Ahad, 25 Oktober 202625 Okt 2026
Marcapada Dunia

Perang Tandas Di India

Subuh kian menghampiri pada tarikh 27 Mei 2014. Dua orang
gadis menggosok mata mereka selepas keluar daripada selimut tanpa menyedari
bahawa mereka tidak akan melihat terbitan fajar. Sememangnya anak-anak gadis
tidak boleh keluar pada waktu ini. Tetapi mereka terpaksa, kerana lewat malam
ialah masa yang paling sesuai. Namun nasib tidak menyebelahi dan malang tidak
berbau – pada pagi tersebut, mereka ditemui mati digantung pada pokok mangga
selepas dirogol bergilir-gilir.

Tragedi ini berlaku di Katra, Uttar Pradesh. Tetapi amarah yang menyelubungi seluruh negara telah mempengaruhi politik nasional. Dan Narendra Modi mendapati bahawa kerajaan India perlu lebih tegas dalam pertimbangan. India mempunyai populasi mencecah 1.4 bilion. Sebilangan besar daripada jumlah ini sentiasa membuang air di tempat terbuka, sekaligus mendedahkan seluruh negara kepada krisis kesihatan yang serius.

Pembuangan najis di tempat terbuka merupakan amalan warisan
daripada masyarakat silam. Namun semakin lama, populasi dunia semakin
bertambah. Dan apabila ribuan menjadi jutaan, krisis-krisis kesihatan mula
timbul untuk menyedarkan manusia. Tetapi India masih tetap mengamalkan cara ini
sejak 1947 lagi ketika Mahatma Gandhi dipetik berkata bahawasanya sanitasi
lebih penting daripada kemerdekaan. Secara kebiasaan, amalan ini dilihat sangat
ketara di kawasan-kawasan yang dijangkiti wabak kebuluran dan kemiskinan.

Dan India menyimpan contoh yang tersergam ngeri untuk
dipelajari semua, sepertimana Vietnam dan Haiti telah mengimarahkannya satu
masa dahulu. Kerajaan tempatan membuat satu inisiatif membayar rakyat ₹1 untuk menggunakan tandas awam [1]. Sebanyak 300
tandas awam dibina di Ahmedabad, hampir 1,000 kilometer jauh dari Uttar
Pradesh. Tetapi tempat terbuka dan tembok masih lagi dijadikan sasaran qubul
dan dubur mereka. (₹1=RM0.059, 23 Jul 2018)

Jarak
1, 000 kilometer selalunya sudah mencukupi untuk melihat perbezaan cara hidup
antara dua masyarakat. Tetapi pembuangan air di kawasan terbuka masih ketara di
setiap tempat, mendatangkan bencana-bencana seperti cholera, cirit birit dan
demam kepialu yang hanya akan mengurangkan produktiviti negara. Terpaksa
berdepan dengan kos perubatan, India didapati mengalami kerugian hampir RM200
bilion pada 2006 sahaja [2]. 

Lima
tahun kemudian, seramai 650 juta rakyat masih lagi tidak mempunyai tandas di
dalam rumah. Untuk sebuah masyarakat sebesar ini dengan mudah melepaskan najis
di tempat terbuka, jelas sekali pembinaan tandas sahaja tidak akan
menyelesaikan masalah dengan mudah. Perangai rakyat semakin jelas, bahawa
mereka tidak mendapat tandas yang diingini [3]. Atas dosa mereka, jutaan
menghidap penyakit dan berada di ambang maut. Lebih ramai yang mati angkara
faktor kebersihan, berbanding demam campak, malaria dan AIDS.

Maka
kerajaan India membelanjakan RM160 bilion untuk pembinaan tandas dan program
kebersihan dibawah Misi India Bersih 2019. Sebanyak 100 juta tandas disasarkan
akan dibina pada tahun 2019. Tetapi masyarakat India melihat tandas sebagai
pencabulan kesucian. Golongan berkasta tinggi akan berasa terhina untuk
berkongsi tandas dengan pengguna-pengguna kasta rendah. Disebabkan itulah
tandas-tandas awam selama 30 tahun tidak digunakan langsung.

Sifat sebegini tidak diendahkan kerajaan. Pasukan rondaan akan menggempur kawasan-kawasan tertentu. Ramai yang akan lari bertempiaran meninggalkan baldi-baldi mereka. Golongan sukarelawan turut menyertai misi ini untuk mengaibkan sesiapa sahaja yang melepaskan najis di tempat terbuka. Kerajaan-kerajaan negeri pula telah memulakan sejenis persaingan untuk memaksa penggunaan tandas awam. Lucu benar, Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet berlumba di angkasa – kerajaan-kerajaan negeri ini pula bersaing demi najis masyarakat.

Namun
setiap negara ada kekurangan masing-masing. Secara positifnya, usaha kerajaan
turut disahut rakyat berfikiran terbuka. Kanpur menunjukkan satu perkembangan
unik [4]. Seorang gadis telah memutuskan pertunangannya bukan kerana teman
lelakinya curang. Sebaliknya atas ketiadaan tandas di rumah sendiri kelak yang
dijanjikan pengantin lelaki, gadis tersebut bertindak untuk berkahwin dengan
orang lain. Dan keputusan sebegini diikuti lebih daripada 50 isteri yang pulang
ke rumah ibu mereka selepas suami masing-masing gagal menyediakan tandas [5].

Tindakan
mereka sebenarnya mempunyai asas yang nyata. Wanita lebih merasai bahang
ketiadaan tandas. Hanya untuk melepaskan hajat, dua nyawa telah melayang di
Katra. Anak-anak gadis ini dirogol dan dibunuh selepas mereka keluar di waktu
malam untuk membuang najis. Sememangnya India dan rogol telah menjadi sinonim
setelah sekian lama. Tetapi jenayah ini tidak boleh dibiarkan berterusan,
lebih-lebih lagi apabila mangsa-mangsa hanya mahu melepaskan seruan semulajadi.

Atas semangat sedemikian, Narendra Modi berjuang habis-habisan untuk memastikan bahawa tandas akan menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat India. Namun jelas sekali lebih mudah untuk India mendarat di Marikh berbanding menyelesaikan masalah sanitasi. Mungkin adalah rezeki tersembunyi apabila Dr. Zakir Naik mendapat perlindungan di Malaysia. Sesungguhnya sebuah bangsa yang bersih merupakan cermin dan batu asas kepada kejayaan rohani dan nurani.

RUJUKAN:

[1] https://www.dawn.com/news/1187122

[2] http://www.indiawaterportal.org/articles/will-building-toilets-solve-problem-open-defecation

[3] https://www.nationalgeographic.com/magazine/2017/08/toilet-defecate-outdoors-stunting-sanitation/

[4] https://timesofindia.indiatimes.com/city/lucknow/No-toilet-no-marriage-Lucknow-woman-turns-her-back-on-groom/articleshow/51866736.cms

[5] https://www.indiatimes.com/news/india/no-toilet-no-marriage-50-women-leave-in-laws-homes-after-knowing-there-are-no-washrooms-337339.html

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet