Gunung Jerai bukan sekadar tanah tinggi bagi orang Kedah. Ia adalah puncak mitos, diselubungi kisah para wali, puteri ghaib, suara halus, dan bayang-bayang misteri yang muncul dan menghilang. Tapi siapa sangka, dalam kabus hutan tropika ini, tersembunyi satu makhluk kecil yang selama ini ‘ghaib’ daripada sains, sehinggalah kini.
Namanya Geosesarma bunian.
Seekor ketam kecil berwarna ungu kebiruan, dengan mata bersinar merah. Saiznya tak lebih besar daripada duit syiling 50 sen. Ia tergolong dalam genus Geosesarma, iaitu kumpulan ketam darat yang biasanya aktif waktu malam dan mempunyai warna tubuh yang menonjol serta mata yang bercahaya.
Spesies ini ditemui oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu dan National University of Singapore semasa ekspedisi biodiversiti di ketinggian sekitar 1,150 meter dari paras laut di Gunung Jerai. Ia merupakan penemuan saintifik yang penting kerana Geosesarma bunian ialah spesies baharu yang hanya diketahui wujud di lokasi ini sahaja.
Ketam ini hidup di darat, dalam lubang-lubang lembap di lereng gunung, di celah batu dan akar pokok berhampiran aliran air kecil. Yang menarik, pemerhatian awal mencadangkan bahawa ketam ini mungkin tergolong dalam kategori semi-arboreal, iaitu berkemungkinan boleh memanjat tumbuhan rendah atau dahan.
Menarik tak?
Nama “bunian” diberikan bukan sekadar simbolik. Ia diinspirasikan daripada entiti ghaib dalam cerita rakyat Melayu, mencerminkan sifat makhluk ini yang jarang kelihatan, misteri, dan seolah-olah “tersembunyi” dari pandangan manusia selama berabad-abad. Tambahan pula, habitatnya yang terpencil dan tingkah lakunya yang senyap menyerupai mitos bunian yang hidup jauh dari peradaban manusia.
Dari segi morfologi, Geosesarma bunian mempunyai perbezaan struktur gonopod jantan berbanding spesies Geosesarma lain, terutamanya Geosesarma faustum yang pernah ditemui di Pulau Pinang. Ciri-ciri ini mengesahkannya sebagai spesies baharu. Ketam jantan bersaiz kira-kira 8.3 x 8.3 mm, manakala ketam betina lebih besar sedikit sekitar 10 mm.
Salah satu ciri menarik Geosesarma ialah mereka membiak tanpa memerlukan fasa larva akuatik seperti ketam laut. Telur akan menetas terus menjadi anak ketam dan tidak perlu ke laut, membolehkan mereka kekal sepanjang hayat di daratan. Ini menjadikannya antara spesies unik yang dapat bertahan dalam ekosistem hutan tinggi.
Penemuan ini telah diterbitkan secara rasmi dalam jurnal Raffles Bulletin of Zoology pada 19 Mac 2025 oleh penyelidik Peter K. L. Ng, S. Khadijah-Ahmad, dan Amirrudin B. Ahmad. Kajian mereka bukan hanya menambah kepada khazanah biodiversiti Malaysia, tetapi juga membuka potensi penyelidikan baharu dalam bidang ekologi, evolusi dan pemuliharaan spesies unik.
Ketika manusia semakin meninggalkan hutan dan mengejar kota, masih ada makhluk kecil yang selama ini hidup diam, bersabar, dan akhirnya muncul sebagai peringatan bahawa ciptaan Tuhan tak pernah habis untuk dikenali.
Akal yang Allah anugerahkan kepada manusia adalah untuk mengenal, bukan hanya menguasai. Dan kadangkala, dalam senyap hutan, Allah perlihatkan kekuasaanNya dalam makhluk sekecil ketam agar manusia kembali tunduk dan kagum dengan keajaiban ciptaanNya.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.