Jumaat, 23 Oktober 202623 Okt 2026
Perang Dunia Kedua: Battle Of The Bulge
Kronikel Dunia

Perang Dunia Kedua: Battle Of The Bulge

Ofensif Ardennes atau Ofensif Rundstedt atau
Pertempuran Ardennes merupakan pertempuran paling berdarah tentera Amerika
ketika Perang Dunia Kedua. Ini merupakan salah satu idea gila Hitler untuk
melumpuhkan tentera Berikat di sebelah Barat.

Pengenalan

Keadaan semasa medan barat, September 1944.



Keadaan
semasa medan barat, September 1944.

Tentera Berikat pimpinan General Dwight D. Eisenhower telah bertapak dengan kukuh di bahagian barat Eropah. Tentera beliau sudahpun menawan seluruh Perancis, seluruh Belgium dan selatan Belanda pada tahun 1944. Banyak tentera Nazi Jerman tumbang di tangan beliau. Namun, kepantasan tentera beliau menolak tentera Jerman memberi masalah kepada lojistik dan moral tentera Berikat.

Selaku panglima tertinggi tentera Berikat (Allied
Forces), Eisenhower memimpin tiga kumpulan tentera di barat Eropah iaitu 12th
US Army Group pimpinan Lt. General Omar Bradley, 21st British Army
Group pimpinan Field Marshal Bernard Montgomery dan 6th US Army
Group pimpinan Lt. General Jacob L. Devers.

Eisenhower mempunyai masalah untuk membahagikan
bekalan logistik kepada ketiga-tiga ‘army group’ ini. Banyak pelabuhan di barat
Eropah tidak dapat digunakan kerana tentera Jerman berjaya memusnahkan fasiliti
tersebut daripada digunakan pihak Berikat. Oleh itu, mereka terpaksa menunggu
bekalan dari pelabuhan sedia ada yang jauh seperti Normandy dan Cherbourg.

General Eisenhower (kiri) dan Field Marshal Montgomery (kanan)

Masalah lain yang dapat dilihat pada tentera Berikat pada ketika ini ialah moral. Disebabkan terlalu pantas tentera Berikat mara ke kawasan musuh, mereka menjadi terlalu penat dan tidak mendapat rehat yang cukup.

Kekalahan pihak Berikat kepada Jerman ketika Operasi Market Garden memburukkan lagi moral tentera Berikat. Banyak bekalan dihabiskan untuk menjayakan operasi berkenaan yang akhirnya membuatkan tentera Berikat mengigit jari. Disebabkan itu, Eisenhower terpaksa menangguhkan beberapa misi serangan ke atas Jerman sementara menunggu bekalan dan lojistik sampai di barisan hadapan.

Pelan
Gila

Pada 16 September 1944, Adolf Hitler menerangkan pelan beliau untuk melancarkan satu serangan hebat ke atas tentera Berikat di barat. Hitler memilih kawasan hutan tebal di Ardennes yang merupakan tempat yang sama Hitler dan tentera Jerman menyerang Perancis pada 1940.

Hitler mahu mahu para panglimanya menggunakan taktik
‘Blitzkrieg’ dengan menjadikan hutan Ardennes ini sebagai batu loncatan untuk
menusuk masuk rusuk tentera Berikat dan mara ke Sungai Meuse, sebelum memecut
terus ke ibu kota Belgium iaitu Brussels dan pelabuhan utamanya iaitu Antwerp.
Menurut Hitler, Brussels dan Antwerp mesti ditawan oleh tentera Jerman pada
hari keempat.

Terkejut beruk para panglima Hitler apabila
mendengar pelan gila ini. Komander Keseluruhan Medan Barat, Field Marshal Gerd
von Rundstedt dan Komander Army Group B, Field Marshal Walter Model mengatakan
bahawa pelan ini sangat mengarut. Hal ini kerana, Nazi Jerman sudah tidak ada
tentera yang mencukupi untuk melancarkan operasi ini.

“Kita ADA tentera simpanan” jawab Hitler apabila
ditanya dari mana hendak cari tentera untuk serangan ini.

‘Tentera simpanan’ yang dimaksud Hitler ialah
tentera simpanan strategik kebangsaan dibawah Oberkomando der Wehrmacht (Pemerintahan
Tertinggi Angkatan Tentera) yang merangkumi 13 divisyen infantri, 2 divisyen
payung terjun dan 6 divisyen Panzer.

Gila. Hitler mahu memperjudikan semua divisyen yang
tinggal yang sepatutnya digunakan untuk mempertahankan tanah Jerman. Sementara
itu, di barisan timur iaitu di Soviet Union, tentera Jerman di sana sudah
‘rongak’ apabila tentera Soviet pimpinan Marshal Georgy Zhukov menggempur dan
melenyapkan hampir keseluruhan Army Group Center. Hal ini membuka ‘lubang’
kepada tentera Soviet untuk ‘jalan’ terus ke Berlin. Mujurlah masalah lojistik
tentera Soviet menangguhkan perkara tersebut.

Pelan
Hitler: Memisahkan Tentera Amerika dan British

Hitler masih berfikir bahawa Perang Dunia Kedua
boleh dimenangi. Beliau percaya tentera Soviet di timur yang banyak tidak boleh
mendatangkan apa-apa pulangan yang baik kepada Jerman. Oleh itu, beliau
mengubah fokus kepada tentera Berikat pimpinan Eisenhower di barat. Beliau
percaya yang tentera Jerman mampu untuk mengalahkan tentera Berikat yang nampak
jauh lebih lemah daripada tentera Soviet. Jika serangan ini berjaya, Hitler
boleh menumpukan kepada banyak projek-projek hebat seperti kereta kebal Panzer
model baru atau jet pejuang atau roket merentasi benua.

Kepantasan tentera Berikat mengalahkan tentera Jerman memberikan kelebihan kepada Hitler. Kini, tentera Jerman berada begitu dekat dengan tanah Jerman. Bekalan lojistik kini boleh dihantar terus tanpa sebarang masalah. Tentera Jerman juga tidak perlu risau mengenai kod-kod rahsia dipecahkan kerana maklumat kini boleh disampaikan melalui ‘runner’ ataupun menggunakan tali telegfraf tanpa menggunakan mesin enigma atau radio.

Peta menunjukkan pelan Army Group B untuk menawan pelabuhan Antwerp

Pelan yang diketengahkan Hitler sangat drastik dan
optimis. Serangan yang merangkumi tentera Panzer di hutan Ardennes, sebelum
membelok ke barat laut menuju ke Sungai Meuse. Selepas menyeberang sungai
tersebut, mereka akan menggempur terus ke arah Brussels dan Antwerp.

Rundstedt dan Model cuba untuk mengubah pelan yang
diberikan Hitler ini. Kedua-dua panglima ini sedar akan kekurangan bekalan,
tentera, tentera udara dan lojistik yang dihadapi oleh tentera Jerman pada
ketika ini. Model merangka pelan alternatif kepada Hitler iaitu serangan
melalui hutan Ardennes sehingga ke Sungai Meuse. Tetapi, Model tidak
menyeberang sungai tersebut sebaliknya membelok terus keutara dan memerangkap
keseluruhan US 1st Army pimpinan Lt. General Courtney Hodges.

Manakala, Rundstedt juga merangka pelan alternatif
beliau kepada Hitler dimana beliau menggunakan serangan dua penjuru satu di
Ardennes dan satu lagi di sempadan Belanda, untuk memerangkap seluruh 1st
US Army berdekatan Sungai Meuse.

Namun, Hitler tetap berkeras mahu menggunakan
serangan agung beliau yang lebih optimis di mana objektifnya jauh ke barat
sehingga ke Antwerp. Idea Hitler lebih dahsyat. Beliau bukan sahaja mahu
memerangkap 1st US Army malahan seluruh 21st British Army
Group pimpinan Field Marshal Montgomery yang merangkumi 2nd British
Army dan 1st Canadian Army.

Ya, Hitler mahu memerangkap tiga tentera medan pihak
Berikat.

Antara sebab mempengaruhi keputusan Hitler ini
ialah, pertelingkahan dan pergaduhan antara panglima British iaitu Field
Marshal Montgomery dan panglima Amerika iaitu Dwight D. Eisenhower. Montgomery
merupakan komander 21st British Army Group yang merangkumi tentera
British dan negara Komanwel mahukan Eisenhower melebihkan bekalan dan lojistik
kepada tenteranya. Namun, Eisenhower mahu bekalan diberikan sama rata dengan 12th
US Army Group dan 6th US Army Group.

Hal ini menyebabkan Montgomery bengang. Kenapa
seorang Field Marshal, komander 5 bintang seperti Montgomery mendengar cakap
General 4 bintang seperti Eisenhower. Bagi beliau, tentera British lebih layak
untuk menguasai medan pertempuran di Eropah berbanding tentera Amerika.
Montgomery juga pernah membuat tindakan drastik apabila membuat persidangan
dengan pemberita mengenai perkara ini.

Montgomery juga menyalahkan Eisenhower kerana tidak
memberikan bekalan lojistik yang secukupnya ketika Operasi Market Garden yang
menyebabkan kekalahan memalukan kepada tentera British.

Inilah dia ‘peluang dan ruang’ yang Hitler cuba
untuk eksploitasikan. Jika tentera Panzernya berjaya ‘menggunting’ dan
‘memisahkan’ 21st British Army Group dan 12th US Army
Group, ada kebarangkalian bahawa tentera Berikat di barat akan menandatangani
perjanjian damai tanpa pengetahuan Soviet Union.

Mungkin juga tentera British dan Amerika akan
menentang negara Komunis Soviet di Timur bersama-sama Nazi Jerman? Ini dia idea
‘gila’ Hitler.

Operasi
Watch on the Rhine

Hitler memberikan tanggungjawab ini sepenuhnya kepada Rundstedt dan Model untuk menjayakan operasi ini. Serangan ini diberi nama Operasi ‘Watch on the Rhine’ (Kawalan Ke atas Rhine) sempena nama Sungai Rhine. Nama ini diberi untuk menipu musuh bahawa tentera Jerman sedang melakukan operasi defensif, bukannya ofensif.

Tentera Berikat menamakan pertempuran ini sebagai Ofensif Ardennes atau Ofensif Rundstedt. Nama “Battle of the Bulge” menjadi popular apabila terdapat ‘bulge’ atau lekuk yang timbul ketika surat khabar Amerika menunjukkan peta keadaan semasa ketika pertempuran tersebut.

Dalam operasi ini, Hitler memilih Army Group B
pimpinan Field Marshal Walter Model untuk menyerang kedudukan tentera Berikat
ini. Army Group ini mempunyai kekuatan tentera Jerman yang paling kuat sekali
di medan Barat. Terdapat tiga tentera medan dibawah Army Group ini iaitu:

SS-Colonel General Josef ‘Sepp’ Dietrich

– 6th Panzer Army.

Tentera ini merupakan tentera yang dipilih sendiri
oleh Hitler. Mereka mempunyai kelengkapan yang paling sempurna dan tentera
paling berpengalaman dalam operasi ini. Dalam tentera ini, terdapat dua tentera
elite Waffen-SS iaitu 1st SS Panzer Division Leibstandarte
Adolf Hitler
dan 12th SS Panzer Division Hitlerjugend.

Tentera ini akan dipimpin oleh SS Colonel-General Sepp Dietrich, seorang fanatik Nazi. Beliau tidak pernah pergi ke sekolah pegawai atau ‘Staff College’ namun beliau berjaya membuktikan kehebatan beliau apabila berjaya memenangi pelbagai pertempuran menentang tentera Soviet di timur.

Walaupun berlatarbelakang fahaman Nazi, beliau disegani oleh ramai panglima Jerman dan juga rakyat Jerman. Hitler juga mencipta sebuah pangkat baru iaitu SS-Volksmarschall (Marshal Rakyat) kepada Dietrich jika operasi ini berjaya dimenangi.

Hitler meletakkan objektif 6th Panzer
Army ini dibahagian utara serangan, dimana tentera ini akan mendapat jalan
paling dekat untuk ke objektif mereka iaitu Pelabuhan Antwerp.

General der Panzertruppe Hasso von Manteuffel

– 5th Panzer Army.

Tentera ini diletakkan dibahagian tengah serangan.
Tugas mereka adalah untuk menyerbu hutan Ardennes sehingga ke Sungai Meuse
sebelum menyeberang terus menuju ke Brussels.

Tentera Panzer Kelima ini dipimpin oleh General der Panzertruppe Hasso von Manteuffel. Beliau merupakan seorang panglima yang berlandaskan kepada doktrin kereta kebal dan armor. Beliau merupakan penerima anugerah Knight’s Cross serta Oak Leaves, Swords dan Diamonds.

Beliau juga bertempur bersama-sama Rommel ketika kempen di Afrika Utara. Dalam operasi ini, Manteuffel mempertaruhkan unit paling kuat tentera ini iaitu Panzer-Lehr Division iaitu divisyen kereta kebal paling veteran yang dimiliki di medan Barat.

General der Panzertruppe Erich Brandenberger

– 7th Army.

Tentera ini dipimpin oleh General der
Panzertruppe
Erich Brandenberger dan diletakkan di bahagian selatan
serangan. Boleh dikatakan tentera ini mempunyai tugas paling sukar kerana
mempunyai hanya 4 tentera infantri dan boleh dikatakan paling lemah dalam
operasi ini. Tentera ini ditugaskan sebagai pendinding daripada sebarang
serangan balas oleh tentera Berikat.

Jika Operasi Watch on the Rhine ini berjalan dengan jayanya, 15th Army pimpinan General Gustav-Adolf von Zangen akan melancarkan serangan ke atas 1st US Army dan memusnahkan terus tentera Amerika tersebut. Tentera ini diletakkan dibahagian utara 6th Panzer Army.

Terdapat dua operasi istimewa iaitu Operasi Grifin
dan Operasi Hawk. Komando SS iaitu SS-Colonel Otto Skorzeny akan memimpin
beberapa tentera Jerman untuk menyelinap masuk di belakang barisan musuh dalam
Operasi Grifin.

Skorzeny dan platun beliau yang terdiri daripada
tentera yang boleh berbahasa Inggeris akan menyamar sebagai anggota tentera
British dan Amerika untuk menukar papan tanda jalan, mengelirukan musuh,
seterusnya menawan beberapa jambatan di Sungai Meuse. Ramai tentera Amerika
terpaksa ditahan kerana disyaki sebagai spy. Antaranya ialah panglima 12th
US Army Group sendiri iaitu Lt. General Omar Bradley.

Manakala Operasi Hawk ialah merupakan serangan payung terjun waktu malam ke atas beberapa kawasan-kawasan penting seperti jalan raya dan persimpangan jalan ke arah Sungai Meuse. Serangan ini akan dipimpin oleh Colonel Friedrich August von der Heydte.

Dalam perbualan tertutup antara Colonel Heydte dan
Field Marshal Model, beliau menjelaskan bahawa serangan ini mempunyai tidak
sampai 10% untuk berjaya. Model menjawab “Lebih baik mencuba daripada tidak
mencuba langsung”.

“Dekat
mana kita nak cari minyak untuk kereta kebal kita?” –
tanya
seorang pegawai Jerman.

“Pergi
curi dekat tentera Amerika sana” –
balas Field Marshal
Model.

Hitler menggariskan 4 kriteria penting dalam menjayakan operasi ini:

  1. Serangan ini wajib dalam keadaan ‘surprise’ atau kejutan. Musuh wajib tidak tahu langsung mengenai serangan ini.
  2. Cuaca perlu dalam keadaan buruk. Hal ini untuk mengelakkan daripada serangan armada udara pihak Berikat ke atas tentera Jerman.
  3. Pergerakkan hendaklah tangkas dan cepat. Tentera Jerman perlu tiba di Sungai Meuse dalam masa 4 hari sahaja.
  4. Disebabkan bekalan minyak yang sangat kritikal, Model mengarahkan minyak untuk ‘dikutip’ dari tentera musuh sepanjang perjalanan.

Serangan
di Ardennes

Pada 16 Disember 1944, pukul 5.30 am, Model
melancarkan 1,600 tembakan artileri di sepanjang 160km sektor Ardennes.
Tembakan artileri ini tidak diberikan perhatian oleh tentera Amerika di sana
kerana mereka menjangka bahawa ini merupakan serangan balas yang normal kerana
beberapa hari sebelum itu, mereka saling bertukar-tukar tembakan artileri.

Tetapi selepas tembakan tersebut, bumi Ardennes
tiba-tiba bergoncang. Segerombolan tentera Jerman tiba-tiba menyerbu hutan
tebal Ardennes berkenaan diikuti dengan beberapa buah kereta kebal gergasi
iaitu King Tiger. Tentera Amerika daripada 1st US Army merupakan
pasukan yang diberi tanggungjawab untuk mempertahankan hutan tersebut. Mereka
menjangkakan bahawa Ardennes merupakan kawasan ‘senyap’ dan menjadi kawasan
‘rehat dan rawat’. Mereka langsung tidak menyedari bahawa hutan tersebut akan
diserbu oleh tentera-tentera Jerman. Maka bermulalah Operasi ‘Watch on the
Rhine’.

Tentera Jerman perlu tiba di Sungai Meuse dalam masa
4 hari.

Serangan
di sektor utara

King Tiger milik Kampfgruppe Peiper melalui tawanan perang Amerika

SS-Colonel General Sepp Dietrich memimpin 6th
Panzer Army merupakan pasukan tentera paling kuat dalam operasi ini dipenuhi
dengan 2 buah divisyen SS yang berani mati. Objektif mereka ialah menyeberang
Sungai Meuse terus ke Pelabuhan Antwerp.

Lanzareth merupakan sebuah pekan kecil di sekitar
Ardennes dan dihuni oleh 18 anggota tentera Amerika daripada Platun Tinjau, 99th
US Infantry Division. Mereka merupakan mangsa pertama serangan tentera Jerman.
Seramai 500 tentera Jerman menyerbu pekan ini tetapi ia mengambil masa 20 jam
untuk pekan ini ‘dibersihkan’ dan ini telah melambatkan jadual mereka dimana
mereka seharusnya menawan pekan berkenaan 16 jam lepas.

Dietrich melantik SS-Lieutenant Colonel Joachim
Peiper untuk memimpin sebuah ‘battle group’ atau Kampfgruppe, sebuah
pasukan ad-hoc yang ditugaskan untuk menjadi ‘penggempur’ untuk ke Antwerp.
‘Kampfgruppe Peiper’ ini diberi tanggungjawab untuk merusuk masuk ke pertahanan
musuh dengan armada kereta kebal sebanyak 600 buah dan 4,800 orang anggota.
Dalam kata lain, tugas sebuah kampfgruppe adalah untuk ‘menggempur tanpa
melihat kebelakang’.

Seorang Tentera Jerman menyerang hutan Ardennes bersama assault rifle Sturmgewehr-44

Kampfgruppe Peiper telah lewat. Dietrich memaksa
Peiper untuk terus menggerakkan panzer-panzernya ke hadapan. Dalam ketika ini,
mereka berjaya menawan beberapa tawanan perang Amerika yang terkejut akan
serangan operasi ini. Pada 17 Disember 1944, 12.30pm beberapa tawanan Amerika
yang cuba lari ditembak secara rambang oleh pasukan Peiper dan telah membunuh
seramai 84 orang tawanan. Hal ini kerana Peiper tidak ada masa untuk ‘melayan’
tawanan-tawanan ini. Insiden ini digelar ‘Penyembelihan Malmedy’.

Peiper dan anggotanya meneruskan perjalanan mereka
dan tiba di sebuah pekan Honsfeld iaitu sebuah pekan ‘rehat dan rawat’ kepada
99th US Infantry Division. Peiper berjaya menawan tentera Amerika di
sana dan gembira apabila berjaya mengutip beberapa tong minyak daripada tentera
Amerika.

Kampfgrupper Peiper melalui sebuah jalan raya berdekatan Malmedy

Tentera Amerika kini menyedari bahawa terdapat
serangan besar-besaran sedang berlaku. Mereka mula sedikit demi sedikit
berundur sehingga ke sebuah pekan bernama Elsenborn. Komander 1st US
Army, Lt. General Courtney Hodges gagal untuk menghubungi Bradley, komander 12th
US Army Group untuk mendapatkan bantuan segera kerana HQ Bradley berada jauh di
selatan di mana tentera Jerman sedang membedil.

Operasi
Griffin dan Operasi Stosser (Hawk).

Operasi Hawk dijalankan pada 17 Disember 1944, lebih
kurang 1,300 anggota payung terjun Jerman pimpinan Colonel August von der
Heydte diterjunkan di sebuah kawasan musuh berdekatan Elsenborn dan Malmedy.
Mereka ditugaskan untuk menawan persimpangan-persimpangan utama ke Meuse dan
menunggu kedatangan Kampfgruppe Peiper dan 12th SS Panzer Division.

Hanya 300 anggota sahaja yang berjaya terjun di
tempat yang sepatutnya. Ramai yang mati akibat tersalah terjun dan ada yang
tersalah kawasan terjunan. Rata-rata anggota dalam operasi ini tidak mempunyai
pengalaman penerjunan. Heydte terpaksa menunggu di kedatangan Peiper untuk
menawan persimpangan tersebut tetapi mereka tidak datang langsung.

Pada 16 Disember 1944, SS-Colonel Otto Skorzeny
memimpin sebuah brigade ‘Panzer Brigade 150’ yang mempunyai anggota berbahasa
Inggeris dan menggunakan kelengkapan Amerika seperti kereta kebal dan uniform.

Operasi ini boleh dikatakan berjaya kerana mereka
berjaya mengelirukan ramai anggota tentera Amerika dan British. Antara
mangsa-mangsanya ialah Eisenhower sendiri apabila polis tentera menahan beliau
selepas gagal memberi jawapan mengenai sebuah pasukan baseball Amerika.
Montgomery juga hampir ditembak keluar dari keretanya apabila beberapa prebet
Amerika pernah melihat seorang spy Jerman serupa dengan muka panglima British
berkenaan.

Serangan
di tengah dan selatan

General Manteuffel yang memimpin 5th
Panzer Army menyerang sektor tengah. Serangan mereka ditentang oleh 28th
dan 106th US Infantry Division daripada 1st US Army.
Kedua-dua divisyen ini berjaya dikalahkan dengan senang kerana mereka langsung
tidak menyangka kehadiran tentera Jerman.

Laporan kematian ketika pertempuran di St. Vith

Laporan kematian ketika pertempuran di St. Vith

Beliau tiba di pinggir sebuah pekan St. Vith yang
merupakan pekan persimpangan penting untuk ke Sungai Meuse. Malang sekali,
Manteuffel tidak menyangka pekan tersebut dipertahankan oleh pasukan bersaiz
corps (8th US Corps) pimpinan Maj General Troy Middleton. Tentera
Amerika di sana juga tidak menjangka kedatangan Manteuffel apabila tiba-tiba
sahaja segerombolan panzer Manteuffel melalui jalan-jalan dalam pekan
berkenaan.

Keadaan yang berkabus tebal disekitar pekan tersebut
sangat menyeramkan. Selepas Manteuffel melepaskan tembakan artileri, kabus
tebal menyelubung hutan tersebut. Tiba-tiba, satu per satu lampu limpah
ditujukan terus kearah mereka. Kemudian, kereta kebal Panzer IV dan Panther
daripada elemen Panzer-Lehr Division dan anggota 62nd Volksgrenadier
Division melepaskan tembakan bertubi-tubi kearah posisi mereka.

Halftrack ‘Lampu Limpah’ milik tentera Jerman

Middleton walaubagaimanapun mampu menangkis serangan
Manteuffel apabila kereta kebal 7th US Armored Division miliknya
memposisi kan beberapa buah kereta kebal Sherman di sepanjang jalan di St.
Vith.

Pada 17 Disember, Model turun ke barisan hadapan
untuk bertanya kepada Manteuffel mengenai progress mereka. Namun, mereka masih
lagi tersekat di St. Vith. Model mengarahkan Manteuffel untuk melintasi sahaja
pekan tersebut dan terus menuju ke barat.

Pada ketika itu juga, beberapa elemen kereta kebal
King Tiger milik Dietrich tiba-tiba melalui kawasan utara pekan St. Vith.
Mereka ini juga sebenarnya sedang mencari jalan lain untuk ke barat apabila
pekan Elsenborn dan Malmedy masih lagi tidak mampu ditawan.

Manteuffel dan Dietrich diberi tekanan untuk
mengikut jadual mustahil mereka untuk tiba di Sungai Meuse.

Pada 19 Disember,
selepas tiga hari terputus komunikasi, Montgomery akhirnya dapat menghubungi
Hodges tentang situasi sebenar di Ardennes. Elsenborn, Malmedy dan St. Vith
teruk dibedil oleh tentera Jerman. Hodges tidak dapat menghubungi Bradley untuk
memberi laporan. Hodges juga terpaksa memindahkan markasnya dari Elsenborn ke
Liege akibat serangan ini.

Armada udara pihak Berikat menjatuhakan bom ke posisi tentera Jerman selepas cuaca mengizinkan.

Pada 20 Disember, Montgomery meminta Eisenhower
menukarkan 1st US Army daripada organisasi 12th US Army
Group ke 21st British Army Group. Hal ini kerana seluruh tentera
Amerika di sana terputus hubungan dengan Bradley. Eisenhower setuju.

Pada 21 Disember, pekan St. Vith akhirnya tumbang
ditangan Manteuffel. Namun, banyak masa telah dihabiskan di pekan tersebut.
Seterusnya, Manteuffel mengarahkan ‘penggempur’ utamanya iaitu 2nd
Panzer Division dan Panzer-Lehr Division untuk menyergah terus ke barat
untuk mengejar jadual waktu yang diberikan. Sudah hari kelima namun belum ada
tentera Jerman yang masih tiba di Sungai Meuse.

Pengepungan
Bastogne

Bastogne merupakan sebuah pekan yang penting kerana
terdapat jalan-jalan utama yang menghubungi Sungai Meuse, Luxembourg dan hub
laluan lojistik kepada tentera British jauh di utara. Ia dikawal oleh 101st
Airborne Division dan Kompeni B 10th Armoured Division. Tentera
Amerika di sana dipimpin oleh Brigadier Anthony McAuliffe. Pekan Bastogne
menjadi tempat pelarian oleh tentera Amerika yang berundur akibat serangan
daripada Dietrich dan Manteuffel.

Pada 21 Disember, pekan Bastogne dikepung 2nd
Panzer Division dan Panzer-Lehr Division mengepung dari barat dan utara.
7th Army mengepung dari selatan. 26th Volksgrenadier
Division dan 5th Fallschirmjager Division pula akan menyerang dari
timur. Keadaan di Bastogne semakin kritikal apabila mereka kekurangan bekalan
dan lojistik. Cuaca yang sejuk melampau menambah lagi kesengsaraan mereka.

Pada 22 Disember, komander corps yang mengepung
bandar tersebut (48th Panzerkorps) iaitu Generaleutnant
Heinrich von Luttwitz menghantar delegasi letak senjata kepada McAuliffe.
Komander payung terjun Amerika itu membalas:

Kepada Komander Tentera Jerman;

“NUTS!”

Daripada Komander Tentera Amerika.

Jika ditafsirkan, kata-kata tersebut bermaksud “Go
to Hell” atau “pergi mati”. Kata-kata tersebut tersemat di hati tentera Amerika
yang dikepung di bandar tersebut untuk terus bertahan.

Respons McAuliffe kepada Luttwitz ketika dikepung di Bastogne

Patton
menyerang balas

Pada 21 Disember, seluruh pentadbiran tentera
Berikat berkumpul di Verdun untuk membincangkan situasi serangan Jerman di
Ardennes. Eisenhower, Montgomery, Patton dan Hodges turut hadir dalam
perbincangan ini.

“Situasi di Ardennes semakin gawat. Tetapi mereka
tidak akan dapat kemana-mana. Kita boleh kalahkan mereka.” kata Eisenhower.

“Biarkan mereka mara terus Paris pun tidak mengapa
supaya kita dapat kepung mereka dari belakang dan menjadikan ia sebagai
Stalingrad kedua.” kata Patton sambil ketawa.

Eisehower masih lagi tidak mampu untuk menghantar
armada tentera udara di sana akibat cuaca yang amat buruk. Beliau bertanya
kepada Patton berapa lama masanya untuk 3rd US Army beliau untuk
bertukar haluan ke arah utara dan menyelamatkan keadaan.

“Oh. Saya sudah hantar baru sekejap tadi” jawab
Patton bersahaja.

Terkejut sungguh para panglima yang ada di situ
kerana Patton seperti sudah mengetahui apa yang Eisenhower ingin bertanya.

Tentera Amerika mengutipbekalan lojistik yang diterjunkan di Bastogne

Pada 23 Disember, cuaca semakin bertambah baik. Eisenhower mengarahkan serangan ke atas depot lojistik milik tentera Jerman, melumpuhkan lagi bekalan kritikal mereka. Tentera Amerika di Bastogne juga di bekalkan oleh makanan dan bekalan munisi dari udara. Beberapa pasukan perubatan juga diterjunkan ke Bastogne.

Sementara itu, pasukan ‘penggempur’ Manteuffel iaitu
Panzer-Lehr Division dan 2nd Panzer Division menawan Celes,
sebuah pekan terakhir sebelum Sungai Meuse. Namun, Montgomery menghantar armada
kereta kebal terkuat beliau iaitu 30th British Corps untuk menghalang
dan meletupkan jambatan-jambatan di sepanjang sungai berkenaan. Inilah titik
paling jauh kemaraan tentera Jerman dalam operasi ini.

Situasi semasa keadaan serangan di Ardennes

Pada 24 Disember, Manteuffel menghantar memo kepada
Hitler bahawa mengentikan terus operasi ini dan berundur untuk mengelakkan
mereka menjadi ‘Stalingrad Kedua’. Hitler enggan dan yakin untuk meneruskan
lagi.

Pada 26 Disember, armada kereta kebal Patton tiba di
selatan Bastogne dan bertempur dengan elemen tentera 7th Army
pimpinan Brandenberger. Manteuffel memanggil Panzer-Lehr Division untuk
berpatah balik ke Bastogne untuk mengekang kemaraan Patton. Dietrich juga
terpaksa melupakan hasrat beliau untuk menawan Elsenborn dan Malmedy dengan
menghantar beberapa elemen tentera beliau untuk menawan Bastogne. Hitler
berharap jika Bastogne ditawan, seluruh kawasan persimpangan penting di pesisir
Sungai Meuse akan menjadi miliknya.

Sebuah Pemusnah Kereta Kebal ‘Jackson’ milik tentera Patton memasuki Bastogne, 1944.

Pada masa ketika itu, Model menganalisa keseluruhan
operasi tersebut daripada laporan yang diterima. Beliau segera mengetatkan
barisan-barisan hadapan mereka agar dapat memberi peluang kepada pasukan kereta
kebal Kampfgruppe Peiper untuk menusuk masuk ke barisan musuh. Beliau juga
meminta agar Hitler melakukan sesuatu agar dapat mengembalikan momentum mereka
untuk operasi ini.

Hitler
menyerang balas

Pada 1 Januari 1945, Hitler mengarahkan dua operasi
baru dilancarkan iaitu Operasi Base Plate dan Operasi Nordwind.

Pesawat berenjin jet Me 262 pertama kali digunakan ketika pertempur ketika Operasi Base Plate, 1945.

Dalam Operasi Base Plate, armada udara tentera
Jerman, Luftwaffe melancarkan serangan ofensif besar-besaran yang terakhir
terhadap lapangan terbang tentera Berikat di sekitar Belgium dan Belanda..
Serangan ini berjaya memberi kemenangan taktikal kepada Luftwaffe apabila
memusnahkan 467 pesawat pihak Berikat. Namun, Luftwaffe kehilangan 277 pesawat
mereka dan membunuh ramai juruterbang veteran mereka.

Operasi ini boleh dikatakan gagal kerana, pihak
Berikat boleh membuat pesawat mereka dengan lebih pantas daripada Nazi Jerman.
Selain itu, kebanyakkan pesawat pihak Berikat yang musnah tidak berpenghuni.
Hal ini dapat menyelamatkan juruterbang veteran pihak Berikat untuk bertempur
di kemudian hari.

Dalam pada yang sama juga, jauh di selatan Ardennes
iaitu di sempadan France-Jerman, Hitler mengarahkan 19th Army dan
Tentera Simpanan Daerah 5 (Wehrkreis V) pimpinan Reichsfuhrer-SS
Heinrich Himmler untuk menyerang kedudukan 6th US Army Group
pimpinan Lt. General Jacob Devers. Objektif serangan mereka ialah bandar
Strassbourg.

Reichsfuhrer-SS Heinrich Himmler (kiri), mengetuai serangan Operasi Nordwind.

Himmler yang merupakan pelopor kepada Holocaust dan
ketua organisasi paramilitari SS (Schutzstaffel / Pengawal Peribadi
Hitler) dilantik oleh Hitler untuk mengetuai operasi ini. Himmler yang
merupakan seorang yang ‘buta ilmu perang’ dilantik kerana Hitler sudah tidak
percayakan panglima-panglima daripada angkatan tentera.

Operasi yang diberi nama Nordwind ini berjaya
menggoyahkan tentera Denvers yang kini rongak akibat ketiadaan Patton yang kini
sedang bertempur di Bastogne dan juga akibat kehabisan bekalan lojistik.

Serangan ini berjaya membuatkan Eisenhower tidak
senang duduk. Himmler berjaya memecahkan sebahagian daripada sistem pertahanan
Maginot Line di bahagian selatan pada 7 January 1945. Namun, Eisenhower segera
menghantar beberapa elemen kereta kebal Patton untuk menangkis operasi
berkenaan. Pada 25 Januari, Operasi Nordwind dihentikan segera merta akibat
situasi di Ardennes yang semakin parah apabila tentera Berikat cuba memotong
laluan belakang 5th Panzer Army.

Pada 3 Januari 1945, Patton di Bastogne dan
Montgomery di utara bersetuju untuk menyerang kedudukan tentera Jerman dengan
objektif memerangkap seluruh Army Group B di sana. Serangan ini sepatutnya
dilakukan pada 1 Januari tetapi Montgomery tidak mahu merisikokan tenteranya
yang tidak bersedia bertempur dalam keadaan sejuk beku.

Akibatnya, Model dapat menarik seluruh tentera
beliau keluar daripada perangkap atau ‘bulge’ di sekitar Ardennes. Elemen
kereta kebal King Tiger milik Model berjaya mengekang kemaraan kereta kebal
Patton dan Montgomery.

Pada 7 Januari 1945, Hitler bersetuju atas
permintaan panglima medan Barat, Field Marshal Gerd von Rundstedt untuk
melakukan pengunduran berperingkat-peringkat keluar daripada Ardennes.
Pengunduran ini berjaya namun tentera Jerman terpaksa meninggalkan begitu
banyak aset kereta kebal mereka kerana sudah kehabisan minyak.

Pada 23 Januari 1945, pekan St. Vith ditawan semula
oleh tentera Berikat. Pertempuran berlarutan sehingga 25 Januari apabila
seluruh tentera Jerman berundur semula ke garisan permulaan serangan mereka
sepenuhnya.

Analisis
Pertempuran Ardennes

Operasi Watch on the Rhine merupakan satu operasi
yang sudahpun ‘gagal sebelum bermula’. Rundstedt memberitahu bahawa “Operasi
ini merupakan operasi yang berseni namun ada sesuatu yang kurang untuk menjadi
sebagai penyudah untuk kejayaan operasi ini.”

Dikatakan operasi ini mengejutkan ramai pihak di
Britain dan Amerika apabila tentera Jerman mampu melancarkan satu operasi
besar-besaran terhadap mereka. Mereka juga percaya bahawa panglima berumur 70
tahun Rundstedt merupakan dalang dalam operasi ini. Tidak hairan operasi ini
digelar ‘Ofensif Rundstedt’. Padahal, beliau tidak terlibat secara langsung
ketika operasi dijalankan. Semuanya merupakan idea Hitler.

Hitler juga semakin menjadi seorang paranoid.
Selepas cubaan membunuhnya pada 20 Julai 1944, beliau semakin tidak mempercayai
panglima-panglima tentera Jerman. Sebaliknya, beliau lebih mempercayai anggota
tentera paramilitari beliau iaitu Waffen-SS yang dipimpin oleh mereka
yang tidak pernah langsung ke sekolah pegawai seperti Peiper, Dietrich dan
Himmler.

Tidak hairanlah dalam Operasi ini, 5th
Panzer Army pimpinan Manteuffel menusuk tentera Amerika lebih jauh berbanding 6th
Panzer Army pimpinan Dietrich. Tidak hairanlah Panzer-Lehr Division mara
lebih jauh daripada Kampfgruppe Peiper yang mempunyai aset Panzer paling
canggih. Dikatakan yang pasukan Peiper sesat dihutan Ardennes kerana tersalah
baca peta.

Ramai yang mengatakan bahawa Ardennes merupakan
kawasan yang tidak sesuai untuk kegunaan kereta kebal berat seperti King Tiger
dan Jagpanther. Kereta kebal ini sangat perlahan dan berat yang tidak mampu
menampung jalan dan jambatan di sana. Jika Hitler menggunakan kereta kebal
seperti Panzer IV, keberangkalian untuk mereka tiba di Sungai Meuse adalah
tinggi kerana Panzer IV merupakan kereta kebal medium dan pantas, sesuai dengan
teknik Blitzkrieg.

Hitler juga terlalu percaya akan kepincangan
pentadbiran tentera Berikat. Pertelingkahan antara panglima Amerika
(Eisenhower) dan British (Montgomery) begitu dikenali di seluruh Eropah.
Bradley dan Patton mengadu kepada Eisenhower yang mereka sangat menyampah
dengan keegoan Montgomery yang suka membangga diri.

Tetapi demi kebaikkan masa panjang, Eisenhower
terpaksa menjadi orang tengah. Beliau juga sanggup menukar 1st US
Army dari 12th US Army Group pimpinan Bradley kepada 21st
British Army Group pimpinan Montgomery agar kelicinan pentadbiran dapat
dilakukan.

Statistik
Pertempuran

Pertempuran ini merupakan pertempuran paling
berdarah tentera Amerika dalam Perang Dunia Kedua. Seramai 105,102 tentera
Amerika terbunuh, hilang atau cedera. Tentera British pula kehilangan lebih
1,400 tentera mereka.

Montgomery (kiri) dan Patton (kanan)

Montgomery (kiri) dan Patton (kanan)

Manakala tentera Jerman pula kehilangan 81,834
anggota yang terbunuh, cedera dan ditangkap. Aset-aset mereka juga banyak
musnah dalam pertempuran ini. Sebanyak 182 Stug III, 158 Panzer IV, 194 Panther
dan 20 King Tiger musnah dalam pertepuran ini.

Serangan ke atas Ardennes ini menyebabkan pihak Berikat terpaksa menangguhkan serangan ke atas tanah Jerman selama beberapa minggu. Hal ini memberi laluan kepada tentera Soviet untuk tiba di Berlin dahulu sebelum mereka dan mengubah landskap Perang Dingin di tahun-tahun kemudian.

Tidak cukup dengan tentera Jerman yang sedang rongak
di timur akibat Operasi Bagration, akibat daripada serangan di Ardennes ini,
tentera Jerman sudah ‘tidak ada apa’ lagi untuk digunakan untuk mempertahankan
medan barat. Semua aset simpanan mereka musnah dalam operasi ini.

RUJUKAN

  1. Battle
    of the Bulge. [A historical documentary] https://www.youtube.com/watch?v=fps6LjS2950

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet