson, itu sudah cukup untuk mengesahkan kedaulatan New Zealand dan mematikan sebarang cubaan koloni termasuk dari New Zealand Company.
Beberapa lagi salinan perjanjian dalam Bahasa Maori dibawa ke seluruh negara dalam tempoh beberapa bulan bagi mendapatkan lebih banyak tandatangan ketua puak. Dalam setiap salinan perjanjian bukan saja mengandungi tandatangan ketua puak Maori tetapi juga saksi dalam kalangan peneroka Eropah. Pada November tahun sama, Ratu Victoria menandatangani piagam diraja yang mengesahkan kedudukan New Zealand sebagai Koloni Mahkota dan memisahkannya daripada koloni New South Wales. Sementara Hobson pula dilantik sebagai Leftenan Gabenor pada May 1841. Bagaimanapun, tempoh pentadbiran beliau tidak bertahan lama apabila meninggal dunia akibat strok pada September 1842.
Pada dasarnya, Perjanjian Waitangi hanya mempunyai tiga fasal sahaja iaitu berkenaan soal kedaulatan, jaminan hak orang Maori termasuk pemilikan tanah dan soal kerakyatan British. Bagaimanapun untuk dua fasal pertama, wujud kekeliruan dari segi terjemahan. Dalam terjemahan Maori pada fasal pertama wujud kekeliruan tentang peranan Ratu sebagai ketua negara di mana mereka melihat baginda lebih kepada sebagai ketua pentadbiran.
Kedua, isu pemilikan tanah di mana dalam terjemahan Maori sebarang rundingan hak transaksi tanah diberi kepada pihak kerajaan Mahkota oleh Maori. Tetapi dalam terjemahan Bahasa Inggeris, ia seolah-olah memberi hak eksklusif kepada mereka berunding tentang transaksi tanah. Dua versi terjemahan ini yang mencetuskan perbalahan dalam kalangan ketua puak yang menyokong dan menentang perjanjian ini.
Bagi sesetengah ketua puak, perjanjian ini dilihat dapat membantu mengawal tingkah laku peneroka dan penjualan tanah. Selain itu, peluang menjana pendapatan dari aktiviti perdagangan dan peluang pekerjaan juga dilihat memberi manfaat kepada penduduk. Perjanjian ini juga dilihat dapat mengelak konflik antara puak yang boleh berlanjutan selama berdekad-dekad lamanya. Walaupun sedar mereka perlu berkompromi bagi mengekalkan kuasa, mereka diberi jaminan kuasa mereka masih terpelihara berdasarkan Artikel Kedua Perjanjian Waitangi. Ini kerana ia menunjukkan berlakunya unsur perkongsian kuasa antara pihak kerajaan dengan pihak puak.
Bagi sesetengah yang menolak, mereka menolak atas banyak faktor. Walaupun salinan perjanjian dalam Bahasa Maori diedarkan di banyak tempat, ia tidak sampai di sesetengah kawasan di Taranaki dan Wairarapa. Bila ada mesyuarat bagi pengesahan perjanjian, sesetengah ketua puak tiada dan perunding perjanjian dilihat tidak sabar menanti kepulangan mereka.
Ada pula yang menerima salinan perjanjian tetapi enggan menandatanganinya kerana merasakan perjanjian itu akan menguntungkan pihak peneroka berbanding orang Maori dan mengancam kemerdekaan mereka. Ada pula yang menyifatkan perjanjian itu menjejaskan usaha penyelesaian pertelagahan antara puak kerana mereka mahukan kekuasaan penuh dalam soal ini dan tidak mahu campur tangan pihak luar.
Di sebalik semua ini, Hobson dan penggantinya Sir Robert FitzRoy cuba menguatkuasakan fasal-fasal perjanjian yang dimeterai tetapi wujud pelbagai halangan seperti ketiadaan sokongan kewangan dari London. Ini ditambah cubaan lobi kelompok peneroka terutama New Zealand Company yang melihat perjanjian itu melemahkan cubaan mereka mendapatkan tanah puak Maori.
Sebab itulah selepas FitzRoy digantikan oleh Sir George Grey pada tahun 1845, beberapa akta diperkenalkan untuk melemahkan kedudukan perjanjian berkenaan. Ini ditambah pihak koloni mempergunakan kelemahan puak Maori termasuk isu buta huruf dan ketiadaan kemampuan kewangan untuk mencabar kes penjualan tanah di mahkamah, sekaligus mengakibatkan satu persatu tanah mereka jatuh ke tangan pihak koloni.
Kedudukan mereka juga tidak dibantu dengan cubaan sesetengah puak Maori melancarkan Gerakan Raja Maori pada tahun 1850-an dengan tujuan memberi peluang rundingan dengan pihak gabenor dan Ratu pada kedudukan yang sama rata. Bagi mereka, langkah ini bertepatan dengan fasal pertama perjanjian.
Lebih banyak masalah timbul bila kerajaan menggunakan pergerakan berkenaan untuk menjustifikasikan langkah menceroboh dan merampas tanah pihak Maori di Waikato dan Taranaki pada awal tahun 1860-an. Situasi inilah kemudiannya mencetuskan Perang New Zealand di mana Perjanjian Waitangi dipergunakan sebagai alasan memerangi ketua-ketua puak di wilayah berkenaan sebagai pemberontak.
Semasa konflik masih panas, gabenor ketika itu Thomas Gore Browne mengadakan mesyuarat bersama 200 orang Maori termasuk 100 orang ketua puak yang menandatangani Perjanjian Waitangi bagi membincangkan soal perjanjian dan isu tanah di Kohimarama, Auckland.
Mesyuarat ini dikenali sebagai Persidangan Kohimarama di mana ia merupakan cubaan dari pihak kerajaan untuk mengelak konflik tersebar ke seluruh negara. Persidangan ini dilihat satu bentuk ratifikasi kepada Perjanjian Waitangi dan cadangan penubuhan majlis puak tetapi syor tersebut tidak diendahkan. Sebarang harapan melihat perkongsian kuasa antara ketua puak dengan pihak kerajaan berakhir dengan kekecewaan.
Menjelang akhir abad ke-19, sebarang harapan melihat perjanjian itu dikuatkuasakan atau sekurang-kurangnya diiktiraf dalam undang-undang tempatan semakin tipis. Perjanjian yang sepatutnya melindungi mereka semakin lemah menerusi penggubalan undang-undang seperti Akta Kerja Raya 1864 dan 1876 yang memberi hak kepada kerajaan mengambil alih tanah puak Maori untuk projek kemudahan awam seperti jalan raya dan landasan keretapi.
Orang Maori melihat hak eksklusif mereka berkenaan kawasan belantara dan lautan serta hasilnya tidak lagi dihormati berikutan tindakan semberono pemain-pemain industri termasuk melakukan aktiviti pencemaran. Pada tahun 1938, walaupun pihak mahkamah mengakui terma perjanjian berkenaan perpindahan kedaulatan, tetapi disebabkan ia tidak terikat dengan undang-undang New Zealand, ia tidak terpakai kepada koloni Mahkota.
Tetapi perlahan-lahan hak bangsa ini mula dipulihkan walaupun ia mengambil masa lama. Pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, pihak Maori memfailkan petisyen kepada pihak monarki dan Parlimen Britain. Permintaan mereka satu saja, penuhi apa yang dinyatakan dalam perjanjian. Kesemua petisyen ini dihalakan kembali ke Parlimen New Zealand di mana mereka bertegas mereka menghormati semua fasal perjanjian berkenaan. Tetapi bagi pihak Maori, parlimen seolah-olah keberatan menguatkuasakan perjanjian itu.
Cubaan mereka untuk mendorong pihak kerajaan melalui pemilihan empat ahli parlimen Maori ke Parlimen juga berakhir dengan kegagalan kerana usul perjanjian ini sentiasa ditembak jatuh bila cuba dibentangkan di Parlimen. Mereka turut menubuhkan institusi alternatif untuk mengukuhkan hak perjanjian mereka menerusi pembentukan Parlimen mereka yang dikenali sebagai Te Kotahitanga o te Tiriti o Waitangi.
Para penyokong mereka berharap ini dapat membantu ahli parlimen Maori di Parlimen dan didengar oleh pihak kerajaan. Namun, suara mereka tidak dilayan dan institusi ini berakhir pada awal abad ke-20. Penyokong gerakan raja pula mewujudkan institusi mereka sendiri yang dipanggil Te Kauhanganui pada tahun 1880-an. Institusi ini aktif pada awal abad ke-20 dan terus wujud sehingga hari ini. Pada tahun 2008, wakil Te Kauhanganui menandatangani perjanjian pengurusan bersama Sungai Waikato bersama pihak kerajaan.
Di sebalik penjualan tanah Maori yang masih berlaku, hubungan kerajaan dengan pihak Maori semakin baik dan ini memberi harapan kepada mereka untuk mendapatkan semula hak mereka. Ini ditambah dengan pembabitan figura-figura politik elit Maori seperti Sir James Carroll dan Sir Apirana Ngata dalam kerajaan sekaligus mengukuhkan usaha mereka. Pada tahun 1920-an, ada dua keputusan mahkamah yang terus memarakkan lagi impian perjanjian dalam kalangan orang Maori.
Pertama, pengiktirafan kepada puak Te Arana bagi hak ke atas tasik-tasik di Rotorua dan pampasan bagi kehilangan hak menangkap ikan serta pengebumian secara tradisional pada awal tahun 1920-an. Ini disusuli perjanjian sama berkenaan Tasik Taupo dan anak-anak sungai sekitarnya dengan puak Ngati Tuwharetoa pada tahun 1926.
Tatkala ada yang menyambut ulangtahun seabad Perjanjian Waitangi dan menyifatkan ia sebagai bukti hubungan kaum di New Zealand berjalan dengan baik, ia bagaimanapun tidak mendedahkan sisi gelap perjanjian termasuk lebih banyak penjualan tanah. Satu akta yang dianggap menyinggung pihak Maori pada tahun 50-an dan 60-an ialah penggubalan Akta Pindaan Hal Ehwal Maori 1967 yang membenarkan kerajaan mengambil tanah mereka yang disifatkan tiada kepentingan ekonomi.
Bagi orang Maori, pencabulan-pencabulan sebegini mendorong mereka berarak dari utara New Zealand hingga ke Parlimen di Wellington diketuai seorang figura yang dihormati bernama Whina Cooper. Peristiwa ini membuka mata ramai pihak kerana Perjanjian Waitangi dianggap batu asas hubungan pihak monarki Britain dengan orang Maori.
Protes pihak Maori berterusan pada tahun 70-an dan 80-an terutama selepas 6 Februari dijadikan cuti umum bagi mengenang peristiwa pemeteraian Perjanjian Waitangi. Protes pada hari cuti ini pada tahun 1974 mendedahkan kewujudan jurang berkenaan pemahaman terma perjanjian dari pihak Maori kepada pihak kerajaan.
Protes ini menarik perhatian pihak media dan semakin bertambah dari semasa ke semasa. Melihat kepada situasi ini dan merasakan wujud keperluan untuk menambahbaik hubungan kerajaan-Maori, Akta Hari Waitangi 1960 dipinda dan dikukuhkan pada tahun 1975 yang membawa kepada penubuhan Tribunal Waitangi.
Semasa ia ditubuhkan, ia merupakan sebuah suruhanjaya siasatan tetap yang ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan pihak Maori bahawa pihak koloni mencabuli prinsip perjanjian. Tetapi kuasa suruhanjaya ini terhad dengan setiap dakwaan dihadkan sehingga tahun 1975 dan mereka hanya boleh mencadangkan syor kepada pihak kerajaan untuk dipertimbang dan dikuatkuasakan.
Tetapi bidang kuasa suruhanjaya ini ditambahbaik di mana ia meliputi semua tindakan pihak koloni dan pengecualian yang dibuat bila ia dimeterai pada tahun 1840. Ini membuka ruang kepada orang ramai mengetahui aspek sebenar hubungan Maori-kerajaan. Penambahbaika ini turut merangkumi penambahan ahli suruhanjaya dan memperluas kapasiti penyelidikan, sesi pendengaran dan laporan bertulis.
Pada pertengahan 1980-an, beberapa dozen akta baru Parlimen digubal di mana akta-akta ini menyelitkan rujukan terhadap Perjanjian Waitangi. Seperti mana Akta Hari Waitangi 1975, setiap akta ini merujuk kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam perjanjian.
Akta-akta ini membenarkan mahkamah mengintepretasikan sejauh mana prinsip perjanjian yang dibangkitkan dalam mana-mana kes yang diliputi oleh pihak perundangan. Pengiktirafan undang-undang ini memberi kesan besar kepada kerajaan tempatan dan agensi-agensi kerajaan.
Pada tahun 1990-an dan dekad pertama abad ke-21, Wellington mula berunding dengan pihak Maori bagi membincangkan isu pampasan bagi perlanggaran perjanjian yang dilakukan pihak koloni sejak ia dimeterai pada tahun 1840. Menjelang tahun 2006, NZ$900 juta dibayar kepada orang Maori di mana kebanyakan transaksi membabitkan perjanjian tanah.
Tahun 2008 menyaksikan lapan puak Maori menerima sembilan kawasan tanah belantara yang besar menerusi satu perjanjian dengan pihak kerajaan. Disebabkan pampasan sebegini turut diterima oleh puak-puak lain, mereka mempunyai kepentingan signifikan dalam industri perhutanan dan perikanan.
Selain itu, sesetengah pemimpin Maori turut mempergunakan penyelesaian pampasan sebagai peluang mendapatkan lebih banyak pelaburan dan peluang ekonomi kepada penduduk tempatan. Namun, penyelesaian sebegini masih dianggap kontroversi bagi pihak Maori dan penduduk bukan berdarah Maori.
Di pihak Maori, mereka melihat jumlah penyelesaian yang ditawarkan tidak seberapa dengan nilai kerosakan yang dibuat pihak kerajaan. Sementara satu lagi pihak menuduh pihak kerajaan bersikap pilih kasih dalam soal polisi dan tindakan. Keadaan ini yang kemudiannya mencetuskan kontroversi membabitkan kawasan pesisir bawah dan lantai laut New Zealand pada tahun 2004.
SUMBER
Claudia Orange. (2012). ‘Treaty of Waitangi – Creating the Treaty of Waitangi’, Te Ara – the Encyclopedia of New Zealand’. http://www.TeAra.govt.nz/en/treaty-of-waitangi
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih