Dalam lipatan sejarah manusia, peperangan bukan sesuatu yang asing buat manusiawi. Perang dimulakan atas pelbagai sebab seperti politik dan agama dengan durasinya boleh berlanjutan sehingga seabad (contohnya, Perang 100 Tahun antara England dengan Perancis). Tetapi ada satu perang yang hanya berlaku dalam tempoh kurang 40 minit iaitu Perang Anglo-Zanzibar!

Tapi bagaimana semua ini boleh berlaku? Semuanya bermula apabila Britain dan Jerman memeterai Perjanjian Heligoland-Zanzibar pada 1890. Menerusi perjanjian ini, Jerman mendapat Heligoland (bagi memantau akses Terusan Kiel) dan tanah besar Tanzania dengan Britain menguasai Zanzibar. Zanzibar dianggap penting kerana ia merupakan pusat bunga cengkih yang terbesar di dunia ketika itu.

Sistem pemerintahan Zanzibar bersifat dwikuasa dengan undang-undang tempatan berjalan seiring dengan undang-undang British. Zanzibar pada ketika itu diperintah oleh Kesultanan Zanzibar di mana pemerintahnya, Sultan Ali bin Said dipaksa menerima status naungan daripada London. Ini sama sekali berbeza dengan putera saudara dan penggantinya, Hamad bin Thuwaini yang sedia bekerjasama dengan British.

Selepas menduduki takhta pada 1893, pemerintahan baginda berjalan lancar selama tiga tahun sebelum mangkat secara tiba-tiba pada 25 Ogos 1896. Ramai pegawai British dan bangsawan Zanzibar percaya Sultan Hamad sebenarnya dibunuh melalui racun yang direncana oleh putera sultan kedua Zanzibar, Khalid bin Barghash.

Sultan Khalid bin Barghash

Dengan kemangkatan sepupunya Sultan Hamad, ini membuka ruang kepada Khalid untuk mengisytiharkan dirinya sebagai pemerintah baru Zanzibar. Bagaimanapun, pengisytiharan ini mengundang rasa kurang senang Konsul British ketika itu, Basil Cave dan Menteri Pertama Zanzibar Sir Lloyd William Mathews. Lebih menggusarkan, baginda turut memastikan istana Zanzibar dikawal oleh 3,000 tentera dan beberapa buah meriam.

Cave tahu di pelabuhan, dua buah kapal perang Tentera Laut Diraja British (Royal Navy) iaitu HMS Philomel dan HMS Rush berlabuh di situ. Tidak mahu mengambil risiko, tentera British dihantar ke Konsulat British dan lokasi-lokasi awam bagi mengawal keselamatan. Satu lagi kapal British, HMS Sparrow tiba di pelabuhan pada petang hari sama selepas diminta berlayar ke Zanzibar oleh Cave.

Tetapi beliau berdepan satu masalah – tiada kuasa untuk mengisytiharkan perang terhadap Sultan Khalid. Ini kerana sebarang tindakan sebegitu perlu mendapat lampu hijau daripada kerajaan di London. Sementara menunggu maklum balas daripada Whitehall, Cave memberi kata dua kepada baginda agar turun takhta atau berdepan kekuatan ketenteraan British.

Walaupun diberi tekanan, Sultan Khalid bukan saja enggan tunduk malah menyindir British untuk menjadikan ancaman mereka satu kenyataan. Kenyataan baginda kemudiannya disusuli maklum balas dari Whitehall yang memberi lampu hijau kepada Cave untuk bertindak mengikut kesesuaian situasi yang dihadapinya. Ini membawa kepada perang yang berlangsung selama 38 minit.

Keadaan istana Zanzibar selepas dibedil bertubi-tubi oleh kapal-kapal perang Royal Navy.

Selepas mendapat kebenaran daripada London, kapal-kapal perang Royal Navy membedil istana Zanzibar bertubi-tubi. Walaupun serangan tersebut hanya berlangsung kurang daripada 40 minit, 500 orang tentera dan orang awam Zanzibar terbunuh. Seorang pegawai tentera laut British mengalami kecederaan semasa kempen tersebut tetapi berjaya menjalani pemulihan di hospital.

Serangan tersebut memaksa Sultan Khalid berundur dari istana dan meminta perlindungan dengan Konsulat Jerman. Jerman bersedia melindungi baginda tetapi turut memberi jaminan kepada British bahawa Sultan Khalid tidak lagi akan dibenarkan menjejakkan kaki di Zanzibar. Susulan itu, baginda dibawa keluar ke Dar es Salaam dan diberi status perlindungan politik oleh kerajaan Jerman.

Bagaimanapun, nasib baginda tidak bertahan lama. Apabila Perang Dunia Pertama (WWI) tercetus pada awal abad ke-20, Sultan Khalid dicekup oleh British semasa di Dar es Salaam sebelum dipaksa hidup dalam buangan Pulau Saint Helena – pulau sama yang pernah menjadi kediaman buangan Napoleon Bonaparte.

Selepas ditangkap British pada WWI, Sultan Khalid dibuang negeri ke Pulau Saint Helena, tempat sama Napoleon Bonaparte hidup dalam buangan beberapa dekad sebelumnya.

Selepas beberapa lama di sana, baginda dihantar ke Pulau Seychelles sebelum dibenarkan kembali ke Mombasa, Kenya pada 1922. Baginda mangkat di sana pada 15 Ramadan 1345 bersamaan 19 Mac 1927.

Dengan Sultan Khalid tidak lagi menjadi ancaman kepada kepentingan mereka di Zanzibar, British melantik Sultan Hamoud bin Mohammed sebagai pengganti Sultan Hamad. Kesultanan Zanzibar terus bertahan sehingga 1964 sebelum kesultanan tersebut dibubarkan dan digantikan dengan Republik Rakyat Zanzibar. Bagaimanapun, entiti itu tidak bertahan lama selepas Tanzania dan Zanzibar disatukan sebagai satu negara pada 26 April 1964.

The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!

RUJUKAN

Johnson, B. The Shortest War in History. Historic UK.

Schultz, I. (2019, 29 Julai). The World’s Shortest War Ended Less Than an Hour After It Started. Atlas Obscura.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply