Sejak
Pertempuran Kursk, satu per satu wilayah Nazi Jerman di Soviet Union tumbang.
Sevastopol, Kharkov, Smolensk, Belgorod, Novgorod dan Kiev berjaya ditawan
semula oleh Tentera Merah pada penghujung 1944. Leningrad pula ditawan semula
sejurus selepas itu. Pendaratan D-Day membuatkan tentera Jerman bagaikan retak
menanti belah.
Berakhirnya Pengepungan Leningrad
Leningrad dikepung oleh tentera Jerman, Army Group North sejak September 1941 lagi. Pengepungan ini sangat sadis dan berdarah. Marshal Zhukov mengarahkan tentera Soviet di utara pimpinan Marshal of Artillery Leonid Govorov untuk melancarkan serangan besar-besaran ke atas Army Group North yang kini semakin melemah.
Govorov
melancarkan ‘Serangan Strategik Leningrad-Novgorod’ pada 14 Januari 1944.
Bersama-sama beliau 822,000 tentera, 4,600 artileri, 550 kereta kebal, dan 653
pesawat. Mereka berlaga dengan tentera Jerman Army Group North pimpinan Field
Marshal Georg von Kuchler yang mempunyai 500,000 tentera, 2,389 artileri, 146
kereta kebal dan 140 pesawat.
Serangan
ini berjaya memusnahkan garisan pertahanan tentera Jerman di sekitar Leningrad.
Hitler melarang supaya Kuchler berundur tetapi apabila melihat keadaan sudah
kritikal, barulah beliau mengarahkan tentera Jerman berundur sepenuhnya dari
Leningrad. Kuchler dipecat akibat kegagalannya dan digantikan oleh
Colonel-General Walter Model pada 1 Februari. Pada ketika itu, tentera Jerman
sedang kucar kacir, tetapi Model berjaya mengukuhkan sistem pertahanan yang
baru di sekitar Estonia.
Pada 1
Mac, Govorov berjaya menawan sepenuhnya bandar Leningrad selepas hampir 900
hari pengepungan yang mengerikan. Populasi didalam bandar itu menurun. Penduduk
di sana mempunyai catuan makanan yang sangat sedikit. Ada yang diantara mereka
terpaksa memakan daging manusia untuk terus hidup.
Lebih
632,000 orang mati kebuluran ketika pengepungan itu. Menjadikan ia pengepungan
kedua paling lama dan paling teruk dalam sejarah dunia moden.
Misi membalas dendam Stalin
Selepas
Leningrad diselamatkan, Stalin memanggil semua panglima-panglima perangnya
seperti Zhukov, Konev, Vasilevsky, Bagramyan, Voroshilov, Timoshenko dan
Rokossovsky untuk merangka pelan serangan musim panas 1944. Stalin sedar yang tentera
Jerman di timur kini semakin melemah.
Pada 6
Jun 1944, tentera Amerika dan Britain mendarat di Normandy membuka satu lagi
masalah buat tentera Jerman di barat. Selepas itu, Stalin menelefon Winston
Churchill bahawa Tentera Merah akan menyerang tentera Jerman secara
besar-besaran di sektor tentera Jerman yang paling lemah. Tetapi tarikh dan
tempat di rahsiakan.
Serangan
ini diberi nama Operasi Bagration bersempena dengan nama panglima perang
ketika Perang Napoleon iaitu Pyotr Bagration.
Stalin diberikan 4 idea di mana serangan ini sepatutnya dilakukan. Pertama, serangan ke atas Romania. Kedua, serangan ke atas barat Ukraine. Ketiga, serangan ke arah negara-negara Baltik (Estonia, Latvia, Lithuania). Keempat, serangan keatas Belarus di tengah.
Serangan
pertama, kedua, dan ketiga nampak sangat selamat kerana tentera Jerman masih
lagi kuat di sana. Oleh itu, Stalin memilih opsyen keempat; Serangan keatas
Belarus. Jika berjaya, ia mampu membuka laluan mereka ke Warsaw seterusnya ke
Berlin.
General Bagration, komander tentera Rusia yang masyhur ketika Perang Napoleon
Dalam merangka pelan serangan ini, General Rokossovsky tidak bersetuju dengan Stalin mengenai teknik serangan beliau. Stalin mahukan serangan satu penjuru (single breakthrough), yang menjadi teknik kebiasaan bagi tentera Soviet. Teknik ini juga lah yang menjadi sebab kepada kematian yang tinggi, kerana Stalin selalu menghantar dan menggatikan tentera Soviet untuk mati (human wave attack).
Beliau mahukan serangan dua penjuru (double breakthrough). Serangan ini dapat mengurangkan kos kematian dan kecederaan tentera Soviet. Serangan ini juga dapat memerangkap beribu-ribu tentera Jerman.
Stalin
menyuruh Rokossovsky pergi ke bilik sebelah untuk fikir elok-elok. Apabila
beliau kembali kepada Stalin, beliau masih mahukan serangan dua penjuru.
Stalin
menyuruh Rokossovsky pergi berfikir sehingga tiga kali. Apabila Rokossovsky
kembali, beliau tetap berkata, “Dua penjuru, Comrade Stalin. Dua Penjuru.”
Stalin diam. Beliau meluru ke arah Rokossovsky dan meletakkan tangannya di bahu General berkenaan. Semua orang di dalam bilik mesyuarat tersebut diam. Suasana di situ sangat tegang. Semua orang menunggu Stalin untuk mencabut eppaulette di bahu Rokossovsky.
Tiba-tiba,
Stalin berkata, “Keyakinan kamu sangat membanggakan saya.” Operation Bagration
dilancarkan menggunakan idea Rokossovsky.
Dalam
operasi ini, tentera Soviet menggunakan taktik tipu muslihat yang diberi nama “Maskirovka”.
Taktik ini menekankan pergerakkan senyap dan tidak dapat dilihat oleh musuh.
Sebagai contohnya, Marshal Zhukov meletakkan 4 jenis tentera medan ke bahagian
selatan supaya dapat mengelirukan tentera Jerman.
Hitler
dengan yakin mengatakan bahawa serangan tentera Soviet pada musim panas akan
berlaku di bahagian wilayah selatan Soviet Union iaitu Ukraine. Oleh itu,
beliau menggerakkan hampir separuh kekuatan Army Group Center ke Ukraine.
Komander Army Group Center, Field Marshal Ernst Busch memprotes tindakan ini
kerana kekuatan tentera Jerman di tengah berkurang dari 700,000 orang kepada
486,493 orang tentera sahaja.
Ketika
serangan, Army Group Center hanya memiliki 3,236 artileri, 495 kereta kebal,
dan 920 pesawat dan hanya 1 tentera simpanan bersaiz divisyen.
Manakala
tentera Soviet pula mempunyai jumlah tentera seramai 1,670,300 orang, 32,718
artileri, 5,818 kereta kebal dan 7,799 pesawat untuk menjayakan operasi ini.
Hitler
dan seluruh komander tentera Jerman tertipu dengan taktik “Maskirovka”
ini. Stalin pula sedikit-demi sedikit memindahkan tenteranya di selatan ke
tengah dengan senyap. Pergerakkan hanya dibuat pada waktu malam dengan
menggunakan lampu yang sangat minimum.
Terbelahnya Tentera Jerman
Pelan serangan Operasi Bagration, dari Smolensk ke pintu gerbang Warsaw.
Pada 22
Jun 1944, ulangtahun ke-3 serangan tentera Jerman keatas Soviet Union, Joseph
Stalin mengaktifkan serangan “Operasi Bagration”. Serangan dimulakan dengan
tembakan artileri besar-besaran di sepanjang barisan hadapan Army Group Center
yang kian melemah.
Dalam serangan ini, tentera Soviet menggunakan taktik “Soviet deep battle” iaitu serangan mendalam yang merangkumi kesemua jenis level; tactical, operational, strategic. Tentera Soviet memulakan serangan dalam bentuk taktikal, sebelum menghantar tentera simpanan dan tentera mekanais untuk mengukuhkan kekuatan mereka, dan diakhiri dengan perangkap dan “cut-off” besar-besaran keatas seluruh tentera Jerman Army Group Center.
Serangan
ini dipertanggungjawabkan oleh General Rokossovsky bersama-sama 1st
Belarusian Front. Beliau akan menyerang Army Group Center di bahagian yang
tiada siapa menjangka iaitu serangan di bahagian kawasan berpaya yang dipanggil
“Pripyet Marshes”.
Rokossovsky
dibantu oleh General Ivan Cheryakossky, komander 3rd Belarusian Front
yang menyerang Army Group Center dari bahagian atas.
Manakala
General Ivan Bagramyan, yang memimpin 1st Baltic Front menyerang
bahagian selatan Army Group North dengan objektif untuk menolak terus ke Laut
Baltik.
Pada 27
June, tentera pimpinan General Cheryakossky berjaya menawan bandar kedua
terbesar Belarus iaitu Vitebsk. Hampir 70% kekuatan 3rd Panzer Army
(sebahagian daripada Army Group Center) musnah di sini akibat dikepung.
Kebanyakan Tentera Soviet menggunakan kereta kebal T-34 berdiameter 85mm (kiri) dan T-34 berdiameter 76mm (kanan) dalam operasi ini.
Seterusnya,
Rokossovsky mula menggerakkan tenteranya ke arah ibu kota Belarus iaitu Minsk.
Bandar ini dipertahankan oleh German 9th Army dan 4th
Army. Field Marshal Busch merayu bahawa bandar ini dilepaskan supaya tenteranya
dapat berundur di garisan pertahanan yang selamat. Rayuannya ditolak oleh
Hitler yang mahukan bandar ini dipertahankan habis-habisan
Akibatnya,
Rokossovsky mengepung bandar ini di bahagian selatan dan Cheryakossky mengepung
dari arah utara. Pada 3 Julai, tentera Soviet berjaya memasuki bandar ini dan
memerangkap dua tentera medan dalam bandar ini. Ketika ini barulah Hitler
meluluskan supaya tentera Jerman untuk keluar tetapi sudah terlambat.
Pada
28 Jun, Busch dipecat dan digantikan oleh Field Marshal Walter Model. Model
yang mendapat jolokan “Penyelamat di Timur” berjaya mengekang serangan tentera
Soviet namun Rokossovsky sudahpun berjaya melumpuhkan seluruh Army Group
Center.
Hampir
400,000 orang terkorban dan ditangkap dan 29 divisyen musnah. Boleh dikatakan
bahagian barisan tengah tentera Jerman timur sudah “rongak”.
Model
berjaya menyusun “apa yang tinggal” buat Army Group Center untuk menghalang
kemaraan Rokossovsky. Pada 23 Julai, 5th Panzer Division dan 19th
Panzer Division yang berkekuatan penuh dengan kereta kebal berat “Tiger I” dan
“Panther” membuat serangan balas pada 23 Julai.
Dalam
serangan ini, Model berjaya memusnahkan beratus-ratus kereta kebal Soviet dan
menghentikan kemaraan Rokossovsky. Namun serangan ini juga menyebabkan
kemusnahan yang banyak keatas kereta kebal tentera Jerman yang susah untuk
diganti.
Antara kereta kebal yang menjadi taruhan Model ketika menyekat kemaraan Rokossovsky.
Pada 28 Julai, Rokossovsky berjaya menawan bandar Brest. Pada 1939, bandar ini merupakan sempadan baru ketika Poland diserang. Kini, ia berjaya digenggam sepenuhnya oleh tentera Soviet. Ini merupakan bandar terakhir yang ditawan oleh tentera Soviet dalam Operasi ini.
Dalam
pada itu, tentera General Bagramyan di bahagian utara berjaya mengambil
kesempatan terhadap kekosongan dan kemusnahan Army Group Center dengan menolak
tentera Jerman sehingga ke Teluk Riga. Pada 31 Julai, Bagramyan tiba di Estonia
dan memerangkap seluruh Army Group North di Baltik.
Pintu Masuk Warsaw
Penawanan
bandar Brest bermakna, tentera Soviet hanya beberapa kilometer sahaja daripada
ibu kota Poland iaitu Warsaw. Ketua Staf Angkatan Jerman yang baru iaitu
Colonel-General Heinz Guderian berjaya memujuk Hitler untuk menggunakan Sungai
Vistula sebagai garisan pertahanan yang baru. Ternyata idea Guderian ini
berjaya mengekang terus tentera Soviet daripada menawan dan memasuki terus kota
Warsaw.
General Rokossovsky merupakan dalang disebalik Operation Bagration. Idea beliau dalam operasi ini menyebabkan beliau menjadi panglima paling disayangi oleh Stalin.
Operasi
Bagration merupakan kemenangan besar-besaran yang terbaik pernah dialami dalam
sejarah mereka. Ini merupakan kemenangan bersih bagi tentera Soviet. Tentera
Jerman pula kehilangan ramai tentera-tentera dan panglima-panglima yang
berpengalaman ketika serangan ini berlaku. Kebanyakkan daripada mereka
ditangkap atau terbunuh.
Serangan
ini berjaya “merongakkan” tentera Jerman di timur sebelum berjaya diselamatkan
oleh Model dan Guderian.
Kejayaan
ini sangat hebat sehinggakan Stalin memanggil Rokossovsky dengan nama “Sayangku
Konstantinovich”. General Konstantin Rokossovsky juga dinaikkan pangkat kepada
Marshal of Soviet Union untuk menghargai jasa dan kejayaan beliau dalam operasi
ini.
RUJUKAN
Boris, Sokolov. (2009). Marshal K. K. Rokossovsky:The Red Army’s Gentleman Commander. Helion & Company.
Bergstrom, Christer (2008). Bagration to Berlin: The Final Air Battles in the East: 1944–1945. Ian Allan.
Soviet Storm: World War II — In The East. ep. 11. Operation Bagration. StarMedia https://www.youtube.com/watch?v=i6UkVl3ZFuI




No comments yet