Tulisan Jawi merupakan tulisan warisan bangsa Melayu yang dipengaruhi dari tulisan Arab setelah kemasukan Islam di Alam Melayu. Ya, tulisan Jawi berasal dari pengaruh Islamisasi namun ini tidak bermakna seseorang yang mempelajari kaligrafi Jawi automatik menjadi Islam atau perlu dipaksa menjadi Islam terlebih dahulu untuk mempelajarinya. Maka usahlah acah paranoid tak tentu hala.

Tulisan Jawi berasal dari tulisan Arab yang mana tulisan Arab ini sendiri memiliki sejarahnya yang panjang dan kompleks sebelum zaman kedatangan Nabi Muhammad lagi. Tulisan Arab mengalami beberapa penambah baikkan selepas zaman Nabi Muhammad terutama berkaitan sejarah penulisan al-Quran. Mungkin pada kesempatan lain saya akan menulis lanjut tentang sejarah tulisan Arab, namun sebahagian sejarahnya pernah saya tulis di https://www.facebook.com/100001728579660/posts/2247313612002903/?d=n

Apabila Islam tersebar ke segenap penjuru dunia, tulisan Arab-Qurani turut berkembang dan berevolusi ke setiap ketamadunan bangsa-bangsa yang memeluk Islam dengan sedikit ubah suai ejaan dan tulisan bagi mengikut kesesuaian tuturan lidah mereka. Ini kerana penyebaran Islam tidak terlepas dari pengajian al-Quran dimana ianya ditulis dengan menggunakan tulisan Arab.

Bangsa yang paling giat menyebarkan tulisan Arab adalah bangsa Parsi melalui karya-karya para ulama berbangsa Parsi. Antara tulisan yang berevolusi dari tulisan Arab menjadi tulisan bangsa tertentu selain Parsi adalah tulisan Urdu, Turki-Uthmani, Kurdish, Pashto, Uyghur dan banyak lagi. Bahkan jangan terkejut dan cepat menuduh sesat jika anda menjumpai naskhah al-Quran yang sistem huruf, tulisan dan ejaan Arabnya agak berlainan di Maghribi. Bahkan Qiraat mereka juga berlainan walau masih membawa makna yang sama dengan Qiraat kita di Malaysia.

Di Alam Melayu, tulisan Arab dikesan masuk seawal kurun 7 masihi dengan penemuan batu nisan milik Syeikh Rukunuddin di Barus, Sumatera. Manakala tulisan Jawi dikesan seawal tahun 1303 masihi dengan penemuan Batu Bersurat di Terengganu. Antara penemuan penting mengenai tulisan Jawi adalah terjemahan Kitab Akidah pertama ke dalam bahasa Melayu iaitu Kitab Aqaid al-Nasafi yang mengikuti mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah Asyairah-Maturidiah.

“Jawi” merupakan panggilan kepada bangsa Melayu oleh bangsa Arab. Qaum Jawiyyin, Bani Jawi, Ulama Tanah Jawi, Kitab Turath Jawi, Pondok Jawi, Ruwaq Jawi merupakan antara penggunaan istilah “Jawi” dalam ketamadunan Melayu. Bahkan, istilah “Masuk Jawi” (berkhitan) yang bermaksud “Menjadi Melayu” merupakan istilah paling popular. Ini kerana Islam merupakan antara syarat keMelayuan seseorang dan berkhitan atau bersunat ini adalah suatu perkara yang penting dalam hukum fiqh taharah.

Perbezaan tulisan Arab dan Arab-Melayu (Jawi) adalah pada huruf-huruf tambahannya yang berasal dari pengaruh tulisan Parsi. Tulisan Jawi memiliki 5 huruf tambahan kepada 28 huruf asal dari tulisan Arab. Huruf tambahan tersebut adalah ﭺ (cha), ڠ(nga), ﭪ (pa), ݢ (ga) dan ڽ (nya).

– Huruf ﭺ adalah terhasil dari campuran huruf ج dengan ت.
– Huruf ڠ adalah terhasil dari campuran huruf غ dengan ن dan ݢ.
– Huruf ﭪ adalah terhasil dari campuran huruf ف dengan ب.
– Huruf ݢ adalah terhasil dari campuran huruf ک dengan ج.
– Huruf ڽ adalah terhasil dari campuran huruf ن dengan ي.

Perbezaan Jawi Asli dan Jawi Moden pula adalah pada kaedah dan sistem ejaannya. Tulisan Jawi Asli ditulis mengikut kaedah Nahu Sarf Arab-Qurani sehingga ianya lebih ringkas berbanding Jawi Moden yang banyak menambah Huruf Saksi dalam sesuatu perkataan. Oleh itu, umat Melayu yang menguasai Jawi Asli akan mudah membaca al-Quran kerana kaedah ejaannya adalah mirip. Tokoh-tokoh tulisan Jawi Asli antaranya ialah Syeikh Hamzah al-Fansuri, Syeikh Nuruddin al-Raniri, Syeikh Abdul Rauf al-Sinkili, Syeikh Daud al-Fathani, Raja Ali Haji dan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Syeikh Hamzah al-Fansuri (abad ke-16) adalah ilmuan pertama yang mengarang karya-karya menggunakan tulisan Jawi.

Syeikh Nuruddin al-Raniri (abad ke-17) adalah ilmuan yang merintis penulisan karya dalam pelbagai disiplin ilmu dengan menggunakan tulisan Jawi.

Syeikh Abdul Rauf al-Sinkili (abad ke-18) adalah ilmuan pertama yang menterjemah al-Quran ke dalam bahasa Melayu dengan tulisan Jawi. Kitab tersebut adalah Turjuman al-Mustafid ‘ala Tafsir al-Baidhawi.

Syeikh Daud al-Fathani (abad ke-19) adalah ulama Nusantara yang mengajar di Masjidil Haram dan memiliki banyak karya dengan tulisan Jawi. Ketika abad ini, bahasa Melayu merupakan antara lingua franca di Mekah kerana ramai alim ulama Nusantara menjadi pengajar di sana dan bangsa lain termasuklah orang Arab datang menuntut ilmu dari mereka.

Raja Ali Haji (abad ke-19) adalah ilmuan pertama yang menyusun kaedah penulisan Jawi dalam bentuk kamus.

Syeikh Ahmad al-Fathani (abad ke-20) adalah ilmuan yang mengusahakan penerbitan percetakan kitab-kitab agama tulisan Jawi.

Para ulama Nusantara tidak kiralah sama ada mereka dari negeri al-Fathani, al-Fadani, al-Falimbani, al-Sumaterani, al-Asyi, al-Minankabawi, al-Bantani, al-Qadahi, al-Kalantani, al-Banjari dan sebagainya, walaupun mereka memiliki dialek daerah masing-masing dalam percakapan, namun untuk mengarang kitab agama bagi bacaan umat Melayu, mereka menggunakan bahasa Melayu standard pada ketika itu (kini dipanggil Melayu Klasik) dan menggunakan tulisan Jawi Asli yang difahami oleh setiap orang.

Tulisan ini menjadi tulisan bagi rakyat jelata, para ulama bahkan tulisan rasmi di Istana Raja-Raja Melayu. Segala undang-undang kerajaan ditulis dalam tulisan Jawi. Ianya merupakan tulisan bagi persuratan Melayu. Bahkan, ketika kuasa barat datang menjajah Alam Melayu, para Sultan Melayu tetap menggunakan tulisan Jawi untuk saling berbalas surat dengan orang Eropah. Sultan Hayat Ternate menulis surat kepada King John III of Portugal (1521), Sultan Iskandar Muda Acheh menulis surat kepada King James I of England (1615) dan Sultan Abdul Jalil IV Johor menulis surat kepada King Louis XV of France (1719). Bahkan segala perjanjian antara pihak penjajah dengan Sultan Melayu juga ditulis dalam tulisan Jawi.

Tulisan Jawi Moden pula wujud hasil pengaruh perubahan zaman setelah kedatangan penjajah. Banyak kata pinjaman terutama dari bahasa Inggeris hasil zaman penjajahan British membuatkan sesuatu perkataan itu menjadi keliru untuk ditulis dalam tulisan Jawi. Jika Jawi Asli ditulis mengikut kaedah Arab-Qurani, maka Jawi Moden pula adalah lebih kepada sistem ejaan yang mengikut bunyi suku kata dalam ejaan Rumi.

Sistem Jawi Moden mempunyai dua fasa utama iaitu fasa Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba) serta fasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Jawi Moden fasa Za’ba adalah sekitar penghujung tahun 1930-an. Tulisan ini terpakai di seluruh sektor pendidikan dan pelbagai urusan lain lagi.

Selepas zaman kemerdekaan, bagi memudahkan kaum bukan Melayu agar mahir mempelajari, membaca, menulis, dan menutur bahasa Melayu, pihak kerajaan telah melakukan “tajdid” dalam sistem pendidikan negara dengan menghapuskan tulisan Jawi sebagai tulisan utama dan tulisan pengantar asal bagi bahasa Melayu lalu menggantikannya dengan tulisan Rumi pada tahun 1966. Seksyen 9 Akta 32 Bahasa Kebangsaan 1963/67 menyatakan, “Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi : dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan”.

Jawi Moden fasa DBP pula adalah sekitar awal tahun 1980-an. Jawi Moden fasa DBP mengolah lagi sistem tulisan yang direka oleh Za’ba sebelum itu. Huruf ۏ (va) diperkenalkan pada tahun 1983 untuk mewakili huruf “v” yang banyak dijumpai dalam kata pinjaman dari bahasa Inggeris.

Walaupun umat Melayu kini mengikuti arus pemodenan sehingga sebahagiannya sudah tidak mahir lagi tulisan Jawi, apatah lagi untuk mengetahui perbezaan antara Jawi Asli dan Jawi Moden, namun masih ada pihak yang berusaha mengkaji dan menghidupkan kembali Jawi Asli. Tokoh yang paling ulung dalam perjuangan ini ialah Tan Sri Profesor Dr Sayyid Muhammad Naquib al-Attas. Beliau mengembalikan manhaj Islamisasi ketamadunan Melayu dengan tulisan Jawi sebagai salah satu pasak warisan budaya bangsa. Segala manuskrip lama dikaji dengan teliti bagi mencungkil rahsia peradaban Bani Jawi.

Usahanya ini disambung oleh para muridnya melalui institusi ISTAC-UIA. Selepas institusi ISTAC diganggu cemar oleh sang politikus, para murid Sayyid Naquib al-Attas menubuhkan pula institusi CASIS-UTM. Kajian terhadap ketamadunan Melayu dengan manhaj yang benar mula hidup kembali. Bahkan, kini telah wujud satu institusi khas iaitu Akademi Jawi Malaysia bagi mengkaji segala hal berkaitan penulisan Jawi dan bahasa Melayu.

Dengan menguasai sejarah asal tulisan Jawi, kita dapat mencungkil keagungan peradaban bangsa Melayu. Kerana tulisan itu membentuk bahasa, bahasa itu membentuk pemikiran dan pemikiran itu membentuk peradaban. Melalui selok belok tulisan Jawi inilah kita dapat memahami kata-kata hikmah orang tua-tua Melayu terdahulu. Maka dengan itu, tidaklah orang Melayu di zaman moden ini bergaduh lagi kerana keliru dalam memahami maksud peribahasa antaranya seperti isu “Pegar” atau “Pagar”.

Usaha menghidupkan semula tulisan Jawi yang dilakukan oleh pihak Akademi Jawi Malaysia ini juga membatalkan tohmahan “Melayu” apologetik yang mendakwa kononnya tulisan Jawi ini tulisan kuno yang bakal pupus. Bahkan, tohmahan yang mengatakan tulisan Jawi tiada nilai komersil juga tiada asasnya. Jika berani, silalah jangan tulis sebarang tulisan Jawi terutama perkataan حلال dalam produk anda. Ini kerana cop halal Malaysia memiliki pengaruh yang terbesar dalam industri makanan halal diperingkat antarabangsa. Dan betapa bernilainya tulisan Jawi ini, wang anda tidak akan sah laku jika tiada huruf Jawi padanya.

Nasihat kepada orang Melayu pula, janganlah hanya bersemangat cakap soal Jawi dek taksub kepada sentimen politik semata-mata. Marilah perkasakan semula budaya membaca karya kitab-kitab Turath Jawi yang ditulis oleh para ulama Nusantara terdahulu. Antara pihak yang paling giat mencetak kitab-kitab Turath Jawi adalah Khazanah Fathaniyyah. Bahkan, pengajian kitab-kitab Jawi ini aktif dilakukan oleh pihak Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI), Nahdlatul Ulama Malaysia (NA’AM), Ahli Sunnah Waljamaah Research Group (ARG) dan lain-lain.

Inilah tradisi kebudayaan orang Melayu. Jika hendak memahami keagungan sejarah Melayu dan mengenali hati budi Melayu, maka belajarlah seni kaligrafi atau khat Jawi. Ia juga salah satu usaha mengeratkan perpaduan rakyat. Perlu diingatkan, dokumen terpenting yang melahirkan negara ini iaitu Pemasyhuran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu adalah ditulis dalam tulisan Jawi. Setakat mempelajari ejaan “Bersekutu Bertambah Mutu” (برسكوتو برتمبه موتو) pada jata negara, Malaysia (مليسيا) pada setem, Bank Negara Malaysia (بڠک نݢارا مليسيا) dan Ringgit Malaysia (ريڠݢيت مليسيا) pada wang kertas, tidak akan menggugat identiti sesiapa pun. Bukannya suruh bersyahadah atau bertakbir!

Kini tulisan Jawi merupakan salah satu daripada dua sistem tulisan rasmi di Brunei, dan juga dijadikan tulisan alternatif di Malaysia dan Indonesia yang hanya terhad kepada kegunaan dalam hal ehwal keagamaan dan kebudayaan. Namun, penggunaan tulisan Jawi di papan tanda bangunan di sekitar negeri Pantai Timur amat membanggakan. Bahkan, isu Jawi ini diperjuangkan oleh admin The Patriots di Twitter bagi membasmi pemikiran kolot golongan “liberal” dan “apologetik” di kubu kuat mereka di sana. Ianya bertambah semangat apabila Tuanku Permaisuri Agong mula memainkan peranan besar bak penaung perjuangan ini di Twitter. Moga Allah berkati dan pelihara Tuanku Permaisuri Agong. دولت توانكو !!!

Sebarang soal jawab sila follow penulis di : https://instagram.com/khairiasyraf_17

RUJUKAN
– Sejarah al-Quran, Laman Web Rasmi KDN
– Risalah Bahasa Jawi, Akademi Jawi Malaysia
– UMNO Dipersalah Hapus Tulisan Jawi – Hadi Awang, Sinar Harian


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

IBN JAWI merupakan penuntut bidang Engineering di sebuah universiti. Beliau juga giat dalam pengajian Turath Islami secara Talaqqi Sanad bagi mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi. Beliau yang meminati topik Falsafah, Sejarah dan Politik merangka usaha kebangkitan ummah melalui Kalam & Qalam. Walaupun memiliki aliran pemikiran tersendiri, namun beliau terbuka untuk bertukar pandangan dengan mana-mana aliran pemikiran agar dapat memahami cara berfikir kelompok berlainan.

Comments are closed.