Bagi warga Britain, sistem monarki mereka merupakan batu asas kepada kestabilan dan tradisi negara berkenaan. Bagi majoriti rakyat, mereka menyangka kisah pewarisan takhta ialah kisah pertabalan raja dan permaisuri dari satu generasi ke satu generasi. Hakikatnya, sejarah England menyaksikan mana-mana individu yang dianggap tidak sesuai menduduki takhta disingkirkan atau jika perlu, dibunuh. Dan ini bukan saja membabitkan anggota-anggota kerabat diraja malah membabitkan golongan bangsawan, gereja dan raja-raja luar dalam sesetengah konflik.

Konflik-konflik sebegini bukanlah sesuatu yang asing pada era Anglo-Saxon. Misalnya semasa pemerintahan Alfred the Great, baginda mewarisi takhta dengan menafikan hak anak-anak saudaranya dari mewarisi takhta. Dan pada tahun 1066, apabila Edward the Confessor mati tanpa meninggalkan waris, ia mencetuskan tiga pertempuran iaitu Fulford Gate, Stamford Bridge dan Hastings bagi menyelesaikan krisis pewarisan harta membabitkan saudara jauh Edward, William I. Pada abad ke-17 pula, putera raja Belanda iaitu William of Orange dipujuk oleh Parlimen England untuk mengetuai pemberontakan ke atas monarki mereka sendiri atau lebih tepat ayahanda mertua baginda, James II. Selepas tewas, James II terpaksa turun takhta dan melarikan diri ke Perancis.

Namun semua ini tidaklah seburuk satu tempoh yang dianggap zaman paling berkecamuk dari segi pewarisan takhta. Ini membabitkan Dinasti Plantagenet dan tempoh tersebut diwarnai kempen perang War of the Roses (Perang Mawar). Kempen perang tersebut menyaksikan berlakunya perebutan takhta antara House of York dengan House of Lancaster dalam menentukan siapa raja pilihan mereka. Pemerintahan dinasti ini bermula semasa era pemerintahan Raja Henry II pada tahun 1154 Masihi hingga akhir abad ke-15. Selepas itu, mereka digulingkan dan diganti oleh Dinasti Tudor mnerusi Raja Henry VII.

BENIH PERANG MAWAR

Figure 1: Raja Henry IV

Dalam banyak cara, sebenarnya Dinasti Plantagenet yang bertanggungjawab mencetuskan kejatuhan dinasti tersebut. Isu pewarisan takhta mula hangat pada tahun 1399 apabila Henry Bolingbroke menggulingkan Richard II semasa baginda sibuk bertempur di Ireland. Pemberontakan Bolingbroke tercetus selepas Richard II memutuskan untuk tidak memasukkan namanya dalam senarai pewarisan takhta. Selepas Parlimen mengiktiraf kekuasaan Bolingbroke dan menggelarnya Henry IV, Richard II yang datang dari House of York dibunuh berbulan-bulan selepas baginda dipaksa turun takhta. Ini membolehkan House of Lancaster diketuai Henry IV mendominasi takhta England. Walaupun tidak diketahui punca kematian baginda, sesetengah berpandangan Richard II sebenarnya dibunuh atas arahan Henry IV. Walau bagaimanapun, tempoh pemerintahan baginda diwarnai pemberontakan Earl Pertama dari Northumberland, Henry Percy dan pemberontakan Owen Glendower, Prince of Wales.

Selepas Henry IV mangkat pada tahun 1413, putera baginda Henry V mewarisi takhta dan menjadi pujaan ramai ketika itu. Dikenali kerana keberaniannya dan kelicikannya di medan perang dan dunia politik, baginda menjadikan England salah satu kuasa besar di Eropah selepas berjaya mengatasi tentangan tentera Perancis semasa Pertempuran Agincourt pada tahun 1415. Selepas berjaya menguasai sebahagian besar wilayah Perancis dan Normandy, rundingan kedua-dua pihak menyaksikan Perjanjian Troyes dimeterai pada tahun 1420. Menerusi perjanjian itu, Raja Charles VI mengiktiraf baginda sebagai pemangku dan pewaris takhta Perancis. Bagi mengukuhkan lagi pakatan mereka, Charles VI turut mengahwinkan puterinya Catherine dari Valois dengan Henry V. Namun, tempoh pemerintahan Henry V tidak bertahan lama kerana pada tahun 1422, baginda mangkat akibat penyakit kanser dan bukan disentri seperti disangka pada awalnya.

Figure 2: Raja Henry VI

Ini menyebabkan Raja Henry VI yang baru berusia sembilan bulan mewarisi takhta England dan Perancis. Memandangkan baginda membesar dikelilingi golongan bangsawan yang berkuasa ketika itu, House of Lancaster mula terjebak dengan konflik pewarisan takhta dengan pesaing mereka, House of York. Semasa era pemerintahan baginda sebanyak dua kali iaitu 1422-1460 dan 1470-1471, Henry VI dianggap raja paling tidak cekap dalam kalangan raja-raja Dinasti Plantagenet dan dilihat menjadi punca tercetusnya War of the Roses. Krisis mula tercetus apabila baginda mengalami gangguan mental yang teruk sehingga tidak lagi mengenali isteri dan putera tercinta serta mengasingkan dirinya dari dunia luar. Ini menyebabkan Permaisuri Margaret of Anjou mengambil alih soal pemerintahan dari Henry VI. Dan tidak seperti suaminya, Margaret mempunyai cita-cita tersendiri. Situasi yang menyelubungi Henry VI mengakibatkan situasi huru-hara di seluruh negara dan membuka ruang kepada golongan bangsawan dan anggota kerabat diraja mengintai peluang merampas takhta.

MENGINTAI PELUANG

Salah seorang yang mengintai peluang merebut takhta ialah cicit Raja Edward III Richard, Duke of York. Kelemahan kepimpinan Henry VI menyaksikan England kehilangan semua wilayah Perancis yang dikuasainya semasa pemerintahan Henry V. Dengan situasi rasuah, penyalahgunaan kuasa dan cukai yang membebankan, ini menyebabkan pemilik-pemilik tanah dan golongan petani dari Kent memberontak. Kumpulan ini diketuai Jack Cade di mana mereka mara ke London dan menyerahkan senarai tuntutan mereka kepada Henry VI. Sebaik kumpulan tersebut tiba di London, William Shakespeare yang melihat kumpulan tersebut menjerit, “Now is Mortimer lord of the city!” (Sekarang inilah Mortimer penguasa bandar!) Cade yang mendengar pengumuman itu mengubah namanya menjadi John Mortimer dan dilihat dalam kalangan anggota House of York sebagai waris Richard II, menambah lagi kredibiliti hujah mereka menuntut takhta. Bagaimanapun, pemberontakan tersebut berjaya dipatahkan dan Henry VI memberi pengampunan kepada pemberontak yang terselamat. Sementara Cade/Mortimer pula terbunuh semasa ditahan dan dalam perjalanan untuk dibicarakan di London pada tahun 1450.

Namun, Henry VI percaya pemberontakan Cade/Mortimer sebenarnya dibiayai oleh Richard, Duke of York. Permusuhan ini mengakibatkan berlakunya perebutan kuasa selama 30 tahun membabitkan House of York dan House of Lancaster. Selepas kembali ke England pada tahun 1452, Richard merasakan sudah tiba masanya Henry VI dan para penasihatnya termasuk Edmund Beaufort, Duke of Somerset disingkirkan. Beliau membina satu pasukan tentera dan mara ke London sambil mengisytiharkan kesetiaan terhadap baginda. Namun sebagai pertukaran kepada kesetiaannya, Richard mahukan Beaufort disingkirkan. Bagaimanapun, Beaufort terus bertahan sehinggalah Henry VI mengalami gangguan mental pertama. Ini menyebabkan Richard diangkat sebagai Lord Protector of England dan Beaufort dipenjarakan di Menara London. Tetapi kejayaan beliau tidak bertahan lama apabila Margaret melahirkan satu-satunya putera, Edward yang melemahkan tuntutan Richard ke atas takhta England.

Selepas Henry VI pulih dari gangguan mentalnya pada tahun 1455, Beaufort dibebaskan dari penjara dan Richard bersama orang-orangnya diusir dari istana. Ini menyebabkan beliau bersekutu dengan Richard Neville, Earl of Warwick dan menentang tentera baginda di St Albans. Selepas rundingan kedua-dua pihak berakhir dengan kegagalan, pertempuran sengit tercetus di jalan-jalan St Albans yang mengakibatkan Beaufort terbunuh sementara Henry VI cedera. Ini membolehkan House of York sekali lagi merampas kuasa dengan Richard sebagai Lord Protector sementara Henry VI dipenjarakan. Margaret of Anjou dan Edward terpaksa melarikan diri dan hidup dalam buangan.

Walaupun berjaya menguasai takhta, Richard sentiasa dirundung rasa resah memikirkan rancangan yang diatur Margaret untuk mengembalikan takhta kepada House of Lancaster. Bimbang kedudukannya terancam, Richard melantik Richard Neville, Earl Kelima dari Salisbury sebagai panglima tenteranya. Apabila mendapat tahu bala tentera Margaret berkumpul di Blore Heath pada 23 September 1459, pasukan Neville bertempur dengan mereka walaupun pasukan Margaret mempunyai kelebihan dari segi bilangan tentera. Bagaimanapun, cubaan Margaret gagal dan pasukannya tewas di tangan tentera York.

Namun nasib menyebelahi kedua-duanya pada musim luruh 1459. Sekali lagi berjaya membina kekuatan tentera yang ramai, Henry VI dan Margaret bernasib baik kerana mereka disokong ramai penyokong York yang berpaling tadah. Ini menyebabkan Richard terpaksa melarikan diri ke Ireland. Bagaimanapun, itu tidak bermakna peluang Richard menduduki takhta sudah berakhir. Pada Jun 1460, Richard Neville yang juga Earl Ke-16 dari Warwick mara ke London dengan bala tentera pimpinannya dan bertembung dengan tentera Lancaster pimpinan Henry VI di Northampton. Namun tanpa pengetahuan baginda, salah seorang komander tenteranya berpaling tadah dan membenarkan tentera Neville masuk ke kem Henry VI. Tentera York pimpinan Neville menang mudah dan berjaya menawan baginda dengan Margaret sekali lagi melarikan diri.

Dengan Henry VI sekali lagi di bawah kawalan House of York, Richard menggelar dirinya dan warisnya pewaris takhta baginda. Henry VI bersetuju dengan perjanjian itu dengan syarat baginda dapat mengekalkan takhta sehingga hari kemangkatannya. Perjanjian tersebut diluluskan oleh Parlimen di bawah Akta Perjanjian (Act of Accord). Namun, Margaret langsung tidak berminat dengan kompromi mereka berdua dan sekali lagi membina kekuatan tentera melawan House of York. Enggan membiarkan gangguan ini berterusan, tentera Richard bertempur dengan tentera Margaret di Wakefield berhampiran Istana Sandal (Sandal Castle). Tetapi kali ini, House of York tewas teruk dengan Richard sendiri terbunuh dalam pertempuran. Dan bagi memastikan House of York mendapat mesej jelas dari House of Lancaster, kepala pesaing Henry VI ini dipotong dan dipamerkan dengan memakai mahkota yang diperbuat daripada kertas.

EDWARD IV

Figure 3: Raja Edward IV

Perjuangan Richard diteruskan oleh puteranya, Edward, Earl dari March. Edward turut mengetuai pasukan tentera York mengatasi pasukan tentera Lancaster dalam Perang Mortimer’s Cross. Namun beberapa minggu selepas itu, pasukannya tewas kepada pasukan Lancaster dalam Pertempuran Kedua St Albans. Pertempuran tersebut turut menyaksikan Henry VI berjaya disatukan semula dengan Margaret dan puteranya, Edward. Edward yang enggan mengaku kalah segera membina kekuatan tentera dan bertempur dengan tentera Lancaster di sebuah padang berhampiran Towton, utara Yorkshire. Pertempuran yang berlaku pada Mac 1461 itu menyaksikan 28,000 tentera dari kedua-dua pihak terbunuh. Namun, itu saja sudah cukup untuk House of York kembali menguasai takhta dan Henry VI terpaksa melarikan diri ke Scotland. Edward kembali semula ke London dan ditabalkan sebagai Raja Edward IV.

Walaupun berjaya menguasai takhta, Edward IV memandang rendah cita-cita dan kelicikan Margaret. Dengan bantuan rakan-rakannya di Perancis, Edward IV disingkirkan dari takhta berikutan tindakan rakan lamanya, Neville berpaling tadah dan Henry VI kembali berkuasa pada Oktober 1470. Edward IV terpaksa bersembunyi tetapi itu bukan bermakna cita-citanya terkubur begitu saja. Baginda membina semula kekuatan tentera York dan berjaya menang dalam Pertempuran Tewksbury dan Barnett. Tewskbury turut menyaksikan putera Henry VI dan Margaret, Edward terbunuh dan pasangan diraja itu dipenjarakan di Menara London. Selepas itu, barulah Edward IV dapat menghela nafas lega dan mampu menduduki takhta dengan tenang. Pada Mei 1471, Henry VI mangkat akibat patah hati tetapi ramai mengesyaki baginda dibunuh atas arahan Edward IV. Margaret akhirnya dilepaskan dan kembali semula ke Anjou, Perancis dan mangkat pada tahun 1482.

PENGKHIANATAN RICHARD III

Figure 4: Raja Richard III

Selepas kemangkatan Edward IV pada tahun 1483, kedudukan baginda digantikan oleh puteranya yang masih kecil Edward V. Memandangkan usianya yang masih kecil, baginda dan adindanya Richard, Duke of York diberi Lord Protector dalam bentuk bapa saudara mereka Richard, Duke of Gloucester. Namun, Richard juga bercita-cita besar seperti kekandanya, Edward IV dan sedia melakukan apa saja untuk merampas takhta. Richard mengisytiharkan anak-anak saudaranya itu sebagai anak luar nikah Edward IV dan dikurung di Menara London, kononnya atas sebab keselamatan. Bagaimanapun pada tahun 1483, dua putera Edward IV itu hilang dan disyaki dibunuh sama ada oleh Richard, orang kanannya Henry Stafford, Duke Kedua dari Buckingham atau Henry VII. Ini membolehkan Richard ditabalkan sebagai Raja England baru dengan gelaran Richard III.

Rampasan kuasa Richard bagaimanapun mencetuskan kekecohan dalam kalangan anggota House of York. Dan ini memberi peluang kepada seorang lagi pencabar dari House of Lancaster yang memilih untuk duduk di Brittany, Henry Tudor atau bakal pengganti Richard III, Henry VI. Bonda Tudor, Margaret Beaufort merupakan cicit putera Edward III, John of Gaunt. Datuknya ialah Owen Tudor, seorang penjaga pakaian berbangsa Wales yang mencetuskan kekecohan dengan berkahwin dengan balu Henry V, Catherine. Pada 22 Ogos 1485, Tudor yang mendapat bantuan tentera Perancis dan suami ketiga bondanya, Thomas Stanley berjaya mengalahkan Richard III dalam Pertempuran Bosworth.

Selepas menduduki takhta dengan gelaran Henry VI, baginda berkahwin dengan Elizabeth of York untuk mengembalikan keamanan dan menyatukan semula House of York dan House of Lancaster. Penyatuan tersebut turut menamatkan tempoh Perang Mawar dan permulaan Dinasti Tudor. Anggota Dinasti Plantagenet yang terakhir, Edward Plantagenet, Earl Ke-17 dari Warwick dipenjarakan di Menara London selepas ditahan tentera Henry VI pasca-Pertempuran Bosworth. Beliau kemudian dipenggal pada tahun 1499 selepas dituduh mengadakan plot menyingkirkan Henry VI.

SUMBER

1. Jones, Dan. (2018). HistoryExtra. The 5 greatest mysteries behind the Wars of the Roses. https://www.historyextra.com/period/plantagenet/the-5-greatest-mysteries-behind-the-wars-of-the-roses/

2. History.com. Wars of the Roses. https://www.history.com/topics/british-history/wars-of-the-roses

3. Lewis, Matthew. (2018). HistoryExtra. 12 things you (probably) didn’t know about the Wars of the Roses. https://www.historyextra.com/period/medieval/12-things-you-probably-didnt-know-about-the-wars-of-the-roses/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.