“Kalau tidak akan guna semula, elakkan daripada memilikinya.”

Begitulah sifat yang selayaknya diberikan kepada objek yang dikenal sebagai plastik.

Tanggal 5 Jun 2018, United Nation Environment Programme (UNEP) menganjurkan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia. Bertemakan ‘Beat Plastic Pollution’, ia seumpama satu ‘panggilan jihad’ atau ‘struggle’ melawan pencemaran alam sekitar yang disebabkan oleh plastik.

Ini suatu yang agak pelik kerana kita seakan-akan diseru untuk ‘berperang’ dengan objek tidak berakal – plastik. Tetapi, jika diamati maksud tema itu, peperangan ini sebenarnya berlaku antara ‘diri-jiwa’ manusia yang baik dengan ‘diri-jiwa’ manusia yang tidak baik – gelagat membuang sampah dan beg plastik yang tidak digunakan lagi. Ia suatu ‘jihad dalaman’. Atau peperangan menentang hawa nafsu manusia yang bersifat simplistik dan tidak memikirkan masa depan diri serta generasi akan datang. Yang lebih besar lagi adalah kegagalan manusia untuk menjaga amanah dengan peranan sebagai khalifah di muka Bumi (stewardship).

Pada saat tulisan ini dihasilkan, transaksi jualan air botol di kedai-kedai runcit atau pasaraya seluruh dunia dianggarkan sebanyak 1 juta bagi setiap minit! Setiap tahun pula, manusia menggunakan sekitar 5 trilion beg plastik. Daripada jumlah itu, separuh daripadanya hanya digunakan sekali sahaja. Kemudiannya, dibuang.

KESAN KEPADA KEHIDUPAN MARIN

Apakah impak pencemaran plastik kepada kehidupan marin? Setiap tahun, hampir 13 juta plastik dihanyutkan ke laut lepas. Situasi ini mengancam batuan karang dan kehidupan marin lain seperti ikan dan penyu. Sebagai contoh,  pada 3 Jun yang lalu, seekor ikan paus jenis Pilot dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ terdampar di perairan Thailand, tidak berapa jauh dari sempadan Malaysia-Thailand. Sebelum mati, ikan paus yang cuba diselamatkan oleh para doktor sempat memuntahkan 5 helai beg plastik. Tambah mengejutkan, apabila bedah siasat yang dibuat mendapati, terdapat 80 beg plastik seberat 8 kilogram, ditemui tersangkut dalam perut ikan tersebut.

Selain daripada impak kepada kehidupan marin, pencemaran sampah plastik ini juga mencacatkan pemandangan kawasan tarikan pelancongan. Industri pelancongan akan terpalit dengan nama buruk. Sebagaimana yang berlaku di Bali, Indonesia. Dalam sebuah video yang dirakam oleh seorang penyelam Inggeris, Rich Horner di akaun facebook-nya, mendedahkan kepada masyarakat dunia akan keadaan perairan di Bali yang dipenuhi sampah plastik. Menurut sumber, video tersebut dirakam di lokasi penyelaman Manta Pont Nusa Penida. Hal sebegini adalah tamparan hebat kepada industri pelancongan Indonesia dan seluruh dunia mengenai usaha sewajarnya dilakukan untuk membentuk sikap pelancong dan penduduk tempatan supaya benar-benar mengambil berat hal-hal kebersihan. Kerana akhirnya nanti, baik berupa manfaat atau mudarat (seperti kerugian, nama buruk dan sumber protein), ia akan tetap menimpa semua pihak, terutama penduduk tempatan.

IMPAK KEPADA MANUSIA

Sisa plastik yang terhasil bukan setakat daripada beg plastic sahaja, malah hampir segala barangan manusia seperti pakaian, alat-alat kosmetik, dan peralatan rumah, mengandungi sejumlah plastik yang sukar terurai. Jika terurai sekalipun, ia akan masa berpuluh-puluh tahun untuk terurai sepenuhnya. Bayangkan jika sisa plastic itu dibuang merata-rata, lambat laun ia boleh memasuki saliran air bersih untuk kegunaan manusia. Boleh jadi pada ketika itu, plastik sudah berada dalam struktur yang sangat kecil – disebut mikrobit. Walau bagaimanapun, manusia mungkin boleh berasa lega, kerana setakat ini para saintis belum dapat menemui kesan langsung kepada kehidupan dan kesihatan manusia, melainkan kesan-kesan melalui rantaian makanan seperti sumber protein dan lain-lain.

Akan tetapi, harus diingat, plastik yang dihasilkan itu terkandung banyak bahan kimkia yang kebanyakkannya berupa toksik dan berkemampuan untuk mengganggu pertumbuhan hormon manusia. Sudah tentu manusia yang bersifat ‘reflexive’ tidak akan membiarkan objek bernama plastik ini akan terus mengancam diri sebagaimana ia mengancam kehidupan liar mahupun tumbuh-tumbuhan.

“IF YOU CAN’T REUSE, REFUSE IT”

Moto pada kali ini adalah gambaran kepada satu desakan kuat untuk mengajak seluruh manusia, segenap pelusuk bumi supaya dapat sama-sama dalam perjuangan mengurangkan pencemaran plastik ini. Seperti yang penulis sebutkan di atas, ini adalah ‘perjuangan dalaman’ manusia. Jiwa yang baik harus mendominasi jiwa yang jahat. Sifat Diri al-Insaniyyah atau al-Natiqah (rasional) harus menguasai sifat Diri al-Hayawaniyyah (kehaiwanan). Perbezaan antara manusia dan binatang serta tumbuh-tumbuhan terletak pada kewujudan aqal yang dimiliki. Akal terkandung Ilmu padanya, kefahaman pula seharusnya mampu membentuk amal dan manusia berkemampuan untuk bermuhasabah. Menurut Dr. Zaidi Ismail (2018), ciri ‘reflexive’ hanya ada pada manusia. Reflexive adalah kemampuan untuk menilik dan mengenal diri sehinggakan manusia secara serentak menjadi yang mengetahui dan yang diketahui sekaligus.

Sebagai contoh, jika manusia mengetahui bahawa alam sekitar ini boleh tercemar dan hancur keseimbangannya disebabkan perbuatan manusia, manusia juga harus insaf bahawa perbuatan sebagai pelaku pencemaran itu berhubung kait dengan corak kepenggunaan manusia sendiri, contohnya barang apa yang dibeli, pakaian dan makanan apa yang dipilih? Sedarkan manusia bahawa corak kepenggunaan mereka selama ini, adalah penyumbang kepada ketidak seimbangan ekologi yang berlakupada hari ini? Adakah setiap pemilihan barang itu melibatkan bahan plastik-sekali-guna-kemudian buang? Apakah yang mendorong manusia memiliki barang-barang tersebut; iklan, rakan-rakan atau ahli keluarga? Adakah plastik wujud 100 tahun lepas dan mengapakah ia wujud? Tidak bolehkah manusia tidak bergantung dengannya? Apakah pula alternatif kepada kehidupan yang tidak bergantung kepada plastic? Sekiranya manusia insaf akan setiap kesan perbuatannya, manusia mampu mengelakkan diri daripada berulangnya situasi pencemaran yangsemakin membarah kini.

Asplek ‘reflexive’ dalam bermuhasabah diri ini adalah amat penting diterapkan dalam pendidikan hari ini. Menurut beliau lagi:

“Penilaian atau audit diri ini pada hakikatnya melibatkan bukan sahaja semakan dan pembetulan kepada sikap, perangai dan perlakuan diri pada masa-masa lalu tetapi lebih penting lagi, penilaian dan pembaikian kandungan akalnya… Malah, kualiti ilmu seseorang itulah yang pada akhirnya menentukan sikap, perangai dan perlakuannya.” (Aqal, Ilmu & Pendidikan, IKIM, 2018)

APA YANG SAYA BOLEH BUAT

Lantas, persoalan seterusnya ialah, apakah yang saya boleh lakukan kini? Usah terbeban dengan persoalan ini. Manusia tidak perlu untuk menunggu satu-satu polisi digubal, barulah hendak mengamalkannya. Adalah memadai sekiranya manusia dapat mempelajari beberapa tip mudah untuk membiasakan diri mengelak daripada bergantung kepada plastic.

Contohnya, jika memesan air di restoran, elakkan daripada menggunakan penyedut minuman. Jika ke kedai runcit atau pasaraya untuk membeli barang keperluan, biasakan membawa beg dari rumah, dan sekiranya keluar ke mana-mana, biasakan diri dan ahli keluarga membawa bekalan air dari rumah. Dalam erti kata yang lain, hindari diri dan keluarga kecil kita daripada membeli air botol mineral di kedai-kedai di luar sana, hatta jika dijual di rumah-rumah ibadat sekalipun.

Usaha kecil sebegini, apabila membudaya, ia sebenarnya mampu memberi impak besar. Tanpa kita sedari.

Akhir kata, berkat bulan Ramadan yang Mulia ini, juga bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia, azam baharu apabila keluar daripada madrasah Ramadan ini, harus terkandung dalamnya perubahan mengakar untuk menginsafi bahawa selama ini, ketidak seimbangan alam sekitar yang sedang berlaku, sebenarnya disebabkan diri manusia – diri kita. Jiwa yang suci dan akal yang sihat, menjadi syarat untuk memahami dan bertindak menghindari perbuatan zalim mencemarkan alam sekitar dengan plastik pakai-buang.

Sebagaimana firman Allah dala Surah Ar-Rahman, ayat 1 hingga 10:

“(Allah) Yang Maha Pemurah. Yang mengajarkan al-Quran. Dia menciptakan manusia. DIa mengajarnya pandai berbicara. Matahari dan bulan beredar mengikut hitungan yang tertentu. Dan tumbuh-tumbuhan dan pohon-pohon, kedua-duanya tunduk (kepada-Nya). Dan langit telah ditinggikan-Nya dan Dia ciptakan keseimbangan. Agar kamu jangan merosakkan keseimbangan itu. Dan Bumi telah dibentangkan-Nya untuk makhluk-Nya.”

Pesanan Yang Maha Mulia ini adalah antara landasan kukuh bagi setiap Muslim mengambil berat dan cakna mengenai isu alam sekitar serta bagaimana harus mendepani cabaran kehilangan keseimbangan (dalam konteks ini: ekologi) pada hari ini. Kesyukuran harus dizahirkan dengan berpegang kepada amanah untuk mengekalkan keseimbangan berlandaskan Ilmu dan Pengetahuan yang akan menatijahkan kreativiti dan inovasi untuk amnfaat manusia sejagat.

Sumber Utama:

  1. A Guide for Education Partners to Celebrate World Environment Day 5 June 2018, UNEP.
  2. Aqal, Ilmu & Pendidikan: Kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah

Artikel ditulis oleh Alif Basri untuk The Patriots.


Alif Basri merupakan seorang karyawan di Perbadanan Kota Buku. Namun, mempunyai nyala rasa untuk mendepani cabaran alam sekitar. Beliau adalah Pengerusi Persatuan Eksplorasi Pasca Karbon, sebuah persatuan untuk mendidik masyarakat dengan gaya hidup yang lestari. Melalui persatuan ini, beliau dan sahabat-sahabat persatuan mendidik masyarakat melalui pelaksanaan projek-projek kecil tenaga solar untuk pertanian di beberapa tempat sekitar Kuala Lumpur dan Selangor beserta modul pendidikan alam sekitar. Cita-cita beliau tinggi; mahu menjadikan bahan api fosil sebagai satu sejarah peradaban manusia. Walaupun masih banyak sumbernya, namun ia bukan pilihan untuk manusia menggunakannya secara wewenang.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.