Alhamdulillah, pada tahun ini kita dipanjangkan usia untuk dipertemukan lagi dengan bulan Ramadan yang mulia dan penuh barakah ini pada tahun 1440 Hijrah. Marhaban Ya Ramadhan. Selamat menunaikan ibadah rukun Islam yang keempat ini. Walaupun agak terlewat, penulis ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam, semoga Ramadan kali ini amalannya lebih baik daripada Ramadan pada tahun-tahun yang sudah.

Pada kali ini, penulis ingin kongsikan kepada semua pembaca berkenaan beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Ramadan sepanjang sejarah umat Islam. Sebelum itu, eloklah dibincangkan berkenaan pada tahun bilakah pensyariatan ibadah puasa Ramadan diperintahkan oleh Allah SWT. Ibadah puasa wajib pada bulan Ramadan mula disyariatkan kepada umat Islam pada bulan Sya’aban tahun kedua Hijrah, iaitu kira-kira hampir dua tahun setelah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat RA berhijrah ke Madinah.

Pensyariatan tersebut berdasarkan penurunan ayat 183, Surah al-Baqarah yang mewajibkan ibadah puasa sebagaimana yang telah diperintahkan kepada umat-umat manusia terdahulu, dengan tujuan semoga kita lebih bertakwa. Ayat seterusnya iaitu ayat 184-185 pula menerangkan berkenaan bulan bila perlu berpuasa dan peraturan ibadah puasa.

Al-Qur’an menjelaskan bahawa umat-umat manusia terdahulu juga telah diperintahkan berpuasa. Bible sendiri mencatatkan bahawa Nabi Musa AS (Moses PBUH), Nabi Ilyas AS (Elijah PBUH) dan Nabi Isa AS (Jesus PBUH) berpuasa selama 40 hari (Deutronomy 9:9, 1 Kings 19, Matthew 4:2).

Banyak peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah umat Islam sepanjang bulan Ramadan. Ini dibincangkan antara 7 peristiwa penting tersebut:

1. Penurunan al-Qur’an pada malam bulan Ramadan.

Al-Qur’an adalah kitab suci terakhir yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW sebagai panduan hidup kepada umat baginda dan juga merupakan satu-satunya kitab suci yang dijamin oleh Allah SWT tidak akan terjejas sedikitpun kesucian dan keasliannya sehingga ke hari kiamat (al-Hijr, 9).

Al-Qur’an mula diturunkan pada bulan Ramadan. Ini dinyatakan sendiri dalam al-Qur’an, Surah al-Baqarah, ayat 185. Sejak wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW iaitu ayat 1-5, Surah al-‘Alaq melalui Malaikat Jibril ketika baginda sedang berkhulwah di Gua Hira’ pada usia baginda 40 tahun sekitar tahun 610 Masihi, wahyu al-Qur’an terus diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun kepada baginda sehinggalah penurunan ayat terakhir iaitu Surah al-Ma’idah, ayat 5. Sehingga hari ini, umat Islam akan memperingati hari peristiwa Nuzul al-Qur’an pada setiap 17 Ramadan. Bertepatanlah ungkapan “Ramadan adalah bulan al-Qur’an.”

 2. Peperangan Badar al-Kubra

Pada tahun pertama pensyariatan ibadah puasa, Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya telah melalui peristiwa yang besar iaitu peperangan besar pertama berlaku dalam sirah baginda dan para sahabat, Peperangan Badar. Sebelum itu, telah berlaku beberapa pertempuran kecil antara kaum muslimin dengan kaum musyrikin (Sariyah), tetapi tidak seserius dan sebesar Peperangan Badar.

Peperangan tersebut berlaku berdekatan telaga Badar antara Makkah dan Madinah pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah (624 Masihi). Kira-kira 1,000 orang kekuatan bala tentera Musyrikin Quraisy yang turut disertai oleh Abu Jahal melawan hanya 313/314 orang tentera kaum muslimin pimpinan Nabi Muhammad SAW.

Sebab tercetusnya peperangan tersebut ialah kaum muslimin ingin merampas balik harta benda mereka yang dirampas oleh kaum musyrikin Makkah dan telah didagangkan. Sepanjang 13 tahun kehidupan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat di Makkah selepas pengutusan baginda sebagai rasul, mereka hidup dalam keadaan ditindas, dipulau, dihina dan dirampas harta benda mereka.

Disebabkan bilangan mereka yang sedikit ketika itu, maka perintah berperang mempertahankan diri, keluarga dan harta-benda mereka belum lagi diturunkan. Selepas penghijrahan mereka ke Madinah, bilangan umat Islam para sahabat semakin bertambah kuat dan kedudukan mereka bertambah utuh, maka turunlah wahyu keizinan mereka berperang kerana dianiayai (al-Hajj, ayat 39).

Sampailah berita bahawa terdapat rombongan kafilah musyrikin Makkah dari Syam yang diketuai oleh Abu Sufyan bin Harb membawa barang dagangan yang banyak. Bala tentera kaum muslimin pimpinan Nabi Muhammad SAW mula merisik dan menyekat rombongan kafilah tersebut. Tetapi Abu Sufyan yang telah dapat mengesan awal pergerakan tersebut sebelumnya telah menghantar utusannya ke Makkah meminta kaum Musyrikin Makkah menghantar bala tentera. Kaum Musyrikin Makkah pimpinan Abu Jahal segera bergerak ke Badar untuk membantu kafilah mereka. Tercetuskan peperangan besar antara kedua-dua belah pihak.

Melalui ayat 9, Surah al-Anfal, Allah SWT telah membantu tentera kaum muslimin di Badar dengan pengutusan para malaikat yang turun secara berperingkat turut sama berperang. Berakhirnya peperangan itu dengan kemenangan kepada pihak kaum muslimin. Seramai 70 orang tentera musyrikin Makkah terbunuh termasuklah tokoh-tokohnya penentang kuat Nabi Muhammad SAW dan para sahabat semasa mereka di Makkah iaitu Abu Jahal, Umayyah bin Khalaf dan Utbah bin Rabi’ah, 70 orang lagi daripada mereka berjaya ditawan. Dalam kalangan tentera kaum muslimin, 14 orang sahabat telah terkorban syahid.

3. Pembukaan Kota Makkah (Fat-hul Makkah)

Pada bulan Ramadan juga, berlakunya satu peristiwa sejarah yang penting dalam sirah Nabi iaitu pembukaan Kota Makkah yang berlaku pada 21 Ramadan tahun ke-8 Hijrah (630 Masihi). Peristiwa ini telahpun dinyatakan akan berlaku dalam al-Qur’an dalam Surah al-Fath yang diturunkan beberapa lama sebelum peristiwa tersebut.

Dua tahun selepas Perjanjian Hudaibiyyah iaitu perjanjian perdamaian dimeterai antara tentera kaum Muslimin dengan kaum Musyrikin Makkah, kaum Musyrikin Makkah sendiri telah melanggar perjanjian tersebut dengan menyerang kabilah Bani Khuza’ah yang bersekutu dengan kaum Muslimin. Wakil daripada kabilah tersebut telah meminta bantuan kaum Muslimin di Madinah.

Oleh itu, Nabi Muhammad SAW bersama hampir 10,000 kaum muslimin para sahabatnya bergerak dari Madinah ke Makkah. Mereka bergerak memasuki Kota Makkah dengan berpecah kepada empat kumpulan tentera melalui empat arah berbeza. Tiada sebarang pertumpahan darah berlaku melainkan terbunuhnya beberapa orang musyrikin di satu arah disebabkan penentangan mereka terhadap kemasukan tentera Islam itu.

Kaum Musyrikin Makkah yang dahulunya mencerca dan menyeksa Nabi Muhammad SAW dan para sahabat ketika hidup mereka di Makkah dahulu tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menyerah diri. Apa yang kita lakukan sekiranya musuh-musuh yang sentiasa menghina, menyeksa dan menzalimi kita, ahli keluarga kita dan sahabat-sahabat kita suatu masa dahulu akhirnya tunduk di hadapan kita?

Nabi Muhammad SAW yang mempunyai kuasa menghukum ketika itu tidak melakukan apa-apa kepada mereka, bahkan memaafkan dan mengisytiharkan pembebasan mereka semua kecuali beberapa orang yang benar-benar patut dihukum kerana kezaliman melampau yang mereka lakukan. Itulah sifat kemaafan yang sebenar, iaitu ketika kita benar-benar berkuasa ke atas musuh kita, tetapi memaafkan mereka dengan ikhlas, tanpa sebarang balasan.

Atas hidayah daripada Allah SWT dan sifat pemaaf Nabi Muhammad SAW itulah, berbondong-bondong penduduk Musyrikin Makkah ketika itu memeluk Islam termasuklah bapa kepada Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA sendiri yang telah begitu lanjut usia ketika itu. Makkah dan Ka’abah dibersihkan secara keseluruhannya daripada segala unsur penyembahan berhala.

4. Pembukaan Parsi (Pertempuran Qaddisiyyah)

Parsi merupakan antara tamadun yang besar dan berkuasa ketika zaman Nabi Muhammad SAW dan pada tahun-tahun awal zaman Khulafa’ ar-Rasyidin. Empayar Sassan merupakan salah sebuah kerajaan dalam tamadun Parsi. Bahkan, seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang mulia juga berbangsa Parsi iaitu Salman al-Farisi RA. Pada masa kini kebanyakan bekas-bekas tinggalan tamadun tersebut boleh didapati di Iran dan Iraq.

Nabi Muhammad SAW pernah mengutuskan surat dakwah kepada Maharaja Parsi ketika itu yang digelar Kisra atau Khosrow II. Majoriti rakyat Parsi ketika itu beragama Majusi yang menyembah api. Surat dakwah baginda tersebut dirobek-robek oleh Kisra sehingga baginda mendoakan kemusnahan kerajaan tersebut.

Doa baginda tersebut dikabulkan pada zaman pemerintahan Khalifah ar-Rasyidin kedua iaitu Saidina ‘Umar bin al-Khattab RA. Kerajaan Parsi tersebut sering menunjukkan permusuhan dengan umat Islam dan ini menghalang usaha dakwah penyebaran Islam lebih jauh ke utara.

Pembukaan Parsi berlaku pada bulan Ramadan tahun 16 Hijrah (636 Masihi) dalam Peperangan Qadisiyyah yang dipimpin oleh sahabat Sa’ad bin Abi Waqqas RA apabila bala tentera Islam berjaya menakluk ibu kota kerajaan Sassan Parsi yang pada masa kini terletak di al-Hirah, Iraq. Pembukaan tersebut menandakan berakhirnya zaman Empayar Parsi dan membuka pintu pengembangan dakwah Islam sampai lebih jauh ke Asia Tengah.

5. Pembukaan Andalus (Pertempuran Guadalete)

Empayar umat Islam mencapai kemuncak zaman perluasan wilayahnya ketika zaman Khilafah Umayyah yang berpusat di Damsyik, Syria. Ini kerana pada zaman tersebut, empayarnya mula menyeberang Selat Gibraltar di hujung utara Afrika memasuki benua Eropah melalui Andalus (Sepanyol).

Peristiwa itu mula berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah al-Walid bin Abdul Malik al-Umawi apabila panglima tentera umat Islam, Tariq bin Ziyad memimpin bala tentera umat Islam menyeberang selat yang memisahkan antara benua Afrika dengan benua Eropah, berhadapan dengan bala tentera kerajaan Visigoth Kristian pimpinan Raja Rodrigo pada bulan Ramadan tahun 711 Masihi di Guadalete.

Pertempuran yang sengit tersebut dimenangi oleh tentera umat Islam. Kemenangan tentera umat Islam itu membuka jalan umat Islam memasuki benua Eropah. Pada bulan Ramadan tahun berikutnya iaitu pada tahun 712 Masihi, bala tentera umat Islam di bawah pimpinan Musa bin Nusair sekali lagi terus mara lebih jauh ke utara, membuka lebih banyak kota-kota di Andalus atau Semenanjung Iberia tersebut.

Sejak empayar umat Islam bertapak dan berkembang di Andalus, Andalus berkembang menjadi sebuah empayar yang sangat gah, terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang hidup harmoni bebas beragama serta pusat ibu kota pelbagai ilmu pengetahuan sehingga mencetuskan zaman Renaissance di dunia Barat. Bahkan empayar umat Islam di bumi Andalus bertahan selama hampir 8 abad, jauh bertahan lebih lama berbanding empayar-empayar sebelum dan sezaman dengannya.

6. Pembebasan Palestin kali kedua (Peperangan Hattin)

Pada bulan Ramadan tahun 583 Hijrah (1187 Masihi), bala tentera umat Islam di bawah pimpinan seorang pemimpin yang amat digeruni oleh tentera Salib iaitu Sultan Salahuddin al-Ayyubi (Saladin) berjaya membebaskan Kota Baitul Maqdis dan bumi Syam (Palestin) buat kali kedua setelah 88 tahun di bawah taklukan Kerajaan Kristian.

Kota Baitul Maqdis dan Palestin adalah kota suci penting bagi ketiga-tiga agama Samawi iaitu Yahudi, Kristian dan Islam. Bagi umat Islam, di dalamnya terletak masjid ketiga paling suci iaitu Masjid al-Aqsa iaitu tempat Nabi Muhammad SAW dinaikkan ke langit semasa peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Kali pertama pembukaan Palestin oleh umat Islam berlaku ketika zaman Khalifah Umar bin al-Khattab RA, pembukaan secara aman melalui perjanjian, tiada pertumpahan darah berlaku, malah ketiga-tiga penganut agama Samawi hidup harmoni dan bebas mengamalkan agama masing-masing.

Pada tahun 1099, tentera Salib menawan Kota Baitul Maqdis. Sepanjang penaklukan mereka, ramai penduduknya yang beragama Islam dan Yahudi dibunuh dengan kejam termasuklah wanita dan kanak-kanak. Sultan Salahuddin tidak terus menyerang Palestin secara membuta tuli, baginda membuat tawaran supaya tentera Salib menyerah kalah, tetapi tawaran tersebut ditolak mentah-mentah dan kasar.

Setelah itu, baharulah berlaku peperangan di Hattin, utara Palestin. Walaupun setelah menang dan berjaya membuka Palestin, rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai agama dibebaskan dan hidup dengan harmoni, bangunan-bangunan ibadat langsung tidak dimusnahkan, tidak seperti ketika zaman penaklukan tentera Salib.

7. Pertempuran Ain Jalut

Peperangan ini bukan sahaja penting dalam sejarah umat Islam, tetapi juga sejarah dunia kerana tentera Islam Mamluk berjaya menyekat kemaraan tentera Mongol lebih jauh ke Semenanjung Tanah Arab dan Afrika.

Empayar Mongol adalah empayar daratan terbesar dalam sejarah umat manusia yang pada masa kini meliputi wilayah Korea di timur, sehingga ke timur Eropah di barat dan empayar ini berkembang dengan amat pantas dan ganas. Mamluk pula pada asalnya adalah golongan tentera berbangsa Turki yang berkhidmat dalam kerajaan dinasti Ayyubiyyah di Mesir tetapi akhirnya menjadi sebuah dinasti kerajaan kecil umat Islam yang berkuasa. Kerajaan mereka dikenali sebagai dinasti Mamalik yang berpusat di Mesir.

Pada bulan Ramadan tahun 658 Hijrah (1260 Masihi), berlakunya pertempuran hebat antara bala tentera umat Islam Mamluk pimpinan Sultan Saifuddin Qutuz dan Ruknuddin Baybars dengan bala tentera Mongol pimpinan Kitbuqa di Ayn Jalut, Palestin. Tentera umat Islam Mamluk berjaya memenangi peperangan tersebut sehingga menyebabkan begitu ramai tentera Mongol terkorban termasuklah pemimpin mereka sendiri iaitu Kitbuqa.

Bayangkan, kekuatan tentera Mongol mampu meranapkan seluruh Kota Baghdad, ibu kota Khilafah Abbasiyyah yang telah gah berkuasa dan berdiri selama ratusan tahun sehingga menjadi padang jarak padang tekukur pada tahun 1258. Hanya tentera Mamluk sahaja mampu menyekat keganasan tentera Mongol daripada terus mara ke utara Afrika dan Semenanjung Tanah Arab.

Kerajaan dinasti Mamluk ini jugalah yang menyelamatkan waris khalifah Abbasiyyah dan menabalkan baginda di Mesir walaupun hanya sekadar nama sahaja. Khilafah Abbasiyyah berterusan di Mesir sehinggalah khilafah umat Islam bertukar tangan ke kerajaan Uthmaniyyah yang berbangsa Turki pada tahun 1517.

Kesimpulan:

Sungguhpun Ramadan adalah bulan umat Islam diwajibkan berlapar dan dahaga serta tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan ibadah puasa, namun itu bukanlah alasan untuk kita tidak aktif dan memperlahankan sebarang aktiviti, tetapi bulan untuk kita lebih meningkatkan produktiviti dan bermotivasi untuk kita lebih aktif dalam melaksanakan ibadah-ibadah sunat yang lain. Ganjarannya adalah Malam al-Qadr (Lailatul Qadar) yang Allah SWT rahsiakan tarikhnya supaya kita sentiasa istiqamah dalam beribadat. Penulis juga nasihat pada diri penulis sendiri.

RUJUKAN:

1. Al-Mubarakfuri, Safiur-Rahman, Al-Raheeq al-Makhtum.

2. Idris El-Hareir & El-Hadji Ravane M’ Baye (Eds.), The Different Aspects of Islamic Culture, Vol 3: The Spread of Islam Throughout The World, Paris: UNESCO, 2011.

3. Zamri Zainal Abidin & Imran Azmi, Peristiwa Bersejarah Ramadan, Batu Caves, Selangor: PTS Islamica Sdn. Bhd., 2010.

4. Ahmad Sarwat, Puasa Bukan Hanya Saat Ramadhan, Jakarta: Penerbit Kalil.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Comments are closed.