Bersempena dengan sambutan Hari Ibu Sedunia yang disambut pada 9hb Mei pada setiap tahun, kali ini penulis ingin menceritakan serba sedikit tentang sebuah kedudukan penting yang diisi oleh kaum wanita yang merupakan para ibu sultan- sultan Uthmaniyah iaitu Valide Sultan. Kedudukan ini amat penting dalam memainkan peranan di sepanjang tempoh yang dipanggil sebagai zaman Kesultanan Wanita.

Wanita pertama yang memakai gelaran valide sultan adalah Ayşe Hafsa Sultan, seorang wanita berbangasa Tatar Crimea dan ibu kepada Sultan Süleyman al Qanuni. Beliau menemani puteranya itu ketika Süleyman dilantik sebagai gabenor Manisa pada usia 17 tahun pada tahun 1503 dan semasa Süleyman menaiki takhta pada tahun 1520, Hafsa Sultan mengambil alih urusan pentadbiran harem istana di Istanbul.

Walaupun terdapat beberapa ketidakpastian tentang sejak bilakah dia mula menduduki harem di dalam Istana Topkapı, namun dia dikreditkan sebagai penasihat kepada puteranya, atau secara teknikalnya dia adalah penyandang kedudukan Sultan sehingga saat kema.tiannya pada tahun 1534.

Suasana di dalam harem istana

Hafsa mungkin adalah valide sultan yang pertama telah membangunkan sebuah kompleks besar yang terdiri daripada sebuah masjid, sekolah, kolej dan hospital di Manisa. Dengan berbuat demikian, dia secara tidak langsung telah menjadi pelopor kepada tradisi Uthmaniyah dalam hal ehwal amal kebajikan yang akan diteruskan oleh golongan ibu-ibu pemerintah empayar ini di masa hadapan.

Hafsa Sultan dalam siri televisyen Turki

Terdapat kecenderungan yang turut menganggap Hürrem Sultan yang terkenal itu sebagai valide sultan juga, tetapi sebenarnya dia terlebih dahulu meninggal dunia sebelum Sultan Süleyman. Namun dia turut meninggalkan beberapa teladan untuk valide sultan akan datang dengan terlibat secara aktif dalam urusan pemerintahan negara, bahkan pengaruhnya tersebar hingga menjadi tumpuan para pemerintah Eropah. Namun, tidak banyak yang kita ketahui tentang pengaruhnya di harem, walaupun hal itu sepatutnya merupakan tanggungjawab utama valide sultan.

Para valide sultan yang terkenal kerana penglibatan mereka dalam urusan pemerintahan negara adalah terhad. Nurbanu, Safiye dan Kösem adalah tiga orang valide sultan yang paling aktif memainkan peranannya sebagai ibu sultan. Sepanjang tempoh ketika mereka memerintah secara de facto itu termasuklah zaman Hürrem Sultan, telah diistilahkan sebagai zaman Kesultanan Wanita.

Hurrem Sultan tidak pernah menjadi valide sultan

Nurbanu, ibu kepada Sultan Murad III, adalah orang Venice dan mungkin berketurunan Yahudi dan memainkan peranan di sepanjang zamannya (1574-1583) dalam politik Mediterranean dengan menyokong Venice dalam penentangan mereka terhadap musuh tradiai mereka, Genoa.

Nurbanu Sultan memerintah dengan dibantu oleh Wazir Agung, Sokollu Mehmet Pasha dan bahkan aktif berhubung dengan ratu Perancis, Catherine de Medici. Apabila dia meninggal dunia secara mengejut, dikatakan bahawa orang Genoa telah mera.cuninya.

Safiye Sultan juga berasal dari Venice yang mungkin telah dipilih oleh Nurbanu secara peribadi sebagai gundik untuk puteranya Murad III. Dia menjadi valide sultan (1595-1603) setelah puteranya menaiki takhta sebagai Sultan Mehmed III. Dia memperoleh kuasa yang cukup besar dan juga menerapkan dasar pro-Venice. Safiye amat terkenal di Eropah berikutan dia memiliki hubungan yang erat dan sering berbalas surat dan hadiah dengan Ratu Elizabeth I dari England.

Kösem Sultan memperoleh reputasi sebagai valide sultan yang paling berbahaya dan paling licik dari setiap valide sultan (1623 hingga 1651). Dia menjadi valide sultan yang paling lama mengawasi urusan pemerintahan Uthmaniyah yang berlangsung melalui pemerintahan dua orang puteranya secara berturut-turut iaitu Sultan Murad IV, Sultan Ibrahim I dan cucunya Sultan Mehmed IV.  Dia kurang dikenali dari segi pengaruhnya dalam urusan pemerintahan tetapi dia lebih terkenal dengan tipu muslihatnya dalam agenda untuk memastikan para puteranya akan menjadi sultan.

Kösem Sultan digantikan oleh Turhan Sultan, seorang wanita Ukraine yang kurang berminat dalam urusan politik dan pada dasarnya membiarkan wazir agung pada masa itu, Köprülü Mehmed Pasha, untuk mengepalai urusan pemerintahan Uthmaniyah.  Sebagai valide sultan (1648-1682), dia lebih banyak ferlibat dalam projek-projek pembinaan seperti Masjid Yeni Cami di Eminönü.

Masjid Yeni Cami

Walaupun jawatan valide sultan terus dilanjutkan hingga abad ke-20, golongan wanita yang menjadi ibu kepada sultan-sultan ini lebih selesa dengan urusan pentadbiran di harem dan bukannya pemerintahan negara. Untuk mengawal institusi harem sudah tentu memerlukan tangan yang tegas.

Sultan yang berkuasa adalah ketua dinasti sebagai sebuah keluarga dan dia harus memastikan bahawa ada pewaris lelaki yang masih hidup untuk mengambil alih takhtanya.  Hasilnya adalah valide sultan akan memastikan calon-calon gundik yang sesuai akan menerima pendidikan dan diajarkan moral dan akhlak yang terbaik bagi menarik minat anaknya.

Oleh itu, tanggungjawab untuk memastikan lahirnya pewaris takhta dari b benih yang baik dalam meneruskan kesinambungan kuasa Uthmaniyah berada di tangan wanita dan khususnya valide sultan.

Walaupun secara tradisional seorang lelaki akan menjadi ketua keluarga di kalangan bangsa Turki, namun masih wujud konflik perebutan takhta, telah banyak peristiwa dalam sejarah pada abad-abad kemudian yang menyaksikan takhta sultan diwariskan kepada seorang putera yang lemah dan tidak berpotensi atau terlalu muda untuk memerintah, maka seseorang yang kuat harus mengambil tanggung jawab.

Sultan Suleynan al Qanuni

Wazir agung, yang tidak pernah menjadi anggota dinasti berdarah diraja kecuali melalui perkahwinan, lebih banyak bertukar penyandangnya berbanding sultan.  Betapa pentingnya peranan seorang valide sultan itu boleh diukur oleh jarak biliknya dengan bilik peribadi sultan yang amat dekat. Jadi, selama lebih kurang 400 tahun, salah satu peranan yang paling terpenting dalam Empayar Uthmaniyah telah digalas oleh seorang wanita, yang memegang amanah sebagai ibu, iaitu Valide Sultan.

Selamat menyambut Hari Ibu Sedunia buat semua para ibu yang gagah dan berjasa.

RUJUKAN:

Peirce, Leslie P., The Imperial Harem: Women and Sovereignty in the Ottoman Empire, Oxford University Press, 1993.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.