Ada sebab kenapa sekularisme dijadikan ikutan. Menurut George Holyoake, penulis British yang memberi nama “sekularisme” pada 1896, ideologi materialistik ini adalah konsep yang memandang aliran teologi terbatas dan tidak boleh diharap. Sains, bagi George Holyoake, adalah rezeki bagi manusia. Tentu sekali, pihak konservatif akan ada masalah dengan percanggahan ini, rata-ratanya jika golongan mereka sendiri terperosok dalam pasir jerlus ini. Pada hari ini, Malaysia menyaksikan pertikaian terhadap azan seperti cadangan dangkal Azira Aziz. Aurat dan warisan turut dimainkan.

Perkara yang sama sedang berterusan di luar negara. Hijab dipandang negatif. Khutbah Jumaat dianggap sebagai elemen keganasan. Dan sekularisme tidak henti memamah kepercayaan umat. Mungkin ini sekadar serangbalas kepada penentangan barisan agamawan terhadap sekularisme.

Cuma apa yang golongan agamawan terlepas pandang adalah kesedaran disebalik logik bagaimana satu ideologi berusia kurang daripada 200 tahun mampu mendapkan pengaruh mereka. Lebih-lebih lagi apabila pemisahan antara agama dan negara telah membuahkan hasil yang sangat lumayan. Negara-negara sekular kini dalam keadaan gilang gemilang. Umat Islam pula masih terpaksa berdepan dengan masalah-masalah kelas ketiga dan melabel negara bukan Islam sekadar mendapat “istidraj” ataupun “kafir”.

Sebenarnya, kegemilangan sekularisme dibenihkan golongan agamawan sendiri. Dengan erti kata lain, cendekiawan-cendekiawan agama adalah punca sekularisme bermula. Dunia pada harini bersifat jauh lebih terbuka berbanding landskap politik silam. Negara-negara kini mempunyai rakyat berbilang agama sehingga ke tahap pengaruh ketua tidak boleh berasaskan agama. Bagi mereka, integriti sebuah negara tidak boleh diracuni ke tahap penindasan minoriti. Tentu sekali golongan majoriti akan halalkan tindak tanduk seorang diktator, jika agama diperkudakan.

Sekularisme telah memberikan solusi kepada kejahilan ini, cuma masalah korupsi dan ketidakadilan sosial pula perlu dibendung yang sebenarnya di luar bidangkuasa sekularisme.

Perkara ini berlaku secara nyata di Eropah satu masa dahulu. Berzaman benua tersebut terjerumus ke lembah konflik dan peperangan hanya kerana perpecahan antara barisan Katolik, Ortodoks dan Protestan. Alaf Kedua (1001-1999) banyak memberikan tunjuk ajar tentang kepentingan peranan sekularisme dalam masyarakat global. Tahun keramat 1054 harus dibuat pegangan, kerana inilah tahun Barat (Katolik) dan Timur (Ortodoks) mula bertelagah susulan penutupan gereja-gereja di zon pengaruh masing-masing akibat perbezaan pendapat kegerejaan dan teologi.

Konflik sebegini berlaku akibat kekerapan agama Kristian ditunggang ibarat keldai. Tidak boleh dinafikan bahawa Paus (Pope) merupakan punca kepada banyak masalah diplomasi yang dibawa ke medan perang. Senjata yang dipegang Paus adalah keupayaan untuk buang seseorang daripada komuniti. Dalam Islam, perkara ini juga wujud yang akan dibincangkan kelak. Pada tahun 1066, Paus Alexander II telah membuangkan Raja Harold II daripada komuniti Kristian atas motif politik untuk menghalalkan serangan William.

Raja John turut dibuang pada 1208 kerana menolak Kardinal Stephen Langdon, calon pilihan Paus Innocent III untuk jawatan Ketua Bishop Canterbury. Raja Afonso II yang menggunakan dana gereja untuk menyatukan kembali Portugal dikenakan tindakan yang sama. Maharaja Frederick II siap dibuang sebanyak empat kali. Harus ditekankan bahawa salah satu sebab adalah kerana baginda tidak melancarkan Perang Salib Kelima seperti dijanjikan kepada Paus Gregory IX.

Mudah kata, di tampuk kerusi agama, seorang Paus memegang tukul ibaratkan seorang hakim. Yang mana pembuangan sebegini diamalkan atas motif politik dulu, kini lebih digunakan untuk perangi ajaran sesat Kristian serta gejala deraan syahwat. Betapa besarnya penglibatan seorang Paus satu masa dahulu. Paus Urban II sendiri merupakan peledak kepada serbuk letupan yang meragut banyak nyawa dalam peperangan-peperangan salib. Daripada peperangan inilah kota paling kaya di Eropah iaitu Konstantinopel boleh terjatuh dengan hinanya.

Selama sembilan abad, kota megah ini menjadi ibu negara tamadun Kristian dengan hiasan seni dan karya-karya agung daripada zaman Yunani kuno lagi. Pada tarikh yang malang itu, harta-hartanya diangkut. Jalan-jalan diasak dengan kanak-kanak disembelih dibiarkan begitu sahaja. Rumah-rumah dipecah. Di mana kecantikan pernah merambangkan mata, digantikan dengan kehancuran tidak terhingga. Apa-apa yang tidak boleh diangkut dimusnahkan. Tentera-tentera durjana ini hanya berhenti untuk bunuh dan rogol sehingga ke Hagia Sophia. Dengan mabuknya, mereka teruskan kejahatan ini. Pelacur siap duduk di takhta paderi utama lagi, seketika rahib-rahib dirogol bergilir-gilir.

Semua ini berlaku akibat agama. Pengaruh sebegini berterusan ke tahap komunisme bangkit di Empayar Rusia yang melenyapkan monarki Romanov di tangan Vladimir Lenin. Lantas dari situ, Rusia mengikuti haluan ateisme. Manakala Barat pula sedikit demi sedikit cairkan pengaruh Kristian dalam demokrasi mereka.

Namun, seketika Kristian pula terurai daripada penunggangan agama, barisan Islam pula mula memasukinya. Jika dulu dikatakan berada dalam “zaman takungan”, Kristian kini telah memasuki era kemajuan. Terlalu jauh bangsa-bangsa Barat telah tinggalkan Timur, dari segi sosial, ekonomi serta teknologi. Uniknya, Timur yang dimaksudkan penganut-penganut Islam pula mula ikuti jejak-jejak lama Kristian. Seketika Paus memegang tukul kehakiman dalam motif politik, kini ulama’-ulama’ yang satu masa dulu jawatan ini sangatlah disanjung pula membuat perkara yang sama.

Agama Islam tidak melantik seorang individu untuk mewakili seluruh agama. Sama seperti Ortodoks, Islam lebih berpegang bahawa setiap kariah yang dipusatkan di rumah ibadat (iaitu masjid) akan diketuai oleh seorang mukmin. Namun, perkara ini tidak memendapkan kesan-kesan buruk yang menyengat kesatuan Kristian dulu. Perkara ini dapat dilihat ketika Salman Rushdie masih hangat dalam perbualan. Seketika Yusuf al-Qaradawi sekadar mengecam atas penghinaan terhadap nilai-nilai Islam, Ayatollah Ruhollah Khomeini siap mengeluarkan fatwa agar Salman Rushdie dibunuh.

Sebelum ada yang bersuara bahawa Syiah bukan Islam, harus difahami subjek yang cuba dibentangkan, iaitu penunggangan agama. Dan Sunni atau Syiah, nama buruk akan tetap terpalit kepada Islam, sama ada pihak masing-masing suka atau tidak.

Perbincangan boleh didalami dengan Mohamed Morsi pula yang bingkas bangun ke tampuk pemerintahan Mesir dibawah tiket Ikhwanul Muslimin. Memanglah fitrah bahawa negara harus diterajui dengan elemen-elemen Qur’an dan Hadis. Tetapi pengisytiharan perlembagaan yang meletakkan Presiden lebih tinggi daripada undang-undang amatlah bercanggah dengan agama Islam. Rasulullah SAW sendiri tidak melebihi had dari segi undang-undang ketika memerintah, rata-rata lagi dalam urusan keadilan terhadap Bani Qurayza.

Tetapi Mohamed Morsi hanyalah berskala kecil. Penunggagan agama yang amat dahsyat dapat diteliti dalam dosa-dosa besar dibuat golongan pengganas. Pengeboman serta serangan di tempat-tempat awam Amerika Syarikat adalah contoh kepada dosa-dosa ini. Barangkali mungkin ini adalah respon kepada keganasan Amerika Syarikat di Timur Tengah. Tetapi di Beslan, Rusia, satu kisah ngeri pernah berlaku. Mendendangkan aspirasi Islam, Shamil Basayev telah mengarahkan lebih daripada 30 anggota Batalion Riyadus-Salikhin untuk menawan sebuah sekolah. Sekurang-kurangnya 330 tahanan terbunuh kerana Shamil Basayev, 186 daripada mereka adalah kanak-kanak.

Banyak lagi boleh dibincangkan mengenai keganasan yang mencalarkan imej Islam. Umat Islam juga tidak lari daripada keganasan ini. Pada June 2014, sebuah khilafah telah diisytiharkan di bawah Abu Bakar al-Baghdadi yang menuntut kesetiaan daripada seluruh umat Islam. Namun ketelusan khilafah ISIL ini ditolak kerajaan Islam sedunia. Hakikatnya, tiada apa yang Islam dalam khilafah ini. Dalam masa dua tahun, sebanyak 15,000 mayat ditemui dalam 72 kubur di kawasan yang pernah jadi zon ISIL.

Tahun 2015 dan 2016 telah mendedahkan kezaliman ISIL sehabis-habisnya. Di Tunisia, sebuah resort pelancongan dan muzium diserang yang menyebabkan kematian 60 orang. Di Sana’a, sebuah masjid Syiah telah dibom yang membunuh 142 orang. ISIL juga mengaku bertanggungjawab di sebalik pengeboman pesawat Metrojet 9268. Gabenor Aden (Yaman) dijadikan sasaran, dan pada 6 Disember 2015, beliau dibom dalam kenderaannya. Dan pada 12 Januari 2016, satu serangan di Istanbul telah meragut sebanyak 13 nyawa.

ISIL adalah bala bencana kepada umat Islam, sepertimana Perang Salib kepada semua pihak. Jika satu masa dahulu Isabela mengusir rakyat minoriti daripada negara baru Sepanyol, kini umat Islam berdepan dengan situasi sama di tangan ISIL: satu perjuangan demi nyawa. Ianya sama – dulu yang Islam serta Yahudi merentasi lautan Mediterranean untuk tempat berteduh di Uthmaniyah – apa bezanya dengan sekarang?

Jika dulu rahib-rahib dirogol bergilir-gilir, apa bezanya dengan anak dara Islam sekarang?

Malah, khilafah ini turut membakar seorang tahanan perang lagi, tentu sekali satu dosa besar kerana kuasa membakar hanya milik-Nya. Diyakini bahawa bala bencana ini bakal disusuri. Apa yang bangkit, tentu sekali akan jatuh. Segagah Monggol dan seagung Rom, ke semua pengaruh akan menyembah Bumi juga. Tetapi apa yang berterusan adalah legasi.

Kalau ikut aturan kini, tidak mustahil sekularisme akan menziarahi Dunia Islam pula. Malah, ideologi materialistik ini sedang mengetuk pintu Dunia Islam dengan anjing-anjingnya mula menyalak pertikaian terhadap institusi Islam. Cuma tidak dinafikan jika Malaysia misalnya tunduk kepada sekularisme, negara ini akan gilang gemilang.

Bukan kerana Islam lemah, tetapi akibat kelemahan peneraju-peneraju yang mengakui diri mereka Islam. Apa yang pasti, susunan semulajadi ini membuat aturan kemas kepada tanda akhir zaman yang paling besar iaitu satu zaman pengembalian daripada kemungkaran. Pilihan di tangan umat Islam, sama ada untuk mempercepatkan zaman ini secara penerimaan sekularisme secara terbuka – ataupun alternatif yang paling relevan, iaitu membasmikan kejahilan dalam diri agar tampuk-tampuk keagamaan serta kepimpinan satu masa nanti tidak akan memamah integriti agama Islam.

Masakan perlu Melayu ikut tunjuk ajar serta tauladan Barat, yang tidak pernah faham jiwa tempatan?


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply