Tentera Nazi dan Itali kini hanya 100 km sahaja daripada pelabuhan terbesar di Mesir iaitu Alexandria. Namun, tentera British pimpinan General Sir Harold Alexander dan Lt. Gen Bernard Montgomery memberi tentangan sengit kepada tentera pimpinan Rommel di sebuah pekan bernama El Alamein. Pada 8 November 1942, ketika Rommel sibuk menentang British di El Alamein, tentera Amerika mendarat di belakangnya.

Rommel vs Montgomery

Selepas menawan Tobruk, Field Marshal Erwin Rommel mara jauh ke dalam koloni British iaitu Mesir. Rommel bersama-sama tentera Afrika Korps-nya (yang kini di-upgrade menjadi Panzer Army Afrika) membayangkan bahawa mereka akan sampai ke Terusan Suez pada akhir 1942. Namun masalah lojistik dan minyak sekali lagi menghantui tentera gabungan Jerman-Itali di sana.

Leftenan General Bernard Montgomery, dilantik sebagai panglima memerintah Tentera British Kelapan.

Rommel melancarkan serangan keatas tentera British pimpinan General Claude Auchinleck di El Alamein pada 1 Julai 1942. Nasib amat menyebelahi Auchinleck dan Tentera British Ke-8 pimpinannya kerana banyak reinforcement telahpun sampai kepada British dan Rommel juga ketika itu sudah kehabisan minyak.

Churchill yang berang apabila Auchinleck gagal memusnahkan tentera Rommel selepas diberikan berbagai-bagai kelengkapan terus memecat panglima berkenaan. Tempat beliau digantikan oleh General Harold Alexander dan pembantunya ialah Lt. Gen. Bernard Montgomery.

Beberapa serangan kecil dilakukan oleh Rommel dengan harapan dapat mencari kelemahan tentera British, atau kedudukan mereka atau mencuri minyak daripada mereka. Namun serangan beliau membuatkan beliau semakin dihantui masalah minyak yang kronik. Beliau tidak ada pilihan selain daripada menyuruh Panzer Army Afrika melakukan posisi pertahanan sehingga bekalan minyak sampai.

Operasi Lightfoot – Bermulanya Pertempuran El Alamein Kedua

General Alexander dan Perdana Menteri Churchill mengarahkan Montgomery merancana pelan untuk memusnahkan tentera Rommel. Tentera British Ke-8 (British Eigth Army) kini mempunyai banyak kereta kebal baru, ditambah pula meriam-meriam berkaliber besar daripada Amerika yang akan menghantui Rommel.

Montgomery memberikan nama serangan ini sebagai Operasi Lightfoot. Serangan ini mudah sahaja. Dengan mengetahui kegawatan Rommel untuk menggerakkan kereta kebal Panzer tanpa minyak, beliau hanya perlu membuat serangan besar-besaran keatas posisi Rommel. Kereta kebal, artilery, tentera udara semuanya menjadi pertaruhan Montgomery.

Rommel pula tidak akan duduk diam. Beliau membina beberapa sistem pertahanan di pekeliling padang pasir tempat mereka bertahan. Banyak periuk api ditanam. Walaupun Rommel tidak mempunyai kereta kebal Panzer kerana kehabisan minyak, beliau membawa masuk Meriam Anti-Kereta Kebal Flak 88mm.

Montgomery mempunyai kelebihan apabila berjaya memecah sistem kod rahsia tentera Rommel di Afrika. Maka, segala maklumat-maklumat yang penting dapat dibaca oleh British. Rommel yang sebelum ini mencuri dengar kod rahsia British tidak menyedari bahawa kod itu telah ditukar pada bulan Julai. Jadi, maklumat yang Rommel terima ketika itu ditipu bulat-bulat oleh British.

Rommel cuti sakit – Montgomery menyerang

Pada bulan September, Rommel perlu pulang ke Jerman untuk menerima rawatan penyakit kuman dan ulser akibat lama berada di padang pasir. Tempatnya digantikan oleh seorang panglima Nazi veteran, General Georg Stumme. Pada 23 September, Rommel terbang ke Jerman untuk rawatan. Tetapi sebelum itu, Rommel memberitahu Sturmm untuk tidak mengubah taktik pertahanan beliau yang dipanggil ‘Panzer defence-in-depth’ atau pertahanan mobile yang berlapis. Panzer Army Afrika hanya mempunyai 125 kereta kebal sahaja yang berfungsi, kebanyakkanya tanpa minyak

Pada malam 23 Oktober, lebih sebulan Rommel pergi mendapatkan rawatan, Montgomery dan Tentera British Ke-8 membuka serangan dengan membedil posisi Panzer Army Afrika. Serangan itu sangat dahsyat sehingga menjadikan malam tersebut terang benderang. Lebih 529,000 butir meriam ditembak keposisi tentera Rommel.

Tentera gabungan Jerman-Itali, Panzer Army Afrika (kiri) vs Tentera Pihak Berikat, British Eigth Army (kanan)

Montgomery menghantar 500 daripada 1029 kereta kebal mara ke arah bahagian utara tentera Rommel. Pada pagi subuh, 24 Oktober, Panzer Army Afrika di bahagian utara terkejut apabila tentera British sudah berada di pekeliling.

General Georg Stumme, pemangku komander Panzer Army Afrika

Pemangku Komander, General Georg Stumme tidak percaya laporan yang British sudahpun menggodol barisan pertahanan udaranya. Beliau segera menaiki kereta dan memandu ke hadapan untuk melihat sendiri kemusnahan itu. Tindakannya membawa padah. Beliau diserang bertubi-tubi oleh meriam British sebelum terbabas. Beliau meninggal akibat serangan jantung.

Mujur pada 24 Oktober juga, Field Marshal Rommel pulang daripada rawatan di Jerman untuk menyelamatkan keadaan. Namun, Rommel dikhabarkan berkata: “Wah! Ini sudah teruk.”

Hari itu sahaja, Royal Air Force membuat serangan udara sebanyak 1000 kali terhadap pertahanan Panzer Army Afrika. Bahagian utara paling teruk dibedil tentera British. Rommel cuba melancarkan counter attack pada 25 Oktober namun, disebabkan minyak dan kereta kebal British yang terlampau banyak (British 800 vs 81Jerman-Itali).

Pada 26 Oktober, Rommel mendapat tahu bahawa dua buah kapal tangki minyak diletupkan ketika dalam perjalanan ke Tobruk. Rommel berkata, “Tuan-tuan. Kita dah kalah. Sama ada kita tawan El Alamein, atau kita mati”.

Pada 1 November, Rommel mengarahkan untuk berundur. Montgomery telah berjaya memecah masuk sistem pertahanan dari utara. Namun, Rommel tidak mampu untuk mengundurkan kesemua 80,000 tenteranya di mana, hanya tentera Jerman sahaja yang mempunyai kenderaan bermotor. Tentera Itali tidak.

Rommel (kanan) dikenali sebagai ‘Musang Padang Pasir’ atau Desert Fox.

Rommel mengarahkan tentera Itali untuk bertahan manakala membawa keluar tentera Jerman daripada pertempuran. Ramai tentera Itali yang ditangkap. “Bukan salah aku. Mussolini yang berperang tak bawak cukup lori” kata Rommel.

Montgomery mengejar Rommel

Montgomery memerhatikan medan pertempuran dari atas kereta kebal Crusader II, 1942

Pada 2 November, Montgomery mengarahkan tenteranya mengejar Rommel membuta tuli kerana tidak mahu melepaskan peluang tentera Rommel yang kian melemah. Lebih 100 kereta kebal British mengejar tentera Jerman berkenaan. Rommel menghantar 25 kereta kebal sebagai senjata terakhir untuk menangkis serangan tersebut. Meriam anti kereta kebal, bom petrol dan bom anti kereta kebal juga menjadi sandaran Rommel ketika beliau berundur. Field Marshal Albert Kesselring, komander Nazi di Mediterranean juga menghantar armada Luftwaffe untuk membantu Rommel berundur.

Seorang komander briged New Zealand terkejut apabila komander armor British pulang selepas pertempuran ketika mengejar Rommel yang baru sahaja mahu berehat.

“Maaf mengganggu kau tidur, John. Tapi mana kereta kebal kau?”

Komander armor membuat signal tangan menunjukkan beberapa buah kereta kebal.

” tu. Ada kat situ.”

“Aku tahu itu kereta kebal markas kau. Tapi aku nak tahu kat mana posisi keseluruhan rejimen armor kita sekarang?”

Komander armor tersebut menunjukkan arah yang sama.

“Itulah dia, Bill. Itu je yang tinggal.”

Daripada 100 kereta kebal yang Montgomery hantar, 14 sahaja yang tinggal. Rommel berjaya membuat pengunduran taktikal dengan menggunakan ‘combined arms’ untuk menggagalkan tentera British mengejarnya. Rommel juga menggunakan periuk api palsu untuk menakut-nakutkan musuh.

Daripada 80,000 orang tentera Rommel kehilangan 36,939 orang daripada 100,000 tenteranya. British pula daripada 195,000 hanya kehilangan 13,560. Boleh dikatakan Rommel kalah dalam pertempuran ini akibat daripada kekurangan bekalan. Montgomery pula bijak menggunaka sumber yang banyak untuk mendapatkan kemenangan mutlak, tidak seperti bekas General Auchinleck.Tentera Amerika mendarat di Afrika Utara, 1942.

Tentera Amerika mendarat di Afrika Utara, 1942.

Operasi Torch – Amerika mendarat di Afrika

Ketika Rommel sibuk untuk menghalang Montgomery daripada terus meratah sedikit demi sedikit wilayahnya, beliau menerima satu berita buruk. Pada 8 November 1942, Amerika mendarat di koloni Maghribi dan Algeria, jauh di belakang posisi Rommel sebelah barat.

Presiden Amerika, Franklin Roosevelt mengarahkan tentera Amerika untuk mendarat di pantai barat Afrika untuk membantu tentera British melawan Rommel di sana. Lebih 107,000 tentera gabungan Amerika-British diketuai oleh Lt. General Dwight D. Eisenhower dibahagikan kepada 3 sektor. Western Task Force pimpinan Maj. General George S. Patton bersama-sama armada kereta kebalnya di sebelah barat. Central Task Force pimpinan Maj. General Lloyd Frendall di tengah dan Eastern Task Force pimpinan Maj. General Charles Ryder.

Vichy France menyerah – Hitler mengamuk

General Eisenhower (kiri) dan Laksamana Darlan (kanan)


Maghribi dan Algeria merupakan koloni milik Vichy France, sebuah negara boneka Nazi dibawah pimpinan Marshal of France, Philippe Petain. Beliau berjanji dengan Canselor Adolf Hitler bahawa mereka akan bersatu hati apabila koloni-koloni ini diserang. Petain melantik Laksamana Francois Darlan sebagai Pesuruhjaya Tinggi Perancis di Afrika Utara.

Apa yang mengejutkan Petain, sewaktu pendaratan tentera Amerika di Afrika Utara, Darlan dan Eisenhower telah pun bersengkongkol untuk menjamin keselamatan tentera Amerika. Maka dengan mudah sahaja Eisenhower menawan keseluruhan koloni Perancis itu.

Petain mengarahkan agar Darlan segera melawan tentera Amerika tersebut. Namun Hitler sebaliknya. Beliau menyerang dan meratah keseluruhan Vichy France dalam satu operasi dipanggil Operasi Anton. Kerajaan boneka Petain digulingkan dan Hitler mengambil alih keseluruhan Perancis.

Marshal Petain, Hero Perang Dunia Pertama merupakan pemimpin negara boneka Vichy France.

Berkampung di Tunisia

Rommel berpendapat Libya bukanlah tempat terbaik untuk bertahan daripada serangan dua arah. Selepas menghubungi komander keseluruhan Afrika Utara, Marshal Bastico, mereka bercadang agar Tunisia menjadi tempat terbaik untuk dijadikan posisi pertahanan.

Selepas mendapat persetujuan diktator Itali Benito Mussolini, Rommel mengarahkan semua tentera Jerman-Itali untuk masuk ke Tunisia. Pelabuhan Tunis begitu dekat dengan Pulai Sicily, Italidan dapat mengurangkan beban untuk menerima bekalan dari Itali.

Tunisia menjadi harapan terakhir Rommel. Montgomeri dan Tentera British Kelapan menghimpit beliau dari timur. Eisenhower dan tentera armor pimpinan General Patton pula menghimpit beliau dari barat. Apa strategi Rommel seterusnya? Mampukah Rommel bertahan? Kini, hampir seluruh Afrika Utara berada dalam genggaman British dan Amerika.

Rujukan

  1. Barr, Niall (2005) [2004]. Pendulum of War: The Three Battles of El Alamein. Woodstock, NY: Overlook Press. ISBN 978-1-58567-738-2.
  2. Greene, Jack; Massignani, Alessandro (1994). Rommel’s North Africa Campaign: September 1940 – November 1942. Cambridge, MA: Da Capo. ISBN 978-1-58097-018-1.
  3. Watson, Bruce Allen (2007) [1999]. Exit Rommel: The Tunisian Campaign, 1942–43. Mechanicsburg, PA: Stackpole. ISBN 0-8117-3381-5.
  4. Battle of El Alamein – https://www.youtube.com/watch?v=E44tTQ0vhT0

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang lepasan UPNM berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi yang kini berkhidmat di dalam Rejimen Renjer Diraja. Penulisan yang lebih cenderung kearah sejarah Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Comments are closed.