Hari ini, dunia dihantui oleh pelbagai wabak baru seperti SARS dan Covid-19. Tetapi satu ketika dahulu, dunia pernah dihantui satu wabak penyakit yang hari ini boleh diubati dengan antibiotik: tibi/tuberkulosis atau batuk kering. Penyakit ini membunuh ramai orang dengan majoritinya ialah orang muda yang tampan dan cantik.

Disebabkan batuk kering sudah lama wujud dan direkodkan dalam lipatan sejarah manusia, saintis berselisih pendapat bila bakteria penyakit ini muncul. Ada yang berpandangan ia muncul 150 juta tahun lalu – era di mana benua super Gondwana telah berpecah dan membentuk dua pertiga benua dunia moden hari ini.

Tetapi ada juga yang percaya versi awal tuberkulosis wujud di Afrika Timur kira-kira tiga juta tahun lalu. Tidak mustahil semasa tempoh ini, manusia-manusia zaman awal sudah dijangkiti dengan penyakit berkenaan. Yang pasti, saintis percaya nenek moyang bakteria Mycobacterium tuberculosis (M. tuberculosis) dan semua variannya wujud sekitar 35,000 hingga 15,000 tahun lalu.

Manusia zaman awal telah meninggalkan Afrika Timur sekitar 1.7 tahun lalu. Tetapi golongan peneroka terawal ini digantikan oleh golongan migran seterusnya mengikut gelombang sekitar 89,000 hingga 35,000 tahun lalu. Kelompok ini keluar sambil membawa semua jenis penyakit termasuk batuk kering bersama mereka.

Ini secara tidak langsung menjelaskan bagaimana tuberkulosis boleh sampai sejauh India atau Amerika Selatan. Di Amerika Selatan atau lebih tepat Peru misalnya, pengkaji arkeologi menemui mumia pra-kerajaan Inca yang ditemui di selatan Peru yang mempunyai kesan lesion tuberkulosis.

Disebabkan kedudukannya di wilayah yang paling kering di dunia, mayat akan cepat mengering sebelum ia sempat mengalami proses pereputan. Pada awalnya, pengkaji arkeologi menyangka mumia tersebut mati akibat penyakit tibi yang dibawa Conquistador dari Eropah. Tetapi analisis DNA yang dijalankan pada sampel tisu lesion mumia berkenaan mendapati ia bukan sebahagian daripada ‘eksport’ yang dibawa orang Eropah ke Dunia Baru sekitar abad ke-16.

Selain mumia dari benua Amerika Selatan, mumia tamadun Mesir Purba juga merupakan bukti betapa merbahayanya penyakit batuk kering kepada manusia. Ini berdasarkan analisis mumia seorang wanita bernama Irtyersenu yang kini dipamerkan di Muzium Britain.

Balutan mumia itu dibuka dan dibedah oleh seorang pakar bedah British bernama Dr Augustus Granville sekitar tahun 1825. Pada ketika itu, Eropah dilanda fenomena Egyptomania atau kegilaan terhadap Mesir Purba yang dicetuskan akibat pencerobohan Napoleon Bonaparte ke atas Mesir pada akhir abad ke-18.

Lakaran mumia kepunyaan Dr Augustus Granville yang kini disimpan di Muzium British. Sumber: Royal Society

Berdasarkan dapatan bedah siasat yang dijalankan Dr Granville, sebab kematian Irtyersenu ialah akibat kanser ovari. Ini disebabkan penemuan tumor bersaiz buah oren yang dikenali sebagai sistadenoma. Tetapi tumor tersebut dianggap tidak merbahaya berdasarkan pemeriksaan sekumpulan pakar dari University College London pada 2009.Sebaliknya, mereka percaya punca sebenar kematian Irtyersenu ialah tuberkulosis. Ini berdasarkan penemuan DNA bakteria M. tuberculosis pada paru-paru, pundi hempedu dan tulang pehanya.

Jadi, kenapa tuberkulosis dianggap pembunuh orang muda dan cantik/tampan? Sebabnya mudah, usia majoriti mangsa tuberkulosis ialah sekitar 18 hingga 35 tahun. Ini berdasarkan pemerhatian figura perubatan Yunani terkenal, Hippocrates. Ini kerana kebanyakan pesakit yang mengalami penyakit itu berada dalam kumpulan umur yang dinyatakan.

Antara tanda awal penyakit batuk kering ialah batuk berterusan di mana ia boleh saja berlaku selama beberapa minggu atau bulan. Selain batuk berterusan, pesakit juga akan mengalami demam dan berpeluh pada waktu pagi dan malam, batuk berdarah dan hilang selera makan. Dengan menggabungkan semua tanda penyakit itu, tidak hairanlah mengapa orang merasa ngeri melihat pesakit batuk kering. Mereka boleh diibaratkan mayat hidup, menanti masa untuk dibawa kembali ke hadrat-Nya.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang asal-usul manusia, ayuh beli buku GENESIS II yang sudah tiba di Shopee – https://shopee.com.my/Genesis-II-Sapien-Neo-Manusia-(Zamir-Mohyedin)-i.238336777.21215814073

Lebih menyayat hati, ia boleh saja memusnahkan beberapa generasi keluarga dalam masa singkat. Kebiasaannya yang mati terlebih dahulu akibat batuk kering ialah kanak-kanak. Jika mereka berasal dari sebuah keluarga yang besar, bilangan mereka yang mati direkodkan berturut-turut sehingga sudah tidak ada lagi ahli keluarga berstatus kanak-kanak dalam keluarga.

Disebabkan penyakit tuberkulosis kerap berlaku dalam masyarakat terutama dalam kalangan orang muda, ia diromantiskan oleh sasterawan dan penulis. Kononnya, mangsa tuberkulosis kelihatan suci murni semasa kembali menemui Pencipta mereka.

Chopin dikatakan mempunyai imej bak malaikat oleh kekasihnya, George Sand semasa mati pada usia 39 tahun akibat batuk kering.

Tak percaya? Salah seorang yang diberi label sedemikian ialah komposer Poland terkenal Frederic Chopin. Pakar perubatan percaya batuk kering menjadi punca kematian beliau secara tiba-tiba pada 1849 semasa berusia 39 tahun. Kekasihnya George Sand (nama pena bagi penulis Amantine Lucile Aurore Dupin) menggelar wajah Chopin semasa kematiannya sebagai wajah malaikat malang yang hiba.

Lord Byron amat cemburu dengan rupa mangsa tuberkulosis yang telah tiada sehinggakan mahu dirinya mengalami penyakit serupa.

Kematian pesakit batuk kering pada usia muda turut mencetuskan rasa cemburu individu terkenal seperti sasterawan British terkenal Lord Byron. Pada satu hari, beliau berkata kepada seorang rakan, “Aku rasa aku patut mati akibat tuberkulosis!” Rakannya yang terkejut mendengar kata-katanya itu bertanya mengapa Lord Byron berhajatkan perkara sedemikian. Lantas, beliau menjawab, “Kerana para wanita akan berkata, ‘Lihatlah si Byron itu. Kasihan dia. Dia nampak lebih menarik bila dia mati!'”

Disebabkan hal ini juga, ada penduduk yang bimbang pesakit-pesakit ini akan hidup semula macam Dracula. Ya, sebagai pontianak! Tetapi ketakutan sebegini wujud di sebahagian tempat di Eropah dan Amerika Utara pada abad ke-19. Satu contoh kes sebegini ialah kes Mercy Brown pada Mac 1892 di Exeter, Rhode Island, New England, Amerika Syarikat.

Pada satu ketika, keluarga Brown yang diketuai George Brown dijangkiti wabak tuberkulosis. Situasi ini  menyaksikan Mercy, ibunya Mary dan kakaknya Mary Olive mati akibat penyakit berkenaan. Selepas seorang lagi anaknya Edwin menderita penyakit sama, George merasakan wujud satu kuasa yang menjadi pencetus jangkitan wabak ini.

Hal ini bukan sesuatu yang baru di mana penyakit-penyakit didakwa dicetuskan oleh sesuatu yang ghaib seperti syaitan atau hantu. Disebabkan ia masih berakar dalam masyarakat, agak sukar untuk membuang mentaliti sebegitu rupa walaupun terdapat penjelasan logik tentang apa yang berlaku.

Dalam kes Mercy Brown, imej mayat yang dilihat orang kampung selepas kuburnya digali semula mencetuskan keributan dalam kalangan orang kampung. Tatkala mayat ibu dan kakaknya sudah mereput selepas kubur mereka digali semula, itu tidak berlaku kepada Mercy. Selepas kuburnya digali semula, alangkah terkejutnya orang kampung melihat mayat masih dalam keadaan baik walaupun Mercy dikebumikan beberapa bulan sebelumnya.

Keadaan mayat Mercy Brown yang masih baik selepas dikebumikan beberapa bulan sebelumnya menyebabkan orang menyangka mayat wanita muda itu sebagai Dracula.

Rambut dan kukunya dikatakan telah bertambah panjang. Sementara kulit pada mayat Mercy masih utuh termasuk mempunyai kesan darah. Bagi orang kampung, hanya satu penjelasan yang boleh diterima: Mercy ialah pontianak!

Doktor tempatan yang mendengar kes itu mengingatkan penduduk agar tidak panik. Baginya, itu tidak pelik sama sekali. Keadaan cuaca sejuk di kawasan berkenaan membantu memelihara mayat dalam keadaan baik. Tetapi penjelasan tersebut tidak dilayan oleh penduduk tempatan. Jika Mercy merupakan pontianak, maka Edwin berada dalam bahaya.

Lantas, bagi menyelamatkan nyawa ahli keluarga Brown itu, mereka mengeluarkan jantung daripada badan Mercy sebelum membakarnya sehingga hangus. Dari situ, abu jantung berkenaan dicampur dengan air sebelum diberi minum kepada Edwin. Bagaimanapun, itu langsung tidak membantu pemulihan ahli keluarga Brown itu. Beberapa bulan selepas insiden berkenaan, Edwin kembali menemui Penciptanya.

Hanya selepas dunia memasuki tahun-tahun terakhir abad ke-19 dan abad ke-20, barulah para doktor sedar penyakit tersebut ialah penyakit berjangkit yang dicetuskan oleh kuman. Teori ini kemudiannya dibuktikan oleh seorang pakar perubatan Jerman bernama Hermann Heinrich Robert Koch pada 1882 di Persatuan Fisiologi Berlin. Disebabkan penemuan ini, ia buka lembaran baru tentang cara merawat penyakit berjangkit berkenaan. Koch kemudiannya dianugerahkan Hadiah Nobel Perubatan pada 1905.

Selepas Perang Dunia Kedua (WWII), penciptaan antibiotik membantu mencegah tuberkulosis daripada terus melarat. Secara perlahan-lahan, nama tuberkulosis sebagai penyakit berjangkit yang membawa maut mula dilupakan.

Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Tetapi di seluruh dunia, masih banyak kes batuk kering dilaporkan termasuk di Malaysia. Di Malaysia saja, 23,644 kes tuberkulosis dilaporkan pada 2020 berbanding 26,000 kes pada 2019. Walaupun angka ini menunjukkan pengurangan, itu tidak bermakna ia sudah tidak lagi menjadi ancaman kepada masyarakat.

Di seluruh dunia pula, 1.5 juta kes kematian akibat batuk kering dilaporkan. Ini menunjukkan penangan tuberkulosis masih kuat di sebalik cabaran wabak baru seperti SARS dan Covid-19. Patutlah ia digelar kapten kematian di negara-negara Barat sehingga hari ini.

Nota kaki

lesion – perubahan pada sesebuah organ atau tisu selepas mengalami jangkitan atau kecederaan fizikal. Perubahan boleh memberi kesan negatif kepada organ atau tisu yang dinyatakan.

George Sand – penulis popular Perancis sekitar 1830-an dan 1840-an. Dikatakan lebih popular daripada figura hebat dunia penulisan Perancis, Victor Hugo dan Honore de Balzac sekitar tempoh berkenaan.

RUJUKAN

Ponti, C. (2019, 25 Oktober). When New Englanders Blamed Vampires for Tuberculosis Deaths. History.com

Fu-hrer, M. (2021, 24 Februari). THE DISEASE THAT KILLED THE YOUNG AND THE BEAUTIFUL. Historynet.

Daniel, T. M. (2006). The history of tuberculosis. Respiratory Medicine Jilid Ke-100, Isu Ke-11, Muka surat 1862-1870.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply