Logik merupakan suatu cabang penting dalam falsafah. Kerana, ia diperlukan untuk menjawab persoalan-persoalan besar yang menghambat fikiran manusia sejak ribuan tahun lamanya. Mensabitkan kebenaran, membuktikan kewujudan tuhan, mempraktikkan sains, semuanya bersangkutan dengan falsafah logik.

Sejarah merakam anjakan paradigma logik sejak sekian lama. Kalau nak diceritakan semuanya, tidak akan cukup seribu lembaran. Beribu tokoh, beribu peristiwa dan penemuan direkodkan sejak era Ketamadunan Greek hinggalah ke hari ini.

Pada era Aristotle, logik hanya terhad kepada satu metode sahaja iaitu deduktif. Metode ini pun disusun bertujuan untuk menangkis falasi yang disebar luaskan oleh golongan Sofis (sofisme).

Mereka mendakwa bahawa kebenaran adalah bersifat relatif. Atau tiada kebenaran yang mutlak. Setiap orang boleh mempunyai interpretasi mereka masing-masing terhadap kebenaran dan makna dari kebenaran itu.

Selain dikenali sebagai Logik Deduktif, nama lain bagi metode ini ialah Logik Aristotle, Logik Klasik dan Logik Analogi. Salah satu prinsip terpenting bagi logik ini bertitik mula daripada premis yang bersifat umum (major) menuju kepada premis natijah yang bersifat lebih khusus dan spesifik. Juga disebut silogisme (syllogism).

Contohnya,

Premis satu (major): semua nombor genap boleh dibahagikan dengan dua (umum).

Premis dua (minor): nombor enam adalah genap.

Natijah: nombor enam boleh dibahagikan dengan dua (khusus).

Logik Aristotle diaplikasi dalam dunia akademik untuk tempoh waktu yang agak lama. Bahkan mencapai kemuncaknya pada Era Helenistik (Hellenistic Period) apabila pengaruh budaya dan ilmu Greek mendominasi Eropah selepas kematian Raja Iskandar yang Agung. Hatta gereja pada abad pertengahan juga berpegang kepada metode ini.

Namun, ada beberapa kelemahan yang dapat dicungkil. Antaranya:

  1. Logik ini hanya terbatas pada perkara-perkara teori. Mereka tak menguji kebenaran premis natijah.
  2. Boleh berlaku paradoks yang memustahilkan premis natijah. Ini kerana mustahilnya dua perkara berkumpul dalam satu hal yang sama. Seperti mustahilnya “banyak tidur” menjadi sebab, dan dalam masa yang sama ia juga menjadi natijah dalam contoh:

P1: saya banyak tidur sebab saya tertekan.

P2: saya tertekan sebab saya banyak tidur.

Natijah: ? (terbatal)

Dalam ilmu mantik, hal ini disebut al-Daur al-Bāthil (percanggahan yang terbatal)

  1. Premis natijahnya bersifat mandul dan tidak membawa kepada kesimpulan yang baru. Menyebabkan perkembangan ilmu menjadi terbantut.

Kejumudan gereja pada waktu itu yang hanya berpada dengan metode deduktif semata-mata akhirnya memimpin Barat ke lembah kemunduran.

Mereka percaya bahawa bumi itu pusat semesta. Bila mana Nicolaus Copernicus (1473-1543) mengetengahkan teori Heliosentrisme, dia dituduh sesat dan dihukum. Begitu jugalah yang berlaku ke atas Galileo Galilei (1564-1642).

Atas sebab ini, masyarakat menjadi sedar dan beransur-ansur menolak cengkaman gereja. Berlakulah Renaissance. Mereka pun mula mengaplikasikan Logik Induktif.

Menariknya, logik induktif ini sebenarnya telah pun digunakan oleh barisan cendekiawan Islam di Timur beberapa kurun lebih awal lagi. Juga disebut al-Mantiq al-Istiqrā’i.

Prinsip Istiqrā’ atau induktif adalah berlawanan dengan deduktif. Di mana premisnya disusun dari yang lebih spesifik menuju natijah yang lebih umum. Dan premis yang spesifik itu pula perlu melalui ujian pemerhatian terlebih dahulu.

Contohnya, kita ambil sejongkong emas, lalu meleburkannya. Dan kita dapati, suhu takat lebur bagi jongkong emas itu ialah 1,064°C.

Maka, dengan hanya meleburkan satu atau beberapa emas sahaja, kita menghukumkan takat lebur 1,064°C ke atas semua emas di bumi ini. (Tatacara eksperimen saintifik tidak seringkas itu. Ini hanya penerangan prinsip).

Walaupun induktif yang digunakan cendekiawan Islam waktu itu tidaklah sepenuhnya sama dengan yang ada pada zaman ini (bahkan sebahagian mereka masih berpegang dengan Logik Aristotle). Namun, mereka tidak mengharamkan penemuan sains seperti yang dilakukan Barat.

Misalnya Ibnu Rushd (1126-1198). Meskipun beliau cenderung mengetengahkan konsep Aristotle, namun pada masa yang sama beliau juga melakukan penambahan kategori dalam beberapa sudut.

Ibnu Sina (980-1037) pada sebelum Ibnu Rushd pula telah menambah “al-mutawātirāt” sebagai premis sumber yang diyakini. Hal ini demikian kerana al-Quran dan hadith mutawatir yang diimani oleh umat Islam juga disampaikan melalui jalan mutawatir. Maka konsep tawātur adalah diyakini.

Al-Farabi (870-950) mendatangkan konsep “silogisme puitis” (poetic syllogism) yang mengiktiraf bahasa sebagai cabang logik. Beliau mengadun Logik Aristotle dengan yang selain daripadanya seperti Logik Stoic. Dek besarnya sumbangan al-Farabi, beliau digelar “Guru Kedua” dalam bidang falsafah setelah Aristotle yang bergelar Guru Pertama.

Sementara Ibnu Haitham (965-1040), menjadi orang pertama yang melakukan penemuan optik dengan menggunakan metode induktif yang sempurna.

Bagaimana besar pun pencapaian mereka, logik masih tidak mendapat tempat dalam silibus pengajian Islam. Sehingalah era Hujjatul Islam Imam Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali rahimahullah (1058-1111). Yang diiktiraf sebagai pembuka pintu masuk ilmu mantik buat pengajian Usul al-Fiqh dan akidah (teologi).

Beliau mentakrifkan Manhaj Istiqrā’i sebagai:

(هو أن تتصفح الحكم في جزئيات كثيرة داخلة تحت معنى كلي، حتى إذا وجدت حكما في تلك الجزئيات حكمت على ذلك الجزئي به)

(Menyimpul dan meneliti hukum ke atas sebahagian juz’ī yang berada di bawah satu makna yang kulliy (kategori), kemudian jika ditemukan hukumnya, hukum itu juga diterapkan ke atas juz’ī yang lain).

Karya-karya beliau padat dengan ibarat mantik. Baik Qiyāsī (deduktif) mahu pun Istiqrā’i (induktif). Antara yang masyhur:

  1. Al-Iqtisōd fi al-I’tiqōd (akidah)
  2. Al-Mustasfā min ‘Ilm al-Usūl (usul fiqh)
  3. Maqāsid al-Falāsifah (falsafah/logik)
  4. Tahāfut al-Falāsifah (falsafah/logik)
  5. Mi’yār al-Ilmi fī Fann al-Mantiq (logik)

dan banyak lagi. Imam Ghazali rahimahullah tidaklah menyerap semua Logik Greek. Sebaliknya ada melakukan tapisan. Logik yang diserap hanyalah logik yang murni dan boleh diharmonikan dengan apa yang dibawa oleh ulama salaf.

Langkah ini diikuti dan dihias oleh beberapa tokoh selepas beliau semisal Imam Fakhr al-Din al-Razi (1149-1210) dan Imam al-Syatibi (1320-1388) rahimahumallah. Penyertaan Istiqra’ ke dalam ilmu usul fiqh telah melahirkan beberapa disiplin baru yang digagas untuk berinteraksi dengan nas agama.

Walaupun penggunaan mantik ditentang oleh beberapa ilmuan seperti Ibnu Solah (1181-1245) dan Ibnu Taimiyah (1263-1328) rahimahumallah, Ia tak menafikan sumbangan mereka telah mewujudkan era keemasan logik dalam dunia Islam.

Pada abad ke-17M, seorang ahli falsafah Inggeris bernama Francis Bacon (1561-1626) telah menyempurnakan prinsip Induktif. Digelar Bapa Empirisisme. Beliau memperkenalkan Metode Bacon (Baconian Method) di dalam karyanya Novum Organum.

Kaedah tersebutlah yang menjadi ibu dalam penyelidikan saintifik pada hari ini. Terdiri daripada empat langkah, iaitu pemerhatian, hipotesis, eksperimen dan konklusi. Metode ini dianggap suatu revolusi, kerana setelah itu falsafah logik di dunia dan Barat khususnya tidak lagi terikat dengan deduktif semata-mata.

Walau bagaimana kemajuan yang dicapai dengan mempraktikkan induktif, metode ini tetaplah ada kelemahannya. Sama seperti deduktif. Apa kelemahan tersebut?

Iaitu natijah yang diperolehi tidak sepenuhnya muktamad. Kerana natijah tersebut hanyalah hasil dapatan daripada sebahagian kecil yang diuji sahaja.

Contohnya, natijah suhu takat lebur 1,064°C bagi emas hanya dilakukan ke atas sebahagian emas sahaja. Bukan ke atas semua emas yang ada di bumi ini. Jadi, masih ada kemungkinan bahawa terdapat emas yang mempunyai takat lebur yang berbeza. Hanya saja emas tersebut belum diuji.

Atau contoh yang lebih mudah, saya kata “semua angsa adalah berwarna putih”.

Apa yang dimaksudkan sebenarnya ialah “semua angsa yang saya pernah lihat adalah berwarna putih”. Kerana, boleh jadi ada angsa berwarna selain putih di dunia ini. Hanya saja saya yang belum pernah melihatnya.

Natijah saya yang mengatakan bahawa semua angsa adalah berwarna putih itu benar. Tetapi tak mesti akan selamanya benar. Saya tidak boleh menjamin kebenaran perkara tersebut sebagai mutlak. Inilah kritikan yang dikemukakan oleh David Hume (1711-1776) , ahli falsafah Scotland.

Kedua-dua metode logik tersebut ada kelemahannya. Jadi, adakah kita perlu menggunakan salah satu sahaja, atau menafikan keduanya sekali?

Tidak. Bahkan kita perlu mengaplikasikan kedua-duanya. Kerana kedua-dua metode tersebut mempunyai peranan dalam hidup kita. Logik Deduktif berperanan dalam matematik dan membina argumen yang sabit. sementara Logik Induktif berperanan dalam penyelidikan sains.

Setiap bidang ilmu ada prinsipnya masing-masing. Jika tidak mampu mendatangkan kritikan ilmiah, maka ia perlu diraikan.

RUJUKAN:

Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali. (1961). Mi’yār al-‘Ilm fī Fann al-Mantiq. Kaherah, Darul Ma’arif.

Ahmad ibn Abdul Mun’im al-Damanhuri. (2008). Idhōh al-Mubham min Ma’āni al-Sullam. Kaherah, Darul Baso’ir.

Al-Sayyed Ahmad, A.T. (1981). Al-Ghazali’s Views on Logic. D Dissertation. University of Edinburgh.

Anthony M. Quinton, Baron Quinton. (2022, Jan). Francis Bacon: British author, philosopher and statesman . Retrieved fromhttps://www.britannica.com/biography/Francis-Bacon-Viscount-Saint-Alban.

Ensiklopedia Falsafah Standford. (2021, Jun). Ibn Rushd (Averroes) . Retrieved from https://plato.stanford.edu/entries/ibn-rushd/#LogiMeth.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Muhammad Fateh bin Abdul Shukor. Pelajar Usuluddin di Universiti Al-Azhar. Mempercayai ilmu sebagai teras tamadun, bahasa dan penulisan sebagai penghubung.

Leave A Reply