Pada 7 Disember 1941, Jepun menyerang Pearl Harbor di Pasifik. Pearl Harbor merupakan pangkalan Amerika Syarikat yang utama untuk melindungi kepentingan ketenteraan mereka di Asia Pasifik. Tatkala hampir semua anggota tentera Amerika masih lagi dibuai mimpi, lebih 400 pesawat udara menyerang pangkalan tentera berkenaan yang mengakibatkan hampir 3,000 orang terkorban. Serangan ini mengakibatkan Amerika Syarikat dengan secara rasminya memasuki kancah Perang Dunia Kedua.
Sebelum Serangan
Amerika Syarikat merupakan sebuah kuasa besar yang masih lagi belum menyertai sebarang konflik Perang Dunia Kedua. Pada ketika ini, Jerman, British, Perancis, Soviet Union, Jepun, China dan Itali merupakan kuasa-kuasa dunia yang sedang giat berperang dalam perang ini. Rakyat Amerika tidak mahu berperang. Mereka tiada alasan dan sebab yang munasabah untuk menyertai perang besar ini. Dalam satu memorandum yang dibuat, lebih 70% rakyat Amerika tidak mahu kerajaan mereka memperjudikan negara mereka ke dalam konflik ini.
Pada ketika ini, mereka sering dicucuk oleh ‘orang luar’ untuk menyertai perang ini terutama sekali Perdana Menteri British, Winston Churchill. Hal ini kerana, Churchill mahu ‘kejutkan gergasi yang sedang tidur ini’ untuk menentang Jerman di Eropah. Namun perkara ini ditolak mentah-mentah oleh orang Amerika kerana mereka tiada kepentingan langsung di sana. Presiden Amerika, Franklin Roosevelt mengatakan kepada Churchill bahawa beliau tidak boleh untuk berbuat apa-apa selagi tidak dapat persetujuan majoriti ahli-ahli Kongres (atau Parlimen). Hanya ada satu masalah yang dirisaukan oleh Amerika Syarikat ketika ini; Jepun.
Jepun merupakan salah satu kuasa besar dunia pada ketika itu. Selepas mengharungi beberapa siri perubahan yang drastik, Jepun merupakan satu-satunya negara di Asia yang setaraf dengan negara-negara di barat. Maharaja Jepun merupakan salah satu individu paling penting yang membawa kepada perubahan ini. Namun, kuasa beliau sering dicabar oleh beberapa golongan atasan seperti Panglima Tentera dan Bangsawan Jepun yang mahukan negara Jepun menjadi negara paling dominan di Asia.
Untuk merealisasikan matlamat tersebut, Jepun menguasai Korea (1910), Manchuria (1931) dan menyerang China (1937). Antara sebab lain mengapa Jepun mahu meluaskan jajahan mereka adalah kerana hasil bumi dan sumber manusia yang tidak ada di tanah besar Jepun. Oleh hal yang demikian, Jepun terpaksa menyerang negara lain untuk mendapatkan hasil tersebut.
Hokushin-Ron (Ekspedisi Utara) dan Nanshin-Ron (Ekspedisi Selatan)
‘Kawasan Kesemakmuran Asia Timur Raya’; merupakan slogan yang ditulis dalam buku teks sekolah menengah Malaysia pada masa kini yang telah digunakan Jepun. Slogan ini merupakan tunjang utama misi meluaskan kuasa mereka. Jepun merasakan mereka perlu mempunyai sebuah empayar yang tidak dipengaruh oleh mana-mana kuasa Barat seperti British dan Perancis.
Terdapat dua pelan yang dibuat oleh Jepun iaitu Hokushin-Ron dan Nanshin-Ron (Ekspedisi Utara dan Ekspedisi Selatan). Namun, Jepun hanya boleh memilih satu sahaja ekspedisi kerana kekurangan sumber tenaga. Ekspedisi Utara yang melibatkan serangan keatas Soviet Union dan Siberia Timur merupakan serangan yang menjadi pilihan Tentera Darat Jepun. Namun selepas kekalahan teruk Jepun kepada Soviet Union ketika Serangan di Tasik Khasan (1938) Khalkin Gol (1939), Maharaja Jepun mengharamkan sebarang serangan keatas negara Komunis berkenaan.
Akhirnya, pemerintah Jepun memilih Ekspedisi Selatan; serangan keatas koloni-koloni British dan Belanda di Asia Tenggara. Serangan ini membuatkan pihak Tentera Laut Jepun begitu gembira sekali kerana dapat menggunakan aset-aset laut baru mereka untuk penjajahan ini. Pada ketika ini, Asia Tenggara kaya dengan pelbagai hasil bumi. Manakala British, Perancis dan Belanda sibuk berperang dengan Jerman di Eropah. Hal ini menyebabkan Ekspedisi Selatan digemari dan dipersetujui. Namun ada satu masalah besar; Amerika Syarikat.
Kenapa dengan Amerika?
Pada pendapat pemerintah atasan Jepun, jika mereka menyerang Asia Tenggara, Amerika Syarikat tidak akan berdiam diri. Filipina merupakan sebuah koloni Amerika Syarikat di Asia Tenggara. Jika Asia Tenggara diserang, sudah tentu ia merupakan suatu tindakan agresif yang mampu menggugat kepentingan Amerika di situ. Oleh hal yang demikian, Jepun terpaksa menyerang pangkalan tentera Amerika di Pearl Harbor untuk melumpuhkan tentera laut mereka daripada mengganggu penjajahan Jepun di Asia Tenggara.
Amerika Syarikat sedar sejak 1937 lagi, bahawa peperangan dengan Jepun merupakan sesuatu yang susah untuk dielakkan. Sungguhpun begitu, pelbagai cara diplomasi telah dibuat untuk memastikan perang tersebut tidak menjadi. Sebenarnya, Presiden Roosevelt sendiri telah berhasrat untuk tidak menyerang Jepun jika mereka menyerang Asia Tenggara. Roosevelt juga mahu melepaskan Filipina ketangan Jepun jika itu merupakan harga untuk sebuah keamanan. Ini lah perkara yang Jepun tidak tahu.
Operasi A1 – Pelan menyerang Pearl Harbor
Amerika Syarikat harus dilumpuhkan. Jepun perlu mengelakkan Amerika dalam pelan mereka untuk menjajah Asia Tenggara. Serangan keatas Pearl Harbor adalah wajib. Pearl Harbor merupakan pangkalan tentera Amerika Syarikat di Pasifik. Pangakalan ini sangat strategik. Ia merupakan transit ke seluruh lautan Pasifik dan juga Asia Timur. Pearl Harbor merupakan ‘rumah’ kepada seluruh kapal Amerika yang paling canggih ketika itu. USS Arizona, USS Okhlahoma, USS West Virginia, USS California, USS Nevada, USS Pennsylvania, USS Tennessee dan USS Maryland.
Laksamana Isoroku Yamamoto merupakan individu yang bertanggungjawab dalam serangan ini. Beliau telah merangka serangan ini sejak awal tahun 1941 lagi. Beliau merupakan individu yang tahu selok belok bagaimana kehidupan tentera Amerika kerana beliau merupakan wakil tentera Jepun ke Amerika Syarikat pada awal 1930an. Semua anggota Tentera Laut dilatih secara intensif dalam menjayakan misi ini. Dalam serangan ini, Yamamoto menggunakan doktrin Alfred Mahan, iaitu ‘serangan kapal laut besar-besaran’.
Pada hari serangan, Yamamoto berjaya mengumpul 6 buah aircraft carrier, 2 buah battleships, 2 cruiser berat, 1 cruiser ringan, 9 kapal pemusnah, 8 kapal tangki minyak, 28 kapal selam dan 414 pesawat udara. Serangan ini dipimpin oleh Laksamana Madya Chuichi Nagumo. Objektif serangan ini ialah;
i) Memusnahkan armada Tentera Laut Amerika Syarikat, untuk mengelakkan mereka mengganggu misi serangan keatas Asia Tenggara.
ii) Melambatkan Amerika untuk membina kapal-kapal canggih yang mampu mengancam peluasan kuasa Jepun.
iii) Melumpuhkan kemampuan Amerika untuk membuat serangan balas. Kapal Battleship merupakan target utama dalam serangan ini kerana Battleship merupakan aset paling hebat dalam setiap tentera laut (bukannya aircraft carrier).
iv) Mengharapkan dengan kejayaan serangan ini, kerajaan Amerika akan terpaksa memenuhi segala permintaan Jepun dalam merealisasikan ‘Kawasan Kesemakmuran Asia Timur Raya’.
Hari Bersejarah
Pada pagi Ahad, 7 Disember 1941, tatkala anggota tentera Amerika baru sahaja ingin menikmati hari minggu, pangkalan tentera Amerika Syarikat di Pearl Harbor diserang. Serangan ini mengejutkan seluruh anggota tentera di sana kerana mereka tidak menjangka langsung akan serangan ini.
Terdapat dua serangan dalam misi ini. Serangan pertama melibatkan 183 pesawat yang ditugaskan untuk mengebom semua kapal-kapal besar di sana. Petugas-petugas di menara radar telahpun mengenalpasti kehadiran pesawat-pesawat ini namun mereka menjangkakan ia merupakan pesawat pengebom B-17 yang baru dari tanah besar Amerika. Ternyata tanggapan mereka silap.
Pada serangan pertama, hampir semua bom berjaya dijatuhkan diatas kapal kapal besar Amerika. “Serangan udara! Ini bukan latihan!” merupakan laungan paling popular yang didengari di seluruh pangkalan di sana dengan harapan untuk mengejutkan anggota-anggota yang sedang tidur. Serangan pertama ini juga berjaya memusnahkan lebih 180 kapal terbang Amerika yang sedang ‘parking’ senyap di landasan kapal terbang.
Kemudian, Laksamana Nagumo mengarahkan serangan kedua. Serangan ini bertujuan “check-mate” segala kapal-kapal yang berlabuh di Pearl Harbor yang melibatkan 171 pesawat udara tentera Jepun.
90 minit kemudian, berakhirlah serangan paling mengejutkan dalam sejarah Amerika. 2,403 mati dan 1,178 cedera dalam serangan tersebut. Arizona dan Oklahoma tenggelam. West Virginia, California, Nevada, Pennsylvania, Tennessee dan Maryland meletup dan rosak teruk tetapi berjaya dibaiki semula pada 1942 dan 1944.
Akibat dari Pearl Harbor
Pada 8 Disember keesokkan harinya, Presiden Roosevelt menyampaikan ucapan paling terkenal kepada Kongres, sambil menyeru Kongres untuk mengisytihar Perang terhadap Jepun. Pada 11 Disember, Roosevelt menandatangani deklarasi perang terhadap Jerman dan Itali. British mengisytihar Perang terhadap Jepun setelah mereka menyerang koloni mereka di Malaya. Jepun telah mengisytihar Perang terhadap Amerika lebih satu jam awal sebelum Pearl Harbor namun mesej tersebut lambat sampai kepada delegasi mereka di Amerika Syarikat.
Pada 7 Disember, mengaktifkan Ekspedisi Selatan, dengan menyerang Hong Kong. Pada 8 Disember, tentera Jepun pimpinan General Tomoyuki Yamashita menyerang Malaya, Sarawak, Sabah dan Filipina.
Terdapat beberapa penyesalan dalam serangan keatas Pearl Harbor ini. Walaupun secara taktikal, Jepun berjaya meletupkan semua kapal-kapal Amerika di sana namun mereka hanya berjaya menenggelamkan 2 buah kapal Battleship sahaja. Kapal-kapal lain berjaya dibaiki dua ke tiga tahun kemudian.
Laksamana Yamamoto melahirkan rasa kesal dalam serangan ini. Dalam serangan ini, tiada langsung kelibat tiga buah aircraft carrier USS Enterprise, USS Lexington dan USS Saragota. Pada ketika itu, kapal pengangkut pesawat ini sedang berlayar di lautan Pasifik, jauh daripada serangan. Kapal-kapal inilah yang akan menyusahkan kempen peperangan Jepun kelak. Antara penyesalan lain ialah, sepatutnya terdapat serangan ketiga untuk memusnahkan tangki minyak, dan segala infrastruktur di sana. Namun beliau tidak melakukan atas kerana minyak tidak mencukupi. Jika serangan ketiga dibuat, sudah tentu Amerika tidak ada minyak untuk beroperasi di Pasifik dalam masa tua tahun lagi.
Serangan keatas Pearl Harbor merupakan kemenangan paling besar oleh Jepun terhadap sebuah kuasa barat. Serangan ini memberi peluang kepada Jepun untuk menjarah wilayah-wilayah Asia Tenggara yang kaya dengan hasil bumi. Serangan ini juga berjaya melumpuhkan tentera laut Amerika untuk tempoh 6 bulan.
Namun hakikatnya, serangan Pearl Harbor ini adalah sangat tidak perlu. Jika Jepun ingin menjarah seluruh Asia Tenggara, Amerika Syarikat tidak akan berbuat apa-apa. Diluar pengetahuan Yamamoto, kepimpinan tertinggi Amerika Syarikat mahu fokus kepada kawasan Pasifik Timur dan ingin melepaskan Filipina. Yamamoto juga menggunakan doktrin Alfred Mahan yang lapok. Dalam doktrin itu mengatakan, armada tentera laut akan menjadi lemah jika Battleships dimusnahkan. Namun doktrin yang ditulis pada 1890an itu tidak menyebut langsung mengenai kepentingan aircraft carrier.
Akhir kata, jika ingin menjajah Asia Tenggara, menyerang Pearl Harbor adalah suatu kesilapan agung.
Rujukan
- Prange, Gordon; Donald M. Goldstein; Katherine V. Dillon (1991). At Dawn We Slept: The Untold Story of Pearl Harbor. New York City: Viking. ISBN 0-07-050669-8.
- Agawa, Hiroyuki (1979) [1969]. John Bester, ed. The Reluctant Admiral: Yamamoto and the Imperial Navy (1st English ed.). New York: Kodansha International. ISBN 0-87011-355-0.
- Gilbert, Martin (2009), The Second World War, Phoenix, ISBN 978-0-7538-2676-8
- Parillo, Mark (2006), “The United States in the Pacific”, in Higham, Robin; Harris, Stephen, Why Air Forces Fail: the Anatomy of Defeat, The University Press of Kentucky, ISBN 978-0-8131-2374-5
- Zimm, Alan D. (2011), Attack on Pearl Harbor: Strategy, Combat, Myths, Deceptions, Havertown, Pennsylvania: Casemate Publishers, ISBN 978-1-61200-010-7
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih