Memasuki tahun 2018, Donald Trump dan Kim Jong-un sekali lagi melancarkan perang kata-kata (“war of words”). Dalam mesej tahun barunya, Kim menyatakan azam tahun barunya untuk menghasilkan lebih banyak peledak nuklear yang dapat mencapai bumi Amerika Syarikat. Kim juga mengeluarkan kenyataan “butang nuklear sentiasa di atas meja saya” yang jelas berbunyi amaran.

Seperti biasa, Trump balas dengan cara yang “savage” melalui Twitter dengan mengatakan “butang nuklear saya lagi besar dan hebat”. Dengan penggunaan perkataan “it works” (berfungsi), Trump sempat memerli keupayaan Kim, seolah-olah butang Kim tidak berfungsi.

Orang awam mungkin akan rasa panik dengan komunikasi sebegini, takut dengan kebarangkalian berlakunya perang nuklear. Ada juga yang anggap Trump berperangai seperti budak-budak dan tidak diplomatik.

Sebenarnya tak wujud pun “butang” tersebut. Sebuah butang di atas meja yang boleh ditekan oleh presiden pada bila-bila masa hanyalah gambaran filem. Dalam situasi yang sebenar, presiden hanya boleh melancarkan senjata nuklear melalui satu beg sulit yang dikenali sebagai “Nuclear Football”. Beg tersebut dibimbit oleh pegawai tentera yang mengiringi presiden ke mana-mana. Untuk melancarkan serangan nuklear, presiden perlu mengaktifkan kod rahsia yang terkandung dalam beg dan perlu melalui pelbagai peringkat pengesahan identiti presiden. Prosedur pelancaran senjata nuklear bukanlah sesuatu yang semudah “tekan butang” yang Trump dan Kim katakan.

Namun bagi pengkaji strategi dalam hubungan antarabangsa, kata-kata Kim dan Trump bukanlah kenyataan kosong atau gila tapi ada logiknya. Tujuan utama pembangunan nuklear Korea Utara adalah untuk mencegah negara asing terutamanya Amerika daripada menyerangnya, satu strategi yang dikenali sebagai “nuclear deterrence”. Nuclear deterrence yang berkesan bergantung kepada “3C” (atau 3K dalam Bahasa Melayu): “capability” (keupayaan), “credibility” (kredibiliti) dan “communication” (komunikasi).

Jika kita menguraikan kenyataan Kim, kita akan dapat lihat wujudnya ketiga-tiga unsur tersebut: Kim mendakwa bahawa peluru berpandu balistik antara benua (ICBMs) milik Korea Utara sudah mampu mencapai bumi Amerika (penanda “capability”); Kim menekankan keupayaan ini “bukan ancaman tapi realiti” (penanda “credibility”) dan kenyataan Kim jelas ditujukan kepada Amerika (“communication”).

Kalau pernah baca artikel saya tentang strategi Trump (https://www.facebook.com/ayman.rashdan.wong/posts/10206631015973703), Trump sebenarnya menggunakan pendekatan “madman strategy” dalam berdepan dengan Korea Utara. Sebenarnya tak guna pun nak berdiplomatik dengan Korea Utara. Kalau reaksi Trump ialah merayu untuk berdamai dan meminta Kim untuk memberhentikan program nuklear, pasti Kim akan terus menembak sebiji peluru berpandu lagi ke Lautan Pasifik kerana reaksi sebegitu adalah “signaling” kelemahan pihak lawan.

Tweet Trump sebenarnya bertujuan untuk merosakkan Kim punya 3C. Dengan memperlekehkan keupayaan Korea Utara, ia akan membuat Kim lebih berjaga-jaga. Siapa yang familiar dengan “empty fort strategy” akan tahu bagaimana kenyataan Trump akan memberi kesan kepada Kim, kerana dalam tradisi Asia Timur, panglima perang akan berjaga-jaga dengan pihak lawan yang bercakap besar kerana menganggap ia adalah satu perangkap (rujuk artikel dahulu saya:https://www.facebook.com/ayman.rashdan.wong/posts/10207446673964643)

Presiden-presiden sebelum Trump seperti Richard Nixon (1969-1974) dan Ronald Reagan (1981-1989) juga pernah mengamalkan “madman strategy”. Penasihat Nixon iaitu Henry Kissinger sengaja beritahu duta Soviet bahawa Nixon adalah kaki mabuk dan dalam pejabatnya ada butang untuk melancarkan nuklear. Reagan pula “bergurau” dalam ucapan radio bahawa dia akan mengebom Moscow dalam masa 5 minit. Bukan saja mereka tidak mencetuskan perang nuklear, malah Nixon berjaya mencapai “détente” (peredaan ketegangan) dengan Soviet dan Reagan telah mengakhiri Perang Dingin antara Amerika dan Soviet.

Sementara mengugut Amerika, Kim juga menawarkan perdamaian kepada Korea Selatan dengan menyatakan hasratnya untuk mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk yang akan diadakan di Pyeongchang, Korea Selatan pada Februari 2018 nanti.

Sikap Kim agak berbeza dengan sikapnya terhadap Korea Selatan selama ini. Selain faktor penukaran presiden Korea Selatan dari Park Geun-hye yang “hardline” kepada Moon Jae-in yang “accommodationist”, ia juga petanda keadaan Korea Utara yang semakin sukar ekoran sekatan ekonomi China. Trump berjaya memujuk China untuk menekan Korea Utara sebagai “concession” untuk tidak menekan China dalam isu ekonomi AS-China. Orang Korea selalu kata “피는 물보다 진해” (darah lebih pekat daripada air), jadi Kim sekarang berharap saudara sebangsa di selatan boleh membantu mereka seperti di zaman Kim Dae-jung dan Roh Moo-hyun (1998-2008), walaupun selama ini Korea Utara hanya mengancam dan menyusahkan saudara mereka ini.

Jadi tak perlu risau sangat samada akan berlaku perang nuklear dalam masa terdekat. Kedua-dua Trump dan Kim hanya sembang sahaja.

Bacaan lanjut:
[1] Sung Chull Kim & Michael D. Cohen (Eds.). North Korea and Nuclear Weapons: Entering the New Era of Deterrence (Georgetown University Press, 2017).
[2] T.V. Paul. The Tradition of Non-Use of Nuclear Weapons (Stanford University Press, 2009).


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.