Setiap negara ada kudapan tersendiri. Misalnya, Jepun dengan sake dan sushi. Kita pula pisang goreng cicah kopi. Manakala British dengan teh dan pastri. Namun kalau dibandingkan tiga negara ini, boleh kata British paling tidak relaks. Sampai tiap masa mesti pekena teh.

Bayangkan, kalau kita di sini memang pe’el biasa masuk pejabat, cucuk punch card dan kemudian keluar bersarapan. Hatta makan-makan karipap selepas mesyuarat pun benda lumrah bagi sesetengah. Tetapi kalangan British, mereka bawa budaya seumpama ini ke tahap seterusnya.

Di mana , mereka dengan selamba buat minum-minum petang di medan perang. Kalau tentera infantri yang buat begini masih masuk akal lagi. Ini siap pemandu kereta kebal pun buat kepala sama. Memang santai habis sampai kalah ‘bani tenang’.

Bagi peminat-peminat kisah pertempuran, kalian dipelawa membeli buku ini: https://thepatriots.store/store/books/ketenteraan/pertempuran-agung/

Apapun ikutkan, memang alasan masing-masing adalah untuk kekal tenang. Ini berikutan suasana perang yang serba menekan dan menguras kewarasan. Lebih-lebih lagi bagi pemandu kereta kebal. Mereka bukan takat menjadi sasaran utama musuh. Tetapi juga panggilan alam.

Mana tidak, fungsi kereta kebal ini biasanya ditagih sepanjang operasi. Kalau operasi berjalan sampai berjam-jam, maka berjam-jam jugalah pemandunya perlu berkampung di dalam situ. Soal makan-minum dan tidur boleh tahan lagi. Dibuatnya masa itu juga perut memulas dan hajat ingin dilunas? Memang perlu membuang dalam botol atau kotak peluru kosonglah jawabnya.

Masalahnya, dalam setiap kereta kebal bukan ada seorang anggota sahaja. Paling tidak perlu ada tiga hingga lima orang. Jadi, semua boleh bayang macam mana lemasnya bila ada seorang yang perlu membuang semasa operasi. Sudahlah ruangnya sempit. Mahu renggangkan kaki pun sukar. Kematu punggung pula usah cakap, memang mencabar. Sebab itu sekali-sekala bila ada peluang, mereka akan keluar daripada kereta kebal untuk ambil angin dan longgarkan badan.

Ruangan dalam kereta kebal (Vitaly V. Kuzmin / CC BY-SA 4.0)

Bagi anggota dari British, peluang ini turut dimanfaatkan untuk menyalakan ‘unggun’ dan membancuh teh. Kira, ramai-ramai akan parkir kereta kebal di satu lokasi lalu berkumpul untuk minum-minum.

Tren begini boleh kata biasa mereka buat semasa berkhidmat di Afrika Utara. Misalnya pasca Pertempuran Gazala di Libya pada Jun 1942. Konon, ia untuk menaikkan semangat selepas British sebagai anggota Pihak Bersekutu kalah teruk di tangan Jerman.

Semasa tumpuan perang beralih ke Eropah, tren serupa turut dibawa ke sana. Cuma masalahnya, gaya pertempuran di Eropah agak berbeza. Terutama bagi kenderaan berperisai seperti kereta kebal. Ini kerana medan pertempuran di Eropah tidak seterbuka di gurun. Sebaliknya ia berlangsung di ruang-ruang sempit dalam bandar. Jadi, sukar untuk mengesan musuh dari jarak jauh.

Bila begini, tren melepak sambil minum teh di luar kereta kebal sepatutnya diharamkan sama sekali. Sebab ia membahayakan pasukan dan menjejaskan formasi. Tetapi anggota British peduli apa. Tea lives matter. Justeru budaya begitu terus diamalkan. Sampailah Tuhan beri pengajaran pada Jun 1944.

Kru kereta kebal British sedang melepak minum teh di Libya (Public Domain)

Tanggal ini ikutkan adalah tanggal keramat buat pihak Bersekutu. Sebab pada 6 Jun, mereka beramai-ramai menyerang pantai Normandy, Perancis sekali gus merebut kedudukan tersebut dari Jerman. Kira ringkas kata, ia operasi yang menjamin penguasaan Bersekutu di sebelah barat.

Namun sebelum sempat mereka merayakan kemenangan tersebut, berlaku satu kejadian yang amat memalukan. Kejadian ini berlaku di kampung Villers-Bocage – berjarak 30 km dari bandar Caen, Perancis.

Masa itu, Briged Kereta Kebal Ke-22 British ditugaskan oleh panglima Bernard Montgomery untuk merebut Caen dan memintas pasukan Jerman yang membuat pengunduran. Maka untuk itu, mereka pun berangkat pada awal pagi 13 Jun sebelum berhenti pada 8:30 am di satu lokasi yang dikenali sebagai Point 213 – sebuah bukit kecil berhampiran kampung Villers-Bocage.

Perhentian ini adalah bagi melakukan sedikit penyelenggaraan, di samping memberi ruang kepada pegawai atasan untuk bermesyuarat sesama mereka. Ikutkan, sepanjang mesyuarat tersebut berjalan patut ada dua-tiga jentera yang membuat kawalan dan pantau keadaan.

Tetapi tidak. Semua jentera dimatikan dan di-parkir di tepi jalan. Sebabnya? Masing-masing mahu renggangkan badan dan kempunan minum teh macam tiada hari esok. Sudahnya, semua pun bersidai di luar kereta kebal. Sampai tidak perasan betapa pada jarak 200 meter di hadapan, ada sepasukan kereta kebal jenis Tiger sedang memerhati.

Pasukan ini diketuai oleh seorang komander Jerman bernama Michael Wittman. Bagi yang tidak kenal, Wittman ini merupakan veteran dari Pertempuran Kursk – antara pertempuran terdahsyat di sempadan timur melawan Soviet. Justeru, beliau amat berpengalaman.

Dan pengalaman tersebut terbukti dalam insiden di Villers-Bocage ini. Di mana, beliau dengan pantas mengeluarkan arahan kepada anak-anak buahnya supaya kekal dalam kedudukan, sambil beliau sendiri menggerakkan jenteranya menghampiri musuh. Ini supaya serangan mengejut dapat dilakukan tanpa dikesan awal.

Maka pada jam 9:05 pagi, Wittman pun membedil kereta kebal jenis Sherman Firefly yang merupakan satu-satunya jentera anti-kereta kebal berat dalam briged tersebut. Dengan musnahnya jentera itu, jentera-jentera lain pun menjadi lauk mudah buat Wittman – yang disokong oleh empat buah kereta kebal Tiger dalam pasukannya.

Lantas dalam masa 15 minit, kesemua 14 kereta kebal British habis dibedal. Ini tidak termasuk 9 buah half-track, 4 buah gun-carrier, dan dua buah meriam anti-kereta kebal yang turut musnah. Bayangkan, semuanya musnah gara-gara minum teh. Memang satu pukulan memalukan buat British.

Boiling vessel yang dimuatkan dalam kereta kebal British (Electrothermal)

Atas sebab itu pada 1946, Suruhanjaya Kajian British mengeluarkan laporan berjudul ‘A Survey of Casualties Amongst Armored Units in Northwest Europe’.

Dalam laporan tersebut, mereka menjelaskan betapa 37% kasualti dalam kalangan rejimen kenderaan berperisai sepanjang Mac 1945 hingga September 1945 adalah disebabkan anggota yang terlibat berada di luar jentera. Baik untuk membuang hajat, berehat, mahupun minum teh.

Lantas bagi menangani masalah tersebut, mereka pun mencadangkan satu solusi – iaitu, memasang ‘cerek’ dalam kereta kebal. Tujuannya, supaya kru kereta kebal tidak perlu lagi meninggalkan posisi semata-mata mahu membancuh teh.

Hal ini bukan setakat menambah kadar survivability dan meningkatkan moral, tetapi juga membolehkan anggota bertugas dengan lebih selesa. Kerana, ‘cerek’ atau boiling vessel (BV) tersebut turut berfungsi memasak makanan (dalam tin atau paket) dan menjerang air hangat (untuk diminum atau dibuat basuhan).

Jentera pertama yang menerima akses terhadap BV adalah kereta kebal Centurion. Dan seiring waktu, jentera-jentera lain turut dimuatkan dengan teknologi sama. Sampai boleh kata, kesemua jentera tempur utama milik British mempunyai BV.

Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia

RUJUKAN

Fratus, Matt. (2022, 4 May). Combat Tea Party: Why Tea Kettles Are Installed In British Army Tanks. Coffee Or Die.

Simpson, James. (2017, 18 July). The British Perfected the Art of Brewing Tea Inside an Armored Vehicle. War is Boring.

Technology.org. (2018, 21 April). Do tanks have toilets? And is it true that British tanks have tea kettlers?

Torchinsky, Jason. (2019, 25 April). British Tanks Have Had Tea-Making Equipment Installed Since WWII. Jalopnik.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply