Umum mengetahui bahawa falsafah membawa maksud cintakan hikmah atau kebijaksanaan. Biasanya ahli-ahli falsafah akan berfikir secara rasional dan tidak menggunakan emosional. Kalau hanya berfikir sahaja, itu tidak dinamakan falsafah tetapi kesemua ahli falsafah mestilah mempunyai pemikiran yang kritikal, integral (sepadu daan lengkap). Mereka juga perlu berfikir secara universal dan pemikiran mereka juga adalah dari fundamental dan mendasar.
Secara lumrah, manusia hidup penuh dengan tanda tanya. Antara pertanyaan-pertanyaan yang sering dilontarkan oleh manusia adalah tentang Tuhan, alam, kehidupan dan manusia. Persoalan-persoalan ini secara asanya boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Ontologi (hakikat Tuhan,alam sejagat dan manusia), Epistemologi (teori ilmu) dan Aksiologi (teori nilai – Etika dan Estetika). Dan hasil dari cabang-cabang persoalan utama diatas maka lahirlah cabang-cabang falsafah seperti Metafizik, Teologi, Kosmologi, Psikologi dan sebagainya.
Sudah tentu kita pernah tertanya-tanya, setidak-tidaknya salah satu dari pokok persoalan di atas, bukan?
Seperti kata Imam Ghazali, “Keraguan adalah peringkat pertama keyakinan.”
Jadi apabila kita sudah mula berfikir dengan ciri-ciri seorang ahli falsafah, adakah kita boleh dikira sebagai seorang yang bijak atau berhikmah? Apa kebijaksanaan itu?
Kunci atau tempat utama kebijaksanaan itu letaknya pada insan itu sendiri dan ia tidak boleh diukur dengan berapa banyak buku yang dibaca. Hikmah itu adalah dipraktikkan, bersifat peribadi dan bukan hanya bersifat hipotikal malah ia tidak tersimpan di dalam perpustakaan. (Okey, ini sarkastik)
Jika pada hari ini kita masih lagi terpinga-pinga dengan situasi politik yang berlaku pada tahun 2017, mungkin nasihat dari Ludwig Wittgenstein boleh kita ambil. Beliau menyarankan untuk kita memperbaiki diri sendiri, (self-improvement) dan hanya itu yang perlu kita lakukan untuk memperbaiki keadaan dunia. Ubah diri untuk ubah dunia, barangkali?
Ahli falsafah Austria tersebut secara simbolik menyarankan agar kita untuk segera mendaftar sebagai ahli gimnasium atau mengambil mana-mana kursus dalam bidang komputer, atau lebih jelas lagi, kita perlu menumpukan perhatian kepada aktiviti yang menjaga kesihatan atau mempelajari satu kemahiran yang baru. Walaupun kesemua tindakan ini nampak baik, tetapi ia masih lagi tidak cukup untuk mencapai ‘self-improvement’.
Bagi ahli falsafah yang hebat, ‘self-improvement’ adalah berteraskan kepada moral dan intelektual. Bagi Diogenes ia membawa maksud belajar untuk hidup dengan sedikit kemahuan harta benda. Manakala bagi Epictetes, ia membawa maksud mengenal pasti apa yang diluar kawalan kita dan menerimanya. Nah, Aristotle pula mendapati ‘self-improvement’ mestilah berhasil memupuk kebaikan, persaudaraan dan kesedaran politikal.
Jikalau matlamat bagi para pemikir tersebut adalah pencapaian kepada hikmah dan kebijaksanaan, adakah kita akan menjadi bijak hanya dengan bantuan ‘google’ (Seperti kebanyakan orang buat sekarang) segala perkara yang ditanyakan kepada kita?
Prof Paul O’grady, Ketua Falsafah di Trinity College Dublin mengatakan bahawa kebijaksanaan itu adalah penghargaan peribadi tentang bagaimana idea dapat menyumbang ke arah kehidupan yang baik.
Jadi apa beza pengetahuan dan kebijaksanaan?
Paul O’grady menyatakan terdapat perbezaan di antara pengetahuan dan kebijaksanaan. Contohnya, kita boleh membezakan dengan jenis pengetahuan teori untuk menjadi ahli matematik atau sains yang baik dengan pengetahuan praktikal yang diperlukan untuk menjadi seorang pentadbir yang baik. Kita juga boleh memikirkan jenis pengetahuan empatik yang diperlukan untuk personaliti interpersonal yang baik ataupun pengetahuan teknikal yang diperlukan untuk menjadi mekanik yang bagus.
Kebijaksanaan menitikberatkan pengetahuan yang diperlukan untuk hidup dengan lebih baik. Kebijaksanaan adalah berkenaan dengan jenis pengetahuan yang kita perlukan untuk hidup dengan lebih baik. Aristotle membezakan diantara kebijaksanaan teoritikal dan kebijaksanaan praktikal. Kebijaksanaan teroritikal adalah renungan yang mendalam terhadap realiti, contohnya pemikiran tentang metafizik atau sudut pandang dunia seseorang. Manakala kebijaksanaan praktikal adalah pembelajaran berkenaan kehidupan yang baik seperti etika dan moral.
Penulis-penulis moden yang membicarakan tentang kebijaksanaan, telah cuba untuk menggugah perbezaan ini. Mereka menyatakan bahawa kebijaksanaan itu adalah satu bentuk pengetahuan yang dilihat berperanan untuk menyatukan elemen-elemen yang berbeza dalam kehidupan manusia. Terdapat hubung kait diantara sudut pandang dunia kita, kelakuan, emosi dan nilai. Kebijaksanaan adalah cerminan hubungan yang merangkumi kedua-dua elemen iaitu kebijaksanaan teori dan kebijaksanaan praktikal.
Bagi Socrates, kebijaksanaan adalah menjauhkan diri dari pengetahuan yang palsu dan menyedari tentang kejahilan diri sendiri. Ini banyak membuatkan orang beranggapan bahawa dengan hanya tahu kejahilan sendiri sudah merasakan diri mereka bijak. O’grady beranggapan jika kebijaksanaan hanyalah sekadar sedar kejahilan diri, maka semua orang yang jahil akan terus berada dalam kejahilan mereka dan merasakan diri mereka bijak. Walaubagaimanapun, dalam perjalanan kita untuk menjadi seorang yang bijaksana, apa yang penting adalah kita perlu tahu tahap keupayaan dan kekurangan diri kita. Ia memerlukan penilaian diri yang tepat dan mendalam. Selain itu juga kita juga perlu menilai semula apakah sebenarnya matlamat kita.
Dalam zaman yang semakin moden dan mencabar sekarang ini, adakah masih releven pertanyaan tentang apa itu kebaikan, pengetahuan dan apa itu realiti?
Kebanyakan orang hanya memikirkan bahwa sejarah falsafah hanya menumpukan pada soalan-soalan tersebut. Tetapi apabila maknanya dapat diketahui dengan jawapan muktamad yang bleh dipastikan, banyak disiplin ilmu yang lahir, sama ada dalam bidang sains, fizik, ekonomi, psikologi, sosiologi atau linguistik.
Para ahli falsafah berpendapat bahawa soalan-soalan tersebut masih ada nilainya. Tetapi apa yang timbul hasil daripada proses persoalan ini adalah satu bentuk pemahaman yang jelas, renungan yang amat mendalam dan penghargaan terhadap pemikiran manusia yang mendalam.
Seharusnya, persoalan pertama yang perlu ditanyakan kepada diri kita sendiri dalan pengembaraan kita menuju kebijaksanaan adalah :
“Bagaimanakah sepatutnya kita hidup?”
Sumber :
Joe Humphreys (2018) How to become wise : It takes more than Googling. irishtimes.com
Abdul Rahman Haji Abdullah (2016). Wacana Falsafah Barat : Tinjauan dan Kritikan. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih